Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 20 September 2014

Khalid enggan ulas rancangan baharu PKR?


Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengambil pendirian tidak mahu terlibat dan ambil tahu mengenai rancangan terbaharu Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang dilaporkan mahu menghadap Sultan Selangor bagi memastikan Presiden parti itu, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dipilih menggantikan beliau.

Abdul Khalid ketika ditemui selepas merasmikan program Cycling in the city di Dataran Kemerdekaan, di sini berkata, beliau tidak akan memberi apa-apa ulasan mengenai rancangan PKR itu sehinggalah istiadat mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar baharu yang dijadualkan berlangsung di Istana Alam Shah, Klang selesai diadakan Selasa ini.

"Saya tidak boleh buat apa-apa ulasan. Sebarang isu mengenai jawatan Menteri Besar hanya akan diumumkan selepas Selasa," katanya ringkas kepada pemberita di sini.


Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu kenyataan yang dilaporkan menerusi protal berita propembangkang, malaysiakini.com menyatakan hasrat parti itu menghadap Sultan Selangor selain menegaskan sokongan mereka yang tetap mahukan Wan Azizah dilantik sebagai Menteri Besar yang baharu.

Dalam pada itu, Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menerusi laporan Mingguan Malaysia hari ini menyatakan pengumuman mengenai siapa yang bakal menduduki jawatan Menteri Besar yang baharu dijangka diketahui selewat-lewatnya pada 22 September ini.

Menurut Mohamad Munir, tarikh tersebut bagaimanapun belum dimuktamadkan memandangkan sebarang perkembangan terbaharu mengenai soal pemilihan dan pelantikan Menteri Besar adalah bergantung kepada kata putus daripada Sultan Selangor.


Namun, beliau menegaskan bahawa pengumuman mengenai pemilihan dan pelantikan jawatan itu hanya akan dibuat oleh pihak Istana Selangor sama ada menerusi sidang akhbar atau melalui kenyataan akhbar.

Setakat ini, ADUN Bukit Antarabangsa dan ADUN Cempaka iaitu Azmin Ali dan Iskandar Abdul Samad merupakan dua nama yang disebut-sebut berada dalam senarai pendek Istana Selangor untuk dilantik sebagai Menteri Besar bagi menggantikan Abdul Khalid.

Selain Azmin dan Iskandar, ADUN Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi turut disebut-sebut sebagai calon yang mungkin dipilih untuk mengisi jawatan berkenaan.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan