Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Rabu, 31 Ogos 2011

PPIM minta Mohamad Sabu tampil jelas isu caj rawatan!

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu tampil menjelaskan tindakan beliau menuntut caj rawatan hospital daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP).

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Ma'amor Osman berkata, ia jelas menunjukkan berlaku penyelewengan kuasa dan menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan terperinci mengenainya.

Beliau memberitahu, tindakan pemimpin nombor dua Pas itu menunjukkan sifat sebenar dirinya yang cuba diselindung sebelum ini.

"Sekarang apa sudah jadi, pecah tembelang. Orang sudah tahu siapa sebenarnya Mohamad Sabu. Apa rasional beliau menggunakan wang PBAPP?" soalnya ketika dihubungi oleh di sini, hari ini.

Parti Cinta Malaysia (PCM) mendedahkan Mohamad membuat tuntutan bayaran kos perubatan berjumlah RM8,434.05 sedangkan kos rawatan sebenar di Hospital Pakar KPJ di Selangor cuma RM5,060.54 sahaja.

Sehubungan itu, PCM membuat laporan di SPRM bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung perkara itu. Tindakan Mohamad didakwa telah menyalah guna kedudukannya sebagai Anggota Lembaga Pengarah PBAPP apabila membuat tuntutan berkenaan.

Sampai bila kamu nak menipu Mat Syabu oii..!!!

Wasabi Oyabun..

Rabu, 24 Ogos 2011

Kes Liwat II : Pendakwa bangkit isu air mani!

‘‘Untuk meletakkan air mani seseorang pada sesuatu sampel atau rektum, orang yang hendak meletakkannya perlu ada air mani orang tersebut bukan?’’

Pertanyaan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden itu menyebabkan saksi pembela ketiga dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr. David Wells terdiam seketika dan pada mulanya enggan memberikan sebarang jawapan kerana baginya soalan itu lebih sesuai ditujukan kepada pakar asid deoksiribonukleik (DNA).

Selepas Mohd. Yusof menjelaskan bahawa soalannya tidak langsung menjurus mengenai kehadiran DNA dan hanya melibatkan air mani sahaja, Wells kemudiannya bersetuju dengan cadangan tersebut.

Soalan yang pada mulanya mengundang gelak tawa daripada mereka yang berada di galeri awam termasuk penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menyebabkan dewan mahkamah menjadi sunyi seketika selepas jawapan tersebut diberikan.

Soalan tersebut dikemukakan ekoran dakwaan pihak pembelaan sebelum ini yang menyatakan bahan bukti telah tercemar dan air mani Anwar telah diletakkan pada calitan-calitan putik kapas.

Mohd. Yusof yang mengetuai pasukan pendakwaan menimbulkan perkara tersebut hari ini semasa menyoal balas pakar patologi forensik dari Australia itu yang dilantik sebagai saksi pakar pihak pembelaan pada perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi di sini.

Mohd. Yusof dalam hujah di akhir kes pendakwaan sebelum ini menyatakan, ‘tiada bukti bahawa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ada menyimpan air maninya di bank sperma kecuali sekiranya pihak pembelaan mencadangkan air mani Anwar bertaburan di tempat kejadian.’

Terdahulu, Ketua Jabatan Perubatan Forensik dari Victoria Institute of Medicine, Australia itu bersetuju bahawa bukanlah satu perkara yang asing bagi seseorang lelaki dewasa yang diliwat tidak menunjukkan sebarang kecederaan pada duburnya.

Persetujuan itu diberikan selepas Mohd. Yusof merujuk saksi tersebut kepada dua buah jurnal perubatan Clinical Forensic Medicine oleh W. D. S. McLay dan Expert Evidence oleh Freckelton & Selby.

Menurut kedua-dua jurnal tersebut, ketiadaan kecederaan pada mangsa tidak boleh menyebabkan sesuatu tuduhan serangan seksual diketepikan. Malah, majoriti pengadu kes serangan seksual tidak menunjukkan sebarang tanda cedera yang nyata pada anggota sulit tidak kira lelaki atau wanita.

Selain itu, faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan kejadian itu berlaku antaranya ‘kesanggupan’ mangsa untuk melakukan hubungan seks ekoran diperdayakan secara emosi, ketakutan akan berlakunya keganasan atau kematian dan tenaga yang digunakan untuk melawan serangan tersebut tidak mencukupi untuk menyebabkan sebarang kecederaan.

Kelewatan dalam membuat laporan juga boleh menyebabkan luka kecil hilang atau pulih di samping penggunaan pelincir ketika serangan seksual dilakukan.

Berhubung isu penemuan sperma di dalam rektum pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Wells sekali lagi bersetuju dengan laporan jurnal perubatan yang sama iaitu ‘kajian telah menunjukkan bahawa spermatozoa boleh ditemui di lokasi itu atau dubur sehingga tiga hari selepas hubungan seks luar tabii dibuat walaupun mangsa telah membuang air besar atau mandi.’

Beliau bagaimanapun turut menyatakan ‘tidak selesa’ untuk mengambil sesuatu sampel DNA selepas tiga hari. Dalam kes yang dihadapi oleh Anwar, sampel DNA Mohd. Saiful Bukhari diambil di Hospital Kuala Lumpur(HKL) pada 28 Jun 2008, iaitu dua hari selepas kejadian dan diserahkan kepada ahli kimia, Dr Seah Lay Hong kira-kira 56 jam kemudian.

Pada prosiding hari ini, saksi itu turut bersetuju dengan tindakan doktor-doktor HKL yang tidak membuat sebarang tafsiran terhadap penemuan air mani pada beberapa sampel dalam laporan perubatan mereka dan hanya membuat tafsiran itu di mahkamah iaitu selepas laporan kimia ditunjukkan,

Selain itu, Wells menyatakan, beliau akan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap mana-mana mangsa tetapi hanya akan melaporkan maklumat yang relevan dalam laporannya.

Sementara itu, Pengurus Pentadbiran Hospital Pusrawi, Yusni Ali memberitahu, ketika beliau mengambil alih tugas tersebut pada 17 Ogos 2008, fail pesakit bernama Mohd. Saiful Bukhari Azlan hanya mengandungi sehelai kertas iaitu ‘Rekod Perubatan Jabatan Kecemasan Pusrawi’.

Dokumen itu juga hanyalah salinan dan bukannya dokumen asal, kata saksi pembelaan keempat.

Menjawab pertanyaan Mohd. Yusof semasa sesi pemeriksaan balas, Yusni berkata, tiada sebarang laporan perubatan pesakit tersebut atau akuan bersumpah ditemui di dalam fail itu.

Semalam, bekas doktor di Jabatan Kecemasan hospital terbabit, Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid memaklumkan, beliau ada menyediakan laporan perubatan Mohd. Saiful Bukhari dan menyerahkannya kepada seseorang yang didakwanya pegawai Hospital Pusrawi bernama Azlan.

Beliau yang kini bertugas di Institut Jantung Negara (IJN) juga memberitahu ada menandatangani satu akuan bersumpah selepas seorang peguam bernama Yusri dan pesuruhjaya sumpah bernama Anuar menemuinya dan menyakinkan beliau bahawa dokumen itu adalah untuk simpanan fail sulit.

Anwar. 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.-UM.

Wasabi Oyabun


Sabtu, 20 Ogos 2011

Harapkan pagar, pagar makan padi - Nazir perlu keluarkan kenyataan!

CIMB merupakan gabungan beberapa buah bank yang asalnya bertunggakkan Bank Bumiputera Berhad. Ia kemudiannya ditukar kepada Bumiputera Commerce Berhad dan akhirnya kepada CIMB setelah berlakunya penggabungan dengan Southern Bank dan juga penjenamaan semula (rebranding).

Sungguhpun kumpulan politik bumiputera tidak berpuas hati dengan pengguguran nama bumiputera namun tidak ramai membantah secara terbuka kerana tidak mahu dilihat sebagai perkauman.

Seorang pemimpin UMNO dalam keadaan bergurau berkata masih ada perkataan Melayu di CIMB cuma Melayu dan bumiputera bukan keutamaan lagi. Kata beliau CIMB merupakan bank 1 Malaysia kerana ia singakatan kepada Cina, India, Melayu Bank.

Mungkin kerana keutamaannya ialah Cina maka Melayu tidak boleh mengharapkan apa-apa yang istimewa kepada bank tersebut sungguhpun ia dipimpin oleh adik Perdana Menteri, Nazir Tun Razak.

Yang sungguh mengejutkan CIMB bukan sahaja mengutamakan Cina biarpun majoriti penyimpannya ialah bumiputera, malah sanggup mengiklan di dalam Malaysiakini.com, portal berita yang menjadi alat menjahanamkan Barisan Nasional dan kerajaan Malaysia.

Saban hari Malaysiakini menyiarkan berita propaganda memburukkan kerajaan, Perdana Menteri, Barisan Nasional, UMNO dan orang Melayu, namun CIMB yang dikuasai oleh kerajaan dan orang Melayu membutakan mata hati mereka terus memberi tajaan bernilai mungkin jutaan ringgit setahun untuk Malaysiakini.com.

Apakah wajar sebuah GLC yang dipimpin oleh adik Perdana Menteri menyediakan peruntukan iklan kepada Malaysiakini sebuah portal berita yang bukan sahaja kerjanya menjatuhkan BN sejak 1999, malah dikhabarkan menerima banyak peruntukan dalam dan luar negara bagi melemahkan kerajaan sedia ada.

Malaysiakini sentiasa berusaha menimbulkan keraguan dan menanamkan propaganda bahawa kerajaan melakukan penipuan dalam daftar pemilih biarpun telah beberapa kali terbukti tuduhan dan propaganda mereka tidak benar. Namun CIMB masih terus mengiklan dalam Malaysiakini dan tidak menyumbang apa-apa kepada Sinar Harian.

Kita pasti CIMB akan memberi alasan bahawa penyiaran iklan ditentukan oleh syarikat ketiga yang diberikan kontrak oleh bank tersebut untuk menguruskan iklan CIMB. Alasan ini selalu diberikan oleh pegawai GLC bagi melepaskan tanggungjawab atau sememangnya “bodoh dan bendul” dalam dunia pengiklanan atau memang ia mahu membantu menjahanamkan BN.

Bukankah aneh peruntukan berpuluh juta setahun oleh GLC seperti CIMB tetapi keputusan untuk mengiklan di mana ditentukan sepenuhnya oleh pihak ketiga? Sekarang kita mahu jawapan daripada Nazir Tun Razak mengapa CIMB berterusan mengiklan di portal-portal berita yang pro-pembangkang sehingga mensabotaj usaha abangnya sendiri untuk memulihkan imej negara dan juga menguatkan Barisan Nasional?

Wajarkah beliau terus kekal sebagai CEO CIMB sekiranya beliau gagal menguruskan hal-hal sebegini sehingga menjadikan CIMB sebagai penyumbang tidak langsung kepada kerja-kerja menjatuhkan kerajaan BN ?

Sumber dari mykmu.

Wasabi Oyabun..

Khamis, 18 Ogos 2011

Siapa dalang disebalik isu perletakan NC Dr.Rosti, Unisel?

Pemangku NC Unisel dakwa Dr. Rosti, tiga pegawai punca masalah

Pengurusan baru Universiti Selangor (Unisel) menafikan wujudnya salah guna kuasa atau campur tangan politik dalam tindakan melucutkan jawatan tiga pegawai kanannya sehingga menyaksikan peletakan jawatan Naib Canselor, Datuk Dr. Rosti Saruwono baru-baru ini.

Pemangku Naib Canselornya, Prof. Dr. Anuar Ahmad sebaliknya memberi alasan, ketiga-tiga pegawai itu gagal menjalankan tugas dengan baik sehingga menyebabkan universiti berkenaan menghadapi masalah kewangan yang membimbangkan.

''Sejak Rosti dan ketiga-tiga individu terlibat memegang jawatan tertinggi di Unisel pada 2009, kami menghadapi masalah kewangan yang membimbangkan.

''Jumlah pelajar juga menurun daripada 12,000 kepada 8,000 orang manakala pelajar kursus perniagaan menurun tidak sampai 3,000 daripada jumlah asal iaitu seramai 5,000 pelajar. Jika ini terus berlaku, bagaimana hendak membayar gaji pensyarah," katanya pada sidang akhbar di kampus Unisel Shah Alam di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Perancangan Strategik dan Pembangunan, Prof. Dr. Ir. Mohamad Daud dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Zainal Abidin Kidam.

Pada 2 Ogos lalu, Rosti meletak jawatan sebagai Naib Canselor Unisel dengan notis 24 jam dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Ketika memberi penjelasan mengenai peletakan jawatannya, Rosti berkata, beliau mengambil tindakan itu selepas tidak bersetuju dengan arahan Jawatankuasa Pengarah yang dipengerusikan oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk melucutkan jawatan ketiga-tiga individu terbabit kerana dakwanya, ia dibuat tidak mengikut peraturan.

Beliau tidak setuju menurunkan pangkat ketiga-tiga individu terbabit kerana sepanjang berkhidmat bersamanya, mereka menjalankan tugas dengan baik dan tidak mempunyai sebarang masalah disiplin.

Ketiga-tiga pegawai kanan universiti tersebut yang menghadapi tindakan dilucutkan jawatan tanpa diberi sebarang surat tunjuk sebab ialah Dekan Fakulti Perniagaan, Prof. Dr. Khalifah Othman; Pendaftar, Rokmaa Mat dan Pengarah Pemasaran, Halid Hasbullah.

Anuar berkata, di bawah pentadbirannya sebagai pemimpin tertinggi Unisel, beliau akan sentiasa patuh kepada arahan Abdul Khalid termasuk dalam isu pelucutan jawatan ketiga-tiga individu tersebut.

''Kita sudah turunkan jawatan Khalifah sebagai pensyarah biasa manakala Rokmaa yang sebelum ini dipinjamkan akan kembali bertugas di Perbadanan Menteri Besar Selangor dan ia adalah arahan daripada Menteri Besar sendiri.

''Kita sudah ada calon berpengalaman untuk mengisi jawatan Pendaftar manakala status Halid pula belum ditentukan termasuk pengganti yang bakal mengisi tempat beliau," katanya.

Komen Oyabun : Nampak sangatlah kenyataan Pemangku NC Unisel ini macam kenyataan nak 'membodek' MB Khalid supaya beliau akan dilantik sebagai NC Unisel yang baru nanti. Beliau cuba memburuk-burukkan bekas NC, Dr.Rosti supaya semua permasalahan yang berlaku di dalam pentadbiran Unisel diletakkan diatas bahu Dr.Rosti! Satu persoalan buat Dr. Anwar. Untuk apa memorandum itu di hebahkan didalam kampus kalau bukan untuk memburukkan Dr.Rosti dan tiga yang lain?

Dr.Anuar perlu ingat siapa yang sebenarnya yang melantik Dr.Rosti sebagai NC Unisel kalau bukan MB Khalid sendiri! Beliau menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus yang mengosongkan jawatan tersebut. Beliau adalah juga Ketua Pegawai Eksekutif Unisel. Perlu diingat semasa beliau dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Industri Selangor (Unisel) yang baru, Datuk Dr Rosti Saruwono berkata beliau tidak akan menjadi ’pak turut’ kepada mana-mana pihak dan memastikan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) milik kerajaan negeri itu tidak dijadikan medan berpolitik.

Dan ketika dilantik kedudukan kewangan Unisel ketika itu sangat meruncing akibat kurangnya pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran kesana. Beliau berkata Unisel komited dalam memastikan budaya belajar yang sepatutnya diterapkan dan bebas daripada sebarang pengaruh serta unsur-unsur luar yang boleh mengganggu proses pengajian.

Ditanya situasi dan tekanan yang mungkin dihadapi beliau memandangkan kedudukannya yang perlu berurusan dengan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat dan Kerajaan Pusat, Dr Rosti berkata tidak timbul masalah kerana sebagai institusi pendidikan terdapat undang-undang yang perlu dipatuhi.

Persoalannya sekarang, apakah dengan jawatan yang disandang oleh Dr.Anwar sekarang bakal memberi pulangan yang setimpal kepada Unisel kemudian nanti setelah konspirasi untuk menjatuhkan Dr.Rosti berjaya! Dapatkah Dr.Anwar pastikan bahawa kampus Unisel bebas dari pengaruh politik seperti yang dititahkan oleh baginda Sultan Selangor!

Adakah dengan mendakwa Dr. Rosti dan tiga pegawai lain sebagai punca masalah kepada Unisel dapat menutup kelemahan sebenar pentadbiran MB Khalid dalam mentadbir negeri Selangor? Untuk info seterusnya sila klik di sini .

Wasabi Oyabun..

Rabu, 17 Ogos 2011

Kes liwat 2 : Nallakaruppan yakin Anwar akan cari helah lagi untuk tangguh kes!

Presiden Parti Bersatu India Malaysia (MUIP), Datuk S. Nallakaruppan yakin Anwar Ibrahim sedang mencari helah untuk menangguhkan kes liwat yang dihadapinya meskipun hakim telah mengarahkan beliau memberi keterangan bela diri, Isnin depan.

Katanya, tidak mustahil apabila menjelang sahaja tarikh tersebut, ketua pembangkang itu secara tiba-tiba akan jatuh 'sakit' sehingga memerlukan rawatan segera di hospital bagi membolehkan cuti sakit dikeluarkan sekali gus perbicaraan terpaksa ditangguhkan.

Katanya, beliau berani membuat jangkaan tersebut kerana selama tiga tahun kes liwat itu dibawa ke mahkamah, Anwar berulang-kali membuat pelbagai helah sehingga memaksa kes berkenaan ditangguh lebih 50 kali oleh Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah.

"Saya seperti juga seluruh rakyat Malaysia mahu melihat kes ini diselesaikan dengan segera bagi memberi keadilan bukan sahaja kepada Anwar tetapi juga kepada Mohd. Saiful Bukhari Azlan. Namun, mengenali Anwar saya percaya beliau akan cuba bermain helah.

"Sebab itu sehingga sekarang dia gagal mengemukakan saksi dan alibi bagi kes ini, sebaliknya cuba mengheret Perdana Menteri dan isteri bagi memperdaya rakyat kononnya wujud konspirasi. Tapi bila saya dan beberapa rakan menawarkan diri menjadi saksi tidak pula dipanggil.

"Kami adalah saksi yang relevan kerana saya sendiri boleh mendedahkan banyak perkara mengenai Anwar di mahkamah. Siapa lagi mangsa Anwar saya boleh nyatakan satu persatu," katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nallakaruppan yang juga bekas sahabat baik Anwar selama 30 tahun berkata, ketua pembangkang itu perlu mengambil peluang daripada keberkatan bulan Ramadan ini untuk menyucikan diri bagi menghadapi kes liwat tersebut dengan penuh rasa tanggungjawab.

Tambahnya, dalam usia yang sudah melewati 60-an, ketua pembangkang itu tidak boleh lagi hanya memikirkan tentang kepentingan peribadi, sebaliknya beliau perlu memikirkan tentang masa depan agama, bangsa dan negara yang telah banyak dirosakkannya selama ini.

"Anwar sepatutnya menjadikan peluang membela diri ini bukan sahaja medan membersihkan diri, tetapi untuk menginsafi kembali segala tindak-tanduk yang telah banyak membawa kerosakan kepada negara semata-mata demi bergelar Perdana Menteri," katanya.

Sama-samalah kita tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku pada hari Isnin,22-8-2011 nanti...!!!

Wasabi Oyabun..

Isnin, 15 Ogos 2011

Isu larangan menggunakan pembesar suara sebelum masuk waktu subuh : Adakah negeri-negeri lain juga melanggar arahan Nabi Muhammad SAW !

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad hari ini berkata, larangan terhadap masjid atau surau di negeri itu menggunakan pembesar suara untuk bacaan Al-Quran sebelum subuh adalah berlandaskan hukum syarak dengan nas-nas yang sahih.

Katanya, tidak timbul isu kononnya larangan itu akan diperluaskan untuk melarang penggunaan pembesar suara untuk azan kerana larangan itu bukanlah satu fatwa.

"Saya kesal atas kenyataan yang tidak profesional dan tidak berhemah daripada beberapa pihak termasuk menuduh kononnya Jawatankuasa Fatwa Negeri membuat keputusan secara melulu.

"Hal ini bukan isu politik tetapi ia arahan Nabi Muhammad SAW dan juga menjaga Islam yang harmoni,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hassan berkata, larangan penggunaan pembesar suara itu adalah nasihat hukum, iaitu satu panduan tanpa mewartakannya dalam Enakmen Agama Islam negeri.

Katanya, banyak pihak termasuk media massa telah menyalahtafsir arahan itu kerana tidak faham perbezaan antara nasihat hukum dan fatwa sehingga mengheret Majlis Fatwa Kebangsaan untuk turut terkeliru.

Hassan berkata, untuk mengeluarkan sesuatu fatwa, Majlis Fatwa Negeri perlu mendapat perkenan Yang Dipertuan Agong seperti yang diperuntukkan dalam Seksyen 45 Enakmen Agama Islam Pulau Pinang 2004, tetapi dalam mengeluarkan arahan nasihat hukum, ia tidak memerlukan perkenan Seri Paduka baginda.

Kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang. Yang sebenarnya arahan tersebut datang dari siapa ya? Wallahuallam..!!!

Wasabi Oyabun..

Ahad, 14 Ogos 2011

Panas terkini : Nik Aziz sokong larangan bacaan Al-Quran guna pembesar suara!

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak bersetuju amalan bacaan al-Quran dibuat menggunakan pembesar suara sehingga mengganggu mesyarakat sekitarnya.

Mursyidul Am PAS itu berkata, perbuatan itu tidak mengambil kira sensitiviti masyarakat setempat sehingga boleh menyusahkan mereka dan seseorang Islam harus menghormati masyarakat sekeliling dengan tidak membuat bising, walaupun dengan membaca al-Quran menggunakan pembesar suara.

Sehubungan itu, beliau menyokong tindakan Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang melarang bacaan al-Quran menggunakan pembesar suara pada waktu Subuh.

"Kita (umat Islam) hanya dibenarkan melaungkan suara ketika azan untuk mengerjakan solat. Oleh itu, saya tidak bersetuju jika masjid menggunakan pembesar suara sehingga menjejaskan orang lain yang sedang tidur atau sakit,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Koperasi Rakyat Kelantan Berhad (KRKB) di sini, hari ini.

Beliau ditanya mengenai tindakan Kerajaan Pulau Pinang melarang penggunaan pembesar suara semasa mengaji al-Quran pada waktu subuh di masjid dan surau di negeri itu.

Sebelum itu : Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri melarang bacaan al-Quran dengan menggunakan pembesar suara di masjid dan surau dipersoalkan sama ada mengikut prosedur betul atau sebaliknya.

Ini berikutan pekeliling yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) bertarikh 3 Ogos lalu mengenai larangan itu tidak dinyatakan bahawa fatwa dikeluarkan mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong selaku Ketua Agama Pulau Pinang.

Mengikut Seksyen 48 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Pulau Pinang 2004, sebelum sesuatu fatwa diwartakan, Jawatankuasa Fatwa Negeri mesti mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong terlebih dahulu. Bagaimanapun, jika merujuk surat pekeliling dan enakmen itu, ternyata keputusan JHEAIPP tidak ikut prosedur betul.

Persoalannya, apakah Jawatankuasa Fatwa Negeri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong sebelum mewartakan fatwa kontroversi ini?

Jika merujuk surat pekeliling tersebut, tiada klausa yang mengatakan bahawa pihak Jawatankuasa Fatwa Negeri mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong. Jika mendapat perkenan baginda sekalipun, Majlis Fatwa Negeri hendaklah memaklumkan kepada kerajaan negeri sebelum disiarkan dalam warta.

Bagaimanapun yang peliknya Exco Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Abdul Malik Kassim menafikan tahu tentang fatwa tersebut.

Malah, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan bahawa pembacaan tidak dilarang untuk memasang pita rakaman bacaan ayat suci al-Quran selagi tidak mengganggu orang yang sedang melakukan ibadah.

Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang yang bermesyuarat 7 April lalu memutuskan, membaca al-Quran dengan pembesar suara di masjid dan surau adalah dilarang mengikut hukum syarak.

Wasabi Oyabun..

Sabtu, 13 Ogos 2011

Isu Video Seks Dedah Sikap Hipokrasi Malaysiakini!

Malaysiakini.com yang selama ini melaporkan pelbagai tuduhan rasuah, salah guna kuasa dan skandal seks pemimpin politik Barisan Nasional secara terbuka kini memilih untuk menutup nama seorang pemimpin pembangkang yang dituduh mempunyai hubungan seks dengan seorang pelacur dari china.

Mengapa Malaysiakini memilih untuk memadamkan nama Anwar Ibrahim yang dituduh mempunyai hubungan seks dengan pelacur dengan hanya meletak tajuk “Rakaman aksi seks pemimpin utama pembangkang?”

Jika dahulu nama Chua Soi Lek didedahkan tanpa segan silu oleh malaysiakini, mengapa sekarang setelah mereka menonton rakaman tersebut masih enggan menulis nama Anwar sebagai tertuduh? Memang diakui media arus perdana lain tidak menyebut nama Anwar kerana sejak dahulu mereka tidak menamakan individu yang terbabit dalam skandal seks seperti ini kecuali hanya setelah mendapat kepastian atau pun kenyataan balas tertuduh.

Namun ini Malaysiakini yang bebas menuduh sesiapa sahaja sebagai perasuah, penyeleweng, ahli politik tidak bermoral memilih untuk tidak menyiarkan nama Anwar. Bayangkan jika pelakon dalam video tersebut menyerupai Najib Razak, Taib Mahmud, Khir Toyo atau Muhyiddin Yassin. Pastinya tajuk Malaysiakini akan bertukar kepada “Rakaman aksi seks pemimpin BN yang menyerupai Najib Razak”!

Malaysiakini telah menonton video tersebut dan mereka boleh menyanggah dengan mengatakan video pelakon video tersebut seakan-akan Anwar tetapi belum dapat dipastikan ketulenannya. Namun mereka memilih untuk memendam terus nama Anwar.

Sikap hipokrasi Malaysiakini ini jelas menunjukkan mereka sanggup berbuat apa sahaja untuk mempertahankan sumber kewangan mereka yang datang daripada Anwar dan kerajaan negeri Selangor.

Hakikatnya, malaysiakini juga tidak ubah seperti media lain yang corak penulisan beritanya ditentukan oleh siapa taukeh mereka. Dalam hal ini kita sudah jelas dan terang siapa tauke Malaysiakini sekarang.

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 12 Ogos 2011

Alamak..! Bakal " Isteri " Paderi Gay, Ou Yang Wen Feng 'jantan asli' rupanya!

Paderi gay bakal kahwin di Malaysia?

Paderi warganegara Malaysia yang membuat pengakuan terbuka mengenai orientasi seks songsangnya dilaporkan akan berkahwin dengan ‘kekasihnya’ seorang warga Afrika-Amerika tidak lama lagi.

Pastor Ou Yang Wen Feng, 41, yang mengaku gay dikatakan akan berkahwin hujung bulan ini atau awal bulan depan dengan majlis perkahwinan bakal diadakan di New York, Amerika Syarikat (AS) dan Malaysia.

‘‘Kekasih saya melamar pada 26 Jun lalu iaitu dua hari selepas New York meluluskan undang-undang perkahwinan pasangan sejenis,” katanya seperti yang dilaporkan agensi berita AFP, semalam.

Ou Yang kini berkhidmat di Gereja Komuniti Metropolitan (MCC), New York iaitu sebuah gereja yang menjadi sebahagian daripada pergerakan antarabangsa gereja Kristian yang mendekati pelbagai pihak termasuk golongan homoseksual, lesbian dan transeksual.

Apa yang menimbulkan persoalan adalah apabila Ou Yang turut mengumumkan akan melangsungkan perkahwinan di negara ini sedangkan Malaysia tidak pernah mengiktiraf perkahwinan sejenis.

Malah, homoseksual juga menjadi satu kesalahan jenayah di Malaysia yang boleh dihukum sehingga 20 tahun penjara.

Ou Yang pernah menggemparkan negara ini beberapa tahun lalu apabila beliau dilaporkan mengusulkan cadangan membina gereja yang juga cawangan MCC di Malaysia bagi mengumpul dan memperjuangkan hak golongan gay serta lesbian di negara ini.

Cadangan itu dibantah banyak pihak termasuk oleh Roman Catholic Church di Sabah, National Evangelical Christian Fellowship (NECF) dan the Council of Churches Malaysia (CCM).

Ia menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat pelbagai agama terutamanya umat Islam kerana melanggar moral dan ajaran semua agama.















Mungkin ada yang frust menonggeng nanti kot...melepas katakan..!!!

Wasabi Oyabun..

Khamis, 11 Ogos 2011

The Star dah melampau - Apa ke jadahnya ajak umat Islam berbuka dengan menu hidangan khinzir!

Kementerian Dalam Negeri telah memanggil Ketua Pengarang akhbar The Star kerana penyiaran artikel mengenai juadah Ramadan yang memuatkan gambar masakan daging khinzir.

Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Datuk Abdul Rahim Mohamad Radzi berkata dalam sisipan semalam, akhbar itu telah menyiarkan artikel bertajuk ‘Ramadan Delights’ yang memuatkan gambar-gambar masakan daging khinzir serta artikel mengenai restoran tidak halal yang menyediakannya.

Supplement Ramadan Delights - an ad 'Best Rib In Town' in Page 2, 'Whipping up an appetite, Mongolian Pork Ribs' in Page 4 and 'Authentic Prime Pork Ribs' in Page 7. In The Star yesterday.

Katanya KDN memanggil Ketua Pengarang akhbar berkenaan bagi menyatakan kesalahan akhbar itu berikutan tindakannya yang tidak sensitif kerana penyiaran artikel terbabit.

“Kementerian memandang serius kesalahan itu terutamanya kerana sisipan bertajuk ‘Ramadan Delights’ itu merupakan ruangan khas bagi memberi panduan dan pilihan kepada umat Islam mengenai restoran untuk berbuka puasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata akhbar tersebut telah mengakui kesilapan dan akan menyiarkan kenyataan memohon maaf di atas perkara itu.

Sementara itu : Perkasa mahu The Star minta maaf siar gambar khinzir

Akhbar harian The Star perlu meminta maaf kepada umat Islam kerana menyiarkan artikel mengenai juadah Ramadan yang memuatkan gambar masakan daging khinzir, kata Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali.

Beliau berkata, tindakan akhbar itu berbuat begitu memperlihatkan sikap mereka yang tidak sensitif terhadap kesucian bulan Ramadan dan menyifatkan tindakan tersebut sebagai biadab.

"Saya amat mengecam keras tindakan akhbar itu yang memuatkan gambar daging khinzir dalam sisipan seksyen makanan dengan muka depannya diberi tajuk ”Ramadan Delights”,” katanya di sini hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Mas itu turut meminta Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan mengenai perkara tersebut kerana ia bagai mempersendakan umat Islam dan ibadah puasa.

Beliau berkata, setiap pihak harus sentiasa prihatin perkara-perkara yang bertentangan dengan agama Islam, yang merupakan agama rasmi negara ini serta majoriti penduduknya adalah beragama Islam.

Inilah kesempatan yang diambil oleh orang kafir apabila melihat orang Melayu Islam dinegara ini semakin lemah akibat berpecah! Mereka cuba menyerang dari setiap sudut tidak mengira waktu dan tempat. Begitu mudah mereka mempersendakan ugama Islam dan lebih menyedihkan apabila ada juga orang-orang Islam yang sanggup bersekongkol dengan kafir-kafir ini. Wallahuallam.

Wasabi Oyabun..

Rabu, 10 Ogos 2011

Pengurusan Unisel perlu akur titah Sultan!

Pihak pengurusan Universiti Selangor (Unisel) perlu akur dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya tiada sebarang ceramah berbau politik diadakan di universiti milik kerajaan negeri itu.

Pengurusan Unisel seharusnya memahami mesej yang disampaikan oleh baginda yang dilihat benar-benar mahu memulihkan imej dan reputasi universiti itu yang semakin merosot sejak kebelakangan ini.

Tindakan menjemput pihak-pihak yang bermotifkan politik dalam apa jua program ceramah atau syarahan di universiti dilihat hanya mengundang keburukan kepada minda serta tumpuan para mahasiswa terhadap tujuan asal mereka berada di universiti itu.

Kita berasakan pengaruh politik yang dibawa masuk ke dalam Unisel secara melampau hanya memberi kesan negatif kepad imej, kredibiliti serta peranan sebenar universiti dalam membangunkan modal insan.

Maka, titah baginda yang melarang menjemput orang politik untuk adakan program politik di Unisel adalah tepat pada masanya. Baginda mahukan Unisel kembali sebagai sebuah pusat pengajian yang melahirkan modal insan yang cemerlang.

Titah Sultan Selangor semalam yang tidak memperkenankan pengurusan Unisel termasuk pentadbiran negeri pada hari ini menjemput orang politik untuk mengadakan ceramah atau syarahan politik di dalam kawasan kampus universiti itu.

Baginda mahu memastikan Unisel tidak dijadikan tempat berpolitik sehingga merosakkan peranan, imej serta reputasi universiti itu.

Wasabi Oyabun..

Isnin, 8 Ogos 2011

Pergolakan di Unisel : Baginda Sultan Selangor murka!



Hentikan politik kepartian di kampus, titah Sultan Selangor

Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan supaya politik kepartian tidak dicampuradukkan dalam pengajaran di Universiti Selangor (Unisel) demi masa depan pelajar institusi itu.

Para profesor dan pensyarah perlu menumpukan perhatian sepenuhnya kepada tugas-tugas mereka untuk mengajar dan berhenti daripada berpolitik di kampus kerana ia boleh menjejaskan masa depan pelajar, titah baginda ketika merasmikan Masjid Unisel Kampus Bestari Jaya di sini.

Baginda bertitah, adalah amat merugikan sekiranya seseorang pelajar itu membuang masa untuk berpolitik dan tidak menumpukan sepenuh perhatian terhadap akademik.

"Beta tidak berkenan orang-orang politik atau orang luar yang tidak ada kena-mengena dengan universiti ini dijemput memberi ceramah politik atau syarahan politik di dalam kawasan Universiti Selangor.

"Universiti ini adalah tempat untuk belajar, berbincang, dan mengembangkan idea mengenai ilmu serta membuat penyelidikan dan eksperimen tentang sesuatu projek atau penemuan yang boleh menaikkan lagi taraf industri di negeri ini,” titah Baginda.

Sultan Sharafuddin juga bertitah, baginda telah menerima pengaduan daripada ibu bapa yang prihatin mengenai isu berpolitik di Unisel dan jika ini berterusan, kemungkinan besar ada ibu bapa yang tidak akan menghantar anak-anak mereka untuk melanjutkan pelajaran mereka di universiti ini.

Daulat Tuanku.

Wasabi Oyabun..

Ahad, 7 Ogos 2011

Pelantikan Dr. Anuar pemangku NC mendapat bantahan dari Pelajar Unisel!

Mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) membantah keputusan Lembaga Pengarah universiti itu melantik Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik, Prof. Dr. Anuar Ahmad sebagai pemangku Naib Canselor Unisel.

Ketua Umum Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi), Muhammeh Shahimi Ariffin menyifatkan pelantikan Dr. Anuar untuk memangku jawatan tersebut tidak akan menyelesaikan kemelut pentadbiran yang melanda Unisel ketika ini.

Beliau mendakwa pelantikan Dr. Anuar tidak akan membawa apa-apa perubahan terhadap hala tuju universiti berkenaan kerana TNC Akademik itu dikatakan antara salah satu nama yang terlibat dengan kemelut serta campur tangan politik dalam pengurusan Unisel.

Malah, katanya, pelantikan Dr. Anuar yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu dilihat tidak memenuhi salah satu tuntutan pihaknya yang mahukan rombakan dan pembersihan dalam Jawatankuasa Senat Unisel supaya bebas daripada unsur-unsur serta agenda kepentingan politik pihak tertentu.

"Kita tidak bersetuju dengan pelantikan ini kerana tidak akan memberi kesan kepada Unisel. Kita mahukan pembersihan universiti ini daripada pengaruh politik," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Muhammed Shahimi bersama-sama 30 wakil pelajar Unisel mengadakan bantahan di hadapan pintu masuk Unisel, Bestari Jaya, Kuala Selangor bagi mendesak Abdul Khalid melakukan rombakan dan pembersihan semula kesemua ahli jawatankuasa senat bagi memastikan pengurusan tertinggi universiti itu bebas daripada pengaruh dan campur tangan politik.

Desakan itu dibuat ekoran kemelut pentadbiran yang melanda universiti itu yang mendapat tekanan politik sehingga membawa kepada perletakan jawatan Naib Canselornya, Datuk Dr. Rosti Saruwono pada 3 Ogos lalu.

Rombakan itu, menurut Muhammed Shahimi harus dilakukan Lembaga Pengarah Unisel termasuk Abdul Khalid selaku pengerusinya dengan tidak lagi melanjutkan kontrak empat ahli jawatan kuasa senat termasuk Dr. Anuar sendiri sebagai jalan penyelesaian kemelut perebutan kuasa pentadbiran universiti itu.

Kesemua empat ahli jawatankuasa senat itu, katanya, dituntut tidak dibenarkan memangku jawatan Naib Canselor atau terlibat secara langsung dalam isu kemelut berkenaan.

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 5 Ogos 2011

Unisel jadi mangsa perebutan politik!

Desas-desus mengenai kedudukan Dr. Rosti Saruwono sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) yang kedengaran sejak hujung minggu lalu akhirnya benar-benar terjadi apabila beliau penuh nekad meletakkan jawatan itu berkuat kuasa Rabu lalu dengan notis 24 jam!

Seperti tindakan Kamikaze, keputusan yang dibuat oleh Rosti itu jarang berlaku. Tindakan itu benar-benar memaparkan sikap seorang ketua yang bertanggungjawab ke atas pegawai bawahannya. Beliau tidak sanggup melucutkan jawatan tiga pegawai kanan universiti milik Kerajaan Negeri Selangor itu tanpa mengikut prosedur.

Namun, oleh kerana arahan melucutkan jawatan pegawai tersebut datangnya daripada kuasa seorang Menteri Besar, maka jalan terbaik adalah beliau melepaskan jawatan Naib Canselor Unisel secara sukarela.

Ternyata kemelut yang melanda Unisel yang berjaya dihidu sejak kerajaan negeri mengambil langkah menjenamakan semula universiti daripada nama asal Universiti Industri Selangor. Peletakan jawatan Rosti menyaksikan kemelut itu ibarat 'bangkai gajah tidak dapat ditutup dengan nyiru' lagi.

Apakah yang tidak kena dengan Rosti sebenarnya? Sedangkan pelantikannya dibuat sendiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. Rosti yang berasal dari Klang itu dipelawa pulang ke Selangor untuk melakukan tugas 'khidmat negara' dan beliau bersetuju menyahut seruan murni itu.

Abdul Khalid melihat pengalaman Rosti yang pernah menjadi Rektor pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebagai aset penting untuk memajukan lagi Unisel.

Namun, apa yang menghairankan mengapa Menteri Besar tidak bersikap mempertahankan Rosti sebagaimana beliau begitu hebat mempertahankan Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki membabitkan masalah pengurusan kewangan yayasan itu.

Ihlam adalah orang pilihan Menteri Besar. Beliau dipanggil pulang ke tanah air untuk menerajui Yayasan Selangor meskipun panel pemilihan mencadangkan orang lain menerajui agensi pendidikan itu.

Berbeza dengan Rosti, Menteri Besar sedia maklum bahawa tekanan yang dihadapi bekas Naib Canselor Unisel itu adalah akibat politik dalaman yang ada unsur politik kepartian apabila terdapat usaha terancang peringkat tertinggi untuk menyingkirkan beliau sejak Januari lagi.

Faktor sentimen politik dan kem peringkat atasan kelihatan lebih dominan untuk membuatkan Rosti meletakkan jawatan meskipun dalam keadaan beliau dikatakan mendapat kepercayaan warga kampus termasuk lima daripada tujuh orang dekan di Unisel.

Abdul Khalid juga sedia maklum tentang kemelut itu lebih awal dan mungkin telah menyaksikan betapa serabutnya perbalahan di kalangan manusia akademik di Unisel itu.

Beliau telah menubuhkan pasukan petugas khas yang dianggotai oleh tiga ahli lembaga pengarah Unisel sendiri. Namun ia gagal diselesaikan, sebaliknya membiarkan kemelut itu berlarutan sekali gus memberikan tekanan kepada Rosti yang akhirnya terpaksa meletakkan jawatan Naib Canselor.

Difahamkan berlaku perebutan politik di Unisel apabila Pas dikatakan cuba memasukkan elemen pengaruhnya dalam pentadbiran universiti itu. Apatah lagi Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Pembangunan Modal Insan dipegang oleh Dr. Halimah Ali dari Pas.

Menteri Besar dikatakan asyik ditekan agar mengambil tindakan ke atas Rosti. Pelbagai alasan dikeluarkan termasuk menimbulkan pelbagai kelemahan beliau. Namun apa yang ketara ialah soal politik dijadikan alasan utama mengapa Naib Canselor perlu diganti.

Sepatutnya masalah harus diselesaikan di peringkat dalaman seperti Lembaga Pengurusan Unisel dan bukannya bertindak sehingga peringkat membawa dakwaan-dakwaan tertentu membabitkan kontrak-kontrak telekomunikasi hingga ke peringkat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Gerakan terancang pengurusan atasan Unisel antaranya menimbulkan persoalan mendakwa Rosti lebih mengutamakan Putrajaya berbanding Selangor. Beliau dituduh tidak menghayati dan tidak menyokong perjuangan kerajaan pakatan pembangkang antaranya dikatakan tidak tunjuk muka semasa pilihan raya kecil Hulu Selangor.

Sedangkan apakah kaitan seorang Naib Canselor untuk turun berkempen pada pilihan raya kecil itu. Selama ini parti pembangkang sering mengkritik Barisan Nasional jika terdapat jentera kerajaan digunakan semasa kempen.

Kem parti pembangkang dalam Unisel juga tidak puas hati apabila Rosti tidak hadir ketika Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim datang ke Unisel. Beliau juga dikritik apabila dikatakan tidak selesa dengan kehadiran Penasihat Ekonomi Selangor itu dalam wacana 'Pendita Za'aba' di universiti itu.

Ketika program itulah Anwar tanpa segan silu menyatakan Unisel adalah satu-satunya universiti yang membenarkan beliau masuk. Sesi wacana tersebut telah diambil kesempatan oleh Anwar untuk menggunakan pemikiran kritikal Za'aba bagi menghentam kerajaan.

Rosti juga dikritik kerana dikatakan tidak membenarkan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat yang juga Menteri Besar Kelantan untuk berceramah di Unisel atas jemputan persatuan pelajar universiti tersebut.

Dan yang terbaru apabila Rosti tidak memberikan kerjasama program politik melibatkan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Difahamkan masalah pengaruh parti politik itu telah dibawa kepada pengetahuan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan baginda dikatakan murka dengan keadaan tersebut.

Menteri Besar sepatutnya mengingati kembali titah Sultan Selangor semasa majlis penyampaian watikah pelantikan Tan Sri Raja Arshad Tun Uda sebagai Canselor Unisel yang baru pada Mac lalu yang mengingatkan agar Unisel tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan politik kepartian.

Ini kerana ia akan menjejaskan kepercayaan pelbagai pihak terhadap universiti tersebut. Selain itu Abdul Khalid perlu ingat tindakan Dr. Halimah mengumumkan pelantikan Raja Arshad lebih awal mendahului Sultan Selangor telah mencalarkan imej pentadbiran kerajaan negeri.

Jadi jangan biarkan elemen politik terus merebak dan menghancurkan prestasi Unisel untuk menjadi insitusi premier di negara ini. Pengurusan tertinggi Unisel wajar dibersihkan daripada campur tangan individu-individu yang cuba menanam pengaruh politik masing-masing.

Antara usaha terpenting sekarang adalah menyelesaikan masalah penurunan kemasukan pelajar baru seperti Fakulti Perniagaan yang dikatakan mengalami penurunan mendadak dari 5,000 kepada 2,600 pelajar sedangkan fakulti lain menunjukkan pertambahan.

Pada masa sama, kepimpinan tertinggi Unisel perlu menjalankan fungsinya dengan baik untuk kemajuan pendidikan dan pelajaran anak bangsa, selain mematuhi setiap prosedur yang ditetapkan oleh pihak berwajib, khususnya Kementerian Pengajian Tinggi.

Wasabi Oyabun

Khamis, 4 Ogos 2011

Usaha singkir Dr. Rosti bermula sejak Januari?

Meskipun peletakan jawatan Datuk Dr. Rosti Saruwono sebagai Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) hanya berkuat kuasa semalam, namun, hakikatnya usaha untuk menyingkirkan beliau dari jawatan itu telah digerakkan secara terancang sejak Januari lalu.

Gerakan tersebut dipercayai bermula selepas beberapa pegawai kanan Unisel tidak berpuas hati kerana tidak dilantik untuk mengetuai pentadbiran universiti milik kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor itu.

Kesemua pegawai kanan universiti yang menggerakkan usaha menjatuhkan Dr. Rosti itu, dipercayai dipengaruhi oleh beberapa pemimpin pembangkang yang bimbang sekiranya ‘orang’ mereka tidak dilantik ke jawatan tertinggi itu, program untuk mempromosikan parti mereka akan terencat.

Menurut sumber dalaman Unisel, semuanya bermula apabila calon yang mendapat sokongan salah sebuah parti komponen pembangkang untuk menjadi proksi mereka di dalam universiti tersebut tidak diangkat ke jawatan tertinggi itu.

Pada Januari lalu, pegawai kanan tersebut, ada menyerahkan satu memorandum kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memfitnah Dr. Rosti dengan pelbagai tuduhan termasuk kegagalan beliau terlibat aktif dalam aktiviti yang dianjurkan oleh pakatan pembangkang.

‘‘Antara perkara yang disebut dalam memorandum itu adalah kegagalan Dr. Rosti untuk hadir membantu jentera pembangkang pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor tahun lalu kerana beliau memberi alasan tidak mahu memihak kepada mana-mana parti.

‘‘Selain itu, Dr. Rosti juga diselar hanya kerana beliau tidak ‘tunjuk muka’ ketika Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim melakukan lawatan ke kampus Unisel di Bestari Jaya selepas beberapa bulan beliau dilantik ke jawatan itu,” kata sumber tersebut kepada di sini hari ini.

Memorandum itu juga menyelar tindakan Dr. Rosti yang tetap bertegas tidak mahu mempolitikkan institusi pendidikan selepas beliau menolak cadangan untuk menjemput Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas berceramah di kampus Unisel.

Bagaimanapun, menurut sumber itu, Dr. Rosti berjaya mendapat sokongan lima daripada tujuh dekan di Unisel, walaupun beliau teruk difitnah dengan pelbagai tuduhan oleh pihak atasan di universiti tersebut.

‘‘Dengan bukti dan hujah yang disebutkan itu jelas menunjukkan bahawa Dr. Rosti menerima tekanan politik daripada pihak pembangkang sepanjang beliau menjawat jawatan tertinggi di universiti tersebut hanya kerana ketegasannya tidak mahu institusi pendidikan diperalatkan oleh mana-mana parti politik,” kata sumber itu.

Wasabi Oyabun..

Rosti bertindak kerana kebenaran!

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr. Rosti Saruwono kerana berani melepaskan jawatan Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) demi menegakkan kebenaran.

Menurut beliau, apa yang berlaku sehingga Rosti meletakkan jawatan jelas menunjukkan pentadbiran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mengurus negeri mengikut sesuka hati mereka.

''Mereka juga bukan tahu mematuhi undang-undang. Ini kerana PKR yang kini memerintah Selangor, satu ketika dahulu ditubuhkan atas demonstrasi jalanan.

''Bila memerintah pun, mereka tak tahu mematuhi undang-undang termasuk apabila berhadapan dengan pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohammed Khusrin Munawi, awal tahun ini. Undang-undang kata boleh melantik Mohammed Khusrin tetapi dia kata tak boleh.

''Dalam isu Unisel begitu juga. Kerajaan negeri sebenarnya tidak memberi apa-apa sumbangan pun kepada pendidikan negeri. Apa yang jelas, mereka mencampur aduk pendidikan dengan politik,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau mengulas peletakan jawatan Rosti dengan notis 24 jam dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran kerajaan PKR Selangor. Mengulas lanjut, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, campur tangan kerajaan PKR Selangor terhadap pendidikan negeri tidak terbatas kepada Unisel sahaja.

Sebelum ini, jelasnya, penubuhan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang hendak diusahakan Yayasan Basmi Kemiskinan di Serendah turut mendapat campur tangan pimpinan negeri.

''Mereka tidak sokong. Dan terbaru mengenai Asrama Yayasan Selangor di ibu negara yang diarah dikosongkan.

''Inilah bukti jelas bagaimana pentadbiran negeri boleh diumpamakan seperti 'kera dapat bunga'. Mereka banyak merosakkan apa yang telah dibangunkan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini,'' tambahnya.

Sementara itu : Tiga pegawai bertugas seperti biasa

Tiga pegawai Universiti Selangor (Unisel) yang dikatakan telah diarah dilucutkan jawatan mereka oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih bertugas seperti biasa di universiti itu.

Dekan Fakulti Perniagaan, Prof. Dr. Khalifah Othman; Pendaftar, Rokmaa Mat dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Halid Hasbullah masih menjalankan tugas kerana tidak menerima surat arahan rasmi berhubung pelucutan jawatan mereka.

Menurut sumber, ketiga-tiga pegawai berkenaan akan bertugas seperti biasa sehingga surat pelucutan jawatan masing-masing diserahkan kepada mereka.

''Sebenarnya surat pelucutan jawatan mereka tidak diberikan kerana Naib Canselor, Datuk Dr. Rosti Saruwono enggan menandatangani surat tersebut.

''Jadi mereka ambil pendekatan tunggu dan lihat," kata sumber itu ketika dihubungi di sini, hari ini.

Semalam, Rosti meletak jawatan sebagai Naib Canselor Unisel dengan notis 24 jam berkuat kuasa hari ini dipercayai akibat tekanan politik dalaman dan pentadbiran Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor.

Difahamkan, tindakan Rosti itu sebagai membantah keputusan pelucutan jawatan Khalifah, Rokmaa dan Halid yang dicadangkan dalam satu rumusan memorandum yang dikemukakan kepada Jawatankuasa Siasatan Exco Kerajaan Negeri.

Memorandum itu disediakan dan ditandatangani oleh empat pegawai tertinggi lain di Unisel pada 16 Mei lalu terhadap tiga pegawai kanan Unisel berkenaan atas tuduhan tertentu yang dipercayai membabitkan salah tadbir urus universiti itu.

Tuduhan yang disertakan dalam memorandum berkenaan turut melibatkan Rosti yang dicadangkan meletak jawatan dan digantikan dengan serta-merta. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dikatakan telah mengeluarkan arahan kepada Naib Canselor itu untuk memecat tiga pegawai berkenaan.

Wasabi Oyabun,..

Selasa, 2 Ogos 2011

Macam ada yang tak kena - Dr. Rosti letak jawatan NC Unisel dengan notis 24 jam!

Datuk Dr. Rosti Saruwono mengambil keputusan meletakkan jawatan selaku Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel) dengan notis 24 jam berkuat kuasa esok. Beliau mengesahkan peletakan jawatannya menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).

"Ada keputusan yang saya tak sanggup laksanakan iaitu untuk melucutkan jawatan tiga pegawai Unisel tanpa proses sewajarnya,” katanya ketika menjelaskan antara punca beliau meletakkan jawatan.

Menurut sumber, Rosti telah diarahkan oleh kepimpinan Unisel untuk melucutkan jawatan tiga pegawai – Pendaftar Rokmaa Mat, Dekan Fakulti Perniagaan Prof Dr Khalifah Othman dan Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat Halid Hasbullah.

Berasal dari Klang, Selangor Rosti pernah berkhidmat sebagai Timbalan Presiden Bahagian Pendidikan Petronas dan rektor pertama Universiti Teknologi Petronas (UTP) sebelum dilantik sebagai Naib Canselor Unisel pada 2 Mac, 2009.

Beliau menggantikan Prof Datuk Dr Mohd Razali Agus yang mengosongkan jawatan itu pada Julai 2008.

Macam ada sesuatu yang tak kena berlaku! Kalau tak ada angin, masakan pokok bergoyang. Adakah ini kerja-kerja kroni MB Khalid dan Anwar yang hendak menyingkirkan Dr. Rosti bersama-sama 3 orang pegawai yang lain. Adakah Dr Rosti dipaksa meletakkan jawatan Naib Canselor Unisel akibat tekanan politik!

Semasa baru dilantik, Rosti berkata beliau tidak akan menjadi “Pak Turut” kepada mana-mana pihak dan ingin memastikan institusi pengajian tinggi swasta milik kerajaan negeri itu tidak dijadikan medan berpolitik. Sama-samalah kita tunggu dan lihat nanti apa yang sebenarnya berlaku.

Wasabi Oyabun..