Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 16 Ogos 2014

Apa pilihan yang Pas ada?


Apa pilihan yang Pas ada? Itulah persoalan yang bermain dalam fikiran banyak pihak apabila Jawatankuasa Pas Pusat mengadakan mesyuarat esok bagi menentukan pendirian politik parti itu berhubung isu kemelut jawatan Menteri Besar (MB) Selangor berikutan pemecatan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Kepimpinan Pas diterajui oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akan melangkah masuk ke dalam dewan mesyuarat di Ibu Pejabat Pas, Kuala Lumpur untuk membuat satu keputusan yang bukan sahaja berkisar siapa lebih layak menduduki kerusi MB tetapi bakal menentukan haluan politik parti itu khususnya kerjasama dalam pakatan pembangkang.

Bukanlah rahsia lagi, sepanjang kemelut politik di Selangor tercetus, Pas menjadi sasaran kritikan sekutunya, PKR dan DAP. Pendirian Pas mempertahankan Abdul Khalid biarpun dipecat oleh PKR memandangkan beliau sudah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menampakkan wajah sebenar sekutu-sekutunya.

Mereka langsung tidak menghormati hak Pas, sebaliknya Pas diberi kata dua untuk mengikut telunjuk apa yang diputuskan oleh PKR dan DAP. Malah ketika mereka mengkritik Pas kerana didakwa senada dengan UMNO dan mengingatkan Pas supaya tidak menangguk di air keruh apabila wujudnya ura-ura Abdul Khalid akan menyertai Pas, mereka tidak pula berkata apa-apa apabila dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas ‘berpaling tadah’ menyokong Wan Azizah.

Sepatutnya, PKR dan DAP menghormati pendirian Pas untuk membuat pendirian rasmi esok serta mengelakkan mana-mana ADUN Pas mendahului keputusan parti. Tetapi seperti biasa sejak menjalin tahaluf siyasi dengan PKR dan DAP, Pas sentiasa sahaja ‘diarahkan’ untuk memenuhi apa juga kehendak politik kedua-dua parti itu.

Dalam bahasa mudah, "kalau mereka buat tak apa, kalau Pas buat tak boleh.’’

Persoalannya, dalam situasi sekarang apa langkah Pas? Berikut penulis paparkan antara senario yang memungkinkan Pas dilihat seolah-olah berada dalam situasi ibarat, "ditelan mati emak, diluah mati bapa’’ untuk membuat keputusan;

* Tetap menyokong Abdul Khalid, menolak Wan Azizah;

- Keputusan ini agak sukar dilakukan oleh Pas memandangkan jumlah kerusi DUN Pas biar pun pada asalnya berjumlah 15 kerusi kini berkurangan kepada 13 kerusi berikutan, dua ADUN mereka sudah pun menyatakan sokongan kepada Wan Azizah.

Kalaupun Pas mahu terus mempertahankan Abdul Khalid, MB Selangor itu tetap tidak akan mampu bertahan kerana jumlah ADUN yang menyokong beliau tidak mencukupi kerana hanya bergantung kepada UMNO yang memiliki 12 kerusi.

Keputusan untuk terus memihak kepada Abdul Khalid juga sekali gus bermakna Pas tidak lagi mempunyai kesepakatan dengan PKR dan DAP. Pendirian ini akan menyebabkan Pas tidak boleh lagi berada dalam pakatan pembangkang.

* Tetap menolak Wan Azizah dan mencalonkan nama lain;

- Soalnya siapakah yang Pas mahukan? Apakah calon yang hendak menggantikan Wan Azizah itu daripada PKR atau Pas? Kalaulah daripada PKR apakah calon itu diterima oleh ADUN-ADUN DAP yang sudah sepakat mahukan Wan Azizah dan pendirian ini sudah pasti akan turut disokong oleh ADUN-ADUN PKR.

Kalaulah calon Pas, apakah PKR dan DAP akan menyokong calon tersebut? Atau kalaupun hipokrit tahap tertinggi dimainkan oleh kedua-dua parti itu dengan menyatakan sokongan mereka, bolehkah MB daripada Pas tersebut bekerja dengan selesa terutamanya dalam soal mempertahan kesucian agama Islam dan hak orang Melayu?

* Menyokong Abdul Khalid untuk membubarkan DUN;

- Keputusan ini akan menyebabkan Pas ‘tidak layak’ berada dalam pakatan pembangkang kerana ia bertentangan dengan hasrat PKR dan DAP. Kedua-dua parti itu tidak mahu pembubaran DUN, yang mereka mahukan ialah Abdul Khalid disingkirkan dan digantikan dengan Wan Azizah.

Pakatan pembangkang khususnya PKR cukup sedar jika pilihan raya negeri di atas mereka belum mampu mempertahankan kerusi sedia ada, sebaliknya peluang terbuka kepada Pas, UMNO dan DAP untuk menambah kerusi.

* Menyokong Wan Azizah dan terus jadi ‘pak turut’;

- Tindakan ini akan menyebabkan maruah Pas menjadi pertaruhan. Ia memandangkan Pas sejak awal lagi menolak langkah politik yang disusun oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menempatkan isterinya sebagai Menteri Besar.

Membenarkan Wan Azizah menduduki jawatan MB samalah juga ‘hukumnya’ Pas menerima segala amalan politik tidak beretika dan melanggar prinsip-prinsip demokrasi yang disusun oleh pemimpin-pemimpin PKR.

Malah ia juga akan membolehkan selepas ini, PKR dan DAP sama sekali tidak akan berasa takut dengan apa juga tindakan, kenyataan dan pendirian Pas kerana mereka tahu akhirnya Pas sememangnya sudah merelakan parti itu menjadi ‘pak turut’ dalam pakatan pembangkang.

Keadaan tersebut akan mengecewakan penyokong dan ahli Pas di peringkat akar umbi yang majoritinya menentang langkah politik PKR dan semakin bosan dengan sikap tidak hormat DAP terhadap Pas.

* Tidak membuat keputusan, menanti langkah politik Abdul Khalid

- Bagi mengelakkan keadaan bertambah kusut dan memandangkan Abdul Khalid masih lagi boleh mentadbir kerajaan negeri dengan bantuan empat Exco daripada Pas dan pada masa sama Wan Azizah pula mendakwa sudah mempunyai sokongan majoriti, mungkin Pas boleh sahaja menanti langkah politik yang akan dilakukan oleh Abdul Khalid.

Pas juga boleh menyatakan pendirian selepas Abdul Khalid dan Wan Azizah menghadap Sultan Selangor.

Demikian antara senario atau pilihan yang ada dalam tangan Pas bagi menangani kemelut perebutan kerusi MB Selangor.

Seperti mana kata seorang pemimpin Pas kepada penulis dalam satu pertemuan di Shah Alam, parti itu benar-benar perlu mempertimbangkan setiap keputusan dengan berhati-hati.

"Tetapi apa yang pasti, pemimpin dan ahli Pas semakin mengenali hati budi, ‘isi perut’, pemimpin-pemimpin PKR dan DAP. Oleh itu, janganlah terkejut jika ada keputusan di luar dugaan dilakukan oleh Pas,’’ kata pemimpin tersebut.

Namun apa pun keputusan yang dibuat, Pas harus memastikan ia tidak membuka ruang wujud lebih ramai kelompok yang tidak menghormati resam berjemaah, bersedia tunduk biar pun sudah dikecam oleh PKR dan DAP, mengesahkan Pas sememangnya ‘pak turut’ dalam pakatan pembangkang serta sanggup maruah sebagai parti Islam dipijak semata-mata mahu memburu kuasa.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan