Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Khamis, 4 Oktober 2012

Mampukah Anwar selesaikan isu air Selangor?



Masalah air Selangor masih diperkatakan. Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim beria-ia mahu menstruktur semula bekalan air negeri itu di sebalik gesaan Kerajaan Pusat supaya dipercepatkan Projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Pembinaan Langat 2 perlu disegerakan kerana penstrukturan bekalan air negeri itu akan memakan masa. Tambahan pula kerajaan negeri Selangor masih terkial-kial mendapatkan persetujuan untuk mengambil alih kepentingan daripada empat syarikat konsesi bekalan air.

Jika perkara penting ini tidak dimiliki bagaimana hendak menstruktur bekalan air negeri. Khalid perlu diingatkan selalu bahawa hendak membina Loji Rawatan Air Langat 2 akan memakan masa dan bukannya bila sudah tidak ada air baharu hendak membinanya.

Kerajaan Pusat berusaha sedaya upaya menentukan pembinaan projek Langat 2 tetap dijalankan dengan pengeluaran tender kepada syarikat yang berminat membantu kerajaan. Tetapi dengan masalah pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor yang banyak berdolak-dalih menyebabkan masa semakin suntuk bagi menyiapkannya.

Minggu lepas sahaja dilaporkan permohonan syarikat pembuat sarung getah Top Glove di Kapar, Selangor supaya bekalan air kepadanya dinaikkan sebanyak 20 peratus (%) lagi telah ditolak kerana kekurangan air. Hal ini seolah-olah menidakkan aliran pertumbuhan ekonomi kepada rakyat Selangor.

Peningkatan permintaan air akan meningkatkan pengeluaran, menambah peluang pekerjaan, melonjak perniagaan dan sebagainya. Pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak meluluskan permintaan Top Glove itu kerana tidak boleh memberi jaminan bekalan air dapat ditunaikan pada masa depan.

Dalam hal ini mampukah Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan kemelut air yang semakin kritikal antara Kerajaan Negeri Selangor dengan Kerajaan Pusat. Inilah yang kita harap-harapkan, dan jangan impian ini hanya angan-angan sahaja.

Sebenarnya inilah juga harapan daripada suara hati Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri kepada Ketua Pembangkang itu minggu lepas.

Kerajaan Pusat hampir kepenatan memberi pelbagai jalan untuk mencegah krisis air yang dijangka berlaku pada 2014 daripada melanda Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya. Inilah kawasan paling tinggi jumlah penduduk di negara ini.

Bukan itu sahaja, Selangor menjadi tarikan jumlah modal pelaburan terbesar yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Industri Malaysia (MIDA) bagi sektor pembuatan untuk tujuh bulan pertama tahun ini. Selangor mendapat RM6.08 bilion pelaburan bagi sektor pembuatan. Bayangkan jumlah kos melepas kepada Selangor jika isu air ini berterusan.

Tahap kesabaran Kerajaan Pusat yang cukup tinggi kini semakin menipis berhubung pertelagahan pendapat antara pihak kerajaan negeri dan Pusat. Sebab itu Muhyiddin menyuarakan perkara ini kepada Anwar sendiri.

Anwar bukan sahaja pemimpin besar pakatan pembangkang tetapi juga Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor yang dipimpin oleh Menteri Besarnya, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Khalid lebih ghairah memainkan peranan dengan menimbulkan bermacam-macam mainan kata-kata dan alasan. Beliau juga cuba menunjukkan projek bernilai RM8 bilion yang membawa masuk air tambahan dari Pahang ke Selangor dan pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 sebagai membazir. Dengan pendekatan itu, nampaknya projek itu tidak akan menjadi kenyataan.

Baru-baru ini Khalid memberi kata dua bahawa pihaknya hanya mengeluarkan 'arahan pembangunan' untuk loji rawatan itu jika Kerajaan Pusat bersetuju dengan pelan penstrukturan air negeri Selangor.

Putrajaya berulang kali menyatakan tidak ada halangan terhadap pelan tersebut. Tetapi pelan penstrukturan bekalan air Selangor itu bukan semudah yang dibayangkan oleh Khalid. Beliau kena berunding dengan empat syarikat konsesi air di Selangor berdasarkan terma 'kesanggupan penjual dan kemampuan pembeli' sebelum beliau mampu mengambil alih aset air negeri.

Setakat ini syarikat konsesi telah dua kali menolak tawaran pengambil alihan itu dan Khalid mahu Kerajaan Pusat masuk campur tangan, sedangkan urusan itu adalah rundingan perniagaan. Sebagai bekas peneraju dan pembuat keputusan dalam syarikat konglomerat, Khalid patut sedar perkara campur tangan ini.

Kerajaan Negeri Selangor pada 19 September lalu telah memaklumkan kepada Kerajaan Pusat tentang tindakan seterusnya untuk menyelesaikan penstrukturan semula industri perkhidmatan air Selangor seperti yang dikehendaki oleh Akta Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA).

Makluman telah dibuat melalui surat rasmi kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui bertarikh 14 September. Surat ini juga dihantar kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk rujukan beliau.

Khalid menyatakan keengganan menteri dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air untuk memulakan rundingan menunjukkan Kerajaan Pusat memang sengaja mahu mengingkari tanggungjawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) WSIA.

"Sehubungan itu, saya memaklumkan sekiranya menteri dan kementeriannya tidak memberi maklum balas yang bertentangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat ini, saya beranggapan pihak kementerian tidak mempunyai sebarang bantahan untuk saya meneruskan penstrukturan ini," ujar Khalid.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas Menangani Isu Bekalan Air Selangor menjelaskan hal sebegini penting tidak boleh diambil sikap bermusuh kerana air adalah masalah rakyat dan tidak boleh dipandang kecil.

Dalam reaksi Peter Chin terhadap kata dua 14 hari itu yang tarikhnya tamat lima hari lalu berkata: "Perkara yang dibangkit tidak mengikut saluran malah isu air menjadi bertambah rumit dengan melibatkan pemantauan dasar dan penyediaan dana khas."

Dengan demikian Muhyiddin terus menyuarakan hal ini kepada Anwar untuk mendapatkan bantuan memecahkan kebuntuan apabila mereka duduk bersebelahan dalam majlis jamuan tengah hari anjuran Yang Dipertua Dewan Rakyat pada Rabu minggu lalu.

"Saya beritahu Anwar, sebagai Penasihat Ekonomi Selangor beliau perlu memberi nasihat yang betul. Saya minta beliau menasihat kerajaan Selangor bertindak secara positif supaya kerja pembinaan loji rawatan Langat 2 boleh dijalankan dan isu-isu pembangunan," kata Muhyiddin.

Apabila ditanya tentang reaksi Anwar, Timbalan Perdana Menteri berkata Anwar menunjukkan beliau membawa perkara itu kepada Khalid dan akan memaklumkan dalam tempoh seminggu.

Muhyiddin berkata beliau telah menjelaskan kepada Anwar bahawa perkara melibatkan kepentingan air jangan dipolitikkan kerana isunya adalah masalah kebajikan rakyat. "Jika kita tidak melakukan sesuatu, kita akan berdepan dengan kemarahan rakyat," kata Muhyiddin.

Dalam sejarah negara, Selangor negeri pertama memberikan air secara percuma kepada pengguna bagi menunaikan janji pakatan pembangkang jika menang pilihan raya umum 2008.

Inilah tindakan membingungkan atau menggelikan hati yang kerajaan negeri terlalu memikirkan untuk mengambil alih perniagaan air tanpa memahami bahawa pengeluaran dan pengagihan air kepada berjuta-juta kediaman dan beribu-ribu industri menelan belanja yang dahsyat.

Kerajaan Negeri Selangor menjangkakan boleh membayar sehingga RM9 bilion (tawaran kali kedua kepada pemegang konsesi air) untuk mengambil alih aset airnya. Walapun membayangkan kemampuan membayar sejumlah wang yang besar itu, tetapi bagaimana kerajaan negeri hendak mendapatkan balik pelaburannya itu apabila pada masa yang sama rakyat diberikan air percuma? Jelas ia tidak selari dan masuk akal. Kecuali ini adalah permainan seseorang untuk menguasai Putrajaya.

Baru-baru ini Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menegaskan kerajaan negeri tidak ragu-ragu membatalkan projek pemindahan air jika kerajaan Selangor berpendapat mereka tidak perlukan air Pahang.

Kini, nampaknya harapan berjuta pengguna air di Lembah Klang terletak pada bahu Anwar. Adakah beliau sanggup berkorban dengan mengetepikan politik partisan dan memainkan peranannya sebagai negarawan?

Untuk seorang yang masak dengan mainan politik, Anwar mungkin lebih memahami ada perkara dalam hidup ini lebih penting daripada politik berbanding dengan kita rakyat biasa. Dan air sudah tentu keperluan penting dalam kehidupan kita.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Komen