Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 20 September 2014

Tindakan Mat Sabu memalukan?



Tindakan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu yang menyanggah kenyataan Presiden parti itu, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam kemelut pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu dikritik secara terbuka pada hari kedua Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-60, di sini hari ini.

Wakil Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari tanpa berselindung menyifatkan tindakan Mohamad atau Mat Sabu itu sebagai memalukan dan boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan ahli di peringkat akar umbi.

"Presiden membuat keputusan, Timbalan Presiden sanggah secara terbuka. Saya hormat Timbalan Presiden dan sangat jauh tahap saya untuk menegur beliau di medan seperti ini tetapi kita sedih dengan apa disebut.



"Apabila Presiden membuat kenyataan tentang isu Menteri Besar Selangor yang berpegang kepada keputusan asal Majlis Presiden (pakatan pembangkang) bahawa Langkah Kajang bukan bertujuan menukar Menteri Besar dan Pas kekal dengan keputusan asal, Timbalan Presiden menyatakan ini keputusan peribadi Presiden," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada muktamar itu.

Ahmad Fadhli berkata, perbezaan pandangan dalam isu berkenaan tidak salah, tetapi jangan disebut secara terbuka kerana ahli-ahli keliru dengan apa yang berlaku di peringkat pucuk kepimpinan parti.



Beliau percaya Abdul Hadi berlapang dada dengan perkara itu, tetapi kenyataan terbuka Mohamad yang bertentangan dengan kenyataan Presiden Pas itu amat memalukan.

"Kata pepatah Arab, sesungguhnya tangisan hati itu lebih dahsyat daripada tangisan mata dan betapa banyak mata yang tidak menangis tetapi hati menangis kerana apa yang berlaku. Saya bimbang ini yang berlaku kepada Presiden," katanya.

Wasabi Oyabun..

Khamis, 18 September 2014

Hasil Kajian : Anwar Ibrahim Punca Kemelut Politik Selangor?


SHAH ALAM – Rata–rata rakyat Selangor bersetuju krisis politik di Selangor ketika ini adalah berpunca daripada angkara Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penganalisis Politik Prof Madya Dr Ismail Sualman berkata hasil kaji selidik pihaknya di 20 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, seramai 2,138 responden berpendapat pilihan raya kecil DUN Kajang pada Mac lepas, yang sengaja dicetuskan PKR, adalah punca berlakunya krisis itu.

“Melalui kaji selidik responden di beberapa kawasan DUN termasuk di Semenyih, Damansara dan Sekinchan, sebanyak 44.5 peratus bersetuju bahawa Anwar mewujudkan satu keadaan iaitu menukar menteri besar Selangor melalui pilihan raya kecil Kajang atau ‘Langkah Kajang’.

“Bermula dengan Langkah Kajang, beliau digambarkan mempunyai kecenderungan untuk melebarkan kuasanya dengan meminta Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Selangor dengan cukup mudah,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri forum ‘Kemelut Politik Selangor: Angkara Siapa?’ anjuran Majlis Perundingan Melayu di sini, Khamis.

Ismail yang juga pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini, berkata selain Anwar, responden turut menyalahkan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung kemelut politik itu.


Beliau berkata rakyat Selangor berpendapat tindakan Abdul Hadi, yang sentiasa berdolak-dalik dalam membuat keputusan berhubung calon menteri besar baharu, menyebabkan kemelut tersebut berpanjangan.

“Hasil kaji selidik menunjukkan sebanyak 17.9 peratus reponden mengakui tindakan Abdul Hadi yang lemah dalam membuat keputusan menyebabkan krisis ini berlaku, manakala 15.2 peratus bersetuju Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail patut dipersalahkan sementara selebihnya berpendapat Rafizi Ramli (Naib Presiden PKR) sebagai punca,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kemelut pertukaran menteri besar Selangor, Ismail berpendapat percaturan yang dibuat PKR untuk menukar menteri besar pada ketika ini adalah tidak tepat.

Beliau berkata sekiranya Abdul Khalid dianggap lemah oleh PKR dalam menerajui Selangor, Abdul Khalid sepatutnya tidak dicalonkan menduduki kerusi menteri besar Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tahun lepas.

“PKR sendiri mendakwa Abdul Khalid lemah. Kalau Abdul Khalid lemah, kenapa calonkan beliau sebagai menteri dan Adun (Anggota Dewan Undangan Negeri) Pelabuhan Klang.

“Apa yang saya lihat, kaedah yang digunakan Anwar dan PKR untuk menukar menteri besar pada waktu ini adalah tindakan yang tidak tepat,” katanya. -Bernama

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 12 September 2014

Siapa sebenarnya di sebalik Pasma?

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Phahrolrazi Zawawi bersama-sama Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mujahid Yusof Rawa dan penganalisis Perlembagaan, Abdul Aziz Bari pada Forum Terbuka Pas Campur UMNO, Ke Mana Hala Tuju di Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Kampung Attap di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nama Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi sejak seminggu lalu kembali menghangatkan arena politik tanah air selepas sekian lama menyepi apabila beliau tampil mendakwa sebagai Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) - sebuah badan yang disebut-sebut bakal menjadi 'Pas baharu'.

Kemunculan semula beliau pantas mendapat perhatian kerana sudah menjadi pengetahuan umum, Pasma yang ditubuhkan pada 11 Ogos lalu dan didokong kumpulan Anwarinas bertujuan memberi tekanan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang khususnya dalam konteks krisis politik di Selangor.

Itu pelan jangka pendek. Pelan jangka panjang pula, Pasma cuba mencorak pemikiran politik Pas yang dikatakan jumud dan ketinggalan oleh kumpulan Anwarinas akibat diterajui golongan ulama, sebelum sedikit demi sedikit 'NGO' berkenaan bertukar wajah untuk menjadi platform politik.

Struktur organisasi Pasma juga saling tidak tumpah Pas dan 'NGO' itu dilaporkan akan menubuhkan badan perhubungan negeri pertama di Pahang sekali gus melantik pesuruhjaya negeri pada masa sama. Ini bermakna langkah ke arah menjadi sebuah pertubuhan politik sudah bermula.

Malah perkara tersebut tidak dinafikan Phahrolrazi. Apa yang menjadi persoalannya ialah apakah benar bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah itu merupakan watak utama di dalam Pas yang menggerakkan Pasma? Atau apakah beliau sekadar 'buah catur' untuk mengaburi identiti dalang utama?

Ini kerana master plan Pasma sebenar cukup besar dan dengan aura yang ada pada Phahrolrazi sekarang, adalah mustahil untuk beliau menarik sokongan akar umbi Pas secara massa kerana pengaruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Kundor itu terhad di Kedah sahaja.

Bahkan cengkaman beliau di Kedah juga terbatas. Walaupun muncul antara tokoh Pas Kedah yang kuat menentang bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dan dilihat pemimpin negeri yang senior, Phahrolrazi tidak terpilih untuk dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas yang baharu.

Sebaliknya, jawatan penting itu diserahkan oleh pucuk pimpinan Pas kepada Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar, sehingga akhirnya Phahrolrazi mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas I Kedah dipercayai kerana berkecil hati.

Jadi bagaimana untuk seorang yang dilihat sudah hilang pengaruh politiknya mampu untuk mencaturkan Pasma? Rancangan Pasma untuk menggoncangkan kepimpinan ulama tidak mampu direalisasikan tokoh yang bersifat lokal. Paling tidak, Presiden Pasma mestilah bersifat nasional yang ada jawatan di peringkat Pas Pusat.

Pengaruh di peringkat Pas Pusat itu penting kerana bukan lagi menjadi rahsia bahawa Pasma akan bergerak sebagai satu kumpulan bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP demi menjaga hubungan di antara pakatan yang kini ibarat retak menanti belah.

Segala persoalan itu menimbulkan tanggapan apakah Phahrolrazi cuma sekadar proksi pihak tertentu di dalam atau juga di luar Pas? Apatah lagi dengan pengesahan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Selasa lalu, bahawa nama beliau tiada dalam senarai seperti didaftarkan.

Kenyataan media ROS mengenai Pasma menyebut Mohamad Faiz Mohd. Taib (pengerusi); Muhamad Hisomudin Bakar (Timbalan Pengerusi); Mohd. Taib Ahmad (Setiausaha); Mohd. Iqbal Mohd. Shariff (Penolong Setiausaha); Mohd. Rosli Abu Bakar (Bendahari) serta tiga ahli jawatankuasa iaitu Mohamed Zainal Hussin, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Mohamad Abdul Razak.

Jika sekadar proksi atau buah catur, siapa pula dalang sebenar yang menjadi tangan ghaib menggerakkan Pasma yang disifatkan Abdul Hadi sebagai nyamuk? Apakah benar Phahrolrazi cuma sekadar jawatankuasa awam? Jika begitu siapa pula yang membentuk jawatankuasa sebenar atau 'jawatankuasa tersembunyi'?

Mengenali Phahrolrazi, beliau sebenarnya bukanlah seorang tokoh politik yang mudah dipengaruhi apatah lagi untuk dijadikan buah catur pihak tertentu. Namun dalam politik terutamanya melihat kepada perkembangan semasa Pas yang kini berpecah dua, apa sahaja boleh berlaku.

Selain itu, kehadiran Muhammad Husin, iaitu aktivis Pas dari Kelantan dan seterusnya mengangkat diri sebagai Timbalan Presiden Pasma pada forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur/Selangor (KLSCAH) di ibu negara pada Isnin lalu juga tambah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli Pas.

Forum tersebut sepatutnya menampilkan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan bekas Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang selain Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof tetapi tanpa sebarang alasan, tempat Husam diganti Phahrolrazi manakala Ahmad diganti dengan Dr. Abdul Aziz Bari.

Ahmad sebelum ini disebut-sebut sebagai Mursyidul Am Pasma tetapi beliau menafikan dakwaan tersebut. Husam pula dikaitkan sebagai pemimpin Pas yang pro-Anwarinas apabila beberapa siri kenyataan beliau dilihat bercanggah dengan pendirian Abdul Hadi khususnya dalam konteks krisis politik di Selangor.

Secara kebetulan juga Muhammad yang mendakwa 'Timbalan Presiden Pasma' dikenali sebagai orang kuat Husam. Bagitu juga dengan dua lagi ahli jawatankuasa penaja sebagaimana disenaraikan ROS iaitu Muhamad Hisomudin dan Sheikh Umar.

Sebenarnya tidak susah untuk meneka siapakah pemimpin tertinggi Pas di sebalik Pasma dan dengan siapa pula di luar parti yang pencatur utama ini bekerjasama kerana seumpama nyamuk daripada dengung pun sudah boleh dikesan.

Maka, sebab itu adalah tidak pelik mengapa Ketua Pemuda Pas Sekijang, Johor, Shazni Munir Ithnin, secara terbuka mendesak Husam meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden jika tidak bersetuju dengan Abdul Hadi dan bukannya menjadi anai-anai yang 'makan dalam senyap'.

Wasabi Oyabun..

Rabu, 10 September 2014

Sultan murka : Nik Aziz menggigil?


Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berasa bimbang, gusar dan takut apabila membaca laporan akhbar tempatan mengenai Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah yang murka terhadap Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP kerana ingkar titah baginda dalam isu Menteri Besar Selangor.

Katanya, perkara tersebut menyebabkan beliau tidak sanggup untuk membaca laporan hadapan akhbar yang menggambarkan kebiadaban kedua-dua parti itu.

Malah beliau turut menyifatkan titah baginda itu sebagai satu amaran keras kepada pihak terbabit.

"Saya baca muka depan sebuah akhbar hari ini (semalam), perkataan derhaka itu, saya rasa geligut (mengigil ketakutan) tidak terbaca saya yang di bawah itu kerana itu baharu sahaja raja sumpah, apa kata kalau Allah sumpah.

"Alhamdulillah (DAP memohon maaf) dia ada hati perutlah tu, dia reti," katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Semalam, Sultan Sharafudin Idris Shah menzahirkan rasa amat dukacita dengan tindakan PKR dan DAP yang ingkar dengan titah baginda pada 27 Ogos lalu supaya mengemukakan lebih daripada dua nama calon daripada parti masing-masing untuk dipertimbangkan sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

Tindakan PKR dan DAP itu menggambarkan kebiadaban kepada ins­titusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada titah ba­ginda.

Sultan Sharafudin Idris Shah menerima senarai calon Menteri Besar daripada ketiga-tiga parti dalam pakatan pembangkang namun hanya Pas yang akur titah baginda dengan menyenaraikan tiga nama.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai calon BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor yang akan diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri esok, Nik Abdul Aziz berkata, Pas tidak gentar untuk berhadapan dengan sesiapa sahaja.

"Siapa sahaja calon kita tidak gentar," katanya.

Wasabi Oyabun..

Sabtu, 6 September 2014

Jangan ajar Pas buat keputusan?


Pas mengingatkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP agar jangan mencampuri urusan dalaman parti itu khususnya dalam isu Menteri Besar Selangor.

Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kedua-dua parti itu sepatutnya bersikap lebih menghormati perbezaan pendapat dengan Pas.

Beliau yang juga Ahli Majlis Syura Ulama Pas memberitahu, terdapat kenyataan-kenyataan seolah-olah mengkritik dan cuba mengajar Pas membuat keputusan dalam isu pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu.

"Saya suka ingatkan kepada semua parti dalam pakatan pembangkang agar kita tidak mencampuri sangat urusan parti-parti lain dan jangan melampaui sempadan parti.


"Memang ada benda yang kita bersetuju dan ada benda kita tidak bersetuju. Itu hak parti masing-masing dan kita perlu hormat," katanya seperti dilaporkan portal berita rasmi Pas, Harakahdaily hari ini.

Pas menerima kritikan hebat daripada sekutu-sekutunya dalam pakatan pembangkang berikutan keengganan pucuk pimpinan parti itu menamakan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal Menteri Besar Selangor.

PKR juga melahirkan kekecewaan terhadap Pas kerana tidak menghormati keputusan yang disepakati pimpinan tertinggi pakatan pembangkang dalam mesyuarat khas 17 Ogos lalu.

Wasabi Oyabun..

Mengapa ramai yang persoal sambutan negara kepada mangsa tragedi MH17?


Ramai mempersoal kewajaran jenazah-jenazah rakyat Malaysia yang terkorban dalam tragedi MH17 disambut dengan istiadat sebegitu gah. Persoalan mereka, SIAPA JENAZAH-JENAZAH INI? Apa istimewanya mereka? Apa sumbangannya kepada negara sampaikan jenazah ini mendapat penghormatan sebegitu tinggi. Membuatkan YDPA dan Permaisurinya turut bangun memberikan penghormatan... Membuatkan rakyat 'pegun' di seluruh pelosok negara membacakan Al-Fatihah dan bertafakur..

Jawapannya, MAS adalah Malaysia!

Sebuah pesawat bernilai kira-kira RM1billion yang ditembak jatuh ini adalah front embassador kepada negara. Membawa imej Malaysia.. Membawa kebanggaan dan sentimen kenegaraan Malaysia kepada dunia. Di dalamnya terdapat 280 penumpang yang kesemuanya bernaung di bawah 'nama' Malaysia ketika itu. Negara Malaysia sedang bertanggungjawab ke atas kesemua penumpang dan anak kapal tersebut.

Jatuhnya MH17 umpama jatuhnya maruah negara. MAS dipersoal, dikeji, dikutuk dan dihina. Malaysia menjadi sasaran.. Pilu mengenangkan pesawat ini yang umpama 'anak' kepada rakyat Malaysia hancur ditembak di kala ia terbang menuju ke tanah air... Sedih mengenangkan ketika itu Malaysia umpama gagal melindungi penumpang-penumpang yang bernaung di dalam pesawatnya... Maruah MAS dan negara tercalar...


Mungkin ramai yang mengatakan MAS cuma sebuah entiti pengangkutan. Sebagaimana PROTON sebagai sebuah entiti pembangunan dan penghasilan kenderaan. Ramai tidak menyedari jauh sekali menghayati nama MAS pada jantung negara... Hati negara... Dan jiwa rakyatnya...

Ramai memandang MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan yang sedang jatuh... Tapi mereka lupa.. MAS lah yang selalu melakukan penerbangan-penerbangan ehsan demi rakyat dan negara. Di kala syarikat tambang murah yang dibangga-bangga meninggalkan satu keluarga di Ho Chi Minh kerana anaknya yang menghidapi down syndrome, MAS lah yang menghulurkan bantuan membawa baliK keluarga itu... Di kala Mesir bergolak, MAS lah yang menawarkan penerbangan ehsan untuk pelajar-pelajar Malaysia bagi urusan pemindahan.

Sebuah syarikat penerbangan yang mempunyai rekod servis antara yang terbaik di dunia ini melakukan semua ini atas dasar tanggungjawab dan nama negara.. Kalau bukan MAS, siapa lagi? MAS milik Malaysia.. Bantuan-bantuan mereka demi rakyat dan negara. Namun kita lupa, sebuah penerbangan bukan berkos RM0.. Bahan bakar, servis dan sebagainya tidak pernah difikir oleh kita. Berapa banyak penerbangan ehsan yang MAS lakukan dan berapa banyak kos yang ditanggung MAS sendiri? MAS tidak pernah mengungkit ini...


Jadi apabila sebuah pesawatnya ditembak jatuh, yang jatuh itu adalah nama negara, sebuah pesawat yang berjasa, sebuah pesawat yang berkhidmat demi negara dan rakyatnya.. Sebuah pesawat yang melakukan penerbangan-penerbangan jauh merentasi dunia... Sebuah pesawat yang kita jaga... Sebuah pesawat sebagai simbol kebanggaan negara. Tidakkah kita membayangkan bagaimana perasaan mereka yang jatuh dari ketinggian 40,000 kaki di udara...? Tidakkah kita membayangkan bagaimana lenyapnya kemesraan ciuman sepasang suami dan isteri sebelum penerbangan? Dan tidakkan kita membayangkan bagaimana leburnya jiwa keluarga mereka menerima berita sedih tiba-tiba?

Istiadat dilakukan bukan sekadar sebagai penghormatan.... Tetapi sebagai permohonan maaf... Permohonan maaf Malaysia dan MAS kepada rakyatnya yang tidak berjaya dihantar pulang dengan selamat... Jenazah-jenazah ini bukan seorang perajurit... Tetapi mereka duduk di dalam peswat ini dengan harapan yang 'gagal' disempurnakan... Harapan untuk selamat sepanjang berada di dalam perut pesawat itu... Harapan melihat dan menghadiahkan senyuman kepada ibu, bapa, anak-anak dan isteri tercinta.. Harapan untuk meluangkan masa bersama mereka....



Apalah salahnya jenazah mereka diusung pulang dengan jalur gemilang meliputinya.. Mereka ini rakyat kita.. Mereka ini pulang ke tanah airnya sendiri... Sebelumnya mereka berangan-angan untuk memijak kembali bumi Malaysia... Mereka ini pastinya merindui atmosfera negara.. Walaupun tiada lagi nyawa pada dada mereka... Kitalah yang memberikan 'nyawa' kepada mereka dan keluarga mereka... Abang, kakak, adik, ibu, ayah, anak, suami dan isteri.... Dan hilangnya MH17 adalah kehilangan 1 'anak' yang disayang-sayang oleh Malaysia dan rakyatnya...

Penghormatan ini bukan hanya diberi oleh rakyat Malaysia... Tetapi semua laluan penerbangan di seluruh dunia turut memberikan laluan kepada mereka.... Dunia pilu meratapi 'cinta' negara ini..... Hanya satu mesej yang ingin disampaikan MAS; "Maafkan kami..."..... MH17.. Captains and all Malaysians onboard, welcome home... Al-Fatihah~

Wasabi Oyabun..

Khamis, 4 September 2014

Krisis MB Selangor : Enggan hantar lebih dari dua calon?

Kiri Mohd. Zahid Md. Arip, Hamidzun Khairuddin

Sikap 'keras kepala' Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang dilihat enggan berganjak daripada keputusan awal berhubung senarai calon untuk dipilih sebagai Menteri Besar disifatkan sebagai menderhaka terhadap titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mursyidul Am Kelab Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI), Muhammad Zahid Md. Arip berkata, tindakan kedua-dua parti pembangkang itu yang enggan menurut titah Sultan Sharafuddin juga jelas menghina institusi diraja.

"Tindakan kedua-dua parti itu dilihat sebagai satu penderhakaan dan pembohongan yang amat jelas. Bagaimana mereka boleh diberi keyakinan untuk mentadbir sesebuah negeri sedangkan titah Sultan Sharafuddin pun mereka gagal turuti?

"Disebabkan sikap 'keras kepala' membuatkan mereka terasa kebal sehinggakan titah Sultan diambil ringan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan PKR yang hanya menamakan Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail manakala Pas pula menamakan Wan Azizah dan timbalannya, Azmin Ali sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Sultan Sharafuddin sebelum ini menitahkan setiap parti perlu mencalonkan lebih daripada dua nama.

Sementara itu, Presiden Gabungan Anti Penyelewengan Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin pula berpendapat, tindakan kedua-dua parti tersebut bukan sahaja menderhaka terhadap Sultan Selangor, malah membelakangkan Undang-undang Tubuh Negeri yang turut menetapkan kuasa budi bicara Sultan sebagai elemen penting yang wajib dipatuhi.

"Ini kriteria yang sangat penting. Undang-undang Tubuh Negeri telah menyebut bahawa pemilihan Menteri Besar perlu dalam kalangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), beragama Islam, Melayu dan yang paling utama, mendapat perkenan Sultan Selangor. Jika titah Sultan tidak dituruti, maka sudah jatuh hukum menderhaka," katanya.

Wasabi Oyabun...