Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 23 Jun 2013

Husam Musa, Khalid Ismath ditahan?


Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa ditahan polis di sebuah restoran di Desa Pandan, Ampang hari ini berhubung ucapannya di Kelantan baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Hadi Ho Abdullah mengesahkan pemimpin parti itu ditahan pada pukul 3.40 petang ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948.

Sebaik sahaja ditahan, Husam dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bagi tujuan dokumentasi sebelum dibawa ke Kota Bharu, Kelantan untuk siasatan lanjut.

Menurut Hadi Ho, penahanan Husam itu dibuat berkaitan satu laporan polis yang dibuat di Kelantan pada 12 Jun lalu.

"Polis menahan Husam bagi membantu siasatan selepas beliau dilaporkan membuat kenyataan berbaur hasutan baru-baru ini," katanya ketika dihubungi disini hari ini.

Laporan polis itu dibuat di Ketereh, Kota Bharu pada 12 Jun iaitu selepas Husam mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan ketika memberi ucapan di Padang Majlis Daerah Ketereh.

Dalam ucapan itu, Husam dilaporkan membuat kenyataan bahawa mana-mana peserta yang terkorban sewaktu menyertai perhimpunan di Padang Merbok hari ini sebagai mati syahid.

Kenyataan terbabit telah mengundang reaksi pelbagai pihak yang menganggap kenyataan itu berbahaya dan beliau sendiri tidak mempunyai kredibiliti dan kuasa untuk menzahirkan fatwa sebegitu.


Sementara itu, aktivis pembangkang, Khalid Mohd. Ismath turut ditahan polis di rumahnya di Bandar Putri Fasa 2 di Klang, Selangor hari ini, dipercayai bagi membantu siasatan komennya dalam laman sosial berkaitan perhimpunan haram baru-baru ini.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang digantung tiga semester kerana mengugut polis Jun tahun lalu ditahan pukul 5.45 petang ini dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya malam ini turut mengesahkan penahanan Husam dan Khalid.

Beliau berkata, Khalid ditahan mengikut Seksyen 4 (1)(b) akta yang sama berikutan satu laporan yang dibuat di Balai Polis Batu 9 Cheras semalam berhubung komennya dalam laman sosial baru-baru ini.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan