Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 16 Oktober 2011

Siapa saksi Anwar dalam perbicaraan hari ini?

Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim terhadap bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan di Mahkamah Tinggi di sini akan bersambung hari ini dengan persoalan siapakah yang akan dipanggil sebagai saksi pembelaan seterusnya.

Ini berikutan keputusan barisan peguam yang mewakili Ketua Pembangkang itu pada minggu lalu untuk tidak memanggil bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan bekas Ketua Polis Melaka, Datuk Mohd. Rodwan Mohd. Yusof sebagai saksi mereka.

Memetik laporan sebuah portal berita, peguam Sankara Nair memaklumkan bahawa tiada gunanya kedua-dua bekas pegawai polis itu tampil sebagai saksi pembelaan memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor tidak memberi keterangan di mahkamah.

Pada 6 Oktober lalu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah memutuskan bahawa Najib dan Rosmah tidak perlu hadir ke mahkamah sebagai saksi setelah membenarkan permohonan mereka untuk mengetepikan sapina yang dikemukakan oleh Anwar.

Hakim tersebut memutuskan demikian setelah mendapati bahawa kedua-duanya bukan saksi yang relevan dan penting dalam kes tersebut.

Sama ada kes pembelaan akan sampai ke penghujungnya juga belum diketahui kerana sehingga kini, pasukan peguam Ahli Parlimen Permatang Pauh itu belum menunjukkan tanda-tanda bahawa mereka akan memanggil saksi alibi.

Walhal dalam notis alibi yang difailkan pada 19 Jun 2009, Anwar mendakwa pada masa kejadian, beliau berada di Unit 11-5-2, Kondominium Desa Damansara iaitu unit bersebelahan tempat kejadian yang kononnya berlaku di Unit 11-5-1.

Antara saksi alibi yang disenaraikan dalam notis itu ialah isteri beliau, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail; pemilik kondominium itu, Hasanuddin Abdul Hamid; bekas Pengarah Eksekutif Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Datuk Dr. Mohamad Ariff Abdul Kareem; pegawai bank Deutsche Bank(M) Bhd., Raymond Yeoh Cheng Seong dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Omar Malek Ali Merican.

Setakat ini, selain Anwar yang memberi keterangan bela diri dari kandang tertuduh tanpa mengangkat sumpah, sebanyak tujuh saksi termasuk tiga pakar asing, David Lawrence Wells, Dr. Brian McDonald dan Dr. Thomas Hoogland telah dipanggil memberi keterangan.

Sementara itu, pihak pendakwaan pula telah memaklumkan kepada pasukan peguam bela bahawa mereka akan mengemukakan permohonan untuk memanggil dua hingga tiga saksi penyanggah (rebuttal witness) dalam usaha menyangkal keterangan saksi pembelaan.

Anwar, 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-51-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Komen