Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Jumaat, 19 Oktober 2012

Kelantan pindah milik tanah 286 hektar?



Pas Kelantan didapati tidak melindungi kepentingan kerajaan negeri apabila memindah milik tanah tanpa sekatan seluas 286.72 hektar dengan nilai semasa sebanyak RM318.29 juta di tebing Sungai Kelantan kepada syarikat Liziz Standaco Sdn. Bhd.

Perkara itu didedahkan menerusi Laporan Audit 2011 yang mendapati pindah milik tanah tersebut dilakukan antara tahun 2003 hingga 2009 setelah kebenaran dibuat dalam mesyuarat kerajaan negeri yang dipengerusikan Timbalan Menteri Besar pada 2002.

Laporan itu menyebut, bagi menjamin kepentingan kerajaan negeri, pindah milik tanah sepatutnya dibuat selepas syarikat itu menyelesaikan projek terutama dalam memberikan sumbangan kepada kerajaan negeri.

Menurut laporan itu, mengikut perjanjian, projek kerajaan negeri akan menyerahkan tanah tidak melebihi 400 hektar secara pajakan selama 99 tahun kepada syarikat itu untuk melaksanakan Projek Pembangunan dan Pengindahan Tebing Sungai Kelantan bernilai RM2 bilion.

Sebagai pulangan, syarikat itu akan memberikan sumbangan kepada kerajaan negeri bernilai lebih RM350 juta.

"Antara sumbangan itu termasuklah sebuah masjid bernilai RM20 juta, sebuah jambatan di Kampung Cina-Palekbang bernilai RM150 juta, stadium tertutup wanita bernilai RM25 juta dan tabungan untuk Skim Perumahan Kos Rendah (RM15 juta).

"Pemilikan tanah tanpa sekatan kepada syarikat itu merupakan risiko kepada kerajaan sekiranya projek tersebut tidak disiapkan sebagaimana perjanjian," jelas laporan tersebut.

Dedah laporan itu, syarikat pemaju telah mencagarkan tanah seluas 5.4 hektar kepada bank untuk mendapatkan pinjaman sebanyak RM75 juta bagi membiayai kos projek.

Katanya, cagaran tanah untuk tujuan pinjaman itu mendatangkan risiko kepada kerajaan sekiranya pinjaman tidak dapat dijelaskan.

Laporan itu turut menyebut, kerajaan Persekutuan telah membayar pampasan sebanyak RM4.07 juta kepada pihak syarikat itu berikutan pengambilan balik tanah bagi Projek Rancangan Tebatan Banjir Lembangan Sungai Kelantan.

Jelas laporan itu, pembayaran pampasan tersebut sepatutnya diterima kerajaan negeri sekiranya tanah tersebut tidak dipindah milik.

"Pihak Audit juga mendapati tiada kajian terperinci dibuat pakar untuk menilai kemampuan syarikat itu dari segi kewangan dan prestasi selain kemampuan melaksanakan projek serta keluasan sebenar tapak projek yang akan diberi," menurut laporan itu.

Sehubungan itu, laporan tersebut mengesyorkan kerajaan negeri meneliti setiap terma dalam perjanjian usaha sama dengan terperinci supaya kepentingan kerajaan dan rakyat terjamin.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan