Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 20 Julai 2013

Perginya selepas 68 tahun Hiroshima musnah!



Datuk Abdul Razak Abdul Hamid, juga dikenali sebagai cikgu Razak, Abdul Razak Hiroshima dan Razak sensei meninggal dunia pada 18 Julai lalu, tidak sampai dua minggu selepas menyambut ulang tahun ke-88.

Allahyarham ialah satu-satunya rakyat negara ini yang terselamat dalam serangan bom atom Amerika Syarikat ke atas bandar Hiroshima, Jepun kira-kira 68 tahun lalu.

Anaknya yang juga bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM), Tan Sri Dzulkifli, 60, memaklumkan ayahnya yang tinggal bersama keluarga di Taman Kamariah, Jalan Gombak dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas mengadu sakit dada.

"Arwah dimasukkan ke Unit Kecemasan sebelum menghembuskan nafas terakhir di sisi ahli keluarga kira-kira pukul 5.45 petang," katanya

Selain Dzulkifli, Allahyarham turut meninggalkan dua orang anak lagi iaitu Zuraidah, 63, dan Dr. Dzuljastri, 54, serta sembilan orang cucu.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Ibu Kota Gombak hari berikutnya.

Lahir pada 7 Julai 1925 di Pulau Pinang, Abdul Razak hanya berusia 16 tahun ketika Jepun tiba di Tanah Melayu menyebabkan beliau dihantar ke kolej Jepun di Melaka sehingga 1943.

Di penghujung kursusnya, Allahyarham merupakan antara 15 pelajar disenarai pendek untuk melanjutkan pelajaran di Jepun dan akhirnya menjadi antara empat yang terpilih.

Selepas pengajian pra-universiti, Abdul Razak bersama Nik Yusof dari Kelantan dan Syed Omar Al Sagoff dari Johor memulakan pendidikan mereka di Universiti Hiroshima (dahulu Universiti Hiroshima Bunn) untuk mempelajari bahasa Jepun.

Walaupun dikritik sesetengah pihak kerana mengikuti pendidikan bahasa Jepun sedangkan Tanah Melayu dijajah tentera Jepun, beliau tetap nekad meneruskan kursus tersebut.

Selepas tujuh bulan di sana, Allahyarham yang baru melangkaui usia 20 tahun serta warga universiti itu dikejutkan dengan letupan kuat pada 6 Ogos 1945, berpusat 1.5 kilometer daripada kedudukan mereka.

Apabila sedar daripada pengsan, Abdul Razak yang mengalami luka kecil di kepala terpaksa merangkak keluar antara celah-celah runtuhan serta mayat warga universiti yang bergelimpangan serta kedengaran jeritan, tangisan dan rintihan mereka yang masih terperangkap bawah serpihan bangunan.

Dua rakan senegara Allahyarham tidak senasib dengannya, seorang maut dalam kebakaran yang menyusul sementara seorang lagi meninggal di hospital hampir sebulan kemudian akibat kesan radiasi.

Allahyarham Abdul Razak diperakui kerajaan Jepun sebagai salah seorang daripada 1,760 rakyat asing (hampir kesemuanya warga Korea) yang terselamat daripada letupan bom atom itu .

Walaupun pendidikannya di Hiroshima tersekat akibat tragedi itu, Allahyarham tidak berputus asa atas minat dan semangat untuk mempelajari bahasa Jepun.

Minatnya itu membawa kepada tugas sebagai koordinator program di Pusat Persediaan Pendidikan di Institut Teknologi Mara (kini universiti) sementara sumbangannya dalam mempromosikan bahasa Jepun serta meningkatkan persefahaman antara Tokyo dan Kuala Lumpur menarik perhatian Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengangkat Allahyarham mengetuai polisi Pandang Ke Timur pada 1982.

Beliau menerima anugerah Doktor Kehormat daripada Universiti Hiroshima tahun lalu bersama bekas Perdana Menteri Brunei, Pengiran Yusuf, 91, dan bekas Ahli Parlimen Indonesia, Hasan Rahaya ,91, sebagai satu-satunya mangsa dari negara masing-masing yang terselamat dalam tragedi tersebut.

Abdul Razak juga menerima penghormatan menghadap Maharaja dan Maharani Jepun selepas dianugerahkan Hadiah Khas Yayasan Jepun pada 1995 untuk sumbangan besar mempromosikan bahasa Jepun dan membentuk persefahaman antara penduduk Jepun dan Malaysia pada 2009.

Sebagai peringatan kepada generasi pelapis, Allahyarham meminta seorang rakannya menulis sebuah buku bertajuk Debu Hiroshima bagi menceritakan detik dan pengalaman hidupnya di bandar bersejarah itu.

Pengalaman Allahyarham juga pernah dipentaskan dalam teater bertajuk Hiroshima pada 2008, anjuran bersama USM dan Dewan Bahasa Pustaka Wilayah Utara di samping rakaman temuramah menceritakan kisahnya itu yang dimuat naik ke laman YouTube.

Dikenali ramai sebagai penentang kuat peperangan nuklear mahupun apa jua jenis peperangan, Allahyarham Abdul Razak berharap dengan mengingati pengajaran pedih zaman silam dapat mengembalikan dunia ke arah keamanan dan kasih-sayang sesama manusia.

Semoga segala perit dan kesusahan yang ditempuhi Allahyarham tidak disia-siakan generasi muda dengan mengambil iktibar pengalaman dan teguran yang ditinggalkannya, agar tiada lagi 'Hiroshima' yang menyusul selepas ini. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat. Al-Fatihah.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan