Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 5 Ogos 2012

Krisis air Selangor berdasarkan kajian?



Jangkaan krisis air yang akan melanda Selangor termasuk Kuala Lumpur serta Putrajaya menjelang 2014 adalah berdasarkan kepada kajian dan bukannya retorik semata-mata.

Aktivis Pengguna Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Mohd. Mustaffa Hamzah berkata, keadaan itu dijangka bertambah buruk jika kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor terus berdegil untuk tidak membenarkan projek pembinaan Loji Rawatan Air Sungai Langat 2 (Langat 2) diteruskan.

''Kajian mengenai krisis air di Selangor sudah lama dibuat. Isunya ialah air yang dirawat dan bukannya air mentah. Perkara ini sudah lama dikaji dan hampir 100 peratus benar.

''Malangnya kerajaan yang ada di Selangor ketika ini lebih mementingkan kuasa politik berbanding rakyat. Kalau nak teruskan juga pembinaan Langat 2 pun mereka letak pelbagai syarat,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada sesi taklimat krisis air di Selangor anjuran Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) di Beranang, di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz dan Pengerusi GPRS, Datuk Sohaimi Shahadan.

Mohd. Mustaffa berkata, permainan politik yang ditunjukkan kerajaan PKR Selangor berhubung isu air dan projek pembinaan Langat 2 jelas menggambarkan mereka seperti tidak mengendahkan masalah rakyat.

Ini tegasnya boleh disamakan seperti 'kuasa milik kami, nasib rakyat Selangor tanggung sendiri'.

''Jangan perbodohkan rakyat Selangor. Ini baru 2012 dan banyak tempat sudah mengalami masalah bekalan air. Laporan mengenai tekanan air rendah diterima dari semasa ke semasa. Aduan juga semakin meningkat,'' katanya.

Sementara itu, seorang lagi panel yang pernah terlibat dalam kajian krisis air di Selangor sekitar 1980-an, Mohamad Fuad Omar berkata, kajian yang dijalankan pada tahun tersebut sudah mengenal pasti Selangor akan berdepan masalah bekalan air pada 2014.

''Daripada kajian itu, kita turut mengenal pasti dua perkara lagi iaitu Selangor kurang sumber air dan loji-loji yang sudah lama. Itu kajian awal 1980-an dan ketika itu kita tidak ada lagi Putrajaya dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

''Atas sebab itu, kita perlu lencong air (bekalan air) dari Pahang. Sebelum ada rancangan projek Langat 2, loji-loji air sedia ada, hampir 50 peratus daripadanya sudah lama. Justeru, jika tidak ada Langat 2, apa akan jadi?'' soalnya.

Sementara itu, Noh meminta kerajaan Selangor menghentikan permainan politik dalam krisis bekalan air di Selangor.

Ini kerana, menurut beliau, keengganan kerajaan negeri membenarkan projek Langat 2 diteruskan bukan sahaja akan memberi kesan kepada rakyat malah pelbagai pihak termasuk industri.


Katanya, mereka perlu memikirkan soal pelaburan domestik dengan 'amaran' awal berhubung krisis air dibuktikan apabila 129 buah kilang tidak dapat beroperasi ekoran tiada jaminan bekalan air oleh Syabas.

"Kerajaan Persekutuan sudah buat keputusan iaitu Langat 2 mesti diteruskan. Kerajaan PKR Selangor dakwa projek bernilai RM2.6 bilion itu akan diberi kepada kroni BN. Ini tidak benar kerana tender akan dikeluarkan,'' ujarnya.

"Projek Langat 2 adalah untuk kepentingan rakyat. Kerajaan BN Selangor sebelum ini sudah lama bincang, jangan letak kepentingan politik mengatasi soal rakyat," katanya selepas menghadiri sesi taklimat dan penerangan krisis air di Selangor anjuran Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) di Beranang, dekat sini hari ini.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz dan Pengerusi GPRS, Datuk Sohaimi Shahadan.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, dengan sikap bermain politik yang ditunjukkan kerajaan PKR Selangor dalam isu air di negeri itu rakyat perlu sedar pihak mana yang sebenarnya ikhlas membantu rakyat.

"Kerajaan negeri seolah-olah mahu menjadi juara. Masalah ini timbul kerana kedegilan mereka. Halangan yang mereka buat dengan enggan membenarkan Langat 2 diteruskan hanyalah bermotifkan politik," ujarnya.

Ditanya mengenai keadaan loji air yang sudah lama, katanya, ia sudah tidak mampu menampung bekalan air dan sebab itu Langat 2 perlu dibina.

Sementara itu, Sohaimi ketika ditemui berkata, kerajaan PKR Selangor dilihat terlalu banyak berpolitik dan menuding jari menyalahkan pihak lain sehingga menyebabkan rakyat menjadi keliru.

Tegasnya, jika kerajaan negeri terus mengamalkan sikap keras kepala dan enggan melaksanakan projek Langat 2 tidak mustahil masalah bekalan air di negeri itu akan menjadi lebih kronik.

"Loji itu perlu diteruskan dan ia tiada kaitan dengan kroni UMNO atau BN seperti didakwa, sebaliknya, projek ini adalah bagi mengatasi masalah jangka panjang. Jangan sudah terhantuk baru tengadah.

"Namun, jika kerajaan negeri masih berpolitik mengenai isu ini, kita sarankan rakyat bertindak pada pilihan raya umum akan datang. Buang masa kita beri peluang kepada kerajaan negeri yang hanya mementingkan politik berbanding masalah rakyat," katanya.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan