Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 3 Julai 2012

Bantahan awal dibuat terhadap permohonan batal pertuduhan!



Pendakwaan yang mengendalikan kes Ketua Pembangkang dan dua lagi berhubung perhimpunan Bersih 3.0 hari ini memaklumkan Mahkamah Sesyen di sini, pihaknya telah mengemukakan bantahan awal terhadap permohonan untuk membatalkan pertuduhan oleh Anwar Ibrahim.

Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Wahab Mohamad memberitahu Hakim Mahmud Abdullah, notis bantahan itu difailkan Jumaat lalu.

Alasan pihak pendakwaan, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan Ahli Parlimen Permatang Pauh itu agar pertuduhan-pertuduhan yang dikenakan ke atasnya berkaitan dengan perhimpunan haram tersebut dibatalkan.

Pada 28 Mei lalu, Anwar memfailkan permohonan untuk membatalkan dua pertuduhan yang dihadapinya kerana melanggar undang-undang ketika menyertai perhimpunan Bersih 3.0 di ibu negara pada 28 April lalu.

Permohonan tersebut dikemukakan atas alasan perintah larangan berhimpun bertarikh 26 April lalu oleh Majistret Zaki Asyraf Zubir, tidak teratur dan tidak sah serta tidak menamakan Anwar dalam perintah berkenaan.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu juga mendakwa, perintah majistret itu tidak pernah diwarta dan dilampirkan di tempat-tempat khalayak ramai mengikut peruntukan-peruntukan Seksyen 90(2) Kanun Tatacara Jenayah.

Selain itu, beliau turut mendakwa, kedua-dua pertuduhan yang dihadapinya masing-masing di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan Seksyen 188 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 109 dan 34 kanun sama tidak mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Anwar turut mendakwa, pertuduhan di bawah Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman tidak mendedahkan sebarang kesalahan yang diketahui oleh undang-undang.

Terdahulu, sebelum memaklumkan mengenai bantahan awal itu, Abdul Wahab menyatakan, pihaknya telah memfailkan 30 afidavit jawapan terhadap permohonan sama.

Sementara itu, salah seorang peguam Anwar, Ramkarpal Singh mengesahkan pihaknya ada menerima kesemua afidavit jawapan pihak pendakwaan dan memohon diberikan masa untuk meneliti semua dokumen.

Beliau turut menyatakan, peguam-peguam Anwar juga akan membuat satu lagi permohonan bagi meminda permohonan asal bagi memasukkan pertuduhan baru yang dikenakan terhadap Anwar hari ini.

Pada prosiding sebutan hari ini, Anwar bersama-sama Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali dan Ketua PKR Cabang Rembau, Badrul Hisham Shaharin mengaku tidak bersalah atas tuduhan bersubahat dengan R. Tangam, G. Rajesh Kumar dan Farhan Ibrahim @ Alias dan lain-lain penyokong perhimpunan terbabit untuk melanggar perintah Mahkamah Majistret yang dibuat pada 26 April lalu oleh Zaki Asyraf.

Sewaktu perlanggaran perintah itu dibuat bagi tujuan bersama, salah seorang daripada mereka atau lebih telah menggunakan kekerasan dan keganasan.

Mahkamah kemudian menetapkan 3 September ini untuk pendengaran permohonan itu dan juga sebutan semula bagi kes Tangam, Rajesh Kumar dan Farhan yang didakwa secara berasingan atas tuduhan serupa.

Pada prosiding hari ini, kelibat seorang anak gadis yang memasuki dewan mahkamah bersama-sama isteri Azmin, Shamsidar Taharin menyebabkan ramai yang tertanya-tanya mengenai identiti sebenar gadis yang dipercayai anak pasangan itu.

Bagaimanapun, sehingga tamat prosiding, media yang membuat liputan kes itu tidak dapat memastikan sama ada remaja terbabit ialah Farah Afifah. Shamsidar dan gadis itu juga dilihat bergegas meninggalkan dewan mahkamah sebaik sahaja prosiding berakhir.

Selain itu, Shamsidar dan Presiden PKR isteri Anwar, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dilihat tidak begitu bertegur sapa malah kali ini duduk dengan dipisahkan oleh salah seorang anak Anwar.

Sementara Shamsidar dilihat lebih mesra berbual dengan Nurul Izzah, Wan Azizah pula dilihat lebih senang bertegur dengan gadis yang masuk bersama Shamsidar dan berbual dengan media.-UMO

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan