Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Khamis, 25 Oktober 2012

Isu Selangor : MBSA, PKNS digesa henti projek?


Penduduk di sekitar Jalan Plumbum, Seksyen 7, Shah Alam mengadakan demonstrasi bagi membantah projek pembinaan jalan raya di belakang kawasan perumahan mereka, semalam.

Penduduk di sekitar Jalan Plumbum, Seksyen 7, Shah Alam mendesak pihak terlibat agar memberhentikan projek pembinaan jalan raya yang sedang di laksanakan di zon penampan di belakang kawasan perumahan mereka sejak sebulan lalu.

Mereka mendesak pihak berkepentingan terhadap projek itu, iaitu Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan i-City agar menghentikan serta mengkaji semula struktur pembinaan jalan sepanjang 20.12 meter itu yang mereka anggap boleh membahayakan penduduk.

Desakan itu dibuat menerusi demonstrasi aman selama sejam bagi membantah projek itu, bermula pukul 9.30 pagi di hadapan pos pengawal i-City yang disertai kira-kira 100 penduduk kawasan berkenaan.

Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 7 Plumbum, Mohd. Badrudin Othman, 56, berkata, pihaknya mahu kerja-kerja pembinaan di zon penampan itu dihentikan kerana kawasan itu diwujudkan bagi membezakan antara kawasan perumahan dan pusat komersial.

"Kami bukan menentang pembangunan, tetapi jika pembinaan jalan raya terlalu hampir dengan belakang rumah iaitu dengan jarak kurang sepuluh meter, zon penampan yang telah tertulis dalam pelan asal MBSA dan mendapat kelulusan pada Jun 2007 akan terhapus.

"Mereka harus mempertimbangkan semula dan perlu memikirkan keselamatan penduduk kerana pembinaan ini membahayakan nyawa penduduk serta pengguna jalan raya," jelasnya kepada pemberita selepas demonstrasi selesai.

Mohd. Badrudin juga memberitahu, pihaknya akan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam berhubung pembinaan jalan raya itu.

Seorang penduduk, Richard How, 50, pula berkata, tindakan meluluskan pembinaan tersebut seolah-olah tidak menghormati 248 pembeli rumah di kawasan itu.

"Mereka seharusnya berbincang dan memaklumkan kepada penduduk terlebih dahulu mengenai perkara ini kerana jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini penduduk yang akan menghadapi ancaman keselamatan.

"Pernah suatu hari, ketika saya dan keluarga sedang menonton televisyen, kami berasa gegaran kesan daripada kerja-kerja pembinaan yang sedang dijalankan," katanya.

Richard juga mendakwa pemaju melakukan kerja pembinaan sehingga lewat malam pada hari bekerja yang jelas mengganggu ketenteraman penduduk.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Ahmad Ilmi Jasman pula meminta PKNS segera menangani isu tanah mendap di Jalan Plumbum yang tiada kesudahan sehingga ke hari ini.

Ini kerana, katanya, surat terakhir PKNS ada menjanjikan bahawa mereka akan memperbaiki semula rumah tersebut secara terperinci tetapi sehingga hari ini masih tidak ditunaikan walaupun telah memasuki minggu ke empat bulan Oktober.

"Saya minta PKNS segera tunaikan janji," kata beliau.

Pada 17 Februari lalu Utusan Malaysia pernah menyiarkan kejadian tanah mendap di Jalan Plumbum yang menyebabkan penduduk di situ cemas apabila bahagian hadapan dan belakang rumah mereka mendap sedalam kira-kira 0.3 meter selepas hujan lebat sehingga berlaku hakisan di kawasan sekitarnya.

Kejadian itu turut menjejaskan kira-kira 40 buah rumah teres dua tingkat di kawasan itu selain sistem saliran yang sempit dan tersumbat mengakibatkan air naik di bahagian hadapan rumah sehingga ke paras buku lali.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan