Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 16 Oktober 2011

Dr.Rosti fail saman fitnah!

Bekas Naib Canselor Universiti Selangor (Unisel), Datuk Dr. Rosti Saruwono dan dua bekas pegawai kanan universiti itu hari ini memfailkan saman terhadap empat defendan berhubung dakwaan menghantar memorandum berunsur fitnah kepada Jawatankuasa Siasatan Exco Kerajaan negeri pada Mei lalu.

Dua bekas pegawai kanan yang turut memfailkan saman tersebut ialah bekas Dekan Fakulti Perniagaan, Prof. Dr. Khalifah Othman, 65, dan bekas Pengarah Pemasaran dan Komunikasi Korporat, Halid Hasbullah, 55.

Mereka menamakan Pemangku Naib Canselor Unisel, Prof. Dr. Anuar Ahmad sebagai defendan pertama; Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar, Prof. Madya Zainal Abidin Kidam defendan kedua; dan TNC Perancangan Strategik dan Pembangunan, Prof. Ir. Dr. Mohamad Daud defendan ketiga.

Bekas Naib Presiden Perkhidmatan dan Pengurusan, Datuk Latifah Hassan pula dinamakan sebagai defendan keempat.

Rosti dan Khalifah masing-masing menuntut ganti rugi sebanyak RM3 juta sementara Halid pula menuntut ganti rugi RM2 juta.

Saman tersebut difailkan oleh firma guaman yang mewakili ketiga-tiga plaintif, Tetuan Abdul Rahman Azubir & Co. di Kaunter Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 2.45 petang. Khalifah dan Halid turut hadir.

Menurut Khalifah dan Halid yang ditemui selepas itu, selain memorandum berunsur fitnah yang dihantar kepada Jawatankuasa Siasatan Exco Kerajaan negeri pada Mei lalu, mereka juga memfailkan saman berhubung kenyataan akhbar berunsur fitnah yang dibuat oleh Anuar mengenai mereka.

''Kami ingin jelaskan, saman ini difailkan bukan kerana balas dendam tetapi untuk membersihkan nama dan maruah kami serta keluarga akibat fitnah yang dilemparkan defendan kepada jawatankuasa terlibat dan di dalam akhbar. Kami juga mahu ia dijadikan pengajaran dan tidak berulang kepada pihak lain,'' ujar mereka.

Pada 2 Ogos lalu, Rosti meletak jawatan sebagai Naib Canselor Unisel kerana membantah pertukaran tiga individu di universiti itu iaitu Khalifah, Halid dan Pendaftar, Rokma Mat tanpa diberi surat tunjuk sebab dan peluang untuk membela diri.

Rosti tidak menolak kemungkinan campur tangan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam mengeluarkan arahan agar menurunkan jawatan tiga pegawai kanannya. Ekoran itu, Anuar dilantik sebagai pemangku Naib Canselor Unisel berkuat kuasa serta-merta.

Kemelut bermula apabila satu memorandum bertarikh 16 Mei dikeluarkan untuk edaran dalaman Unisel dianggap memfitnah Rosti dan tiga individu itu hingga menyebabkan Khalifah dan Halid meletakkan jawatan masing-masing pada 9 September lalu. Sila baca di sini.

Sebelum ini, kedua-duanya telah ditukar jawatan sebagai pensyarah di Fakulti Perniagaan selepas kontroversi peletakan jawatan secara mengejut oleh Rosti.

Mereka kemudian menuntut pentadbiran Unisel memohon maaf berhubung memorandum fitnah yang dihantar kepada jawatankuasa siasatan dan menarik balik sebarang kenyataan berunsur fitnah yang dilemparkan terhadap mereka di akhbar dalam tempoh dua minggu bermula selepas Aidilfitri lalu.

Wasabi Oyabun..

1 ulasan: