Pengerusi DAP, Karpal Singh digesa menyatakan pendiriannya berhubung pendedahan video seks yang didakwa melibatkan seorang pemimpin pembangkang dengan pelacur dari China baru-baru ini.
Pengerusi Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA) Kedah, Zamil Ibrahim berkata, rakyat mahu melihat sama ada Karpal yang merupakan peguam bela bagi kes liwat kedua melibatkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melaungkan kebenaran atau hanya sekadar bersuara demi kepentingan politiknya.
Beliau berkata, pihaknya juga mendesak supaya bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang merupakan salah seorang trio Datuk T agar memberikan satu salinan video seks melibatkan pemimpin pembangkang itu kepada Karpal.
"Parti KITA Kedah meminta supaya Karpal menilai sendiri sejauh mana tahap moral rakan pemimpin pembangkangnya itu melalui isu video seks tersebut.
"Adakah Karpal akan bersikap seperti harimau Jelutong atau berdiam diri seperti tikus Jelutong dalam isu ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Dalam pada itu, Zamil turut mencabar Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap trio Datuk T sekiranya apa yang didakwa oleh kumpulan itu bahawa beliau meminta wang pelincir selepas menyaksikan video seks tersebut adalah tidak benar.
Selain Abdul Rahim, trio Datuk T yang terlibat dalam pendedahan video seks pemimpin pembangkang itu ialah ahli perniagaan, Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Shuaib Lazim.
"Jika kenyataan Datuk T tidak betul maka Johari boleh saman di mahkamah. Selagi dia (Johari) tidak berbuat demikian maka kita anggap apa yang Datuk T katakan itu adalah benar," katanya.-UM
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan