Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 23 November 2013

Mengembalikan jati diri Pas?

Timbalan Ketua Dewan Ulama yang juga Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berucap pada Muktamar Tahunan Parti Islam Semalaysia (Pas) ke- 59 di Wisma MBSA, Shah Alam semalam.

Dalam muktamar Pas pada tahun 2011, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang secara terbuka mengubah haluan perjuangan parti itu daripada negara Islam kepada negara berkebajikan.

Alasan yang diberikan ialah Pas kini tidak mengutamakan negara Islam kerana agenda itu berada dalam agenda negara kebajikan. Beliau berkata, Islam wujud dalam lingkungan dan merupakan sebahagian daripada kebajikan.

Tetapi hakikat sebenarnya, Pas terpaksa mengubah haluan perjuangan daripada Negara Islam kepada Negara Berkebajikan kerana mengikut kehendak sekutu parti itu, PKR dan DAP.

Tanpa menyedari bahawa jati diri parti itu semakin terhakis melalui tindakan tersebut, Pas tetap berbangga dan menaruh harapan agar ‘perubahan’ itu akan mampu menarik sokongan pengundi-pengundi khususnya pengundi bukan Melayu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Pas berkeyakinan dalam soal itu apatah lagi pemilihan barisan kepimpinan parti tersebut pada tahun berkenaan turut menyaksikan golongan ulama yang dianggap tegas memperjuangkan penegakkan Negara Islam dan hukum hudud dilihat gagal menduduki posisi-posisi kanan dalam parti.

Bagaimanapun PRU-13 menyaksikan keputusan yang boleh dianggap mendukacitakan bagi Pas. Parti itu hanya mampu memenangi 21 kerusi Parlimen sahaja berbanding 23 kerusi pada PRU-12 dan gagal mempertahankan Kedah.

Sudah pasti pihak yang mengaut keuntungan berikutan pengorbanan yang dilakukan oleh Pas ialah PKR dan DAP. PKR tidak rugi apa-apa kerana terus kekal dengan 31 kerusi manakala DAP muncul parti dominan dalam pakatan pembangkang apabila menguasai 38 kerusi.

Dalam kedudukan itu, ketika hendak menentukan ketua pembangkang di Dewan Rakyat, DAP dengan ‘murah hati’ mengekalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim manakala Pas hanya bersetuju sahaja.

Di Pulau Pinang pula, walaupun Pas dikatakan ‘cukup berjasa’ kepada pakatan pembangkang memandangkan berjaya meyakinkan penyokong-penyokongnya untuk mengundi calon-calon PKR dan DAP, tetapi mereka dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ di negeri itu.

Paling menyedihkan di Selangor, walaupun mempunyai kelebihan kerusi berbanding PKR, tetapi Pas ‘berkorban’ lagi kononnya atas semangat setiakawan dan kerjasama apabila membenarkan PKR terus menjadi Menteri Besar.

Tetapi cuba kaji, apakah Pas mendapat layanan sewajarnya di Selangor. Adakah kerusi Exco Hal Ehwal Islam diberikan kepada parti itu? Adakah suara Pas benar-benar didengari dalam apa juga tindakan kerajaan negeri?

Malah sepanjang 2011 hingga hari ini, perjalanan politik pakatan pembangkang menyenaraikan pelbagai rentetan peristiwa yang menunjukkan Pas tidak menerima layanan sepatutnya sebagai parti yang mempunyai banyak jasa kepada pakatan itu.

Keterujaan untuk mengejar kuasa bersama PKR dan DAP dengan menawan Putrajaya telah menyebabkan Pas seolah-olah bersedia menghakiskan jati diri parti yang memperjuangkan Islam.

Kesudahannya, apa yang kita saksikan Pas lebih banyak menanggung kerugian berbanding mengaut keuntungan dalam kerjasama itu. Kehebatan Pas sebagai sebuah parti yang paling awal memerintah sesebuah negeri berbanding PKR dan DAP hilang entah ke mana, ketokohan ulama-ulama Pas ditenggelamkan dengan keterujaan pemimpin dan ahli parti itu mengutamakan pemimpin sekutu mereka dan suara Pas yang sering dilihat mampu menggerunkan lawannya bagaikan ‘tidak laku’ apabila dilontarkan dalam pakatan pembangkang.

Berikutan itu tanpa Pas sedari, sokongan orang Melayu kepada parti itu semakin merosot, tetapi Pas tidak mahu menerima hakikat ini, sebaliknya sehingga ke hari ini, mereka menyifatkan segala teguran yang dibuat adalah usaha untuk memecah belahkan kerjasama dengan pakatan pembangkang.

‘‘Sebenarnya, kita tidak minta pun Pas keluar daripada pakatan itu, yang kita mahu ialah Pas menjadi parti bermaruah dan tidak mudah tunduk dengan kehendak PKR dan DAP.

‘‘Kepimpinan atas boleh berkata dan berhujah apa sahaja tetapi di peringkat akar umbi, sudah ada perasaan tidak puas hati kerana Pas seolah-olah penumpang dalam pakatan pembangkang," kata seorang pemimpin muda Pas dari Kedah ketika kami minum pagi di Shah Alam semalam.

Pemimpin itu bersama beberapa rakannya berada di Shah Alam kerana mahu memeriahkan Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-59 yang akan berlangsung mulai hari ini.

Muktamar itu menurut pemimpin tersebut amat penting bagi mengembalikan semula jati diri Pas sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan meletakkan kepimpinan ulama di tempat sepatutnya.

‘‘Dulu kami selalu diperingatkan oleh kepimpinan Pas supaya jadilah ibarat ikan di dalam laut, biar pun hidup dalam air masin tetapi daging tidak masin, maksudnya kekalkan jati diri biar pun di mana dan dengan siapa pun kita kawan.

‘‘Tetapi sekarang ini, kami lihat Pas sendiri seolah-olah tenggelam punca apabila berkawan dengan PKR dan DAP. Segala-galanya mahu dikorbankan dan terlalu tunduk dengan apa juga kehendak kedua-dua parti itu," kata pemimpin muda tersebut.

Sememangnya kita tidak pasti sejauh manakah sentimen ini akan dikongsi oleh perwakilan yang menghadiri muktamar kali ini. Tetapi mereka mempunyai tanggungjawab untuk memastikan Pas kembali kepada jati dirinya.

Tiada gunanya, mereka berdegar-degar berbahas dan berhujah di Stadium Malawati, Shah Alam sepanjang muktamar berlangsung tetapi apabila kembali ke kawasan masing-masing, tugas mereka tidak lebih daripada ‘pak turut’ sahaja.

Muktamar kali ini adalah medan penting kepada perwakilan untuk memberi isyarat dan tekanan kepada kepimpinan parti bahawa mereka tidak sanggup lagi tunduk dengan kerenah politik PKR dan DAP.

Dalam apa juga segi, Pas sebenarnya jauh lebih hebat daripada kedua-dua parti itu. Pemimpin dan ahli Pas jauh lebih setia, komited dan teguh dalam perjuangan, malah jentera pilihan raya Pas lebih tersusun dan mantap.

Tetapi apa yang kita saksikan, kelebihan ini bukannya mengukuhkan kedudukan Pas dalam pakatan, jauh sekali untuk menjadi dominan sebaliknya, Pas bagaikan ‘pak turut’ dan dilayan bagaikan ‘melukut di tepi gantang’ dalam kerjasama yang kononnya bertujuan menjadi alternatif kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, sama ada hasrat untuk melihat Pas dapat diperkasakan atau tidak dalam pakatan pembangkang hanya boleh direalisasikan berdasarkan kepada barisan kepimpinan yang akan dipilih kali ini.

‘‘Kalau barisan kepimpinan sama sahaja seperti pemilihan lalu, Pas tidak akan ke mana-mana. Suara Pas akan terus tenggelam dengan keangkuhan pemimpin-pemimpin PKR dan DAP.

‘‘Keadaan itu berlaku kerana sudah ramai dalam kalangan pemimpin Pas yang begitu menyanjungi kerjasama dengan kedua-dua parti itu sehingga jati diri Pas terhakis sedikit demi sedikit," kata seorang lagi pemimpin Pas proulama kepada penulis ketika dihubungi.

Apa pun segala-galanya terletak kepada ahli-ahli Pas khususnya mereka yang akan menjadi perwakilan dalam muktamar kali ini untuk melakukan desakan supaya jati diri Pas dapat dikembalikan.

Jangan biarkan perjuangan Islam sekadar laungan dan slogan semata-mata dalam parti itu kerana ia dikekalkan sudah pasti tidak mustahil Pas akan terus menjadi ‘lebai malang, menang sorak kampung tergadai’ sedangkan PKR dan DAP bersorak girang. -UM

Wasabi Oyabun..

2 ulasan: