Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Khamis, 29 April 2010

P212 Sibu : Bakal ada pertarungan hebat di Sibu!

Bandar Sibu akan mengalami suasana kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu pada 8-16 Mei ini.

ADAKAH kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor boleh dijadikan alasan untuk yakin menang di PRK Parlimen Sibu pula?

Walaupun ramai pemimpin BN yakin Sibu merupakan satu kesinambungan untuk parti kerajaan terus mempertahankan kerusi Parlimen itu, namun ia merupakan satu perjuangan yang sukar. Ini kerana jumlah pengundi Cina di Sibu mewakili 66.7 peratus daripada 54,695 pengundi berdaftar.

Jika kejayaan di Hulu Selangor diambil kira, dengan 30 peratus pengundi Cina menyokong calon BN dan kaum itu bukan mewakili kaum majoriti di kawasan Parlimen tersebut, ia telah memberi mesej bahaya kepada BN. Daripada sudut ini juga jika sikap pengundi Cina di Hulu Selangor dibawa ke Sibu, ia menunjukkan BN akan berdepan dengan kesukaran.

Namun adakah pengundi Cina di Sibu boleh disamakan dengan pengundi Cina di Semenanjung?
Berdasarkan trend di Sarawak, beberapa bandar besar di negeri ini menunjukkan kemerosotan sokongan pengundi Cina terhadap BN dalam beberapa siri pilihan raya umum.

Misalnya di Miri, pada Pilihan Raya Umum ke-12, majoriti yang diperolehi oleh BN ialah 5,216 undi dengan pengundi Cina ialah 61 peratus. Pada Pilihan Raya Umum ke-11, BN menang tanpa bertanding di Parlimen Miri. Manakala di Sarikei pula BN menang tipis dengan majoriti undi sebanyak 51 undi berbanding 13,818 undi pada Pilihan Raya Umum ke-11. Kaum Cina mewakili 70 peratus pengundi di kawasan Parlimen itu.

Kerusi Parlimen Stampin dengan 76 peratus pengundi Cina memberi majoriti sebanyak 3,070 undi berbanding 7,731 undi pada pilihan raya umum sebelumnya. Calon BN memenangi kerusi tersebut. Di Parlimen Kuching pula, DAP meningkatkan majoritinya daripada 2,041 undi pada Pilihan Raya Umum ke-11 kepada 9,952 undi pada Pilihan Raya Umum ke-12.

Pada PRK Parlimen Sibu kali ini, BN meletakkan Robert Lau Hui Yew, 45, seorang peguam dan Penolong Bendahari Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) Sibu. Hui Yew, saudara dua pupu kepada bekas Ahli Parlimen Sibu, mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew akan berdepan dengan Wong Ho Leng, seorang peguam dan Pengerusi DAP Sarawak.

Pertarungan mereka boleh disifatkan sangat hebat memandangkan Sibu adalah medan pertarungan tradisi antara DAP dan BN yang menyaksikan parti pembangkang itu menang pada tahun 1982. DAP tentu mahu memastikan kejayaan itu berulang manakala BN mahu mengekalkan kemenangan serta membuktikan pengundi Cina di Sarawak adalah berbeza dengan pengundi Cina di Semenanjung.

Kemenangan BN akan memberi kesan kepada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak dan memberi petunjuk bahawa pengundi Cina bukan lagi satu masalah.
Jika DAP menang, ia akan menyebabkan mereka bertambah yakin bahawa pengundi Cina menyokong mereka.

Oleh sebab itu, Penganalisis Politik, Dr. Jeniri Amir melihat PRK Parlimen Sibu memberi risiko yang besar kepada masa depan politik BN bukan sahaja di Sarawak khasnya, tetapi di Malaysia umumnya. Namun beliau percaya, SUPP mampu mencatatkan kemenangan kerana melalui beberapa siri PRK di negeri ini, jelas menunjukkan pengundi masih memihak kepada kerajaan.

''Ada beberapa faktor yang menyebabkan pengundi Cina mahukan BN menang dan salah satunya mereka mahukan Bandar Sibu dijadikan bandar raya dan mahukan wakil rakyat mereka menjadi Timbalan Ketua Menteri," katanya.

Selain itu pengaruh kekayaan keluarga Hui Yew akan memastikan sekurang-kurangnya sebanyak 3,000 undi berpihak kepada BN kerana mereka memiliki kilang dan syarikat media, tambahnya. Utusan Malaysia pula difahamkan DAP akan membangkitkan isu kekayaan ekonomi yang disifatkan tidak adil dan dimonopoli oleh pihak-pihak tertentu tanpa pengagihan yang sama rata.

Turut menjadi perhatian ialah ketidakpuasan hati pengundi minoriti bumiputera seperti kaum Melanau, Iban dan Melayu. Mereka mendakwa pada pilihan raya umum lalu, BN terlalu mementingkan kaum Cina tanpa mengambil kira kepentingan mereka yang sama-sama membantu membangunkan Sibu.

Utusan Malaysia difahamkan pada pilihan raya umum lalu, undi kaum minoriti itu telah menurun disebabkan undi protes kerana terasa tidak diberi perhatian lagi. Oleh itu, SUPP kini menggalas tugas yang berat untuk memastikan Parlimen Sibu kekal pada tangan mereka dan juga untuk menunjukkan imej dan kedudukan parti komponen BN itu masih boleh diterima oleh kaum bukan Cina.

Jika kejayaan Hulu Selangor ingin diterjemahkan di Sibu, jentera BN yang bergerak di kawasan pengundi kaum Cina perlu memikirkan strategi baru. BN perlu mengambil iktibar daripada kesilapan strategi kempen di Hulu Selangor bagi memastikan hati pengundi Cina di Sibu masih bersama kerajaan. Seperti kata Jeniri : ''Jangan fikir pengundi Cina dapat dipujuk dengan pengumuman projek pada saat akhir pengundian.

''Jangan fikir mereka akan mudah terpengaruh dengan ancaman propaganda dan juga serangan peribadi terhadap calon pembangkang." Jangan nanti pengundi menjadi simpati dan menghasilkan keputusan di luar jangkaan. Dalam politik, segalanya boleh berlaku.

Wasabi Oyabun

Tiada ulasan:

Catat Komen