Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Rabu, 18 Disember 2013

Nasib para pekerja swasta yang tiada siapa pedulikan?


Ramai yang mengeluh gaji pendapatan mereka tidak setimpal dengan kenaikan kos hidup, terutamanya di bandar. Sekarang Kerajaan Pusat mengurangkan subsidi. Syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pula menaikkan harga tarif utiliti. Menjelang 2015, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pula akan diperkenalkan. Mana nak cari duit? Gaji banyak itu juga.

Kita perlu ingat bahawa sektor awam hanya menggajikan 1.2 juta penduduk negara ini. Selebihnya majikan sektor swasta. Pihak swasta pula terbahagi kepada dua - GLC dan swasta 100% yang di miliki oleh orang perseorangan yang kaya raya.

Bagi syarikat-syarikat GLC, gaji yang dibayar mereka adalah secara purata bernilai tinggi jika dibandingkan dengan harga pasaran.


Kerajaan hendak menguatkuasakan gaji minimum tetapi bantahan dari pihak swasta 100% adalah kuat dan lantang. Selain melaksanakan gaji minimum secara undang-undang, kerajaan tidak dapat berbuat apa-apa kerana perikatan kontrak pekerjaan menentukan gaji swasta adalah hak mutlak antara pihak majikan dengan pekerja itu sendiri.

Jadi apakah strategi jangka pertengahan dan panjang kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini?

Untuk jangka panjang, kerajaan berusaha meningkatkan ekonomi kita kepada ekonomi berpendapatan tinggi. Tetapi kalau pekerja tidak meningkatkan kemahiran dan pengetahuannya, susah juga nak menjadi sebahagian daripada ekonomi ini. Ini adalah kenyataan.

Untuk jangka pertengahan, terlintas di fikiran - mungkinkah wujud suatu strategi "squeeze them till they squeal" - "picit mereka hingga mereka menjerit"?


Apa maknanya ini?

Kerajaan secara beransur akan menaikkan harga kos kehidupan (tetapi juga menurunkan sedikit peratusan cukai pendapatan dan menyalurkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) kepada yang memerlukan) sehingga pekerja-pekerja akan menuntut gaji yang lebih tinggi.

Pemangkin yang boleh memulakan putaran tuntutan ini adalah syarikat-syarikat swasta yang berani dan mampu membayar gaji yang lebih kompetitif.

Dengan cara ini, akan terdapat perpindahan pekerja-pekerja dari syarikat-syarikat yang membayar gaji rendah ke gaji yang lebih tinggi. Ini pun sudah berlaku tetapi belum berleluasa sangat.

Syarikat-syarikat yang membayar gaji kecil semakin lama akan sedar untuk membayar gaji berkompetitif kerana ia kehilangan pekerja-pekerjanya yang bijak dan berkemahiran.


Dalam tahun-tahun akan datang, ekonomi kita akan berganjak ke arah ekonomi perkhidmatan dan bukan ekonomi pembuatan. Sekarang ekonomi perkhidmatan sudah pun menyumbangkan 54% daripada KDNK negara. Kadar ini dijangka meningkat kepada 65% hingga 70% menjelang tahun 2020.

Dalam suasana ekonomi perkhidmatan, yang paling utama adalah kemahiran pekerja-pekerja itu sendiri. Maka, permintaan untuk pekerja bijak dan mahir akan semakin naik dan mungkin juga mendadak dalam beberapa bidang tertentu.

Tambah pula, dengan kenaikan harga komoditi dan barang mentah, sektor pembuatan terpaksa memanjat talian nilai dalam pembuatan barangannya. Kenalah lebih canggih. Kalau nak lebih canggih, mereka perlulah pekerja mahir. Jadi, mereka terpaksa juga celik mata, gigit jari dan membayar gaji yang lebih dari yang ada sekarang.


Hendak menaikkan gaji keseluruhan ekonomi bukan senang. Strategi picit hingga jerit ini mungkin satu-satunya cara untuk memujuk syarikat-syarikat 100% swasta supaya membayar gaji yang lebih setimpal dengan kos kehidupan.

Susah-susah dahulu, senang-senang kemudian. Jika kita sendiri tidak menerima manfaat daripada pengorbanan ini, insya-Allah, anak cucu kita akan menikmatinya, dengan izin Allah SWT jua. Wallahuallam.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan