Terima kasih kerana mengundi BN
Jumaat, 13 April 2012
‘Bekas imam jatuhkan maruah kehakiman’!
Bekas imam, Hoslan Hussin wajar dipenjarakan atas kesalahan menghina mahkamah kerana hukuman sedemikian keras dilihat berupaya mengembalikan maruah institusi kehakiman yang tercemar ekoran tindakannya membaling selipar ke arah panel hakim bersidang, Februari lalu.
Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin berpendapat, perbuatan membaling objek seperti kasut ke arah individu apatah lagi terhadap hakim mahkamah tertinggi negara, merupakan tindakan yang jelik bertujuan merendah-rendahkan maruah seseorang.
Pada hemat beliau, tindakan kasar Hoslan ‘menyerang’ panel hakim bersidang semata-mata untuk menunjukkan perasaan tidak puas hati terhadap keputusan yang tidak memihak kepadanya, jelas menghina kesaksamaan institusi kehakiman.
Hakim Zulkefli turut menyatakan, perbuatan seperti itu harus dihukum kerana jika dibiarkan berterusan, ia dikhuatiri mencapai tahap yang boleh melemahkan kredibiliti pengurusan mahkamah pada mata masyarakat.
‘‘Pernyataan maaf sekali pun tidak akan mengurangkan graviti kesalahan yang dilakukan kerana ia telah menghina pentadbiran sistem keadilan di negara ini,’’ ujar beliau dalam penghakiman bertulisnya ketika menjatuhkan hukuman penjara setahun terhadap Hoslan, 46.
Hukuman itu dijatuhkan secara sebulat suara oleh Hakim Zulkefli ketika bersidang bersama Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaleha Zahari pada 8 Mac lalu.
Mahkamah berpuas hati bahawa bekas imam ratib Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan di ibu negara itu bersalah menghina mahkamah kerana membaling selipar ke arah panel bersidang yang mendengar permohonannya bagi mendapatkan kebenaran merayu pada 22 Februari lalu.
Penghakiman bertarikh 5 April lalu selanjutnya menyatakan, sebelum menjatuhkan hukuman, panel hakim bersidang turut menimbang ketidakupayaan Hoslan menahan emosi dan kemarahan yang menyebabkan dia gagal melihat sebab dan akibat perbuatannya.
Hakim Zulkefli berpandangan, hukuman penjara itu bukan dilakukan atas kepentingan peribadi hakim-hakim tetapi bertujuan memelihara dan mendokong maruah mahkamah tertinggi negara.
Menurut beliau, walaupun mahkamah bersimpati terhadap isterinya, Noorliza Mat Isa, 43, dan tujuh anak mereka, undang-undang harus dilaksanakan secara adil selepas meneliti segenap sudut.
Panel itu turut berharap agar Hoslan menggunakan tempoh penjara setahun itu untuk bermuhasabah dan menilai semula perbuatan menghina yang telah dilakukannya.
Penghakiman setebal 16 muka surat itu diperoleh oleh pihak media hari ini daripada peguam Karpal Singh yang mewakili Hoslan pada pendengaran permohonan semakan di hadapan satu panel lain.
Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria yang mengetuai panel lima hakim bersidang menangguhkan prosiding semakan hingga Isnin depan selepas Karpal memaklumkan pihaknya memerlukan masa untuk meneliti penghakiman bertulis yang hanya diperoleh pada sebelah pagi.
Turut bersidang, Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum, Tan Sri Abdull Hamid Emboang, Datuk Ahmad Maarop dan Datuk Zainun Ali.
Hoslan memohon agar hukuman penjara setahun yang sedang dijalaninya disemak dan dikurangkan oleh panel berkenaan atas alasan Mahkamah Persekutuan terdahulu melampaui bidang kuasanya ketika menjatuhkan hukuman itu.
Ini kerana hukuman maksimum yang diperuntukkan di bawah Seksyen 228 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menghina pegawai kehakiman adalah penjara enam bulan atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Dia yang ditamatkan pelantikannya sebagai imam pada Oktober 2008, disabitkan menghina mahkamah di antara pukul 10.15 pagi dan 10.30 pagi, 22 Februari lalu di Mahkamah Persekutuan 1, Aras 2, Istana Kehakiman di sini.
Wasabi Oyabun..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan