Minggu lalu Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) mengadakan sesi pendengaran khas selama tiga hari mengenai tiga anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), Yayasan Selangor dan Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).
Namun begitu, Ketua Pemuda Selangor, Ungku Salleh Ungku Jamal menyifatkan sesi tersebut hanya membuang masa kerana tidak membawa apa-apa manfaat kepada kepentingan Kerajaan Negeri dan rakyat negeri ini.
Katanya, Kerajaan Negeri tidak jujur dalam menubuhkan Selcat kerana meletakkan individu berkepentingan dalam jawatankuasa itu dan hanya mengikut telunjuk Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim. “Ini kerana tidak ada apa-apa tindakan diambil selepas sesi tersebut,” katanya dalam pertemuan baru- baru ini.
Selepas hampir sepenggal pemerintahan pakatan pembangkang di Selangor, apa yang saudara boleh rumuskan?
UNGKU SALLEH: Apa yang kita lihat semakin hari semakin banyak memperlihatkan kelemahan pentadbiran Kerajaan Negeri. Pelbagai masalah dihadapi seperti isu sampah, penyelewengan Yayasan Selangor, kerugian PKPS dan sebagainya. Pada hemat saya, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kecekapan dalam pentadbiran kerana mereka hanya tahu berpolitik sahaja.
Pada pilihan raya umum lalu, mereka meuar-uarkan banyak manifesto tetapi gagal melaksanakannya. Mereka mendabik dada kononnya berjaya mengumpul aset dan simpanan tunai, tetapi hakikatnya itu adalah peninggalan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.
Pada saya Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak mengambil langkah drastik mengatasi kelemahan ini. Tindakan Kerajaan Negeri menubuhkan Selcat, kononnya untuk memantau penyelewengan yang berlaku hanyalah sandiwara. Individu yang dilantik mengetuai Selcat adalah kroni sendiri iaitu Datuk Teng Chang Khim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri.
Selcat ditubuhkan semata-mata melindungi kelemahan pentadbiran, dan hanya mengikut telunjuk Menteri Besar. Jadi, saya tidak nampak kejujuran Selcat ini, yang hanya mengaburi mata rakyat kononnya Kerajaan Negeri serius mengatasi penyelewengan. Kita tahu sehingga hari ini banyak isu yang dibawa Selcat tidak selesai.
Kerajaan Negeri sepatutnya mencontohi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dianggotai oleh individu bukan ahli politik dan berkesan menjalankan siasatan serta jujur untuk menambah baik pentadbiran kerajaan.
Mengapa Kerajaan Negeri masih tidak mengaku kelemahan dalam pentadbiran dan tetap mengatakan penyelewengan berlaku sejak zaman BN?
UNGKU SALLEH: Pakatan pembangkang terlupa bahawa mereka kini mentadbir Negeri Selangor. Mereka sepatutnya tidak boleh menyalahkan orang lain kerana sudah empat tahun mereka memerintah. Sepatutnya jika melihat kepincangan dan kelemahan dalam pentadbiran, mereka perlu segera memperbaiki. Bukan menyalahkan orang lain. Malangnya mereka cuba mewujudkan persepsi dalam kalangan rakyat bahawa kesilapan itu dilakukan oleh BN.
Sampai bila hendak menjadikan orang lains ebagai kambing hitam? Pengurus Besar Yayasan Selangor, Ilham Marzuki sendiri mengakui wujud penyelewengan, mengapa tiada tindakan diambil terhadap pengakuan itu? Saya tidak teragak-agak membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan menjadikan pengakuan Ilham ini sebagai bukti bagi SPRM menyiasat perkara ini. Rakyat Selangor perlu tahu keadaan sebenar dalam negeri ini.
Sudah ada pengakuan dibuat dalam Selcat, tetapi tiada sebarang tindakan diambil. Apa komen saudara?
UNGKU SALLEH: Selcat ini hanya ditubuhkan untuk mengaburi mata rakyat yang hanya mencari kesalahan BN. Seolah-olah mereka menyiasat isu yang berbangkit, sedangkan tindakan itu hanya buang masa sahaja. Lebih baik kita laporkan kepada SPRM, yang lebih telus menyiasat perkara ini.
Selcat ini adalah mainan Kerajaan Negeri kerana tiada tindakan dan keputusan diambil oleh Selcat. Bagaimana Speaker Dun nak siasat jika isu itu berkaitan dengan Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Menteri Besar. Ini semua adalah mainan Menteri Besar PKR.
Saudara setuju dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang menyifatkan Selcat ‘double standard’ dan tidak ubah seperti mahkamah kanggaru?
UNGKU SALLEH: Memang tidak dinafikan lagi. Malah mahkamah kanggaru lagi baik daripada Selcat. Datuk Seri Noh sebelum ini pernah mencabar Abdul Khalid sekiranya kenyataan yang dikeluarkan oleh beliau salah, Noh rela melepaskan jawatan sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Tapi jika berlaku penyelwengan dalam Kerajaan Negeri, Abdul Khalid patut minta maaf secara terbuka dan letak jawatan sebagai Menteri Besar.
Saya rasa sampai hari ini Abdul Khalid tidak berani sahur cabaran itu. Kita nak lihat SPRM buat kerja, berdasarkan bukti yang ada bahawa wujud salah guna kuasa dalam Kerajaan Negeri. Pemuda Umno sendiri pernah meminta Abdul Khalid letak jawatan tetapi tiada sebarang respons. Ini kerana Menteri Besar masih dikawal oleh DAP dan pemimpin utama PKR.
Sebelum ini kita lihat wujud beberapa cabaran debat oleh PR terhadap pemimpin BN, adakah perlu debat ini dan siapakah yang layak?
UNGKU SALLEH: Salah satu debat yang kita lihat sebelum ini adalah melibatkan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin dan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, orang yang pakar debat boleh menilai perkara sebegini. Namun, jika Datuk Seri Anwar Ibrahim nak cabar Datuk Seri Najib Tun Razak, saya rasa buang masa Perdana Menteri sahaja, kerana beliau banyak lagi perkara hendak dilakukan khususnya hal ehwal kebajikan rakyat. Saya sendiri cabar Ketua AMK Selangor untuk berdebat, biar rakyat yang tentukan siapa yang lebih baik.
Sebagai Ketua Pemuda Umno Selangor, apa pelan yang saudara rancang untuk persediaan pilihan raya akan datang?
UNGKU SALLEH: Pemuda Umno Selangor mempunyai manifesto tersendiri kerana kita melihat hari ini, Kerajaan Negeri tidak menyediakan perancangan jangka masa pendek dan panjang untuk golongan belia. Kita lihat mereka tidak serius tentang masa depan orang muda dan tidak memberi janji-janji yang jelas kepada orang muda yang sehingga kini tidak terlaksana.
Apabila kita bertanya semula, Kerajaan Negeri berkata mereka tidak pernah berjanji. Kita akan keluarkan semula manifesto mereka dahulu, kita akan ingatkan kembali rakyat tentang janji dahulu perlu diselesaikan sebelum meuar-uarkan Buku Jingga.
Kita lihat belia-belia yang menyokong BN hari ini, tiap-tiap isu akan keluar dalam blog dan Facebook. Kita yakin PR akan menghadapi tentang luar biasa daripada golongan muda. Walaupun mereka sengaja mewar-warkan, pemuda menyokong mereka tetapi kita ingin memberi ingatan kepada mereka pilihan raya kecil terakhir saluran undi tiga dan empat memihak kepada mereka.
Jangan membuat persep-si bahawa golongan muda menyokong mereka, walhal apa yang mereka buat kepada orang muda pada hari ini. Pemuda BN pada hari ini berjaya menganjurkan BN Job Fair, BN Rumah Pertama dan BN Youth Music, kesemuanya kita beri peluang kepada anak-anak muda. Kita juga beri biasiswa kepada pelajar dan meuar-uarkan kepada mereka universiti yang menjalankan pembelajaran percuma. Sedang Kerajaan Negeri sibuk berpolitik, kita telah beri peluang kepada anak muda pelbagai peluang.
Adakah saudara yakin Selangor akan kembali ditawan pada pilihan raya umum akan datang?
UNGKU SALLEH: Saya yakin. Kita tidak mahu takbur, tetapi dengan melihat anak muda pada hari ini, bersama-sama dengan kita. Golongan belia zaman sekarang adalah berbeza, mereka celik IT. Malah kita boleh lihat Perdana Menteri boleh bersama-sama dengan mereka. Mana ada dalam sejarah, Perdana Menteri duduk menonton bola sepak bersama rakyat. Denyut nadi orang muda sentiasa berada dalam hati beliau. Saya yakin undi golongan muda akan berpihak kepada kita, BN.
Apa harapan saudara kepada anak muda pada masa kini?
UNGKU SALLEH: Jangan kita terpengaruh dengan anasir-anasir jahat dan tidak sihat yang cuba dibawa parti pembangkang. Keadaan harmoni yang berlaku pada hari ini kita perlu kekalkan. Jangan terpengaruh sehingga berdemonstrasi kerana akan mengganggu ketenteraman awam dan keamanan di negara ini. Ketenteraman ini perlu dipelihara kerana seperti hari ini, jam 2 pagi pun kita boleh minum teh tarik tanpa apa-apa gangguan.
Kalau ini kita pegang dan ikut saluran yang betul, insya-Allah Pemuda Umno Selangor sentiasa terbuka menerima teguran dan kritikan kerana sebagai manusia kita tidak sempurna. Dalam satu pokok pun pasti ada dahan yang tidak elok. Anak muda perlu membuang dahan tersebut dan bukan pokoknya. Ini kerana pokok yang baru belum tentu boleh menjadi tempat berteduh.
Mungkin ia berduri. Begitu juga dengan realiti, jika tidak suka seseorang pemimpin, anak muda tidak wajar menolak terus parti dan menukar parti yang lain. Banyak perkara perlu kita lihat, jika anda fikir menukar kerajaan ini seperti menukar baju, ia salah kerana selepas ini jika tertukar, dengan air mata darah sekalipun ia tidak akan berubah dan menyesal seumur hidup.-SH
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan