Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 27 April 2010

Adakah Pengundi Cina Masih Merajuk!

Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor pada 25 April lalu memang sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh Barisan Nasional (BN).

Setelah kehilangan kerusi Parlimen di P.94 Hulu Selangor dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12, BN bersama tiga parti komponen utamanya iaitu UMNO, MCA dan MIC bekerja keras sehingga saat akhir bagi memastikan pengundi yang dahulunya menyokong pakatan pembangkang kembali ke pangkuan BN.

Justeru, apabila berjaya, ia merupakan hadiah paling bermakna buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kerana berjaya merampas kerusi tersebut daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), apatah lagi BN bertanding dalam negeri yang dikuasai pakatan pembangkang.

Di sebalik kejayaan itu, timbul satu perkara yang merimaskan BN apabila analisis menunjukkan pengundi Cina masih tegar hati mereka untuk terus memberikan sokongan kepada calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

Analisis yang dilakukan mendapati hanya 30 peratus pengundi Cina menyokong calon BN, P. Kamalanathan.

Kenapa hal ini berlaku, sedangkan jentera BN bekerja keras mendekati pengundi Cina termasuk menjawab segala fitnah dan tohmahan tidak berasas yang dilontarkan oleh pakatan pembangkang khususnya PKR.

Apakah ini menunjukkan keyakinan pengundi Cina terhadap BN semakin merosot atau ia seolah-olah memberi isyarat bahawa kepimpinan baru MCA yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek tidak diterima. Sebab itulah, mereka membulatkan hati memilih Zaid, apatah lagi pemilihan Zaid sebagai calon diputuskan oleh DAP.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek menjelaskan bahawa krisis dalaman parti itu yang masih bersisa membuatkan pengundi Cina tidak mahu memilih BN pada pilihan raya kecil tersebut. Jelasnya, ia mungkin juga disebabkan oleh keyakinan mereka terhadap MCA belum pulih sepenuhnya.

Selain itu, katanya, perbezaan kepimpinan antara bekas Pengerusi MCA Hulu Selangor, Datuk Ch'ng Toh Eng dan penyandang sekarang, Wong Koon Mun sedikit sebanyak turut menjejaskan sokongan terhadap BN. "Bahkan pertikaian itu juga menyebabkan ahli-ahli akar umbi MCA dan penduduk Cina di Hulu Selangor mengambil tindakan memboikot parti.

"Ia merupakan satu isyarat, jika mereka (pemimpin MCA Hulu Selangor) masih berbeza pendapat, maka MCA akan terus menjadi bakul sampah politik," katanya ketika dihubungi, semalam. Selain itu, khabar angin bertiup kencang dengan mengatakan ahli-ahli MCA di peringkat akar umbi di Hulu Selangor merupakan penyokong kuat bekas Presiden MCA, Tan Sri Ong Ka Ting.

Disebabkan itu, ahli-ahli parti tidak mengundi calon BN bagi memberi isyarat bahawa mereka tidak akan memberi sokongan penuh kepada penyandang nombor satu sekarang, Soi Lek. Walau bagaimanapun, penjelasan Soi Lek mengenai kira-kira 70 peratus pengundi Cina memboikot MCA dan enggan mengundi calon BN disebabkan perselisihan dalaman parti tersebut dilihat tidak kukuh.

Penganalisis Politik, Datuk Cheah See Kian menafikan kecenderungan pengundi Cina terhadap parti pembangkang disebabkan penduduk bosan terhadap MCA yang dilanda krisis dalaman. Jelasnya, selepas PRU Ke-12 sehingga hari ini, MCA dilihat tidak berubah serta tidak memajukan diri untuk kebaikan masyarakat Cina. Ini menyebabkan masyarakat Cina berasa kecewa terhadap MCA.

Beliau mendakwa, kaum Cina kini kurang berminat bercakap mengenai isu perkauman atau agama, sebaliknya mereka lebih mementingkan parti dan berharap parti mempunyai pandangan tegas terhadap isu yang lebih besar berkaitan negara. "Kaum Cina kini lebih mementingkan isu negara seperti perkembangan ekonomi, pembasmian rasuah, ketelusan dan kehakiman yang adil. "Kaum Cina mahu pemimpin yang boleh membantu pembangunan ekonomi negara dan meningkatkan taraf hidup kaum itu," katanya kepada pemberita.

See Kian berkata, walaupun Perdana Menteri sering mewar-warkan gagasan 1Malaysia, namun masyarakat Cina masih tidak merasakan ada perubahan. Dalam pada itu, beliau mendakwa, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menjadi penghalang untuk mencapai gagasan 1Malaysia.

"Perkasa dilihat menghalang kejayaan gagasan 1Malaysia dan menyebabkan masyarakat Cina berfikir kerajaan (BN) kekal seperti dahulu," katanya. Sementara itu, Presiden Southern Kolej, Thock Kiah Wah berkata, kaum Cina hilang keyakinan terhadap MCA kerana parti itu gagal menyelesaikan masalah masyarakat Cina dengan baik.

Bahkan, katanya, MCA tidak mempertahankan pendapat dan tegas dalam menangani isu-isu negara. "Pandangan kaum Cina kini tidak lagi dihadkan kepada sesebuah parti yang mewakili masyarakat Cina untuk mempertahankan keperluan asas mereka. "Parti yang disukai adalah parti yang layak mewakili Malaysia dan mempertahankan ketelusan serta keadilan di negara ini. Ini antara ciri-ciri yang tidak ada pada MCA," katanya.

Beliau berkata, jika BN mahu memenangi semula keyakinan masyarakat Cina, mereka perlu mewujudkan sebuah kerajaan yang seimbang, adil tanpa mengutamakan kaum-kaum tertentu sahaja.

Wasabi Oyabun

Tiada ulasan:

Catat Ulasan