Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 14 Januari 2014

Khalid gugat Islam?


Minggu lepas berlalu dengan sekali lagi umat Islam memperlihatkan kesabaran dalam isu serbuan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas premis Persatuan Bible Malaysia (BSM) dan merampas Bible Bahasa Melayu yang mengandungi kalimah Allah.

Kenyataan Pengarang The Herald, Paderi Lawrence Andrew tidak berganjak dengan pendiriannya dalam penggunaan kalimah Allah dan enggan memohon maaf, dilihat sebagai satu lagi penghinaan kepada umat Islam.

Kelmarin Presiden BSM, Lee Min Choon menegaskan persatuan itu tetap akan mengedarkan Bible bahasa Melayu yang mempunyai kalimah Allah.

Ternyata kenyataan Andrew dan Min Choon membarakan lagi kemarahan umat Islam. Ingatkan isu tersebut akan reda rupa-rupanya makin panas. Awang bimbang jika suasana seperti itu berterusan dikhuatiri ia membawa pertelingkahan agama.

Sudah tentu kedua-duanya mendapat dorongan luar biasa daripada arahan Menteri Besar Selangor, Khalid Ibrahim yang menekan JAIS iaitu memulangkan rampasan Bible tersebut dan prosedur operasi standard (SOP) yang baharu antara lain arahan merujuk kepada exco kerajaan negeri terlebih dahulu.

Nampaknya sekali lagi Khalid membenarkan dirinya tunduk kepada tekanan DAP selain terbawa-bawa pendekatan liberal PKR. Antara menjaga kesucian Islam dan kepentingan politik, beliau memilih yang kedua.


Pada hal, Sultan Selangor pada 14 Disember lalu menitahkan bahawa semua rakyat negeri itu tanpa mengira agama dan keturunan perlu patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh kalangan bukan Islam.

Keputusan Mahkamah Rayuan dalam isu tersebut juga sudah jelas. Menteri Besar jenis apakah beliau?

Sepatutnya Khalid lantang menyanggah cubaan berbahaya tiga wakil rakyat DAP yang mahu Enakmen Agama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan di Kalangan Orang Islam) Selangor 1988 dipinda.

Cadangan tersebut mempunyai implikasi besar terutama kepada gejala murtad. Khalid tidak boleh menjadi dayus dan kelihatan bersubahat dengan pemimpin DAP memudaratkan kepentingan Islam.

Mesejnya, janganlah berharap PKR akan mempertahankan kesucian Islam. Dalam isu ini, Khalid perlu memohon maaf kepada umat Islam, Sultan Selangor dan JAIS.

Kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Awang bersyukur kerana tidak tunduk kepada Khalid, sebaliknya terus mempertahankan tindakan JAIS.

Begitu juga kepada para ulama dan mufti termasuk daripada Pas serta badan-badan bukan kerajaan (NGO) Islam yang bersatu hati.

Inilah ujian kepada masa depan umat Islam. Berserah begitu sahaja dalam isu kalimah Allah atau bangkit mempertahankannya habis-habisan ketika pihak lain jauh lebih berani dan ke hadapan.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan