Ahli Perkasa, Ahmad Zamani Imran bersama wakil penduduk Kajang mengangkat sepanduk Tolak Anwar" selepas membuat laporan polis untuk membantah tindakan ADUN Kajang, Lim Chin Cheh meletak jawatan dan memberi ruang kepada Anwar Ibrahim untuk bertanding di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, baru-baru ini.
Dalam usaha menamatkan pertelingkahan politik antara Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Azmin Ali, Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengambil tindakan drastik dengan meminta ADUN Kajang, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi tersebut.
Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di situ dan diuar-uarkan akan menggantikan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar Selangor.
Melalui langkah itu, ia diharapkan meredakan perbalahan politik antara Abdul Khalid dan Azmin. Tetapi sudah wujud spekulasi bahawa apa yang berlaku sekadar sandiwara politik untuk menyingkirkan Abdul Khalid secara terhormat dan meletakkan Azmin sebagai Menteri Besar Selangor.
Keadaan inilah yang memungkinkan Abdul Khalid seperti mana dilaporkan oleh akhbar The Star meletakkan syarat hanya akan mengosongkan kerusi Menteri Besar jika Azmin berundur sebagai ADUN.
Sebenarnya, apa yang diperkatakan bukanlah satu rahsia. Menurut sumber dalaman PKR, Abdul Khalid sememangnya cukup berhati-hati dengan sebarang langkah politik yang dilakukan oleh Anwar.
Bagaimana kalau selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kajang, Anwar menang tetapi menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada Azmin sedangkan ketika itu Abdul Khalid sudah pun meletakkan jawatan?
Inilah perkara yang merisaukan penyokong-penyokong Abdul Khalid sebab itulah mereka mahu Abdul Khalid bertegas dengan tidak sewenang-wenangnya menerima pelan damai oleh Anwar, kata sumber itu ketika dihubungi.
Turut menjadi perkiraan Abdul Khalid kata sumber itu lagi adalah kemungkinan kalau pun Anwar menjadi Menteri Besar ia tidak lama.
Anwar mungkin akan menyerahkan jawatan itu kepada Azmin dengan pelbagai alasan dan ketika itu Abdul Khalid sudah tidak boleh berbuat apa-apa lagi.
Justeru adalah penting bagi Abdul Khalid memastikan Azmin tidak ada dalam barisan wakil rakyat Selangor sebelum beliau meletakkan jawatan, kata sumber itu.
Sumber tersebut turut menegaskan, tidak mustahil juga untuk meredakan keadaan buat sementara waktu, Azmin dilantik menduduki Exco Kanan sebelum ditabalkan sebagai Menteri Besar.
Semua perkara ini perlu ditimbangkan oleh Abdul Khalid sebab itulah beliau perlu tegas dalam memastikan Azmin tiada laluan untuk berada dalam kepimpinan negeri Selangor, kata sumber itu.
Persoalannya, mampukah Abdul Khalid melawan kehendak politik Anwar, apatah lagi Menteri Besar Selangor itu sedang bertarung dengan orang kesayangan Anwar iaitu Azmin.
Tambahan pula seperti mana dilaporkan oleh akhbar ini, semalam, Anwar secara terbuka di hadapan penyokong-penyokong PKR di Permatang Pauh seolah-olah memperkecilkan kewibawaan Abdul Khalid dalam menerajui Selangor.
Anwar mengakui wujud pelbagai masalah besar di negeri itu yang gagal diselesaikan kerajaan negeri yang diterajui oleh Abdul Khalid.
Kerajaan Selangor memang berdepan dengan masalah dalaman tetapi masih terkawal. Saya akui negeri Selangor ditadbir dengan baik dalam bidang ekonomi, tetapi masalah gereja merupakan masalah paling berat di Selangor dan menjadi isu nasional. Jadi, saya perlu tampil membantu untuk selesaikan masalah yang wujud ini. Itu kata Anwar.
Tetapi apa yang menimbulkan persoalan, ketika Anwar dilihat meragui kemampuan Abdul Khalid, Ketua Pembangkang itu ketika mengadakan perjumpaan tertutup dengan kepimpinan PKR Kedah pada Ahad lalu menyatakan Abdul Khalid akan menjadi penasihat beliau dan pengarah PRK PKR di Kajang. Keadaan itu menimbulkan persoalan apakah permainan Anwar di sebalik keputusan PKR mengosongkan kerusi DUN Kajang.
Atas sebab itulah sudah wujud andaian bahawa jika Abdul Khalid tidak berhati-hati, beliau akan menjadi ibarat bak kata pepatah yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran.
Ia memandangkan dalam keadaan apa pun Anwar dilihat tidak akan menyebelahi Menteri Besar Selangor itu, sebaliknya akan memihak kepada Azmin yang dianggap mempunyai pengaruh besar dalam PKR.
Abdul Khalid pula dilihat tidak memiliki sokongan yang kuat biar pun Presiden PKR, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail sebelum ini dikatakan berada di pihaknya.
Namun begitu setakat ini, Wan Azizah hanya diam membisu, beliau seolah-olah menyerahkan segala-galanya kepada Anwar untuk membuat percaturan politik, biar pun orang tahu sejauh mana hubungan Wan Azizah dengan Azmin.
Berikutan keadaan itu, ramai penyokong-penyokong PKR begitu yakin bahawa Abdul Khalid akan terkorban dalam permainan politik yang dicaturkan oleh Anwar kecuali beliau bertegas mahukan Azmin berundur.
Tetapi persoalannya apakah Azmin akan tunduk kepada kehendak Abdul Khalid dan adakah Anwar akan menyebelahi Abdul Khalid dengan meminta Azmin berundur? Kalau itulah yang diharapkan oleh Abdul Khalid, beliau boleh dianggap bermimpi di siang hari.
Ini kerana dalam apa situasi pun, Anwar sama sekali tidak akan mengorbankan Azmin dalam percaturan politiknya, sebaliknya beliau dikatakan bersedia bila-bila masa sahaja untuk memastikan Abdul Khalid berundur daripada jawatan Menteri Besar.
Atas sebab itulah, pengundi-pengundi DUN Kajang tidak harus terperangkap dengan agenda politik PKR. Fahamilah pilihan raya kecil yang bakal diadakan bukan terpaksa tetapi sengaja dirancang hanya semata-mata untuk menamatkan konflik dalaman PKR.
Selama ini, mereka sudah melihat bagaimana Abdul Khalid memerintah, malah Anwar sendiri mengakui dari segi ekonomi Menteri Besar Selangor itu berjaya, oleh itu kenapakah Abdul Khalid perlu dikorbankan semata-mata kerana bertelingkah dengan Azmin?
Bukankah pembangkang juga memuji Abdul Khalid kerana mentadbir negeri itu dengan bersih tanpa ada sebarang unsur penyelewengan, amalan rasuah atau salah guna kuasa?
Adakah kerana beliau berbalah dengan Azmin, maka jawatan Menteri Besar perlu dijadikan pertaruhan dan kerusi DUN menjadi perhitungan?
Apakah jaminan bahawa apabila Anwar sudah menjadi Menteri Besar, perbalahan politik antara Abdul Khalid dan Azmin akan berakhir? Sampai bilakah rakyat harus dijadikan pertaruhan semata-mata kerana pertelingkahan dalaman PKR?
Sememangnya kita bersimpati dengan Abdul Khalid kerana setelah bertungkus lumus menawan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-12 dan kemudian mempertahankannya dalam Pilihan Raya Umum Ke-13, kini beliau akan kehilangan kedudukan hanya semata-mata kerana perbalahan politik dengan Azmin.
Mungkin kalau beliau bertelingkah dengan pemimpin PKR lain, Abdul Khalid tidak akan berada dalam situasi sekarang. Kini terserahlah kepada Menteri Besar Selangor itu bagaimana hendak memastikan lawan politiknya itu tidak mengaut keuntungan berikutan pengundurannya. Inilah dilema Abdul Khalid? -UMO
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan