Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Rabu, 24 Ogos 2011

Kes Liwat II : Pendakwa bangkit isu air mani!

‘‘Untuk meletakkan air mani seseorang pada sesuatu sampel atau rektum, orang yang hendak meletakkannya perlu ada air mani orang tersebut bukan?’’

Pertanyaan Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden itu menyebabkan saksi pembela ketiga dalam kes liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr. David Wells terdiam seketika dan pada mulanya enggan memberikan sebarang jawapan kerana baginya soalan itu lebih sesuai ditujukan kepada pakar asid deoksiribonukleik (DNA).

Selepas Mohd. Yusof menjelaskan bahawa soalannya tidak langsung menjurus mengenai kehadiran DNA dan hanya melibatkan air mani sahaja, Wells kemudiannya bersetuju dengan cadangan tersebut.

Soalan yang pada mulanya mengundang gelak tawa daripada mereka yang berada di galeri awam termasuk penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim akhirnya menyebabkan dewan mahkamah menjadi sunyi seketika selepas jawapan tersebut diberikan.

Soalan tersebut dikemukakan ekoran dakwaan pihak pembelaan sebelum ini yang menyatakan bahan bukti telah tercemar dan air mani Anwar telah diletakkan pada calitan-calitan putik kapas.

Mohd. Yusof yang mengetuai pasukan pendakwaan menimbulkan perkara tersebut hari ini semasa menyoal balas pakar patologi forensik dari Australia itu yang dilantik sebagai saksi pakar pihak pembelaan pada perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi di sini.

Mohd. Yusof dalam hujah di akhir kes pendakwaan sebelum ini menyatakan, ‘tiada bukti bahawa Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ada menyimpan air maninya di bank sperma kecuali sekiranya pihak pembelaan mencadangkan air mani Anwar bertaburan di tempat kejadian.’

Terdahulu, Ketua Jabatan Perubatan Forensik dari Victoria Institute of Medicine, Australia itu bersetuju bahawa bukanlah satu perkara yang asing bagi seseorang lelaki dewasa yang diliwat tidak menunjukkan sebarang kecederaan pada duburnya.

Persetujuan itu diberikan selepas Mohd. Yusof merujuk saksi tersebut kepada dua buah jurnal perubatan Clinical Forensic Medicine oleh W. D. S. McLay dan Expert Evidence oleh Freckelton & Selby.

Menurut kedua-dua jurnal tersebut, ketiadaan kecederaan pada mangsa tidak boleh menyebabkan sesuatu tuduhan serangan seksual diketepikan. Malah, majoriti pengadu kes serangan seksual tidak menunjukkan sebarang tanda cedera yang nyata pada anggota sulit tidak kira lelaki atau wanita.

Selain itu, faktor-faktor lain yang boleh menyebabkan kejadian itu berlaku antaranya ‘kesanggupan’ mangsa untuk melakukan hubungan seks ekoran diperdayakan secara emosi, ketakutan akan berlakunya keganasan atau kematian dan tenaga yang digunakan untuk melawan serangan tersebut tidak mencukupi untuk menyebabkan sebarang kecederaan.

Kelewatan dalam membuat laporan juga boleh menyebabkan luka kecil hilang atau pulih di samping penggunaan pelincir ketika serangan seksual dilakukan.

Berhubung isu penemuan sperma di dalam rektum pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Wells sekali lagi bersetuju dengan laporan jurnal perubatan yang sama iaitu ‘kajian telah menunjukkan bahawa spermatozoa boleh ditemui di lokasi itu atau dubur sehingga tiga hari selepas hubungan seks luar tabii dibuat walaupun mangsa telah membuang air besar atau mandi.’

Beliau bagaimanapun turut menyatakan ‘tidak selesa’ untuk mengambil sesuatu sampel DNA selepas tiga hari. Dalam kes yang dihadapi oleh Anwar, sampel DNA Mohd. Saiful Bukhari diambil di Hospital Kuala Lumpur(HKL) pada 28 Jun 2008, iaitu dua hari selepas kejadian dan diserahkan kepada ahli kimia, Dr Seah Lay Hong kira-kira 56 jam kemudian.

Pada prosiding hari ini, saksi itu turut bersetuju dengan tindakan doktor-doktor HKL yang tidak membuat sebarang tafsiran terhadap penemuan air mani pada beberapa sampel dalam laporan perubatan mereka dan hanya membuat tafsiran itu di mahkamah iaitu selepas laporan kimia ditunjukkan,

Selain itu, Wells menyatakan, beliau akan membuat pemeriksaan menyeluruh terhadap mana-mana mangsa tetapi hanya akan melaporkan maklumat yang relevan dalam laporannya.

Sementara itu, Pengurus Pentadbiran Hospital Pusrawi, Yusni Ali memberitahu, ketika beliau mengambil alih tugas tersebut pada 17 Ogos 2008, fail pesakit bernama Mohd. Saiful Bukhari Azlan hanya mengandungi sehelai kertas iaitu ‘Rekod Perubatan Jabatan Kecemasan Pusrawi’.

Dokumen itu juga hanyalah salinan dan bukannya dokumen asal, kata saksi pembelaan keempat.

Menjawab pertanyaan Mohd. Yusof semasa sesi pemeriksaan balas, Yusni berkata, tiada sebarang laporan perubatan pesakit tersebut atau akuan bersumpah ditemui di dalam fail itu.

Semalam, bekas doktor di Jabatan Kecemasan hospital terbabit, Dr. Mohamad Osman Abd. Hamid memaklumkan, beliau ada menyediakan laporan perubatan Mohd. Saiful Bukhari dan menyerahkannya kepada seseorang yang didakwanya pegawai Hospital Pusrawi bernama Azlan.

Beliau yang kini bertugas di Institut Jantung Negara (IJN) juga memberitahu ada menandatangani satu akuan bersumpah selepas seorang peguam bernama Yusri dan pesuruhjaya sumpah bernama Anuar menemuinya dan menyakinkan beliau bahawa dokumen itu adalah untuk simpanan fail sulit.

Anwar. 64, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari, 26, di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.-UM.

Wasabi Oyabun


Tiada ulasan:

Catat Komen