Terima kasih kerana mengundi BN
Ahad, 11 Mei 2014
Jangan berselindung, berterus terang sajalah DAP!
Entah apa mimpi yang menguliti tidurnya, seorang wakil rakyat DAP dari Pulau Pinang secara tiba-tiba mencadangkan penubuhan sebuah jawatankuasa transgender di negeri itu. Tujuannya' bagi membela golongan berkenaan. Juga bagi membuktikan kesamarataan' yang diamalkan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.
Wakil rakyat itu kelihatan bersungguh-sungguh dengan idea tersebut. Khabarnya sudah dipanjangkan kepada kerajaan negeri. Beliau berharap perkara itu dapat dibahaskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, dua minggu lagi.
Menariknya saranan itu muncul di tengah-tengah kehangatan isu penolakan masyarakat terhadap perjuangan Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) berhubung isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Tidak dapat dipastikan apa motif wakil rakyat berkenaan mengutarakan cadangan tersebut. Ada beberapa andaian yang boleh ditelah. Satunya jumlah golongan berkenaan semakin meningkat di di Pulau Pinang. Kedua, nasib golongan tersebut di bahagian pulau dan tanah besar Seberang Perai sangat tidak terbela sehingga memerlukan sebuah jawatankuasa khas bagi kumpulan ini.
Mereka mungkin juga dipinggirkan, menerima layanan buruk, sering menjadi mangsa prejudis dan diskriminasi di bawah pemerintahan khalifah sekarang.
Jika cadangan ini diterima, Pulau Pinang akan menjadi negeri pertama yang mempunyai jawatankuasa khas berhubung transgender, tahniah!
Jawatankuasa ini nanti sudah tentu berfungsi sebagai satu platform rasmi untuk golongan itu.
Bunyinya suci dan sungguh mulia. Platform tersebut akan memperjuangkan isu-isu berkaitan transgender.
Pada peringkat awal mungkin berkisar kepada kempen-kempen bertujuan memberi kesedaran kepada rakyat Pulau Pinang untuk memahami kehidupan golongan ini.
Kempen-kempen kesedaran ini sudah pasti berselang-seli dengan kisah-kisah azab dan lara golongan transgender yang kononnya terpinggir, menjadi mangsa diskriminasi, menerima layanan buruk masyarakat, majikan dan di tempat kerja serta pelbagai lagi.
Jangan terkejut, fasa seterusnya akan meneroka bab-bab kesamarataan mengikut definisi dan budaya hidup golongan ini. Antaranya hak mereka untuk berpasangan, mendirikan berumahtangga, berkeluarga dan hak meluahkan jantina palsu masing-masing di khalayak secara terbuka.
Kalaulah ini berlaku, nampaknya sama seperti apa yang sudah berlaku di kebanyakan negara Barat.
Golongan ini bebas berarak di jalan raya memperjuangkan hak-hak di atas. Juga salin tak tumpah dengan wajah perjuangan Comango.
Jadi apa motif sebenar cadangan ini diutarakan. Tidak dapat dipastikan adakah itu satu cadangan yang tulus dan jujur atau sekadar satu lagi provokasi terbaharu. Apa perlunya sebuah jawatankuasa untuk transgender kerana sejak dua penggal memerintah, kerajaan negeri sudah mempunyai satu portfolio khas menjaga hal-ehwal kebajikan rakyat.
Banyak NGO sudah mula bersuara. Mereka melihat saranan itu sebagai melampau, ekstrem dan tidak masuk akal apatah lagi keluar dari mulut seorang wakil rakyat. Sesetengahnya pula melihat saranan ini sebagai percubaan mempromosi budaya songsang secara berselindung.
Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) awal-awal lagi sudah menghidu bau busuk di sebalik cadangan tersebut malah menyifatkannya sebagai tidak masuk akal.
Menentang cadangan ini bukan bermakna menentang golongan transgender, tetapi menentang satu agenda halus sebuah parti politik yang berselindung di sebalik nama kesamarataan.
Wakil-wakil rakyat di Pulau Pinang perlu waras dalam menilai perkara tersebut. Tidak perlulah bersungguh-sungguh sangat. Banyak lagi jawatankuasa lain yang lebih berfaedah boleh ditubuhkan.
Kenapa tidak wujudkan jawatankuasa khas bagi membantu dan membela nasib penduduk-penduduk miskin duduk di kampung-kampung tradisional seperti Kampung Buah Pala, Kampung Pokok Asam dan Kampung Tengah.
Sudahkah ditubuhkan jawatankuasa bagi membela nasib penjaja-penjaja kecil di sekitar Batu Feringghi, Padang Kota atau di tengah-tengah bandar Georgetown yang sering menjadi mangsa tindakan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan.
Apa pula nasib nelayan pantai di Kampung Tanjung Tokong yang terjejas teruk kehidupan mereka akibat kerakusan pembangunan projek-projek jutaan ringgit. Sudahkah ada satu jawatankuasa khas untuk mereka?
Janganlah berselindung di sebalik nama kebajikan, kesamarataan dan hak asasi. Berterus terang sahajalah, kalaupun mahu menyokong Comango.
Wasabi Oyabun..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan