Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 4 Ogos 2012

Othman dan PKNS jangan diam diri?



Rakyat Selangor benar-benar berasa kecewa dan kesal dengan apa yang berlaku dalam pentadbiran kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekarang.

Terlalu banyak mainan politik yang berlaku sehinggakan soal kesejahteraan rakyat seolah-olah dipinggirkan begitu sahaja.

Selepas krisis air masih belum menampakkan sebarang penyelesaian sebaliknya menampakkan kedegilan kerajaan negeri, kini timbul pula isu pengambilalihan hutang Talam Corporation Berhad oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) berjumlah RM392 juta.

Mungkin rakyat Selangor ingin bertanya kepada PKNS, apakah benar dakwaan ini?

PKNS terutama Pengurus Besarnya, Othman Omar tidak boleh mengamalkan sikap mendiamkan diri sahaja dengan apa yang dibangkitkan oleh pelbagai pihak dalam soal berkenaan.

Othman dan PKNS tidak boleh melihat bahawa isu hutang ini telah dipolitikkan kerana jumlah yang terlibat bukan sedikit iaitu RM392 juta. Kalaulah dakwaan yang dibuat oleh pihak-pihak berkenaan tidak betul maka PKNS harus mengambil tindakan undang-undang.

PKNS ada hak dan kuasa untuk bertindak kerana ini melibatkan dakwaan yang serius tetapi malangnya kita lihat PKNS hanya mendiamkan diri. Biarpun diserang bertalu-talu dalam media sehingga mewujudkan pelbagai persepsi tetapi PKNS masih 'kebal' bertahan dan sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kebenaran dakwaan berkenaan.

Ramai yang percaya kalau PKNS tidak menjadi penyelesai hutang kepada Talam sebanyak RM392 juta itu, mereka sudah tentu akan menjawab semua tuduhan tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Mungkin Othman dan PKNS telah diarahkan oleh pihak tertentu untuk tidak memberikan sebarang ulasan tetapi persoalannya apakah ia tindakan yang bijak? Kedua-dua pihak itu perlu faham bahawa rakyat Selangor mahukan penjelasan dan bukannya hanya membiarkan sahaja isu berkenaan terus menjadi perdebatan.

Kita percaya kalau isu ini melibatkan mana-mana anak syarikat kerajaan negeri di bawah Barisan Nasional (BN) sudah pasti pakatan pembangkang akan menyerang habis-habisan.

Mereka akan menuduh BN mengamalkan rasuah dan penyelewengan tetapi kenapa dalam isu ini pakatan pembangkang boleh mendiamkan diri?

Ke mana perginya pejuang-pejuang dalam pakatan pembangkang yang sebelum ini ghairah menyerang pemimpin BN dengan pelbagai tuduhan tetapi tidak berkata apa-apa apabila melibatkan kerajaan negeri di bawah pentadbiran mereka.

Kalau benar mereka berjuang untuk rakyat dan menentang sebarang penyelewengan, maka dalam isu penyelesaian hutang Talam oleh PKNS ini, mereka juga perlu bersuara.

Kalau benar PKNS begitu bermurah hati membantu Talam maka kita juga berharap ia akan bersedia memberi sumbangan bagi membolehkan golongan bawahan di Selangor menduduki kediaman lebih selesa.

Cuba bayangkan berapa banyak rumah yang boleh dibina oleh PKNS dengan jumlah RM392 juta itu. Tak kanlah wang sebanyak itu boleh digunakan sewenang-wenangnya untuk menyelesaikan hutang pihak lain yang tiada kaitan dengan rakyat Selangor?

Apa pun rakyat Selangor menanti penjelasan Othman dan PKNS. Janganlah terus mendiamkan diri, kami rakyat Selangor ingin mengetahui kedudukan sebenar. Bersuaralah dan berikanlah penjelasan.

Othman dan PKNS perlu membuktikan bahawa mereka berada di pihak yang benar kerana tindakan mendiamkan diri hanya mengesahkan segala dakwaan itu benar.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan