Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 17 Disember 2013

Malaysia rakan hati ke hati Jepun?


Keakraban hubungan antara Malaysia dan Jepun yang terjalin sejak 56 tahun lalu, tidak boleh disangkal. Ke mana-mana sahaja anda pergi di sekitar bandar raya Tokyo sama ada anda bersua orang biasa daripada pemandu teksi, pekerja hotel dan peniaga sehinggalah kepada pegawai-pegawai kerajaan, semuanya mengenali, menghormati dan sangat mengagumi Malaysia.

Sungguhpun kemajuan Jepun jauh lebih terkehadapan, namun seolah-olah rakyatnya mengenali Malaysia sebagai sebuah negara berjiran manakala pembangunan pesat di negara kita membuatkan nama Malaysia hebat dan popular. Kemajuan yang dicapai di Malaysia menjadi sebutan di sini.

Perdana Menteri, Shinzo Abe, dalam rencana tulisannya yang disiarkan secara eksklusif dalam akhbar The Japan News Jumaat lalu bersempena Sidang Kemuncak Ulang Tahun Hubungan ASEAN-Malaysia Ke-40 keesokannya, tidak tertinggal menyebut nama Malaysia sambil beliau merakamkan perasaan gembiranya berada di Malaysia, Julai lalu.

“Di Malaysia, saya ada kenangan sangat menarik apabila menerima layanan sangat baik dalam satu majlis makan malam walaupun ia berlangsung pada Ramadan," kata Abe. Rencana tulisan Abe itu disiarkan di muka 6 akhbar tersebut manakala intipatinya dijadikan berita utama muka hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tiba di Tokyo pada pagi Khamis untuk menghadiri Sidang Kemuncak itu, diberi penghormatan oleh Abe sebagai ketua kerajaan ASEAN yang pertama untuk menemui beliau dan mengadakan mesyuarat hubungan dua hala.

Di Pejabat Perdana Menteri Jepun itu, pertemuan Najib dan Abe sangat akrab. Ia tidak hanya sekadar antara seorang ketua kerajaan dengan rakan sejawatan, sebaliknya lebih daripada itu.

Kedua-dua Perdana Menteri bergambar secara santai dan bersahaja untuk kenangan peribadi sambil masing-masing memegang sebatang pokok buluh di satu ruang terbuka di kompleks pejabat dan kediaman Abe itu.

Najib yang merakamkan gambarnya bersama Abe itu menggunakan telefon bimbitnya sendiri, turut berkongsi foto berkenaan di laman sosial Twitternya.

Tidak seperti foto biasa kita lihat pemimpin negara bergambar berdiri tegak, segak serta mengawal mimik wajah dan penampilan, sebaliknya di rimbunan pokok buluh itu, kedua-dua Perdana Menteri tersebut sama-sama menyendengkan rapat bahu mereka ke pokok buluh. Ia cerminan dan simbolik kepada hubungan peribadi mereka yang akrab, dekat dan ikhlas.


Gambar Najib-Abe itu yang turut dirakamkan jurugambar media mendapat perhatian meluas akhbar-akhbar bukan sahaja di Malaysia malah negara ASEAN lain dan Jepun, termasuk The Straits Times Singapura yang menyiarkannya hampir separuh muka, Jumaat lalu.

“Saya dan Abe memang rapat. Kami sempat merakamkan gambar kenangan peribadi di rimbunan pokok buluh itu. Itu sebenarnya melambangkan keakraban hubungan Malaysia-Jepun, bukan sekadar hubungan biasa tetapi hati ke hati," kata Najib kepada wartawan Malaysia di Tokyo.

Dalam pertemuan itu, Abe juga menyatakan perasaan simpati kerajaan Jepun dan rakyatnya terhadap kerosakan akibat kejadian banjir di Malaysia baru-baru ini.

Hubungan diplomatik Malaysia-Jepun terjalin sejak kemerdekaan negara pada 1957, iaitu 56 tahun yang lalu. Namun ia menjadi lebih utuh, mapan, berimpak dan bermakna sejak Tun Dr. Mahathir Mohamad memperkenalkan Dasar Pandang Ke Timur (DPT) pada 15 Februari 1982, iaitu setahun selepas beliau menyandang jawatan Perdana Menteri keempat.

Dasar tersebut yang sehingga tahun lalu iaitu 30 tahun fasa pertama dengan fokus kepada latihan dan pendidikan bagi pihak Malaysia, benar-benar menjadi pemangkin kekuatan hubungan Kuala Lumpur-Tokyo.

Jepun sehingga tahun lalu membawa masuk pelaburan bernilai AS$22.2 bilion (RM71.7 bilion) membabitkan kira-kira 1,400 syarikat dari negara matahari terbit itu, menjadikan ia negara pelabur asing terbesar di Malaysia.

Namun, selaras matlamat menjadikan Malaysia negara maju dan berpendapatan tinggi pada 2020, iaitu hanya kira-kira enam tahun dari sekarang, kerajaan melancarkan semula DPT dengan penjenamaan baharu dikenali sebagai Gelombang Kedua DPT atau DPT2.0.

Ketika pertemuan dan mesyuarat hubungan dua hala dengan Abe pada Khamis, Najib memberitahu Abe bahawa menerusi DPT2.0, Malaysia mahu Jepun tidak lagi membawa masuk pelaburan berasaskan tenaga buruh, sebaliknya teknologi tinggi dan berkarbon rendah serta pemindahan kemahiran berkaitan.

Dalam reaksinya, Abe berkata, Jepun sebagai rakan kongsi hati ke hati Malaysia, akan terus menyokong DPT2.0 malah menawarkan kepakaran syarikat-syarikatnya dalam pelbagai bidang berteknologi tinggi termasuk pembinaan landasan kereta api berkelajuan tinggi.

Beliau mengumumkan, kerajaan Jepun akan meningkatkan penghantaran, penajaan dan pemberian biasiswa kepada pelajar-pelajar dari seluruh ASEAN ke Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) di Kuala Lumpur, serentak dengan pengumumannya supaya MJIIT dijadikan hab pendidikan berasaskan teknologi tinggi untuk ASEAN.

Beliau mengulangi komitmen dan sokongan Tokyo kepada Kuala Lumpur untuk bekerjasama menjayakan transformasi ekonomi di Malaysia ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020.

“Saya juga ingin menyatakan komitmen kami untuk sama-sama membantu menjayakan Gelombang Kedua Dasar Pandang Ke Timur," katanya.

Keesokannya, di hadapan kira-kira 100 ahli perniagaan dan pelabur Jepun, Najib mengumumkan fokus baharu DPT2.0 yang menggariskan enam sektor iaitu:

- Pertama, industri berteknologi terulung;

- Kedua, pembangunan kemahiran berteknologi tinggi;

- Ketiga, pembangunan perkhidmatan mewah;

- Keempat, pengurusan ekosistem dengan tenaga boleh diperbaharui, selamat dan dipercayai;

- Kelima, pemodenan perusahaan kecil dan sederhana (PKS); dan

- Keenam, bidang berkaitan warga tua.

Malaysia juga, katanya, akan meneruskan dasar-dasar mesra pelabur dan perdagangan, serta pada masa yang sama menyediakan iklim pelaburan kondusif.

“Walaupun kerajaan kami boleh merancang arah tuju DPT2.0 namun ia sebenarnya mengenai sektor swasta. Kejayaannya ditentukan oleh majlis-majlis perniagaan dan persatuan ekonomi.


“Saya menjemput anda menjadi rakan kongsi kami dalam program transformasi Malaysia, ke arah menjadikan negara kami sebagai negara maju berpendapatan tinggi pada akhir dekad ini," katanya dalam ucap utama dan merasmikan Persidangan Bersama Persatuan Ekonomi Jepun-Malaysia (Jameca) dan Persatuan Ekonomi Malaysia-Jepun (Majeca) Ke-32 di Hotel Imperial di Tokyo pada Jumaat.

Beberapa memorandum persefahaman (MoU) pelaburan turut dimeterai sepanjang lawatan Najib ke Tokyo, selain pernyataan komitmen daripada para pelabur.

Ini termasuk syarikat Toshiba mengesahkan lanjutan kerjasama dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) untuk menjayakan rawatan karbon ion sebagai pusat terapi rawatan kanser manakala Sekisui dan Program Skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) menandatangani MoU pembinaan kilang kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS) bagi membina rumah di bawah program rumah mampu milik PR1MA.

Ketika negara anggota ASEAN lain sedang giat memanfaatkan hubungan dengan Jepun melalui pertubuhan negara-negara Asia Tenggara itu, Malaysia bukan sahaja telah jauh terkehadapan meraih laba menerusi DPT malah melangkah setapak lagi dengan penjenamaan semula dasar itu kepada DPT2.0.

DPT dan hubungan Malaysia-Jepun tidak dapat dipisahkan. Selama 30 tahun pelaksanaannya, ia berjaya mempercepat pertumbuhan dan mengubah landskap ekonomi negara dan boleh dikaitkan dengan banyak projek mega di Malaysia termasuk pengeluaran kereta nasional Proton hasil kerjasama Perusahaan Otomobil Nasional Berhad (Proton) dan Mitshubishi Corp.

Sesungguhnya, Malaysia tanpa memperkecil atau mengenepikan kepentingan negara sumber pelaburan yang lain, mempunyai sebab untuk terus menghargai dan mendekatkan hubungan dengan Jepun kerana kerajaan dan negara matahari terbit itu terbukti bukan sekadar rakan diplomatik sebaliknya rakan bilateral hati ke hati.-UMO

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan