Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Isnin, 18 April 2011

Tahniah BN walaupun pembangkang tambah kerusi!

Ketika Barisan Nasional (BN) meraikan kejayaan memperoleh majoriti dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-10, kita juga harus ingat bahawa DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut meraikan kemenangan masing-masing. Kedua-dua parti pembangkang itu berjaya menambah kerusi. Daripada enam kerusi, DAP kini memiliki 12 kerusi. PKR pula menang tiga kerusi berbanding satu kerusi pada 2006.

Namun, tahniah kepada BN kerana berjaya menyakinkan rakyat bahawa hanya parti itu mampu membawa perubahan di Sarawak. Kini adalah masa untuk menunaikan segala janji pilihan raya dan diharap ia dapat menambat semula hati pengundi yang telah beralih arah dengan memberi undi kepada calon pembangkang.

Tahniah dan syabas juga kepada SPR yang cemerlang mengendalikan pilihan raya ini, selain pihak polis yang mampu mengawal keadaan sehingga proses pembuangan undi berjalan lancar. Di sebalik itu, tentu DAP dan PKR menyifatkan pertambahan kerusi itu sebagai permulaan Revolusi Kenyalang yang diuar-uarkan sebelum ini. Itu kata mereka kerana kita yakin rakyat Sarawak tidak mudah terpengaruh dengan janji-janji pihak pembangkang.

Anehnya, PKR yang dikatakan tempang di sana dan sini masih berupaya mempengaruhi pengundi untuk memangkah calon mereka walaupun isu moral pemimpin mereka menganggu kelancaran kempen. Kenapa? Ini satu persoalan yang perlu dihadapi oleh BN.

Kejayaan kedua-dua parti pembangkang itu melebarkan sayapnya di Bumi Kenyalang terutama di kawasan majoritinya berpenduduk Cina tidak boleh dipandang sepi oleh parti komponen BN terutama Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang terpaksa menelan pahit apabila presidennya, Tan Sri George Tan, 75, kalah di Piasau, Miri.

Mesej jelas yang mahu disampaikan pengundi adalah fahami kehendak rakyat yang mahu laluan dibuka kepada muka baru. Jika masih berdegil inilah akibat yang terpaksa ditanggung. Isyarat itu telah lama diberi tetapi seperti tidak dipedulikan oleh pucuk pimpinan parti.

Ambil pengajaran dan mulai sekarang BN perlu bekerja keras untuk merampas semula enam kawasan miliknya yang kini jatuh ke tangan DAP iaitu Batu Kawah, Pujut, Pelawan, Dudong, Repok dan Piasau. Jika diteliti pecahan kaum yang tinggal di kesemua kawasan itu, majoriti penduduknya adalah kaum Cina. Terdapat 54.56 peratus (%) penduduk Cina di Batu Kawah, Pujut (65.37%), Pelawan (89.07%), Dudong (51.92%), Repok (55.59%) dan Piasau (64.06%).

Kegagalan mempertahankan kawasan yang dimiliki itu pasti mengecewakan BN. Walaupun berjaya mengekalkan kuasa dengan majoriti dua pertiga, selain kemampuan Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud mempertahankan kerusi N51 Balingian dengan majoriti 5,154, hakikatnya BN kehilangan tujuh kerusi. Sebelum DUN dibubarkan pada 23 Mac lalu, BN menguasai 62 kerusi, dan selepas 16 April 2011, jumlah itu berkurangan kepada 55 kerusi.

Banyak pengajaran boleh dikutip daripada pilihan raya ini. Selain perlu bekerja lebih keras untuk memenangi hati pengundi Cina, BN perlu lebih bijak menilai 'winnable candidate' (calon boleh menang). Kegagalan berbuat demikian dikatakan menjadi faktor kekalahan calon BN dari Parti Rakyat Sarawak (PRS) di Pelagus yang terletak dalam Bahagian Kapit. Majoriti penduduk di N54 Pelagus adalah kaum Dayak tetapi BN gagal meraih undi daripada kaum itu. Kenapa?

Pertelagahan politik sesama sendiri mendorong pihak yang terpaksa keluar parti melakukan apa saja untuk 'membalas dendam'. Itulah yang berlaku apabila Larry Sng dipecat dan kemudian berikrar tidak akan menyokong calon BN yang bertanding di Kapit yang pernah menjadi kubu kuat keluarga Sng. Kesannya, ia memberi kemenangan kepada calon Bebas, George AK Lagong.

Kesemua faktor kekalahan itu perlu diteliti dan jangan diulang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti. Eloklah parti komponen BN mengambil iktibar daripada keputusan PRN Sarawak ke-10 ini. Jadi, bersedialah dan lakukan apa juga yang termampu untuk memenangi semula pengundi yang beralih arah.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan