KEJUTAN demi kejutan berlaku dalam pemilihan kepimpinan cabang (bahagian) Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ada laporan menyatakan berlaku insiden bertumbuk, baling kerusi dan maki hamun antara ahli-ahli berbilang kaum dalam parti itu.
Kalau satu atau dua kejadian, ia tidak mengejutkan tetapi jika mesyuarat agung cabang PKR terus dihiasi insiden-insiden pergaduhan dan ganas, itu boleh dirumuskan sebagai politik ganas dan samseng.
Jom Gaduh bagaikan istilah baru dalam perjuangan PKR.
Mesyuarat agung tahunan dan pemilihan cabang PKR yang bermula 17 September dan berakhir 3 Oktober lalu menjadi titik awal kepada pemilihan pucuk pimpinan parti itu untuk tempoh tiga tahun.
Pemilihan pemimpin pusat pula bermula 29 Oktober hingga 14 November depan membabitkan 208 cabang dan lebih 400,000 ahli.
Kekecohan yang berlaku semasa mesyuarat agung tahunan cabang PKR di seluruh negara didakwa berpunca daripada calon-calon mendapat 'restu' penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pencabar jawatan Timbalan Presiden, Azmin Ali tidak dipilih oleh ahli.
Bagaikan telah ditetapkan, segala-galanya perlu selari dengan nawaitu Anwar dan Azmin. Inilah padah jika calon-calon yang ditaja mereka tidak menang jawatan seperti dirancang, pasti akan ada tangan- tangan ghaib menggagalkan perjalanan mesyuarat termasuk mencetuskan kekacauan.
Terbukti, ahli-ahli PKR sedar mainan politik kroni pemimpin atasan mereka. Sebab itu beberapa pemimpin PKR yang dilihat penyokong kuat Azmin tewas dalam pemilihan jawatan ketua cabang.
Beberapa pemimpin kanan PKR tumbang. Kekalahan mereka itu jelas membuktikan ahli-ahli PKR di peringkat akar umbi menolak telunjuk Anwar dan Azmin.
Hakikatnya PKR bukan parti membela rakyat sebaliknya ia merupakan parti pengaut kekayaan dan kekuasaan khususnya di negeri-negeri yang ditadbir oleh pakatan pembangkang.
Ketamakan serta kerakusan merebut jawatan dan pangkat telah mempengaruhi ahli PKR.
Justeru, PKR bukanlah parti yang menjaga kepentingan ahli akar umbi. Hasrat mereka langsung tidak diendahkan kerana apa yang paling utama adalah agenda Anwar dan Azmin tercapai.
Untuk melindungi kelemahan, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail dengan mudah menuduh UMNO main peranan membuat kekecohan dalam mesyuarat cabang PKR.
Inilah alasan dan hujah basi daripada PKR. Apa sahaja masalah yang mereka hadapi, UMNO disalahkan.
Kepada ahli dan pemimpin PKR, UMNO banyak kerja untuk dilakukan dan tak ada masa hendak mensabotaj mesyuarat PKR. UMNO tidak ada niat dengki dan sakit hati melihat PKR.
Malah Naib Presiden PKR Mustafa Kamil Ayub pada Jumaat lalu menafikan dakwaan Saifuddin Nasution bahawa UMNO dan Barisan Nasional (BN) terlibat mendalangi kekecohan yang berlaku dalam beberapa mesyuarat cabang PKR.
PKR sepatutnya bertanggungjawab ke atas masalah mereka sendiri, dan bukannya menuding jari kepada orang lain. Jagalah urusan rumah tangga sendiri supaya ahli parti tidak lari. Ingat, agenda utama PKR bukan semuanya disenangi oleh ahli akar umbi.
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan