Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Isnin, 13 Ogos 2012

PKNS: Kembalilah kepada niat asal?



Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ditubuhkan pada 1 Ogos 1964 di bawah Enakmen PKNS, 1964 (Sel. Enact.No.4 of 1964) sebagai badan berkanun dan agensi pembangunan peringkat negeri bertujuan mengisi kemerdekaan menerusi pengagihan dan penggalakan pertumbuhan sosio-ekonomi dalam mewujudkan masyarakat yang stabil.

Sebenarnya di Selangor sebelum kewujudan PKNS, pada 1952 telah wujud Petaling Jaya Authority (PJA) yang ditugaskan memajukan bandar Petaling Jaya. PJA bertukar nama kepada Perbadanan Kemajuan Petaling Jaya (PJDC) dan dibubarkan pada 1963.

Menteri Besar Selangor pada ketika itu Datuk Harun Haji Idris merupakan antara individu yang menyumbang usaha kepada kewujudan PKNS. Ternyata PKNS memainkan peranan mewujudkan kesejahteraan dan keadilan sosial. PKNS cukup terkenal dalam pembangunan hartanah, pembangunan perdagangan, pembangunan perindustrian dan pelaburan.

Walaupun orang ramai mengenali PKNS sebagai pemaju perumahan tetapi PKNS juga berperanan memajukan bandar-bandar baru. Shah Alam yang diisytiharkan sebagai ibu negeri Selangor pada 7 Disember 1978 cukup terancang dibangunkan hasil kejayaan PKNS.

Bukan itu sahaja Bangi dikenali sebagai Bandar Baru Bangi dibangunkan sebagai bandar institusi dan pusat latihan, Ampang membangun sebagai bandar satelit, Antara Gapi dan Batu Arang sebagai kawasan baru dengan identiti desa.

Jenama PKNS cukup berjaya dalam membina perumahan mampu milik kepada pasangan muda untuk memiliki rumah. Rumah murah PKNS yang berharga RM25,000 hingga RM35,000 cukup tinggi budinya kepada rakyat yang baru membina kehidupan.


Dalam konteks rumah pangsapuri kos rendah antara projek terakhir rumah tersebut di Selangor adalah semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) di Selangor sebelum 2008. Di Selangor projek rumah kos rendah terdapat di Seksyen 7 Shah Alam di mana majoriti penduduk pangsapuri tersebut merupakan penduduk setinggan dari sekitar Batu Tiga Shah Alam dan dari seluruh pelosok Selangor.

Begitu juga di Kem Rimba, Padang Jawa Shah Alam terdapat projek pangsapuri kos rendah yang menempatkan setinggan dari Seksyen 16 Shah Alam di bawah Program Setinggan Sifar. Ini menunjukkan iltizam kepimpinan bekas Menteri Besar, Dr. Khir Toyo mahu membawa Selangor sebagai sebuah negeri maju. Di Bukit Semenyih Hulu Langat sebelum 2008 turut terdapat perumahan kos rendah yang dibina oleh PKNS sebagai antara projek-projek perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana.

Kini sudah tiada lagi kedengaran PKNS melaksanakan projek perumahan untuk rakyat berpendapatan rendah dan sederhana apatah lagi untuk golongan muda. PKNS seperti sudah lari dari matlamat asal, hanya memenuhi keperluan perumahan kelompok bangsawan berbanding golongan marhaen yang amat memerlukan tempat berlindung. Pengurusan tertinggi PKNS sepatutnya melihat agenda keuntungan mesti dibawa bersama dengan tanggungjawab sosial.


Projek mewah lot komersial di tapak yang diisytiharkan zon hijau di SS7 Kelana Jaya adalah contoh kebimbangan rakyat tentang hala tuju PKNS. Rakyat tidak mempertikaikan kemampuan PKNS dalam melaksanakan projek pembangunan namun kasihanilah rakyat yang tidak mampu membayar yuran keahlian kelab kecergasan di sekitar Kelana Jaya sehingga kawasan riadah rakyat dikorbankan. Untuk golongan muda yang berpendapatan rendah yuran keahlian boleh menanggung sebahagian kos perkahwinan.

Justeru, PKNS perlu kembali kepada matlamat asal penubuhannya untuk menjadi penyedia perumahan rakyat tidak kira dari Selangor mahupun dari serata negara ini. Keperluan perumahan melepasi sempadan fahaman politik.

Bayangkan harga rumah yang tidak terkawal di Shah Alam, adakah kita mahu menafikan rumah adalah tempat berlindung dan status sosial untuk seorang buruh, kerani, penarik kereta hatta seorang kerani PKNS sendiri.

Sewajarnya PKNS menilai semula misi dan visi mereka kerana apabila PKNS meletakkan harga tinggi untuk hartanah jualan maka mereka ibarat penentu kepada pasaran hartanah. Apa yang lebih membimbangkan kerjasama strategik PKNS dan kerajaan negeri boleh menjadikan bayaran premium tanah di negeri ini menjadi tinggi dengan kriteria tertentu.

Apabila premium tinggi, kerajaan negeri mendapat dua keuntungan iaitu dari bayaran premium dan keuntungan PKNS sendiri. Lebih memeritkan rakyat Selangor yang tidak berkemampuan terus menjadi mangsa. Tidak kesampaian untuk memiliki rumah sendiri.

PKNS perlu kembali menjadi hero rakyat bukan menjadi tukang bayar (pay master) hutang yang dibeli kerajaan negeri dari Talam Corporation (Talam) seperti yang didakwa. Isu pengambilalihan hutang Talam oleh PKNS berjumlah RM392 juta sehingga hari ini tidak mendapat penjelasan dari pengurusan PKNS. Kalaulah dakwaan yang dibuat oleh pihak-pihak berkenaan tidak benar maka PKNS harus mengambil tindakan undang-undang.

Kalau benar PKNS begitu budiman membantu Talam maka ia juga patut bersedia membantu golongan berpendapatan sederhana dan rendah bagi membolehkan mereka menduduki kediaman yang lebih selesa. Jumlah RM392 juta begitu besar untuk membantu membina rumah mampu milik untuk golongan muda. Tentulah mendukacita apabila wang sebanyak itu digunakan sewenang-wenangnya untuk menyelesaikan hutang pihak lain yang tiada kaitan dengan rakyat Selangor?

Satu demi satu isu salah laku pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim terbongkar. PKNS sebagai agensi pembangunan kerajaan negeri tentunya melaksanakan polisi pembangunan dari kerajaan negeri. Rakyat Selangor menilai polisi kerajaan negeri sedia ada tidak mendahulukan rakyat. PKNS akan kembali ke matlamat asal sekiranya mereka bersama kerajaan negeri yang mendahulukan rakyat dan menepati janji. PRU-13, rakyat akan memberi pengajaran.

Oleh BUDIMAN MOHD. ZOHDI

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Komen