Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 2 Oktober 2012

PKNS diminta ambil alih hutang?


S. VIGNESWARAN (dua dari kiri) mewakili pembeli rumah PKNS menyerahkan permohonan kepada wakil PKNS, Ishak Hashim di Shah Alam, semalam.

Seramai 350 pembeli rumah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menuntut perbadanan itu mengambil alih hutang rumah mereka yang keseluruhannya berjumlah RM50 juta bagi menyelamatkannya daripada dilelong.

Menurut mereka jika PKNS sanggup membeli hutang Talam Corporation Bhd. (Talam) sebanyak RM392 juta, mengapa perkara sama tidak boleh dilakukan untuk membantu rakyat miskin.

Kesemua mereka dari Shah Alam, Taman Datuk Harun dan Kelana Jaya mengadakan demonstrasi menuntut perkara itu di hadapan bangunan PKNS hari ini dan menyerahkan surat mengenai perkara itu kepada Pengurus Komunikasi dan Korporat PKNS, Ishak Hashim.

Pengerusi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Prihatin, S. Vigneswaran yang mewakili penduduk berkata, pembeli rumah PKNS yang bayarannya tertunggak bersedia membayar semula hutang itu kepada PKNS pada kadar RM500 sebulan jika hutang mereka diambil alih oleh perbadanan itu.

"Kami berharap permohonan ini diluluskan berdasarkan layanan sama rata seperti yang diberikan kepada Talam oleh kerajaan negeri," katanya ketika ditemui di sini.

Pada 2009, kerajaan negeri melalui PKNS telah mengarahkan Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd. (SIC) iaitu anak syarikat milik penuh PKNS supaya membeli hutang Talam sebanyak RM391,986,473.

Vigneswaran berkata, sekiranya perbadanan itu bersetuju, pihaknya mencadangkan agar satu perjanjian pengesahan hutang dilakukan antara PKNS atau SIC dengan pihak bank diikuti perjanjian jual beli antara PKNS atau SIC dengan para pembeli melibatkan pembayaran RM500 sebulan.

"Ini bukannya perjanjian yang membolehkan pembayaran sebanyak RM10 sebulan dibuat sebagaimana dilakukan Kumpulan Hartanah Sdn. Bhd. (KHSB) dengan Talam," katanya sinis.

Beliau memberitahu, pada masa ini terdapat dalam kalangan pembeli rumah tersebut menghadapi kes di mahkamah akibat tidak mampu membayar hutang pembelian rumah mereka.

"Jika PKNS mampu membeli hutang orang kaya seperti Talam, apakah kami rakyat Selangor yang miskin dan berpendapatan rendah tidak berhak dibantu.

"Pada masa ini, terdapat 20 pembeli dalam kalangan kami yang rumah mereka akan dilelong oleh pihak bank. Jadi, kami berharap PKNS dan kerajaan negeri dapat membantu membeli hutang tersebut bagi menyelamatkan rumah-rumah tersebut," katanya.

Sementara itu, wakil pembeli rumah PKNS dari Taman Datuk Harun, Mohamad @ Hussein Abdullah berkata, sekiranya kerajaan negeri bersikap adil dan telus, layanan sama rata seharusnya diberikan kepada semua golongan rakyat terutama mereka yang miskin.

"Kami sanggup membayar balik hutang RM500 sebulan kepada PKNS jika mereka sanggup membeli hutang rumah kami daripada bank. Jika Talam boleh membayar balik kepada SIC sebanyak RM10 sebulan, sepatutnya tiada masalah untuk PKNS mempertimbangkan permohonan kami yang mampu membayar lebih tinggi," katanya.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Komen