Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Khamis, 25 Julai 2013

Ratu Cantik dengan 1,001 alasan?

Empat daripada finalis Miss Malaysia World 2013 terdiri daripada gadis beragama Islam semasa sidang akhbar pengenalan 20 peserta finalis pertandingan ratu cantik itu di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kita tidak akan habis memperkatakan polemik isu salah atau tidak penyertaan gadis Islam dalam pertandingan ratu cantik selagi ada pihak yang mahu 'menegakkan benang basah'.

Maksudnya, berusaha mencari alasan memenangkan perkara yang sudah jelas-jelas salah. Kerana itu sudah keluar dari mulut gadis Islam terbabit "kenapa sukan gimnastik atau renang yang lebih seksi pemakaiannya boleh, kami pula peserta ratu cantik tak boleh".

Kalau nak cari alasan untuk 'menghalalkan' perkara yang salah, 1,001 alasan pun boleh dicari, hatta sebesar kuman pun.

Si penganjur pun satu hal. Maka keluarlah kenyataan untuk sekali lagi 'menghalalkan' penyertaan gadis-gadis Islam itu sebagai kononnya "anda tidak perlu memperagakan pakaian renang, cukup sekadar pakaian sukan".

Eh! kalau sebahagian besar peserta bukan Islam terbabit memakai pakaian renang, hampir terdedah payu dara manakala sebilangan lagi pakaian sukan, tidakkah janggal atur cara pertandingan itu?

Seingat penulis, tidak ada kriteria pemilihan pemenang finalis pertandingan ratu cantik Miss Malaysia World 2013 yang sekadar untuk peserta yang tutup aurat. Akan pasti terpalit isu halal haram ke atas peserta ratu cantik Islam itu.

Suatu masa lalu kita didedahkan dengan satu fatwa berkaitan hukum wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik. Fatwa ini dikeluarkan oleh Allahyarham Datuk Haji Ishak Baharom, bekas mufti Selangor sekitar 1997 dan disahkan oleh Sultan Selangor.

Fatwa ini dikeluarkan ekoran sekitar tahun itu banyak pertandingan ratu cantik yang telah dijalankan. Dan yang menyedihkan serta memalukan apabila terdapat ramai wanita yang beragama Islam tidak terlepas menyertainya.


Perbuatan mendedahkan aurat tidak kira lelaki atau perempuan memang dilarang dalam agama Islam. Enakmen Pentadbiran Perundangan Islam Negeri Selangor mengenai fatwa tentang penyertaan wanita Islam dalam pertandingan ratu cantik sebenar telah diwartakan mengikut Warta Kerajaan Negeri Selangor Jil. 48 No. 10 bertarikh 11 Mei 1995 ["Adalah haram bagi wanita Islam menyertai apa-apa jenis pertandingan ratu cantik" - Fatwa itu dibuat pada 28 April 1995 (JAI. Sel. 8014/7 Jilid III; P.U. Sel. 2780)].

Kalaupun sesetengah peserta atau pihak menyatakan bahawa penglibatan mereka dalam mana-mana pertandingan ratu cantik tidak mempunyai kaitan dengan orang lain, atau ia hanya soal dosa pahala antaranya dengan Tuhan semata-mata, itu amat tidak tepat. Ini kerana konsep penutupan aurat bukan sekadar melibatkan hubungan hamba dengan Tuhan, tetapi ia juga bertujuan untuk memelihara iman orang lain.

Atas dasar ini jugalah mengapa undang-undang diwujudkan, iaitu untuk memelihara ketenteraman awam dengan mencegah akhlak yang buruk tidak berlaku dan diperlihatkan kepada umum.

Pertandingan ratu cantik yang melibatkan peserta Islam dilarang kerana perbuatan-perbuatan yang menjolok mata dan sangat bertentangan dengan akhlak Islam akan menyebabkan masyarakat Islam keseluruhannya berasa amat tersinggung.

Walaupun tidak ada undang-undang khusus yang mengharamkan peserta Islam dalam pertandingan ratu cantik, tetapi fatwa yang dikeluarkan dan diwartakan adalah undang-undang yang mengikat. Contohnya fatwa berkaitan yang telah diwartakan oleh Wilayah Persekutuan pada Februari 1996 memperuntukkan, "Adalah haram dan berdosa bagi orang Islam menyertai dan menganjurkan atau menyumbangkan apa-apa bentuk sumbangan untuk penganjuran apa-apa pertandingan ratu cantik."

Berdasarkan kepada nas-nas yang dikemukakan, umat Islam di Malaysia bersetuju memutuskan bahawa menyertai dan menganjurkan peraduan ratu cantik adalah haram di sisi Islam.

Islam telah membataskan batasan aurat yang sepatutnya harus ditutupi oleh wanita Muslim iaitu dari pusat sampai ke lutut sesama wanita Muslim. Sedangkan aurat yang harus ditutup oleh wanita Muslim daripada pandangan wanita bukan Muslim adalah seperti penutupan yang harus dilakukannya terhadap lelaki yang bukan mahramnya.

Lihatlah betapa acara ratu cantik ini begitu bertentangan dengan ajaran Islam dan juga menjadi satu penghinaan ke atas martabat dan maruah golongan wanita khususnya wanita Islam apabila anggota badan mereka dengan senangnya ditonton oleh orang ramai tidak kira agama atau jantina dan dinilai kecantikannya oleh juri tertentu.

Isu ini sudah lama bermain di negara-negara Islam. Namun adakah dengan 'pertabalan' ratu cantik Islam ini akan membuka jalan atau peluang kepada remaja-remaja Islam lain untuk turut sama mengorak langkah menyertai mana-mana pertandingan ratu cantik kelak?

Cukup merisaukan andai perkara ini boleh mempengaruhi pemikiran anak muda zaman sekarang yang mana sememangnya buta dalam menilai halal haram sesuatu perkara.

Inilah kejayaan besar buat negara Barat dan musuh-musuh Islam kerana kehalusan dan kelicikan perancangan mereka yang sukar dihidu yang pada akhirnya akan memusnahkan identiti masyarakat Islam itu sendiri.


Tatarstan, sebuah negara di ceruk timur Eropah suatu masa lalu pernah mengadakan pertandingan ratu cantik yang melibatkan seramai 56 orang peserta, semuda usia 15 tahun yang bertudung. Peserta dinilai bukan atas dasar kecantikan rupa dan tubuh badan tetapi dinilai berdasarkan kecerdikan serta pengetahuan agama Islamnya.

Yang penting lagi, semua barisan juri dan penontonnya adalah terdiri daripada wanita.

Pernah seorang Mufti Mesir, Sheikh Mohammed Farid Wassel menganggap pertandingan seperti di Tatarstan itu menjadi landasan penting mencari wanita Muslim yang benar-benar layak digelar wanita solehah dan menjadi ikutan gadis Islam lain.

Wanita hari ini perlu membuka mata selebar-lebarnya kerana banyak alternatif yang telah Islam anjurkan dan gariskan terutama yang menyentuh berkaitan keterlibatan wanita dalam pelbagai pertandingan terutamanya ratu cantik dan seumpamanya

Pihak yang berwajib juga haruslah memainkan peranan yang sepatutnya dalam memastikan isu umat Islam khususnya wanita Islam tidak lagi diperkotak-katikkan dan dijaga maruah serta martabatnya di mata masyarakat lain.

Kita tidak menghalang wanita untuk menyertai apa sahaja bentuk pertandingan, asalkan pertandingan itu tidak bertentangan dengan apa yang telah Islam gariskan. Begitu juga dengan isu pertandingan ratu cantik.

Penganjur Miss World Malaysia 2013, Datuk Anna Lim perlu konsisten - dengan berpegang kepada pendirian membatalkan penyertaan empat gadis Islam terbabit.

Kita sudah muak dengan kedangkalan yang ditunjukkan daripada ungkapan-ungkapan yang keluar daripada mulut gadis-gadis Islam kacukan ini.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan