Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 26 November 2013

Batu Puteh hak Malaysia : Perkasa desak kerajaan buat rayuan di ICJ?


Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa kerajaan segera membuat rayuan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, mengenai kekalahan kes tuntutan Pulau Batu Puteh kepada Singapura pada 2007.

Pengerusi Biro Antarabangsa Perkasa, Datuk Mustapha Yacob berkata, kerajaan masih mempunyai masa selama empat tahun lagi untuk membuat sebarang rayuan di ICJ mengenai keputusan mahkamah tersebut.

"Kerajaan wajib membuat rayuan berdasarkan apa yang telah didedahkan oleh bekas Pengarah Siasatan Jenayah, Datuk Mat Zain Ibrahim melalui akuan bersumpahnya.

"Ini adalah hak dan maruah rakyat serta negara. Kerajaan tidak boleh memberi sebarang alasan selain tetap membuat rayuan supaya keyakinan rakyat terhadap pemimpin negara tidak terhakis," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, Perkasa juga mendesak kerajaan supaya membentuk sebuah jawatankuasa yang dikenali sebagai Jawatankuasa Petugas Khas yang terdiri daripada pakar undang-undang yang berwibawa, berintegriti dan berpengalaman.

Katanya, Perkasa menaruh keyakinan tinggi terhadap tuntutan semula hak Malaysia ke atas Pulau Batu Puteh sekiranya aspek sejarah dan undang-undang diteliti dengan baik.

Wasabi Oyabun..

Dewan Ulama PAS disaran tubuh Parti Baru?

Harun Taib berucap dalam Muktamar Dewan Ulama Pas di Shah Alam Khamis lalu.

Apabila kumpulan pro ulama dikatakan membuat kesepakatan untuk meletakkan seorang calon sahaja bagi kerusi Timbalan Presiden, ramai yang meramalkan penyandang jawatan itu, Mohamad Sabu atau Mat Sabu akan tumbang.

Andaian yang dibuat ialah pada Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-59 ini tidak akan berlaku pecahan undi bagi golongan pro ulama seperti tahun 2011 apabila Mat Sabu menduduki jawatan itu selepas menewaskan dua calon ulama iaitu, Nasharuddin Mat Isa dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Bagaimanapun jangkaan itu ternyata meleset, Mat Sabu kekal sebagai orang nombor dua Pas apabila berjaya mengetepikan pencabar tunggalnya, Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd.Amar Nik Abdullah dengan majoriti 98 undi.

Populariti ternyata memberi kelebihan kepada Mat Sabu memandangkan Mohd.Amar dilihat pemimpin di peringkat negeri sahaja.

Biar pun 'diserang' habis-habisan dalam blog dan media sosial sehingga beliau menganggap inilah kali pertama beliau melihat kempen pemilihan paling buruk dalam Pas namun semua itu tidak menghalang Mat Sabu untuk mencapai kemenangan.

Sama ada Mat Sabu menang 98 undi atau 21 undi seperti mana tahun 2011, beliau tetap pemenang dan berhak menjadi Timbalan Presiden Pas, tidak kira berapa pun jumlah undi yang diperolehi Mohd.Amar.

Bagi Mohd.Amar pula, ini merupakan kekalahan ketiga dalam usahanya untuk menduduki salah satu jawatan tertinggi dalam Pas. Sebelum ini, beliau pernah mencuba sebanyak dua kali untuk kerusi Naib Presiden tetapi tewas.

Sebab itulah, ada yang melihat Mohd.Amar memasuki gelanggang merebut jawatan Timbalan Presiden dalam keadaan rekod yang tercalar berbanding Mat Sabu.

Harapan penyokong golongan ulama sebenarnya kepada Tuan Ibrahim tetapi beliau mengambil keputusan untuk bertanding Naib Presiden sahaja biar pun dikatakan memperolehi pencalonan lebih banyak berbanding Mohd.Amar bagi jawatan Timbalan Presiden.

Sementara Tuan Ibrahim tidak menghadapi masalah untuk menduduki salah satu kerusi Naib Presiden yang diumumkan, sebaliknya ramai yang tertanya-tanya apa akan berlaku kepada perjuangan ulama dalam Pas.

Ia memandangkan perwakilan dan ahli Pas ternyata mempunyai pertimbangan tersendiri dalam soal perjuangan politik parti itu.

Sebab itulah, dalam senarai Ahli Jawatankuasa Pas pusat yang terpilih, kumpulan ulama tidak sampai 10 orang. Antara yang terpilih termasuklah dua bekas pemimpin Dewan Pemuda Pas pusat iaitu Nasrudin Hassan dan Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.

Walaupun barisan kepimpinan yang terpilih tidak akan meminggirkan golongan ulama namun apa yang menjadi persoalan ke manakah haluan golongan itu selepas ini?

Ia memandangkan mereka tidak mempunyai kekuatan politik yang begitu jitu bagi menentukan hala tuju perjuangan Pas selepas ini. Sebaliknya, agenda politik parti tersebut ini dilihat akan ditentukan sepenuhnya oleh golongan profesional atau lebih popular digelar 'Anwarinas'.

Situasi ini juga akan memungkinkan peranan Dewan Ulama dan Majlis Syura Pas dilihat tidak lebih daripada pelengkap organisasi sahaja.

Kenyataan tegas golongan ulama sebelum ini yang mahu tahaluf siyasi dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dikaji semula dikatakan turut menjadi punca calon golongan ulama gagal mencapai kejayaan diharapkan.


Tindakan Dewan Ulama itu dikatakan mengecewakan banyak pihak dalam Pas yang berpendapat jika mahu menawan Putrajaya mereka perlu meneruskan kerjasama dengan kedua-dua parti tersebut.

Malah ada antara mereka begitu bangga menganggap melalui tahaluf siyasi, Pas mampu menawan Kedah dan Perak pada tahun 2008, mempertahankan Kelantan dan berkongsi kuasa di Selangor dan Pulau Pinang sehingga ke hari ini.

Selain itu, mereka juga berhujah bahawa Pas semakin diterima oleh bukan Islam kerana kerjasama tersebut, justeru kenapa golongan ulama memadai-madai mahukan ia dikaji semula?

Ternyata, biar pun dilayan seperti pak turut dan melukut di tepi gantang dalam pakatan pembangkang, namun sebahagian ahli-ahli Pas tidak peduli, apa yang penting mereka mahu meneruskan keterujaan untuk bersama PKR dan DAP bagi menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan UMNO.

Mungkin atas sebab itu jugalah, Ketua Dewan Ulama, Datuk Harun Taib telah dikecam dan dicerca dalam laman-laman sosial sehingga ada ahli Pas tergamak menuduh golongan ulama 'gila kuasa'.

Golongan ulama turut dikaitkan dengan usaha mengadakan kerjasama dengan UMNO biar pun Dewan Ulama sudah menegaskan bahawa seruan supaya tahaluf siyasi disemak adalah bertujuan untuk menilai apakah keuntungan secara keseluruhan terutamanya kepada Islam.

Bagaimanapun niat murni golongan ulama ini tidak dipertimbangkan dengan telus dan ia terbukti apabila dalam sesi perbahasan majoriti perwakilan seolah-olah tidak berani untuk mengkritik layanan PKR dan DAP terhadap Pas.

Sebaliknya, semua lebih selesa mahu ia diperteguhkan dengan andaian sudah banyak keuntungan politik yang Pas perolehi.

Berikutan keputusan dalam pemilihan Pas kali ini, mana-mana pihak juga tidak boleh mengharapkan apa-apa lagi kepada perjuangan golongan ulama dalam parti itu.

Tambahan pula, sebelum ini usul Dewan Ulama yang diluluskan tanpa bahas dalam muktamarnya pada Khamis lalu iaitu memasukkan satu fasal yang memperuntukkan jawatan Presiden, Timbalan Presiden dan sekurang-kurangnya salah seorang Naib Presiden terdiri daripada ulama, tidak mendapat sambutan mana-mana pihak dalam Pas.

Ia secara langsung memberi isyarat kepada golongan ulama bahawa suara mereka semakin terpinggir dalam parti itu biarpun golongan itulah selama ini yang bertanggungjawab memperkasakan Pas. Apa pun, kita harus menghormati keputusan yang dibuat oleh perwakilan dan mengakui keterujaan ahli-ahli Pas untuk menampilkan satu barisan kepimpinan yang akan mampu memenuhi impian mereka untuk bersama-sama PKR dan DAP menawan Putrajaya.

Kalau selepas ini Pas akan terus dilayan sebagai 'penumpang' dalam pakatan pembangkang terima sahajalah kerana itu kehendak ahli-ahli parti tersebut. Oleh itu tidak keterlaluan untuk kita menyatakan tidak payahlah Pas bermimpi melaksanakan hukum hudud termasuklah di Kelantan kerana ia akhirnya akan menjadi retorik politik semata-mata dan sekadar 'hiburan' untuk berbahas di muktamar parti tersebut.

Ini kerana kita percaya dan yakin DAP serta PKR tidak akan memberi laluan mudah kepada Pas untuk berbuat demikian. Setakat ini apa yang kita saksikan, hanya Pas yang ibarat 'syok sendiri' dalam soal hukum hudud dan lebih selesa untuk menuding jari kepada UMNO dan kerajaan BN jika ia tidak dapat dilaksanakan.

Dengan semakin kurangnya suara golongan ulama dalam penentu agenda politik Pas berikutan keputusan pemilihan semalam, maka apa juga agenda parti tersebut selepas ini sudah pasti memerlukan restu daripada PKR dan DAP. Tetapi tidak mengapalah kerana pemimpin, ahli dan penyokong Pas tidak mahu menerima pandangan orang di luar parti tersebut termasuklah media.

Bagi mereka, orang luar hanya bertujuan untuk mengkucar-kacirkan parti itu dan cuba memecah belahkan perpaduan pakatan pembangkang. Oleh itu, berilah peluang dan ruang kepada barisan baru kepimpinan Pas untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.

Apa yang pasti, keputusan pemilihan kali ini sudah jelas membuktikan bahawa suara golongan ulama semakin dan akan terus 'terhakis' di dalam Pas.

Bagaimanapun sebagai salah seorang yang bertanggungjawab mencetuskan idea kepimpinan ulama dalam Pas, Mat Sabu tentulah memahami sentimen yang wujud berikutan apa yang berlaku. Tambahan pula beliau sudah berjanji, pihaknya akan meneruskan usaha mengukuhkan pakatan pembangkang berdasarkan usul-usul yang diluluskan dalam muktamar tersebut.

Dan untuk rekod, antara usul yang diluluskan tanpa bahas ialah, ''Dewan Ulama Pas Pusat mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama Pas dan Jawatankuasa Pas pusat mewujudkan khusus bagi mengkaji, menyemak serta menilai kekuatan dan kelemahan, kejayaan dan kegagalan pendekatan tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat sepanjang ia berlangsung dari sudut mafsadah (kerosakan) dan maslahah (kebaikan) syariah dengan tujuan penambahbaikan dan pengukuhan Pakatan Rakyat untuk lonjakan PRU-14.''

Adakah ini akan dilaksanakan? Terserahlah kepada barisan baru kepimpinan Pas menentukannya. Yang pasti orang Melayu di luar Pas sedang memerhati dan sebahagian besar mereka percaya keputusan pemilihan kali ini memungkinkan bak kata seorang teman dalam parti itu selepas keputusan diumumkan, ''Orang Pas memilih, ahli PKR dan DAP yang bertepuk gembira.' 'Apakah maksudnya, fikirlah sendiri.

Daripada 'melukut ditepi gantang di dalam parti' alangkah baiknya jika Dewan Ulama terus mengambil pendirian untuk 'keluar dari Pas' dan bermula dengan sebuah Parti baru bagi menentukan hala tuju perjuangan yang terus memperjuangankan syiar ISLAM! Wallahuallam.

Wasabi Oyabun..

Isnin, 25 November 2013

PM selar penafian Anwar?


Datuk Seri Najib Tun Razak membidas sikap pembangkang yang kini membuat pusingan U dengan menafikan mereka pernah membuat kenyataan sebanyak 40,000 warga Bangladesh dibawa masuk untuk mengundi Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Perdana Menteri berkata, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak boleh cuba mengelak apabila tidak mahu mengakui membuat tuduhan itu kerana banyak sumber telah memetik ucapan Ketua Pembangkang itu termasuk turut dilaporkan oleh media milik mereka sendiri.

‘‘Apabila saya kata 40,000 warga Bangladesh itu tidak betul, tidak ada bukti, Perdana Menteri Bangladesh pun kata (tuduhan) itu tidak mungkin, dia (Anwar) pusing kata bahawa dia tidak kata begitu.

‘‘Tetapi muka depan akhbar Suara Keadilan ada (tulis) tentang 40,000 Bangladesh itu, ucapan dia (Anwar) juga sindir kepada kita bahawa rakyat tidak sokong kita, yang sokong adalah rakyat Bangladesh dan Filipina.

‘‘Saya dengar ucapan dia, saya banyak sumber yang dengar ucapan dia, (tetapi sekarang ini) dia nak nafikan pula,’’ katanya ketika berucap merasmikan seminar Pemerkasaan Ekonomi Nasional kali pertama di auditorium Masjid Wilayah Persekutuan, di sini hari ini.


Anwar dikatakan membuat pusingan U baru-baru ini apabila cuba menafikan pernah membuat tuduhan itu, sebaliknya hanya menyentuh tentang dakwaan membawa pengundi dari luar pada hari mengundi.

Penafian Anwar itu dibuat selepas Perdana Menteri Bangladesh, Sheikh Hasina menidakkan pembabitan warga Bangladesh dalam proses demokrasi di Malaysia dan menolak dakwaan kononnya 40,000 rakyat negara itu mengundi dalam pilihan raya umum lalu.

Dalam pada itu, Najib yang juga Presiden UMNO turut menyelar sikap pembangkang yang membuat tuduhan tidak berasas dengan mengaitkan pembaziran penggunaan elektrik di kediaman rasmi Perdana Menteri yang didakwa dibelanjakan sehingga RM250 untuk bil elektrik dalam tempoh satu jam.

Beliau berkata, kediaman rasmi Perdana Menteri adalah milik rakyat yang mempunyai bilik penganjuran sesuatu majlis demi meraikan tetamu kerajaan.

‘‘Kediaman rasmi Perdana Menteri itu rakyat punya, ada bilik majlis, kalau ketua kerajaan datang, adakah kita nak makan dalam gelap? Kalau Presiden China datang, kita nak makan secara ‘candle light dinner’, dan saya akan kata pada dia, ini romantik.

‘‘Ini milik rakyat, saya tumpang sahaja, saya penghuni ketiga, saya banyak hari duduk di rumah sendiri, maka jimat belanja rumah kediaman rasmi.

‘‘Kita boleh berjimat tetapi jangan tuduh benda tidak realistik, keterlaluan seolah-olah 1,000 kebaikan yang kita buat dilupakan, kelemahan diperbesarkan, ini bukan pertimbangan yang adil,’’ katanya.

Wasabi Oyabun..

Sabtu, 23 November 2013

Mengembalikan jati diri Pas?

Timbalan Ketua Dewan Ulama yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berucap pada Muktamar Tahunan Parti Islam Semalaysia (Pas) ke- 59 di Wisma MBSA, Shah Alam semalam.

Dalam muktamar Pas pada tahun 2011, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka mengubah haluan perjuangan parti itu daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.

Alasan yang diberikan ialah Pas kini tidak mengutamakan negara Islam kerana agenda itu berada dalam agenda negara kebajikan. Beliau berkata, Islam wujud dalam lingkungan dan merupakan sebahagian daripada kebajikan.

Tetapi hakikat sebenarnya, Pas terpaksa mengubah haluan perjuangan daripada Negara Islam kepada Negara Berkebajikan kerana mengikut kehendak sekutu parti itu, PKR dan DAP.

Tanpa menyedari bahawa jati diri parti itu semakin terhakis melalui tindakan tersebut, Pas tetap berbangga dan menaruh harapan agar ‘perubahan’ itu akan mampu menarik sokongan pengundi-pengundi khususnya pengundi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pas berkeyakinan dalam soal itu apatah lagi pemilihan barisan kepimpinan parti tersebut pada tahun berkenaan turut menyaksikan golongan ulama yang dianggap tegas memperjuangkan penegakkan Negara Islam dan hukum hudud dilihat gagal menduduki posisi-posisi kanan dalam parti.

Bagaimanapun PRU-13 menyaksikan keputusan yang boleh dianggap mendukacitakan bagi Pas. Parti itu hanya mampu memenangi 21 kerusi Parlimen sahaja berbanding 23 kerusi pada PRU-12 dan gagal mempertahankan Kedah.

Sudah pasti pihak yang mengaut keuntungan berikutan pengorbanan yang dilakukan oleh Pas ialah PKR dan DAP. PKR tidak rugi apa-apa kerana terus kekal dengan 31 kerusi manakala DAP muncul parti dominan dalam pakatan pembangkang apabila menguasai 38 kerusi.

Dalam kedudukan itu, ketika hendak menentukan ketua pembangkang di Dewan Rakyat, DAP dengan ‘murah hati’ mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala Pas hanya bersetuju sahaja.

Di Pulau Pinang pula, walaupun Pas dikatakan ‘cukup berjasa’ kepada pakatan pembangkang memandangkan berjaya meyakinkan penyokong-penyokongnya untuk mengundi calon-calon PKR dan DAP, tetapi mereka dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ di negeri itu.

Paling menyedihkan di Selangor, walaupun mempunyai kelebihan kerusi berbanding PKR, tetapi Pas ‘berkorban’ lagi kononnya atas semangat setiakawan dan kerjasama apabila membenarkan PKR terus menjadi Menteri Besar.

Tetapi cuba kaji, apakah Pas mendapat layanan sewajarnya di Selangor. Adakah kerusi Exco Hal Ehwal Islam diberikan kepada parti itu? Adakah suara Pas benar-benar didengari dalam apa juga tindakan kerajaan negeri?

Malah sepanjang 2011 hingga hari ini, perjalanan politik pakatan pembangkang menyenaraikan pelbagai rentetan peristiwa yang menunjukkan Pas tidak menerima layanan sepatutnya sebagai parti yang mempunyai banyak jasa kepada pakatan itu.

Keterujaan untuk mengejar kuasa bersama PKR dan DAP dengan menawan Putrajaya telah menyebabkan Pas seolah-olah bersedia menghakiskan jati diri parti yang memperjuangkan Islam.

Kesudahannya, apa yang kita saksikan Pas lebih banyak menanggung kerugian berbanding mengaut keuntungan dalam kerjasama itu. Kehebatan Pas sebagai sebuah parti yang paling awal memerintah sesebuah negeri berbanding PKR dan DAP hilang entah ke mana, ketokohan ulama-ulama Pas ditenggelamkan dengan keterujaan pemimpin dan ahli parti itu mengutamakan pemimpin sekutu mereka dan suara Pas yang sering dilihat mampu menggerunkan lawannya bagaikan ‘tidak laku’ apabila dilontarkan dalam pakatan pembangkang.

Berikutan itu tanpa Pas sedari, sokongan orang Melayu kepada parti itu semakin merosot, tetapi Pas tidak mahu menerima hakikat ini, sebaliknya sehingga ke hari ini, mereka menyifatkan segala teguran yang dibuat adalah usaha untuk memecah belahkan kerjasama dengan pakatan pembangkang.

‘‘Sebenarnya, kita tidak minta pun Pas keluar daripada pakatan itu, yang kita mahu ialah Pas menjadi parti bermaruah dan tidak mudah tunduk dengan kehendak PKR dan DAP.

‘‘Kepimpinan atas boleh berkata dan berhujah apa sahaja tetapi di peringkat akar umbi, sudah ada perasaan tidak puas hati kerana Pas seolah-olah penumpang dalam pakatan pembangkang," kata seorang pemimpin muda Pas dari Kedah ketika kami minum pagi di Shah Alam semalam.

Pemimpin itu bersama beberapa rakannya berada di Shah Alam kerana mahu memeriahkan Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-59 yang akan berlangsung mulai hari ini.

Muktamar itu menurut pemimpin tersebut amat penting bagi mengembalikan semula jati diri Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan meletakkan kepimpinan ulama di tempat sepatutnya.

‘‘Dulu kami selalu diperingatkan oleh kepimpinan Pas supaya jadilah ibarat ikan di dalam laut, biar pun hidup dalam air masin tetapi daging tidak masin, maksudnya kekalkan jati diri biar pun di mana dan dengan siapa pun kita kawan.

‘‘Tetapi sekarang ini, kami lihat Pas sendiri seolah-olah tenggelam punca apabila berkawan dengan PKR dan DAP. Segala-galanya mahu dikorbankan dan terlalu tunduk dengan apa juga kehendak kedua-dua parti itu," kata pemimpin muda tersebut.

Sememangnya kita tidak pasti sejauh manakah sentimen ini akan dikongsi oleh perwakilan yang menghadiri muktamar kali ini. Tetapi mereka mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Pas kembali kepada jati dirinya.

Tiada gunanya, mereka berdegar-degar berbahas dan berhujah di Stadium Malawati, Shah Alam sepanjang muktamar berlangsung tetapi apabila kembali ke kawasan masing-masing, tugas mereka tidak lebih daripada ‘pak turut’ sahaja.

Muktamar kali ini adalah medan penting kepada perwakilan untuk memberi isyarat dan tekanan kepada kepimpinan parti bahawa mereka tidak sanggup lagi tunduk dengan kerenah politik PKR dan DAP.

Dalam apa juga segi, Pas sebenarnya jauh lebih hebat daripada kedua-dua parti itu. Pemimpin dan ahli Pas jauh lebih setia, komited dan teguh dalam perjuangan, malah jentera pilihan raya Pas lebih tersusun dan mantap.

Tetapi apa yang kita saksikan, kelebihan ini bukannya mengukuhkan kedudukan Pas dalam pakatan, jauh sekali untuk menjadi dominan sebaliknya, Pas bagaikan ‘pak turut’ dan dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ dalam kerjasama yang kononnya bertujuan menjadi alternatif kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, sama ada hasrat untuk melihat Pas dapat diperkasakan atau tidak dalam pakatan pembangkang hanya boleh direalisasikan berdasarkan kepada barisan kepimpinan yang akan dipilih kali ini.

‘‘Kalau barisan kepimpinan sama sahaja seperti pemilihan lalu, Pas tidak akan ke mana-mana. Suara Pas akan terus tenggelam dengan keangkuhan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP.

‘‘Keadaan itu berlaku kerana sudah ramai dalam kalangan pemimpin Pas yang begitu menyanjungi kerjasama dengan kedua-dua parti itu sehingga jati diri Pas terhakis sedikit demi sedikit," kata seorang lagi pemimpin Pas proulama kepada penulis ketika dihubungi.

Apa pun segala-galanya terletak kepada ahli-ahli Pas khususnya mereka yang akan menjadi perwakilan dalam muktamar kali ini untuk melakukan desakan supaya jati diri Pas dapat dikembalikan.

Jangan biarkan perjuangan Islam sekadar laungan dan slogan semata-mata dalam parti itu kerana ia dikekalkan sudah pasti tidak mustahil Pas akan terus menjadi ‘lebai malang, menang sorak kampung tergadai’ sedangkan PKR dan DAP bersorak girang. -UM

Wasabi Oyabun..

Selasa, 19 November 2013

Tun Dr. Mahathir: Kehebatannya dulu hingga sekarang?

Tun Dr. Mahathir Mohamad menjelaskan sesuatu tentang Kedah sambil diperhatikan Zaini Hassan pada Karnival 7 Hari 7 Malam Muzium Padi Kedah di Alor Setar, baru-baru ini.

Khamis minggu lalu, saya berada di Alor Setar kerana diminta mengendalikan satu majlis forum bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad sempena Karnival 7 Hari 7 Malam Muzium Padi Kedah.

Saya menjadi moderator dan Tun sebagai ahli panel. Majlis itu dikenali sebagai Sembang Petang Bersama Tun. Kami membicarakan mengenai tajuk ‘Transformasi Kedah’ daripada kaca mata beliau.

Majlis itu berjalan lancar. Seperti biasa semua soalan dijawabnya dengan bijak, panjang lebar dan penuh bersemangat. Sebagai anak Kedah, beliau memberi buah fikirannya bagaimana untuk menukar Kedah menjadi negeri yang lebih hebat, sebagaimana beliau mengubah Malaysia hari ini.

Semasa mukadimah saya melontar satu hipotesis. Diandaikan Tun bukan menjadi PM Malaysia selama 22 tahun, sebaliknya menjadi MB Kedah selama 22 tahun, apakah Kedah akan berjaya diubahnya menjadi seperti Malaysia ini?

Saya juga bertanya mengenai ciri-ciri yang sepatutnya ada kepada seorang Menteri Besar di Kedah. Saya katakan kepadanya ikut sejarah MB Kedah ini rata-ratanya ada “badi" - macam-macam perkara berlaku. Dia angguk dan tersenyum.

Bagi Tun, ciri-ciri itu ialah: MB itu haruslah seorang yang rajin bekerja, merendah diri, kerap berjumpa rakyat, sering bertanya khabar rakyat. Dan yang paling penting: Jangan menganggap diri sebagai Yang Amat Berhormat.

MB yang dimaksudkan itu ialah anaknya sendiri, Mukhriz Mahathir. Dan pada pandangan saya ciri-ciri itu ada pada Mukhriz dan ia harus dipertahankan.

Sebagai moderator saya sedar Tun sedikit terbatuk-batuk semasa majlis itu. Beberapa kali percakapannya terhenti. Saya risau juga dengan keadaan beliau. Forum yang sepatutnya berjalan selama dua jam, saya pendekkan ke satu setengah jam.

Sebagai anak Kedah, saya juga cukup tertarik bertanyakan soalan-soalan merangkumi negeri itu.

Apakah Kedah akan terus menjadi negeri jelapang padi, kedudukan Pulau Langkawi, kawasan industri Kulim dan Sungai Petani, sehinggalah kepada soal-soal makanan tradisi emping ringgi yang sekarang hanya dihasilkan di Kampung Pulau Timbul di Tunjang.

Tun cukup ceria di sepanjang forum itu. Dia juga kelihatan cergas. Di meja makan, beliau juga cukup ceria. Bercerita mengenai makanan yang dihidangkan.

Bercerita mengenai makanan tradisional Kedah yang menjadi kegemarannya, terutamanya kuih karaih, kuih seperti bihun goreng yang dilipat berbentuk bulan sabit seperti apom balik.

Makanan kegemarannya emping goreng turut dihidangkan. Beliau menjamah sedikit.

Di meja makan itu, kemudian beliau bercerita mengenai soal-soal lain, termasuklah mengenai soal Melayu.

Dalam satu cerita itu, beliau menggambarkan bagaimana orang Melayu itu lebih suka kepada bangsa lain lebih daripada bangsanya sendiri. Beliau mengimbau kembali semasa beliau menjadi doktor dulu.

Pada masa itu ada doktor orang putih (Inggeris) dan kakitangan orang putih, kita sebagai doktor pun orang kita tak peduli dah dengan kita, mereka memuja orang putih itu lebih daripada kita...

Mungkin itulah juga yang berlaku sekarang kepada orang Melayu. Mereka sanggup memberi apa sahaja kepada bangsa lain, waima kuasa sekali pun.

Tun dan isteri kesayangannya, Tun Siti Hasmah yang sentiasa mengiringi suaminya itu ke mana sahaja, juga kelihatan cukup ceria. Mereka adalah pasangan ideal dua sejoli, yang patut dicontohi oleh semua pasangan suami isteri.

Kelmarin, Tun dimasukkan ke Institut Jantung Negara kerana mengadu kurang sihat.

Marilah kita doakan agar Allah SWT terus memelihara kesihatannya.

Dalam usianya 88 tahun, beliau terus menerima banyak undangan dari dalam dan luar negara dan rata-rata semuanya dipenuhi oleh beliau.

Semasa kami di Alor Setar, beliau berkata beliau juga sepatutnya berada di Surabaya kerana menerima jemputan berucap. Saya difahamkan Tun telah berlepas ke Surabaya kelmarin dan terbang semula ke tanah air kerana keadaan kesihatannya yang tidak mengizinkan. Majlis itu kemudian dibatalkan.

Tun memang hebat. Allah SWT menganugerahkan kehebatan kepada Tun, dulu dan sekarang!

Semoga Allah SWT terus melindungi beliau. Amin.

Wasabi Oyabun..

Hudud tidak semudah dirancang?


Pelaksanaan hudud di Kelantan tidak semudah dirancang memandangkan ada negara yang gagal untuk melaksanakannya.

Bekas Mufti Perlis, Prof Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, perkara itu tidak boleh dipandang remeh kerana ia memerlukan syarat yang kondusif sebelum dilaksanakan.

“Saya tidak menentang hudud, tentu sekali tidak, malah saya bersetuju dengan hudud dan kita perlu melaksanakan hudud jika cukup syarat.

“Banyak perkara yang perlu dibincangkan melibatkan semua pihak dan apabila syarat kondusif kita buat, dalam jalan nak pergi ke hudud banyak perkara yang perlu diselesaikan,” katanya pada forum 'Sembang Politik' di sini, semalam.

Menurutnya, sejarah pelaksanaan hudud dalam negara moden dapat dilihat apabila Pas berani mencuba tetapi cubaan itu bukan sesuatu yang mudah.

“Contohnya, Pakistan yang sebelum ini telah melaksanakan enakmen hudud tapi tidak berjaya, begitu juga Libya, termasuk Nigeria Utara yang hanya melaksanakannya buat seketika kemudian menghentikannya apabila seorang wanita direjam kerana berzina,” katanya.

Mohd Asri berkata, setakat ini hanya Arab Saudi yang berjaya melaksanakan enakmen undang-undang Islam itu.

Beliau berkata, pelaksanaan hudud memerlukan persediaan yang rapi supaya apa yang dilaksanakan nanti tidak dipertikai oleh mana-mana pihak.

Wasabi Oyabun..

Ahad, 17 November 2013

Kembalinya gerakan LGBT?

Prinsip-prinsip Yogjakarta merupakan satu agenda bahaya yang secara berterusan menjadi usaha yang berselindung di sebalik nama hak asasi manusia sejagat. - Gambar hiasan

Pada 7 Mac 2012, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) telah menganjurkan suatu panel perbincangan berkenaan "Diskriminasi dan Keganasan berdasarkan

Orientasi Seksual dan Identiti Gender" yang berlangsung sebagai sebahagian acara tahunan sesi ke 19 Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva, Switzerland. Panel tersebut telah mendapat bantahan daripada Kumpulan Negara OIC bagi Hak Asasi Manusia, yang telah mengirim sepucuk surat kepada Presiden Majlis Hak Asasi Manusia PBB, Laura Dupuy Lasserre bagi menyatakan kebimbangan negara-negara OIC terhadap usaha untuk memperkenalkan di dalam Deklarasi Universal Hak Asasi Manusia (UDHR) terma-terma serta standard-standard berkenaan Orientasi Seksual dan identiti Gender (SOGI) yang asing di dalam "bahasa" dan "penerimaan nilai-nilai sejagat" berkenaan hak Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual, serta dengan jelas menolak sebarang usaha untuk menjadikan orientasi Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT) sebagai nilai yang sepatutnya diterima semua negara anggota PBB sebagai sebahagian dari hak-hak asasi manusia sejagat.

Percubaan panel tersebut banyak mendapat inspirasi awal dari Prinsip-prinsip Yogjakarta (Yogyakarta Principles), yang merupakan satu set prinsip berhubung orientasi seksual dan identiti jantina yang diwujudkan dengan hasrat untuk memohon piawaian undang-undang hak asasi manusia antarabangsa bagi menangani penyalahgunaan kuasa hak asasi manusia golongan LGBT, dan isu-isu antara seks (intersexuality). Prinsip-prinsip tersebut telah dihasilkan pada satu mesyuarat antara Suruhanjaya Juri Antarabangsa , Perkhidmatan Antarabangsa bagi Hak Asasi Manusia dan pakar-pakar hak asasi manusia dari seluruh dunia di Universiti Mada di Pulau Jawa pada 6 hingga 9 November 2006.


Dokumen penutup "mengandungi 29 prinsip yang didakwa diterima dengan sebulat suara oleh pakar-pakar bersama dengan cadangan kepada kerajaan, institusi-institusi antara kerajaan daerah, masyarakat awam dan PBB sendiri" dinamakan sempena Yogyakarta, wilayah paling kecil Indonesia (tidak termasuk Jakarta) yang terletak di pulau Pulau Jawa. Prinsip-prinsip ini belum diterima oleh negara-negara dalam satu perjanjian, maka secara kendiri, ia bukan bahagian undang-undang hak asasi manusia antarabangsa yang mengikat secara sah, walaupun prinsip-prinsip tersebut bertujuan bertindak sebagai bantuan penafsiran terhadap perjanjian hak asasi manusia.

Antara 29 penandatangan prinsip-prinsip adalah Mary Robinson, Manfred Nowak, Martin Scheinin, Elizabeth Evatt, Philip Alston, Edwin Cameron, Asma Jahangir, yang kesemuanya berhasrat supaya prinsip-prinsip Yogyakarta harus diterima sebagai standard sejagat, mengesahkan standard undang-undang antarabangsa yang mengikat yang mana semua negara mesti patuhi. Walaubagaimanapun, beberapa negara anggota khususnya negara-negara OIC telah menyatakan keraguan mereka terhadap pandangan tersebut.

Prinsip-prinsip tersebut, selain dari mencetuskan Resolusi 17/19 PBB berhubung hak-hak LGBT, telah menjadi sebahagian perkara yang dinyatakan di dalam Laporan Gabungan NGO Malaysia (COMANGO) bertarikh 11 Mac 2013 yang dijadikan asas semakan rekod Hak Asasi Manusia Malaysia pada 24 Oktober 2013 yang lalu. COMANGO telah secara khusus menuntut supaya seksyen 377A Kanun Keseksaan dihapuskan, selain mengesyorkan Malaysia menurut prinsip-prinsip Yogyakarta. Kesan jangka panjang tuntutan ini, yang berselindung di sebalik istilah 'diskriminasi minoriti', ialah untuk membolehkan perkahwinan sesama jenis dijalankan di Malaysia tanpa sebarang halangan undang-undang atau kawalan moral.


Berselindung

Ternyata prinsip-prinsip Yogyakarta ini merupakan satu agenda bahaya yang secara berterusan menjadi usaha yang berselindung di sebalik nama hak asasi manusia sejagat. Bagi negara-negara OIC khususnya, bantahan yang dinyatakan melalui surat bertarikh 14 Februari 2012 tersebut menggambarkan kegusaran yang mendalam terhadap usaha-usaha agresif untuk mengiktiraf secara terbuka hak-hak yang berlawanan dengan fitrah semulajadi manusia. Hal ini demikian oleh kerana negara-negara Islam sedar bahawa tuntutan terhadap hak-hak sedemikian melampaui garis normal kemanusiaan yang akhirnya akan membawa pada kebinasaan tamadun manusia.

Amaran Qurani yang sangat jelas seperti pembalasan yang dikenakan terhadap kaum Nabi Luth a.s yang mengingkari panduan hubungan manusia secara sejahtera menjadi peringatan yang tetap relevan hingga ke akhir zaman.

Melalui Kumpulan Negara-negara OIC bagi Hak Asasi Manusia, Malaysia telah pun menyatakan undian bantahan terhadap Resolusi 17/19 berkenaan hak-hak LGBT. Malaysia sendiri menghadapi arus kempen yang kuat di dalam negara yang menunjukkan bibit-bibit sokongan terhadap hak-hak LGBT ini telah pun dipengaruhi prinsip-prinsip Yogyakarta.


Sebagai contoh, susulan pengaruh prinsip-prinsip Yogyakarta tersebut juga, sebuah pertubuhan hak asasi manusia yang berpengaruh di Amerika Syarikat, Human Rights Watch (HRW) berhujah undang-undang anti-liwat yang berkuatkuasa di Malaysia sudah ketinggalan zaman (archaic) kerana bertentangan dengan hak asasi manusia. Oleh itu, badan hak asasi antarabangsa itu menggesa Malaysia menghapuskan undang-undang anti-liwat yang kononnya melanggar hak privasi dan berbentuk diskriminasi serta perlu diganti dengan undang-undang baru yang membenarkan aktiviti liwat. Menurutnya, undang-undang baru itu mestilah selaras dengan prinsip-prinsip Yogyakarta, laporan Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia

Bangsa-Bangsa Bersatu dan Deklarasi Vienna yang mengiktiraf hak-hak asasi manusia termasuk melakukan aktiviti seks luar tabie atas dasar suka sama suka.

Prinsip-prinsip tersebut juga telah mula mendapat tempat dalam kalangan segelintir NGO Hak Asasi Manusia dan beberapa parti politik di Malaysia. Penganjuran Seksualiti Merdeka misalnya, jelas mendapat inspirasi dari usaha-usaha di peringkat global untuk mendapatkan "hak dan pengiktirafan" bagi golongan LGBT, atas dasar kononnya teguran atau tindakan untuk memandu golongan ini disifatkan sebagai "diskriminasi" dan "tekanan sosial' terhadap mereka. Mereka juga merasakan sepatutnya dibenarkan untuk bebas memilih orientasi seks, meskipun orientasi tersebut berlawanan dengan fitrah keagamaan dan kacamata ketamadunan manusia.

Malaysia seharusnya memimpin usaha menentang perkembangan yang sangat berbahaya ini. Sehingga kini, sebanyak 14 negara di dunia yang telah mengiktiraf dan mempunyai undang-undang perkahwinan sejenis. Seperti yang dilaporkan agensi Reuters, 13 November baru-baru ini menyaksikan Hawaii menjadi negeri terkini di dalam Amerika Syarikat yang mengiktiraf perkahwinan sejenis apabila gabenornya Neil Abercrombie menandatangani rang undang-undang untuk mengesahkan keizinan tersebut. Ternyata Amerika Syarikat sedang berhadapan dengan masalah yang sangat serius yang bakal menghancurkan sisa-sisa kemanusiaan yang masih ada padanya.


Sebagai sebuah negara yang menjadikan Islam sebagai agama persekutuan, Malaysia perlu terus mengekalkan kedaulatannya dengan tidak tunduk terhadap tekanan antarabangsa melalui penerimaan terhadap prinsip-prinsip Yogyakarta dan lain-lain instrumen yang digunakan untuk menerbitkan hak-hak songsang mereka yang berjuang di sebalik gagasan hak asasi manusia sejagat. Peranan Islam sebagai agama negara dan tugas Yang di-Pertuan Agong untuk memelihara Islam berdasarkan sumpah jawatan pada Jadual Keempat, Perkara 37 Perlembagaan Persekutuan, ditambah dengan penerimaan prinsip-prinsip Rukun Negara yang jauh sekali menerima hak dan aktiviti songsang seperti yang dituntut golongan LGBT ini, sepatutnya menzahirkan keunikan dan kemampuan Malaysia untuk mematuhi prinsip hak asasi manusia sejagat tanpa mengorbankan nilai agama, budaya setempat dan realiti negara. Malah hal ini adalah seperti mana yang telah dipersetujui bersama melalui Persidangan Hak Asasi Manusia 1993 di Vienna berkenaan kepentingan mengambil kira faktor-faktor tersebut di dalam menuntut sesebuah negara untuk patuh dengan hak-hak asasi manusia sejagat.

Secara khususnya, pada bulan Mac depan, kerajaan Malaysia perlu tegas menolak beberapa syor negara-negara seperti Jerman, Belanda dan Austria yang mahukan Malaysia menghapuskan undang-undang anti-liwat dan mengiktiraf hak-hak LGBT, sebagaimana yang dizahirkan di antara 232 syor-syor pada sesi UPR baru-baru ini. Malaysia perlu meneruskan sikap dan pendirian konsisten menolak pengiktirafan hak-hak LGBT sebagaimana yang telah ditegaskan ketika menolak Resolusi 17/19 PBB dan ketika menandatangani Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN pada November tahun lepas.

Selain itu, wujud keperluan segera untuk Malaysia memulakan gerakan menghapuskan prinsip-prinsip Yogyakarta 2006 yang sangat berbahaya terhadap kelangsungan tamadun kemanusiaan. Malah, gerakan ini sangat mendesak oleh kerana prinsip sedemikian, tanpa ramai yang menyedari, telah dimaktubkan di negara Islam terbesar di dunia, Indonesia yang juga merupakan jiran terdekat rumpun melayu-Islam dan negara anggota OIC.-UMO

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 15 November 2013

Polis buru rakan subahat?

Rakan subahat yang dikenali dengan panggilan Joemar.

Penangkapan suspek utama kes rompakan dan pembunuhan seorang pegawai operasi AmBank, di Kota Tinggi, Johor semalam membongkar penglibatan seorang lagi rakyat Indonesia yang dipercayai menjadi perancang utama kejadian pada 23 Oktober lalu itu.

Suspek pengawal keselamatan yang ditangkap di Kampung Belungkor semalam tidak bertindak seorang diri sebaliknya mempunyai seorang rakan subahat yang dikenali dengan panggilan Joemar. Sila baca di sini.

Joemar dikatakan berasal dari Indonesia yang bekerja di negara ini dan hasil siasatan mendapati, lelaki ini menjadi perancang dalam kejadian itu serta menyimpan sebahagian besar wang tunai yang dirompak suspek.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, Joemar merupakan suspek yang sebelum ini tidak dapat dikesan penglibatannya dalam kes itu, namun hasil siasatan terhadap suspek utama, lelaki terbabit memainkan peranan besar dalam rompakan berkenaan.

Katanya, sehingga kini Joemar masih bebas dan polis sedang berusaha mengesan identiti dan lokasi sebenarnya.

"Kita belum dapat memastikan sama ada rakan subahatnya ini berada di dalam negara atau tidak tetapi polis sedang berusaha untuk mengesan lokasinya.

"Malah ketika suspek utama ditahan semalam, polis tidak menemukan sebarang wang tunai yang dirompak dalam kejadian pada 23 Oktober lalu dan kita percaya wang itu ada pada lelaki bernama Joemar ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Pencegahan Jenayah dari Perspektif Islam di sini hari ini.

Semalam, pengawal keselamatan yang bertanggungjawab membunuh pegawai operasi AmBank, Norazita Abu Talib, 37, ditahan polis selepas genap 19 hari bersembunyi.


Bagaimanapun ketika ditahan, polis difahamkan tidak menemui wang hasil rompakan bank itu wang rompakan RM450,000 yang dilarikan dalam kejadian itu. Polis sebelum ini merampas wang berjumlah RM20,000 selepas menahan tiga suspek termasuk isterinya.

Mengulas tentang siasatan terhadap suspek utama yang baru ditahan semalam, Khalid memberitahu, nama sebenar lelaki itu adalah Loade Ardina Loade Rasila, berusia 35 tahun dan bukannya bernama Ardi Hamza, 37, seperti yang terdapat di dalam kad pengenalannya.

Katanya suspek juga berasal dari sebuah daerah di Sulawesi, Indonesia.

"Ketika ini polis sedang menyiasat penjualan kad pengenalan palsu itu dan menerusi maklumat daripada suspek, dia telah membeli kad itu daripada seorang lelaki Indonesia yang sememangnya berniaga kad pengenalan palsu.

"Kami juga dapati dia membeli kad itu di negara ini. Malah kami akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia untuk mengetahui identiti sebenar suspek," katanya.

Tambah Khalid, setakat ini seramai 12 individu telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

Wasabi Oyabun..

Isnin, 11 November 2013

Pump gun dalam longkang?

Anggota polis memegang pump gun dan kotak peluru yang ditemukan dalam longkang di Persiaran Penaga, Subang Jaya, pagi semalam.

Selepas sehari suspek utama pembunuhan kejam pegawai AmBank diberkas, polis menemukan selaras pump gun yang dipercayai digunakan dalam kejadian rompakan di bank cawangan itu pada 23 Oktober lalu, di sini hari ini.

Senjata api itu ditemukan dalam longkang berhampiran sebuah kilang alat ganti kereta di Persiaran Penaga, kira-kira 500 meter dari bank tersebut pukul 11 pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, pihaknya menjalankan operasi pencarian senjata api itu berdasarkan soal siasat ke atas suspek utama.

"Hasil siasatan awal, suspek memaklumkan telah mencampakkan senjata api itu di sekitar kawasan berkenaan selepas kejadian namun tidak dapat memastikan lokasi sebenarnya.


"Polis menjalankan operasi mencari senjata selama dua jam bermula pukul 9 pagi dan menemukan pump gun serta beberapa butir peluru di lokasi tersebut," katanya ketika ditemui di lokasi penemuan senjata itu hari ini.

Polis semalam menahan pengawal keselamatan warga Indonesia yang merupakan suspek utama kes bunuh seorang pengawai operasi AmBank di sini pada 23 Oktober lalu selepas memburunya selama 19 hari.

Suspek yang nama sebenarnya Loade Ardina Loade Rasila, 35, ditangkap di Kampung Belungkor, Kota Tinggi, Johor pukul 7 pagi semalam selepas terlibat menembak Norazita Abu Talib, 37, dari jarak dekat di bahagian kepala dalam rompakan di premis tersebut di Jalan USJ Sentral 2 di sini.

Kejadian berlaku pukul 6.18 petang ketika mangsa bersama suspek serta empat lagi kakitangan sedang membuka sebuah peti besi berisi wang sebelum suspek tiba-tiba melepaskan tembakan menggunakan senjata api jenis pump gun dan mengenai muka Norazita mengakibatkan mangsa maut di tempat kejadian.

Wasabi Oyabun..

MP PR cadang PM, TPM guna pesawat komersial?


Ahli Parlimen PR mencadangkan supaya Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri menggunakan pesawat komersial untuk penerbangan domestik.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke mendakwa, kerajaan telah membelanjakan RM489 ribu bagi setiap penerbangan yang dilakukan setiap hari pada 2012.

Menurutnya, perbelanjaan tersebut adalah pembaziran keterlaluan yang melibatkan perbelanjaan kerajaan.


"Penerbangan yang dilakukan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri turut melibatkan penerbangan domestik yang boleh dikurangkan perbelanjaannya dengan menggunakan pesawat komersial.

"Setiap kali Perdana Menteri naik kapal terbang, kosnya adalah RM489,000 untuk setiap penerbangan. Jumlah ini adalah melibatkan 372 penerbangan tahun lalu seperti yang diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kasim.

"Kalau kerajaan ambil pesawat komersial sahaja untuk penerbangan dalam negeri ia tidak memerlukan perbelanjaan yang besar," katanya pada sidang media, di lobi Parlimen, di sini, hari ini.


Sebelum ini, Shahidan melalui jawapan bertulis menjawab soalan Loke yang ingin Menteri di Jabatan Perdana Menteri menyatakan jumlah pesawat yang dimiliki kerajaan, model pesawat, kos bahan api dan penyelenggaraan bagi tahun 2012 dan jumlah penerbangan serta destinasi pada tahun tersebut.

Shahidan menyatakan, kerajaan telah memiliki tujuh pesawat yang diistilah sebagai pesawat eksekutif (VVIP) kerajaan iaitu pesawat Falcon, Global Ekspress, Boeing Business Jet, Blackhawk, Fokker F28 serta dua unit pesawat Agusta.

Tambah Shahidan, bagi kos bahan api semua pesawat pada 2012 adalah sebanyak RM14.951 juta dan RM167.079 juta untuk kos penyelenggaraan serta jumlah keseluruhan penerbangan adalah 373 penerbangan dengan 339 destinasi atas urusan rasmi kerajaan.

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 8 November 2013

Semakin ramai 'Kitol' dalam Petronas punca Melayu/Bumiputera disisihkan?


PUTRAJAYA – Syarikat minyak negara Petronas perlu menyokong dasar kerajaan, termasuk Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang memberi keistimewaan kepada kaum Bumiputera dan Melayu.

Penasihat Petronas, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, sebagai sebuah agensi kerajaan, Petronas, seperti agensi kerajaan lain, mesti mengikut dasar yang ditetapkan kerajaan.

“Dasar kerajaan setakat yang saya tahu, termasuk untuk melaksanakan DEB. Kerajaan belum tolak DEB.

“Ini bermakna Petronas juga terlibatlah (untuk laksanakan DEB),” kata bekas Perdana Menteri itu semasa ditemui di pejabat beliau di Putrajaya, semalam.

Beliau, bagaimanapun menegaskan, walaupun syarikat Bumiputera perlu diberikan layanan istimewa oleh Petronas, ia perlu dilakukan mengikut merit.

“(Ingin) lindungi (syarikat Bumiputera) pun ikut merit juga. Orang tak ada merit tak boleh la nak lindung,” katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan aduan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), pemilik syarikat yang menjadi vendor Petronas dan pengusaha stesen minyak Petronas mengenai dasar Petronas yang didakwa mula mengetepikan syarikat milik Bumiputera.


Dr Mahathir turut mengakui beliau sendiri menerima aduan berhubung perkara yang dilaporkan Sinar Harian kelmarin dan menegaskan, beliau telah pun menyampaikan kebimbangan itu kepada pengurusan tertinggi Petronas.

“Kerja saya (sebagai penasihat), saya beritahu kepada Presiden Petronas (Tan Sri Shamsul Azhar Abbas) tentang perkara-perkara ini (iaitu aduan mengenai dakwaan Petronas mengetepikan orang Melayu),” katanya.

Ditanya mengenai hala tuju dasar Petronas yang didakwa mula berubah daripada membantu syarikat Bumiputera dan orang Melayu, Dr Mahathir berkata Petronas beranggapan syarikat itu telah memenuhi objektifnya untuk membantu kaum Bumiputera.

“Jumlah kontrak (Petronas yang diberikan kepada syarikat Bumiputera) cukup besar. Katanya dia (Petronas) dah tolong banyak kepada Bumiputera,” kata beliau.

Dr Mahathir turut menjelaskan kapasitinya sebagai penasihat tidak berikannya kuasa untuk mengeluarkan arahan kepada Petronas, sebaliknya beliau hanya boleh memberi nasihat.

“Saya cuma dengar banyak orang tak puas hati (dengan Petronas). Jadi bila orang tak puas hati, saya beritahu kepada presiden (Petronas).

"Terpulang kepada dia lah apa tindakan (nak diambil) sebab dia (ada kuasa) eksekutif. Saya bukan (ada kuasa) eksekutif,” jelas beliau.

Katanya, jika dilihat dari sudut keuntungan dicapai Petronas masa ini, pengurusan Petronas dianggap berada dalam keadaan baik.

Berhubung laporan Sinar Harian kelmarin mengenai peniaga-peniaga kecil yang didakwa tidak dibenarkan lagi membekalkan makanan seperti roti, nasi lemak dan kuih-muih ke stesen Petronas, Dr Mahathir berkata beliau tidak tahu mengenai perkara ini.

“Yang itu saya tak tau la. Ni saya baru dengar kata nasi lemak tak boleh jual (di stesen Petronas),” katanya.

Mengenai keluhan banyak syarikat Malaysia yang menerima kontrak syarikat gergasi minyak antarabangsa, tetapi tidak mendapat peluang di negara sendiri, Mahathir berkata Petronas perlu mengambil tahu mengenai masalah itu.

Selanjutnya sila baca di sini dan sini!

Wasabi Oyabun..

Khamis, 7 November 2013

GST : 'Kami akan lawan habis-habisan'?


PR akan "lawan" habis-habisan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang bakal bermula pada 1 April 2015.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata PR akan mengadakan bantahan ke seluruh negara mengenai pelaksanaan GST tersebut.

Menurutnya, pelaksanaan GST itu adalah suatu jenayah apabila kerajaan masih membiarkan ketirisan dan rasuah terus berlaku sebaliknya membiarkan rakyat menanggung beban.

"Pelaksanaan GST... kami akan turun membantah di seluruh negara.

"Ini jenayah.. kami akan lawan habis-habisan," katanya pada perbahasan Bajet 2014, di Dewan Rakyat, hari ini.


Tambahnya, PR mengulangi pendirian tempoh untuk melaksanakan GST masih belum sesuai sehingga rakyat mencapai pendapatan di tahap memuaskan.

"Kami berpendirian bahawa GST masih belum boleh dilaksanakan dan perlu terus dikaji sehingga pendapatan rakyat berada pada satu tahap yang memuaskan, kutipan cukai pendapatan diperbaiki seluruhnya dan sehingga kedudukan ekonomi negara berada pada tahap yang lebih memberangsangkan," katanya.

Bagi meningkatkan pendapatan negara dan menuju negara berpendapatan tinggi, kerajaan mengumumkan untuk melaksanakan GST yang akan bermula pada April 2015.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, GST sesuai dilaksanakan ekoran kedudukan inflasi negara berada di paras rendah.

Dalam pada itu, Anwar yang juga ahli Parlimen Permatang Pauh turut menjangkakan GST akan terus meningkat daripada enam peratus kepada lapan peratus pada 2016.

"Lazimnya kerajaan yang melaksanakan GST akan menaikkan kadar GST di masa hadapan kerana cukai ini adalah antara yang paling mudah dikenakan.

"Perlaksanaan GST akan merangsangkan kerajaan yang boros ini untuk menaikkan kadar GST tatkala kesempitan," katanya lagi.

Wasabi Oyabun..

Tidak hairanlah mengapa kuil Hindu RM10 juta sedang di bina di Bandar Klang...!!! Siapakah yang 'mengHALALkannya'?


Tahniahlah diucapkan kepada PAS kerana mengambil pendekatan terbuka untuk membina lebih banyak kuil-kuil Hindu di Selangor? Pendekatan itu dapat dilihat dengan terbinanya kuil Hindu terbesar(sedang dalam pembinaan sekarang) di Bandar Klang, Selangor yang memakan belanja sebanyak RM10 juta! Sila baca di sini.

ISMA bantah pembinaan kuil Hindu RM10 juta di Klang

Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) membantah pembinaan semula Kuil Sundararaja Perumal di Klang, yang menelan belanja sebanyak RM10 juta dengan menegaskan ia akan memberikan persepsi buruk kepada pelancong beragama Islam khususnya dari Timur Tengah.

Presiden ISMA, Abdullah Zaik Abdul Rahman menyeru kerajaan mengambil tindakan wajar demi menjaga kesejahteraan hidup rakyat dan imej Malaysia di mata masyarakat Islam antarabangsa supaya tidak tercemar.

"Pembinaan seperti itu terkeluar daripada maksud Perlembagaan yang menjamin kebebasan beragama kerana ia telah melampaui tujuan sebenar peruntukan tersebut untuk menjamin hak beragama.

“Justeru, kami menyeru Perdana Menteri, Menteri Pelancongan, kerajaan negeri dan tempatan agar peka dengan perkara ini ," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau mengulas laporan yang menyatakan Kuil Sri Sundararaja Perumal bakal menjadi mercu tanda dan ikon pelancongan di Klang.

Menurut ISMA, Datuk Seri Najib Razak pernah berikrar untuk menegakkan hukum dan meninggikan syiar Islam dan oleh itu hasrat membesarkan pembinaan rumah-rumah ibadat melebihi keperluan, seperti atas nama tarikan pelancongan dilihat bercanggah dengan ikrar itu.

Selain itu, ISMA juga memandang serius usaha penganut agama lain yang cuba mengambil kesempatan meninggikan syiar agama masing-masing hingga mewujudkan persaingan agama yang tidak sihat tanpa menghormati hakikat Malaysia sebagai negara Islam.

Abdullah berkata, kemunculan terlalu banyak syiar agama kufur telah memusnahkan tanggapan masyarakat dunia yang sebelum ini 'berbunga-bunga' terhadap Malaysia selaku sebuah negara Islam contoh.

Isnin lalu, Presiden Kuil Sri Sundararaja Perumal, S Anandakrishnan berkata, Klang bakal mempunyai ikon pelancongan baru apabila sebuah kuil Hindu berharga RM10 juta siap dibina.

Menurut Anandakrishnan, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan untuk memasukkan lokasi kuil itu ke dalam kalendar pelancongan agar tersenarai sebagai tempat istimewa untuk kunjungan pelancong.

"Kami percaya kuil ini berpotensi menjadi daya tarikan pelancong dan mercu tanda menarik di Bandar Diraja Klang dan juga pelancong asing," katanya.

Bagi penulis nampaknya semua nak sama rata sekarang! Adakah agama hanya sekadar untuk pelancongan? Ataupun alasan pelancongan hanya sebagai alat atau jalan mudah untuk mendapat kelulusan. Nampaknya rakyat semakin keliru sekarang tentang status agama negara ini. Para pemimpin negara perlulah berusaha untuk mengawal pembinaan rumah-rumah ibadat agar identiti negara Malaysia dimana Islam sebagai agama rasminya dapat dipelihara dan dipertahankan!

Wasabi Oyabun..

Rabu, 6 November 2013

Pas bantah kenyataan Karpal?


Pas membantah kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh yang menyarankan semua parti politik berasaskan kaum dan agama termasuk Pas yang merupakan sekutu rapat DAP dibatalkan pendaftarannya.

Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan kenyataan Karpal yang dianggap banyak pihak sebagai meludah ke langit setelah DAP sendiri dilihat merupakan parti cauvinis Cina, sebagai serius serta berbahaya.

Begitupun, Pas dilihat masih ‘takut-takut’ untuk mendesak Karpal dikenakan hukuman selepas Tuan Ibrahim sekadar menyerahkan perkara itu kepada DAP untuk memutuskan tindakan sewajarnya diambil.

Malah, Tuan Ibrahim juga langsung tidak berani menyentuh mengenai pendirian Pas untuk keluar daripada pakatan pembangkang meskipun kenyataan yang berunsur penghinaan itu telah banyak kali dibuat pemimpin DAP.

“Walau bagaimanapun, parti mengakui kenyataan Karpal itu boleh merosakkan hubungan baik antara Pas dan DAP selain menjejaskan sokongan rakyat kepada pakatan pembangkang.

“Pas sangat kesal dengan kenyataan yang tidak berasas ini yang memperlihatkan betapa Karpal gagal memahami perjuangan Pas. Karpal sepatutnya mengemukakan fakta, bukan mengeluarkan kata-kata ikut sedap hati," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Karpal menegaskan, parti politik termasuk Pas serta pertubuhan profesional yang berteraskan kaum dan agama tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana beliau menganggap perkara itu berbahaya kepada Malaysia.

Sebelum ini, Karpal telah berulang kali mempersenda dan memperkecil Pas termasuk mencabar parti itu melangkah mayatnya terlebih dahulu jika berhasrat mahu mewujudkan negara Islam atau melaksanakan hukum hudud.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut membandingkan kewujudan parti Pas dengan kenyataan yang dibuat Karpal.

“Apakah bahaya perjuangan Pas bagi masyarakat majmuk di Malaysia? Nilai sendiri pemerintahan Pas di Kelantan, Terengganu dan Kedah dari segi perpaduan menjaga hak Muslim dan bukan Muslim. Apakah bukan Islam dipinggirkan," katanya.

Wasabi Oyabun..

Kubu Pas semakin retak?

TIMBALAN Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melihat memorandum sokongan pengundi Cina terhadap Barisan Nasional pada majlis perjumpaan kaum Tiong Hwa tersebut di Sungai Limau Dalam, Yan, Kedah, baru-baru ini.

Sebelum ini, Pas begitu mendabik dada kononnya, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau merupakan salah satu daripada dua kubu terkuatnya di Kedah, selain DUN Tokai.

Bagaimanapun, keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau kelmarin membuktikan, hakikatnya kawasan itu bukanlah kubu kuat Pas.

Selama ini Pas bertahan hampir lima penggal di situ kerana Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak. Politik damai yang beliau pelopori telah membolehkan Allahyarham diterima oleh seluruh lapisan masyarakat di Sungai Limau.

Malah apa yang menarik bukan sahaja ahli Pas menyokong Allahyarham, malah bekas Menteri Besar Kedah itu turut meraih undi daripada penyokong Barisan Nasional (BN) dan atas pagar.

Keadaan itulah yang memungkinkan Sungai Limau dianggap kubu Pas tetapi apabila Azizan kembali ke rahmatullah, kekuatan Pas di situ tergugat. Sebab itulah sepanjang kempen PRK DUN Sungai Limau, Pas cuba memainkan sentimen Allahyarham Azizan.

Bagaimanapun, pengundi-pengundi khususnya orang Melayu tidak mudah terperangkap dengan helah tersebut apatah lagi ada antara pemimpin Pas yang turun berkempen di situ pernah menyusahkan Allahyarham ketika Allahyarham menjadi Menteri Besar.

Kesudahannya, Pas yang bercita-cita untuk memperolehi majoriti sekurang-kurangnya 2,000 berbanding 2,774 undi yang diperolehi oleh Allahyarham dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ternyata hampa apabila hanya mendapat 1,084 undi.

Berikutan keputusan itulah, ketika singgah minum pagi di sebuah warung di Yan Kechil, kelmarin penulis terdengar sekumpulan penyokong tegar Pas bersungut.

''Orang dah cakap ambik (ambil) umpan saja, bukannya makan mata kail, menang pun kalau majoriti macam tu buat malu saja, awatlah (kenapa) depa (mereka) ni tak pandai sangat'' kata salah seorang daripada mereka.

Penulis percaya, perbuatan itu berkisar dengan perolehan undi Pas memandangkan, parti itu begitu yakin bahawa pengundi-pengundi Cina akan terus menyebelahi mereka seperti PRU-13.

Tetapi sekali lagi, ramalan Pas meleset apabila pengundi Cina membuat keputusan memilih BN.

Bagaimanapun BN tidak boleh selesa dengan keadaan itu kerana sudah ada cakap-cakap sebelum hari pengundian bahawa pengundi Cina mungkin akan memberikan undi mereka kepada BN dalam usaha untuk menjaga hubungan dengan kerajaan negeri yang dipimpin oleh parti itu.

Bagi mereka, Sungai Limau hanyalah pilihan raya kecil dan bukannya pilihan raya umum, oleh itu tidak rugi apa-apa jika tindakan menyokong BN dilakukan.Namun begitu apa yang menjadi tumpuan bagaimana peningkatan undi orang Melayu kepada BN yang diwakili oleh UMNO. Ternyata orang Melayu semakin bimbang dengan corak politik Pas terutamanya sekali hubungannya dengan DAP.

Faktor ini menjadi penyumbang terbesar kepada perolehan undi BN, justeru biar pun kalah BN hakikatnya berjaya 'meretakkan' satu lagi kubu Pas di Kedah.

Perolehan undi majoriti 1,084 undi oleh calonnya, Mohd.Azam Abdul Samat membuktikan Sungai Limau tidak boleh lagi diiktiraf sebagai kubu Pas. Ia memandangkan dalam senario politik sekarang, mana-mana parti yang menguasai majoriti di bawah 1,500 undi, bila-bila masa sahaja boleh tumbang dalam pilihan raya.

Mengulas kejayaan ini, Exco Pemuda UMNO Mohd.Rafiq Naizamohideen berkata, ia menunjukkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan BN di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak di peringkat pusat dan Datuk Mukhriz Tun Mahathir di peringkat negeri.

''Walaupun BN tidak berjaya merampas kerusi DUN itu yang merupakan kubu kuat Pas, kejayaan mengurangkan majoriti Pas daripada 2,774 undi kepada 1,084 undi iaitu pengurangan sehingga 1,690 undi adalah kejayaan besar buat BN,'' katanya ketika dihubungi.

Pencapaian tersebut adalah hasil kerja keras jentera BN khususnya dari seluruh negara ketika jentera tempatan dilihat tidak banyak membantu.

Selain kehadiran anggota Majlis Tertinggi termasuk anggota Kabinet yang sanggup turun padang membantu calon BN, Dr. Ahmad Sohaimi Lazim, penghargaan tertinggi perlu diberikan kepada kepimpinan sayap UMNO.

Kegigihan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Naib Ketua Puteri UMNO Zahida Zarikh Khan yang 'berkampung' di Sungai Limau berjaya menambah jumlah undi yang diperolehi oleh BN.

Ketiga-tiga mereka sanggup meredah semua kawasan di DUN tersebut biar pun terpaksa mengharungi lumpur dan batas sawah semata-mata untuk menemui pengundi.

Ketekunan itu ditambah pula dengan kesungguhan Mukhriz yang ternyata mempunyai pengaruh cukup besar dalam kalangan pengundi. Kehadiran beliau di kawasan-kawasan kubu kuat Pas disambut mesra. Keadaan itulah juga yang membolehkan BN menambah undi atas faktor 'aura Mukhriz'.

Malah kejayaan BN merentap peluang Pas untuk memperolehi lebih banyak undi majoriti dianggap pengiktirafan rakyat kawasan itu terhadap kepimpinan Mukhriz.

Semua keadaan ini harus memberi peringatan kepada Pas bahawa mereka masih 'berkuasa' di Sungai Limau kerana sokongan pengundi tegar mereka dan sedikit sumbangan pengundi atas pagar, tetapi orang Melayu semakin meninggalkan parti itu.

Bagaimanapun, BN sebenarnya boleh mencapai kemenangan jika tidak berlaku 'opera politik' dalam dalam pemimpin-pemimpin UMNO di peringkat bahagian.

Biarpun masing-masing berhujah bahawa tiada persengketaan sesama mereka, namun semua itu hanyalah 'wayang politik' dan sikap hipokrit 'darjah tertinggi' hingga menyebabkan BN gagal meraih undi yang mencukupi sebagai persediaan untuk menampung undi yang tidak diperolehi memandangkan Pas mempunyai pengundi tetap mereka.

Berdasarkan satu sumber, jentera pilihan raya yang dikendalikan oleh individu tertentu tidak melancarkan kempen seperti mana yang diharapkan, biarpun di hadapan semua orang, mereka berdegar-degar berjanji akan memastikan kemenangan BN.

Dalam soal ini, BN perlu menjalankan siasatan rapi untuk memastikan pemimpin dan penyokong mereka yang bersedia menjadi 'duri dalam daging' dan 'gunting dalam lipatan' dikenakan tindakan sekeras-kerasnya.

Sebenarnya, Pas juga mempunyai masalah dalaman termasuklah sabotaj terhadap percetakan risalah calon mereka, malah semua orang tahu ada antara pemimpin utama mereka tidak 'berlaga angin'.

Tetapi biar pun kita mengetahui bahawa mereka juga bersikap hipokrit namun sikap itu tidak sampai menyebabkan Pas kalah. Sebaliknya, mereka bersedia mengenepikan persengketaan tersebut demi memastikan parti mencapai kemenangan. Bagaimanapun dalam UMNO ia berbeza, persengketaan berlanjutan sehingga rela melakukan perbuatan yang memungkinkan BN tewas.

Kesimpulannya, keputusan di Sungai Limau membuktikan BN bukanlah parti yang ditolak oleh rakyat termasuklah oleh sebahagian pengundi Cina, justeru perbaikilah kelemahan. Kemenangan pasti akan diperolehi jika sindrom pemimpin UMNO bersedia menjadi pengkhianat kepada parti sendiri dihapuskan, strategi politik lapuk ditinggalkan, jentera tempatan diperkasakan dan hanya kelompok pengundi yang tahu mengenang budi sahaja diutamakan.

Jika ini dapat dilakukan sudah pasti bukan sahaja di Sungai Limau malah di mana-mana juga kawasan, BN mampu mencapai kemenangan.

Wasabi Oyabun..