Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 5 Ogos 2014

Kes Hina Agama: Tidak Timbul Isu Peguam Negara Tidak Kompeten Seperti Dilapor Akhbar - Abdul Gani?


Jabatan Peguam Negara sentiasa memantau dan mengambil tindakan sewajarnya dari semasa ke semasa ke atas setiap perbuatan berhubung isu menghina agama Islam, kata Peguam Negara.

Tan Sri Abdul Gani Patail berkata sejak Mac lepas, jabatan itu telah melaporkan setiap minggu semua kes-kes yang diterima daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kepada perdana menteri, menteri dan ketua-ketua jabatan semua perkara berkaitan kes kepentingan awam.

Ini termasuklah kes-kes dalam siasatan dan siasatan lanjut, kes dalam prosiding mahkamah, kes digugurkan dan kes selesai, katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Oleh itu, beliau menegaskan tidak timbul isu "ada laporan tetapi tiada tindakan", "Peguam Negara tidak kompeten untuk bersikap adil", atau "membuat pendakwaan terpilih" terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan seperti yang dibangkitkan di media massa.

Beliau mengulas desakan yang dibuat Naib Ketua Pemuda Umno Khairul Azwan Harun serta beberapa pihak lain seperti disiarkan akhbar arus perdana yang mahu jabatan itu mengambil tindakan segera dan tidak berlembut ke atas seorang pengguna laman sosial Facebook, Kelvin Yip dan beberapa individu lain kerana menghina agama Islam dan kaum.

Abdul Gani berkata dalam hal ini, agensi penguatkuasa seperti PDRM dan SKMM akan menjalankan siasatan dan mengumpul maklumat apabila ada laporan polis dibuat terhadap mana-mana pihak.

Beliau berkata kertas siasatan yang telah lengkap akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara, di mana jabatan itu sentiasa bekerjasama baik dengan pihak PDRM.

"Sekiranya terdapat keterangan dan bukti yang kukuh bahawa mana-mana individu telah melakukan kesalahan, beliau akan didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang bersesuaian tanpa mengira status dan latar belakang individu berkenaan.

"Walaubagaimanapun, pihak PDRM sering menghadapi kesukaran apabila pihak yang disiasat tidak mempunyai alamat 'protokol internet', identiti dan akaun e-mel palsu hingga menyukarkan mereka untuk membuat pengesahan," katanya.

Menurut Abdul Gani pihak polis juga sering menghadapi kesukaran dalam mendapatkan kerjasama pihak negara luar dalam membantu siasatan ke atas kes-kes hasutan.

Beliau bagaimanapun menegaskan jabatan itu akan meneliti segala keterangan yang dikemukakan dalam siasatan tersebut, manakala keputusan sama ada pertuduhan dibuat atau sebaliknya akan dibuat selepas keterangan atau bukti dikemukakan diteliti dan dipertimbangkan.

Berhubung status melibatkan pasangan Alvin Tan dan Vivian Lee, penceramah bebas Shahul Hamid Seeni Mohd, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima RSN Rayer dan penyanyi rap kontroversi Wee Meng Chee Wee atau Namewee, Abdul Gani berkata kesemua kes telah dirujuk kepada pihaknya dan tindakan susulan telah diambil.

Bagi kes Tan dan Lee, jabatan itu telah mengemukakan tiga pertuduhan dan memutuskan mengenakan pendakwaan terhadap pasangan itu, di mana waran tangkap telah dikeluarkan ke atas Tan selepas gagal hadir ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, manakala dalam kes melibatkan Shahul Hamid jabatan telah mengarahkan PDRM untuk melengkapkan kertas siasatan mengenainya, katanya.

Beliau berkata jabatan itu juga sedang mengkaji pertuduhan yang akan dikenakan terhadap RSN Rayer berhubung ucapannya yang menghina Umno pada sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 20 Mei lepas, manakala tindakan Namewee mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pekerja Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah dirujuk pada 22 Julai lepas dan jabatan mendapati terdapat keterangan yang mencukupi untuk mendakwanya di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

"Lain-lain kertas siasatan melibatkan Mohd Razlan Muhammad Rafii, Sim Kwang Yung, Smallfield Benjamin dan Kelvin Yip masih dalam siasatan PDRM dan belum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara," katanya.- BERNAMA

Wasabi Oyabun...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan