Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Jumaat, 12 September 2014

Siapa sebenarnya di sebalik Pasma?

Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah, Phahrolrazi Zawawi bersama-sama Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mujahid Yusof Rawa dan penganalisis Perlembagaan, Abdul Aziz Bari pada Forum Terbuka Pas Campur UMNO, Ke Mana Hala Tuju di Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Kampung Attap di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Nama Datuk Ir. Phahrolrazi Zawawi sejak seminggu lalu kembali menghangatkan arena politik tanah air selepas sekian lama menyepi apabila beliau tampil mendakwa sebagai Presiden Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) - sebuah badan yang disebut-sebut bakal menjadi 'Pas baharu'.

Kemunculan semula beliau pantas mendapat perhatian kerana sudah menjadi pengetahuan umum, Pasma yang ditubuhkan pada 11 Ogos lalu dan didokong kumpulan Anwarinas bertujuan memberi tekanan kepada Datuk Seri Abdul Hadi Awang khususnya dalam konteks krisis politik di Selangor.

Itu pelan jangka pendek. Pelan jangka panjang pula, Pasma cuba mencorak pemikiran politik Pas yang dikatakan jumud dan ketinggalan oleh kumpulan Anwarinas akibat diterajui golongan ulama, sebelum sedikit demi sedikit 'NGO' berkenaan bertukar wajah untuk menjadi platform politik.

Struktur organisasi Pasma juga saling tidak tumpah Pas dan 'NGO' itu dilaporkan akan menubuhkan badan perhubungan negeri pertama di Pahang sekali gus melantik pesuruhjaya negeri pada masa sama. Ini bermakna langkah ke arah menjadi sebuah pertubuhan politik sudah bermula.

Malah perkara tersebut tidak dinafikan Phahrolrazi. Apa yang menjadi persoalannya ialah apakah benar bekas Timbalan Pesuruhjaya I Pas Kedah itu merupakan watak utama di dalam Pas yang menggerakkan Pasma? Atau apakah beliau sekadar 'buah catur' untuk mengaburi identiti dalang utama?

Ini kerana master plan Pasma sebenar cukup besar dan dengan aura yang ada pada Phahrolrazi sekarang, adalah mustahil untuk beliau menarik sokongan akar umbi Pas secara massa kerana pengaruh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkalan Kundor itu terhad di Kedah sahaja.

Bahkan cengkaman beliau di Kedah juga terbatas. Walaupun muncul antara tokoh Pas Kedah yang kuat menentang bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak dan dilihat pemimpin negeri yang senior, Phahrolrazi tidak terpilih untuk dilantik menjadi Pesuruhjaya Pas yang baharu.

Sebaliknya, jawatan penting itu diserahkan oleh pucuk pimpinan Pas kepada Ketua Penerangan, Datuk Mahfuz Omar, sehingga akhirnya Phahrolrazi mengambil keputusan melepaskan jawatan sebagai Timbalan Pesuruhjaya Pas I Kedah dipercayai kerana berkecil hati.

Jadi bagaimana untuk seorang yang dilihat sudah hilang pengaruh politiknya mampu untuk mencaturkan Pasma? Rancangan Pasma untuk menggoncangkan kepimpinan ulama tidak mampu direalisasikan tokoh yang bersifat lokal. Paling tidak, Presiden Pasma mestilah bersifat nasional yang ada jawatan di peringkat Pas Pusat.

Pengaruh di peringkat Pas Pusat itu penting kerana bukan lagi menjadi rahsia bahawa Pasma akan bergerak sebagai satu kumpulan bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP demi menjaga hubungan di antara pakatan yang kini ibarat retak menanti belah.

Segala persoalan itu menimbulkan tanggapan apakah Phahrolrazi cuma sekadar proksi pihak tertentu di dalam atau juga di luar Pas? Apatah lagi dengan pengesahan Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (ROS) pada Selasa lalu, bahawa nama beliau tiada dalam senarai seperti didaftarkan.

Kenyataan media ROS mengenai Pasma menyebut Mohamad Faiz Mohd. Taib (pengerusi); Muhamad Hisomudin Bakar (Timbalan Pengerusi); Mohd. Taib Ahmad (Setiausaha); Mohd. Iqbal Mohd. Shariff (Penolong Setiausaha); Mohd. Rosli Abu Bakar (Bendahari) serta tiga ahli jawatankuasa iaitu Mohamed Zainal Hussin, Sheikh Umar Bagharib Ali dan Mohamad Abdul Razak.

Jika sekadar proksi atau buah catur, siapa pula dalang sebenar yang menjadi tangan ghaib menggerakkan Pasma yang disifatkan Abdul Hadi sebagai nyamuk? Apakah benar Phahrolrazi cuma sekadar jawatankuasa awam? Jika begitu siapa pula yang membentuk jawatankuasa sebenar atau 'jawatankuasa tersembunyi'?

Mengenali Phahrolrazi, beliau sebenarnya bukanlah seorang tokoh politik yang mudah dipengaruhi apatah lagi untuk dijadikan buah catur pihak tertentu. Namun dalam politik terutamanya melihat kepada perkembangan semasa Pas yang kini berpecah dua, apa sahaja boleh berlaku.

Selain itu, kehadiran Muhammad Husin, iaitu aktivis Pas dari Kelantan dan seterusnya mengangkat diri sebagai Timbalan Presiden Pasma pada forum di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur/Selangor (KLSCAH) di ibu negara pada Isnin lalu juga tambah mencetuskan kekeliruan dalam kalangan ahli Pas.

Forum tersebut sepatutnya menampilkan Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan bekas Pesuruhjaya Pas Perak, Ahmad Awang selain Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Mujahid Yusof tetapi tanpa sebarang alasan, tempat Husam diganti Phahrolrazi manakala Ahmad diganti dengan Dr. Abdul Aziz Bari.

Ahmad sebelum ini disebut-sebut sebagai Mursyidul Am Pasma tetapi beliau menafikan dakwaan tersebut. Husam pula dikaitkan sebagai pemimpin Pas yang pro-Anwarinas apabila beberapa siri kenyataan beliau dilihat bercanggah dengan pendirian Abdul Hadi khususnya dalam konteks krisis politik di Selangor.

Secara kebetulan juga Muhammad yang mendakwa 'Timbalan Presiden Pasma' dikenali sebagai orang kuat Husam. Bagitu juga dengan dua lagi ahli jawatankuasa penaja sebagaimana disenaraikan ROS iaitu Muhamad Hisomudin dan Sheikh Umar.

Sebenarnya tidak susah untuk meneka siapakah pemimpin tertinggi Pas di sebalik Pasma dan dengan siapa pula di luar parti yang pencatur utama ini bekerjasama kerana seumpama nyamuk daripada dengung pun sudah boleh dikesan.

Maka, sebab itu adalah tidak pelik mengapa Ketua Pemuda Pas Sekijang, Johor, Shazni Munir Ithnin, secara terbuka mendesak Husam meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden jika tidak bersetuju dengan Abdul Hadi dan bukannya menjadi anai-anai yang 'makan dalam senyap'.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan