Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 16 Oktober 2012

MB Khalid takut beri penjelasan fakta sebenar hutang Talam?


Barisan Nasional (BN) Selangor mendesak kerajaan negeri memberikan penjelasan berhubung fakta sebenar pengambilalihan hutang Talam Corporation Berhad (Talam) yang berjumlah RM392 juta yang didakwa bercanggah dan mengelirukan rakyat.

Koordinatornya, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamad berkata, keraguan itu jelas dilihat menerusi soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan oleh kerajaan negeri mengenai penyusunan hutang tersebut yang disahkan oleh sebuah firma audit, KPMG Transaction & Restructuring Sdn. Bhd. (KPMG).

Dalam penjelasan itu, katanya, kerajaan negeri menyatakan bahawa anak syarikatnya yang membeli aset Talam adalah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan anggaran nilai kasar berjumlah RM16.9 juta.

Selain PKNS, kata beliau, turut membeli aset Talam adalah Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) dan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) masing-masing dengan anggaran nilai kasar sebanyak RM438.5 juta dan RM44.7 juta.

"Soalnya bagaimana KPMG boleh membuat rumusan bahawa KHSB membeli hutang Talam sedangkan pada 30 Julai lalu, syarikat itu menafikan mereka dipaksa untuk 'menerima' RM44.7 juta aset dari MBI (Pemerbadanan Menteri Besar). Mana satu yang benar," soalnya dalam sidang media di Bangunan UMNO Selangor di sini semalam.


Tambah Mohd. Zin, kekeliruan kedua timbul apabila penjelasan itu menyatakan soalan, sama ada kerajaan negeri berjaya mendapatkan semula hutang daripada Talam yang didakwanya bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menerusi laporan media sebelum ini.

Kata beliau, berdasarkan laporan Bernama pada 12 Julai lalu, Menteri Besar mengumumkan MBI menerima RM302.7 juta daripada keseluruhan hutang Talam manakala dalam Laporan Tahunan Trinity (dahulu dikenali sebagai Talam), sebahagian tanah syarikat itu di Sepang yang digunakan untuk penyelesaian hutang telah dilelong dan masih dalam pertikaian mahkamah.

"Maka sebarang transaksi pemindahan tanah tersebut kepada MBI adalah masih tergantung. Persoalannya, bagaimana KPMG boleh menyimpulkan bahawa keseluruhan hutang Talam sebanyak RM392 juta telah berjaya dikumpul oleh kerajaan negeri," tegasnya.

Menurut beliau, turut menimbulkan keraguan ialah dari segi penilaian aset tanah milik Talam yang dalam penjelasan tersebut, kerajaan negeri tidak mengalami kerugian di sebalik pengambilalihan aset itu membabitkan enam lot tanah di Bukit Beruntung 2, Hulu Selangor yang dianggarkan seluas 534.9 hektar dengan nilai RM354 juta.

Penjelasan daripada kerajaan negeri itu menyebut laporan penilaian tanah tersebut telah dikemukakan kerajaan negeri dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan disokong oleh pertimbangan kasar yang telah dipersetujui MBI.

"Namun, berdasarkan laporan penilaian JPPH negeri pada Mac 2010, nilai tanah di Bukit Beruntung 2 hanya berjumlah RM113 juta. Bagaimana KPMG membuat kesimpulan bahawa pembelian dan penerimaa aset ini disokong oleh JPPH. Saya minta kerajaan negeri dan KPMG menjelaskan persoalan ini," kata beliau.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Zin meminta kerajaan negeri supaya bersikap lebih bertanggungjawab menyelesaikan masalah bekalan air terawat serta penyusutan air mentah di empangan-empangan utama di negeri ini termasuk empangan Sungai Selangor yang menyusut kira-kira 56 peratus ketika ini.

Katanya, kaedah pembenihan awan yang dicadangkan kerajaan negeri tidak boleh dijadikan langkah penyelesaian utama untuk mengatasi masalah tersebut.

Wasabi Oyabun...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan