Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Rabu, 11 April 2012

Apa sudah jadi dengan Pas?


Apabila satu demi satu kontroversi dan masalah melanda Parti Keadilan Rakyat (PKR), mereka berasa beruntung apabila Pas muncul menjadi pembela setia mereka.

Berbanding DAP yang lebih kerap berdiam diri dalam memberi sebarang ulasan terhadap isu melibatkan pemimpin PKR, pemimpin Pas jauh lebih taksub mempertahankan rakan sekutunya.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali menegaskan, parti itu akan tetap bersama Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti. Ia bermakna apa kontroversi yang dicetuskan oleh Anwar termasuk menyokong sebarang usaha melindungi keselamatan negara Israel, Pas tetap akan bersama Anwar.

Dan beberapa hari lalu pula, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula muncul membuat kenyataan bahawa segala tuduhan dan dakwaan ke atas Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali hanyalah fitnah dan mainan politik pembangkang.

Walaupun kontroversi melibatkan Anwar dan Azmin bukan sahaja disertakan dengan bukti dan cabaran namun pemimpin-pemimpin Pas mengamalkan sikap memejamkan mata sahaja. Mereka tidak mahu dalam keghairahan yang semakin memuncak untuk bersama-sama PKR dan DAP menawan Putrajaya, ia dibantutkan dengan isu yang melanda pemimpin-pemimpin PKR.

Oleh itu walaupun amat memahami bahawa tindak tanduk pemimpin-pemimpin PKR telah menghakis imej pakatan pembangkang dan mencalarkan harapan bagi melihat rakyat menyokong pakatan berkenaan dalam pilihan raya namun pemimpin Pas tidak ada pilihan.

Mereka sanggup mengetepikan soal mencari kebenaran dan menegakkan keadilan semata-mata untuk memastikan kepentingan politik mereka tidak terjejas. Sebab itulah Pas pada masa ini dilihat benar-benar sudah terhakis jati diri mereka dan sanggup bersedia berkompromi dalam apa juga perkara demi kepentingan politik.

Walaupun tindakan pemimpin-pemimpin PKR dilihat turut sama menjejaskan imej Pas, namun Pas tidak berbuat apa-apa malahan mereka terus istiqamah untuk bersama-sama dengan PKR dan DAP.

Di Kota Bharu baru-baru ini, pemimpin Pas bersama-sama dengan Anwar mengadakan ceramah perdana. Pada Sabtu lalu, pemimpin-pemimpin Pas sekali lagi berada sepentas dengan pemimpin kedua-dua parti berkenaan atas nama Munajat Perdana Mempertahankan Selangor.

Tetapi semua orang tahu apa yang berlaku di negeri berkenaan, apabila Pas yang turut serta dalam pentadbiran kerajaan PKR Selangor hanya sekadar 'pak turut' sahaja. Pemecatan Datuk Dr. Hasan Ali daripada Pas berikutan tindakan beliau ingin mempertahankan prinsip perjuangan parti itu sudah menjadi bukti bahawa Pas tidak ada apa-apa kuasa.

Di kalangan pengikut di peringkat akar umbi mereka semakin keliru dan tertanya-tanya, apakah Pas kini sudah semakin lemah sehingga terpaksa berkorban apa sahaja demi meraih kuasa bersama kedua-dua parti berkenaan. Perasan muak dan bosan dengan keterujaan pemimpin-pemimpin Pas mempertahankan salah laku pemimpin PKR semakin ketara di kalangan ahli-ahli akar umbi.

''Susah kami hendak jelaskan kepada rakyat apabila mereka bertanya apa pendirian Pas mengenai isu-isu membabitkan pemimpin PKR,'' kata seorang pemimpin muda Pas ketika dihubungi di Kuala Lumpur.

Selain itu, mereka juga bimbang semangat untuk berjuang habis-habisan di kalangan ahli Pas semakin luntur dan terhakis kerana pembangkang dilihat sudah ketandusan isu. Keadaan itu ditambah pula dengan kerajinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turun padang bertemu rakyat.

Langkah kedua-dua pemimpin negara itu benar-benar memberi tamparan hebat kepada pembangkang memandangkan rakyat semakin merasai siapa sebenarnya memperjuangkan nasib mereka.

''Ketika pemimpin BN semakin banyak menghabiskan masa bertemu dengan rakyat, pemimpin-pemimpin pembangkang pula termasuk Pas terpaksa menjawab pelbagai isu berkaitan kerenah pemimpin pakatan itu.

''Keadaan ini merugikan pakatan pembangkang kerana rakyat semakin mampu mendapat isyarat siapa yang lebih layak dipilih dalam pilihan raya nanti,'' kata pemimpin muda itu.

Apa pun yang lebih menjadi persoalan ialah mengenai masa depan politik Pas. Parti itu dilihat bukan sahaja semakin goyah di Kedah malahan semakin tergugat di Kelantan. Begitu juga di seluruh negara, di sesetengah negeri, Pas dilihat tidak ada harapan untuk memenangi kerusi yang banyak kerana rakyat terutamanya orang Melayu semakin meragui keupayaan parti itu.

Segala-galanya kerana Pas pada masa ini dilihat terlalu bergantung kepada PKR dan DAP serta berupaya untuk menunjukkan ketegasannya sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam.

Sikap Pas yang terlalu bertolak-ansur dan tidak tegas apabila berhadapan dengan isu-isu melibatkan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP telah memungkinkan parti itu dilihat semakin tiada prinsip politik.

Lebih mengecewakan pengikut parti itu sendiri, Pas juga bersedia bersekongkol dengan mainan janji-janji pemimpin-pemimpin PKR, biar pun mereka tahu ia sukar untuk dilaksanakan.

Justeru, ramai yang berpandangan jika Pas terus bersikap dengan demikian, tidak mustahil parti itu akan mencatatkan prestasi paling buruk dalam sejarah penubuhannya dalam pilihan raya umum akan datang.

Tetapi kita percaya, Pas tidak akan mempercayai fakta berkenaan kerana mereka sudah 'dibuai mimpi indah' ke Putrajaya, biar pun semua orang tahu itu hanya sekadar satu mimpi!

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan