Si kecil ini begitu teruja apabila dapat memegang senapang serbu pada Perarakan sempena sambutan Hari Tentera Darat ke-78, bertempat di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Setiap rakyat mana-mana negara sekalipun bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keselamatan negara, terutama dalam memastikan ruang udara, perbatasan laut dan sempadan negara tidak diceroboh anasir luar yang berniat jahat.
Tanggungjawab itu adalah satu amanah yang memerlukan taat setia yang tidak berbelah bahagi untuk memastikan segala rahsia berkaitan sistem pertahanan negara sama ada bajet, peralatan ketenteraan sedia ada dan akan dibeli, kekuatan anggota darat, laut dan udara, serta sistem dan teknologi yang digunakan dalam mempertahankan kedaulatan negara kekal menjadi rahsia setiap rakyat negara ini.
Seperti yang ditegaskan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Datuk Sri Azizan Ariffin dalam artikelnya yang disiarkan di muka surat 10, akhbar ini semalam, keupayaan pertahanan negara adalah rahsia negara yang perlu dipertahankan oleh setiap lapisan warga Malaysia yang mempunyai akses terhadapnya.
Penegasan itu dibuat kerana sudah ada pihak tertentu termasuk pembangkang sengaja mendedahkan rahsia pertahanan negara, misalnya dalam kes pembelian enam buah Kapal Tempur Pesisir (LCS) TLDM.
Pendedahan itu bukan berniat baik kerana ia lebih kepada mencari keuntungan politik. Mereka sedar perbuatan itu boleh membahayakan keselamatan negara tetapi masih mahu melakukannya demi meraih kepentingan politik.
Nampaknya pihak pembangkang tidak mempedulikan keselamatan negara, asalkan matlamat mereka tercapai. Mereka lebih rela mengabui mata rakyat dengan membuat pelbagai pendedahan walaupun menyedari ia boleh menjejaskan keselamatan negara. Tindakan itu boleh kita anggap sebagai 'menjual' negara sendiri kepada pihak luar.
Kita tahu jika sewenang-wenangnya rahsia kekuatan tentera negara dihebahkan kepada dunia, banyak kesan buruk bakal menanti. Pihak musuh akan menggunakan segala maklumat yang dibocorkan itu untuk membuat perancangan rapi dan persediaan yang lebih baik dalam menghadapi kekuatan pasukan tentera kita jika ditakdir meletusnya pertikaian.
Memanglah kita tidak mahu mencari nahas dengan berperang dengan negara luar, tetapi jika itulah pilihan terakhir yang ada maka mahu tidak mahu kita perlu menghadapinya demi mempertahankan maruah dan tanah air tercinta. Namun, pastinya segala maklumat yang bocor itu akan menjejaskan persediaan kita menghadapi musuh luar yang tidak dijangka.
Siapa sangka negara Thailand dan Kemboja kini berperang di sempadan bagi berebut kuil purba kurun ke-11, Preah Vihear. Itu membuktikan banyak perkara yang tidak dijangka boleh berlaku. Justeru, kesiagaan dan keupayaan ATM dalam melindungi kedaulatan negara mesti berada di tahap yang tertinggi.
Kita akui negara kita sentiasa berada dalam keadaan siap siaga termasuk memperkukuhkan teknologi peralatan ketenteraan sedia ada, selain melatih anggota tentera agar sentiasa bersedia mental dan fizikal. Namun, kesiapsiagaan itu tidak ada gunanya jika rakyat negara ini membocorkan rahsia tentera kepada pihak luar.
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan