Terima kasih kerana mengundi BN
Ahad, 15 September 2013
Hayati 50 tahun penubuhan Malaysia.
Menghayati sesuatu sejarah adalah ibarat melihat rumah lama dari tingkap rumah yang baru. Apatah lagi ia dibina bertentangan. Rumah baru yang dibina sudah pasti akan lebih canggih dan moden kelengkapan luar dan dalam, berbanding rumah lama yang meninggalkan seribu satu nostalgia yang diibaratkan kenangan mengusik jiwa.
Utusan Melayu (M) Berhad yang menerbitkan akhbar Utusan Malaysia sendiri membina bangunan baru berhadapan bangunan lama. Sudah pasti warganya terasa perbezaan antara yang lama dan baru. Apa pun biarlah bak kata pujangga alah bisa tegal biasa. Alah membeli menang memakai.
Sebagaimana sebuah syarikat dan premisnya begitu juga negara kita Malaysia yang telah ditubuhkan kira-kira 50 tahun yang lalu pada tanggal 16 September 1963, hasil penggabungan negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu dan dua buah negeri Borneo iaitu Sabah dan Sarawak.
Dalam 50 tahun ini juga beberapa kawasan telah diiktiraf sebagai Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur (ibu negara), Labuan dan Putrajaya.
Kewujudan Malaysia yang lebih kukuh dengan penggabungan semua 14 negeri di bawah Kerajaan Parti Perikatan yang kemudiannya dikenali sebagai Barisan Nasional (BN) amat mengkagumkan sebagaimana hebatnya Gunung Kinabalu di Sabah dan Gua Niah di Sarawak di mata dunia.
Hari ini Malaysia yang merupakan negara yang rancak ekonominya dan merupakan antara negara yang paling membangun di dunia sedang memasuki fasa baru dalam hambatan teknologi moden yang menggila.
Malaysia kini tidak sahaja dihuni oleh 30 juta penduduk daripada kelompok bangsa Melayu, etnik Sabah dan Sarawak, Cina dan India malahan warga asing dari Bangladesh, Indonesia, rakyat dari benua Afrika dan negara Arab semakin ramai memilih negara ini sebagai tempat mencari rezeki lantaran tekanan hidup dari sudut sosial dan ekonomi di negara mereka.
Apakah kita sebagai rakyat Malaysia gagal menilai ketrampilan pemerintahan pemimpin-pemimpin BN yang menganggotai Kabinet hingga mampu memacu Malaysia ke puncak dunia.
Jika kita mengatakan kejayaan negara ini ibarat yang bulat datang menggolek dan yang pipih datang melayang maka kita telah melakukan penafsiran yang amat silap. Tanpa BN dan kepimpinannya maka kita sudah pasti tidak berada di status quo hari ini.
Penggabungan semua bangsa Malaysia semenjak setengah abad yang lalu turut telah menjadikan rakyat negara ini berdiri sama tinggi dengan bangsa lain di dunia, malahan duduk sama rendah dengan rakyat negara maju seperti United Kingdom yang pernah menjajah negara kita.
Soalnya, apa lagi puak-puak penyokong pembangkang mahu hingga bendera Jalur Gemilang dianggap mereka tidak mewakili tuntutan jiwa rakyat negara ini yang mahukan suasana yang aman dan harmoni.
Tidak habis-habis membuat kekacauan hingga jiwa dan raga rakyat yang cintakan keamanan menjadi rimas dan runsing. Kempen menukar Kerajaan Pusat sudah tamat, tidak perlu disangsi pilihan majoriti rakyat Malaysia yang semakin bijak dan matang menilai yang mana satu kaca yang mana satu permata.
Apa yang perlu dilakukan Kerajaan Pusat pada masa ini adalah menyemarakkan di jiwa-jiwa warganegara ini dengan sejarah penubuhan Malaysia sama ada di media massa atau penerbitan buku dan seumpama dengannya.
Ceritakanlah tentang perjuangan pemimpin negara dan Suruhanjaya Cobbold yang bertanggungjawab menjadikan negara ini bersatu dari Perlis hingga ke Sabah. Sejarah perlu didokumentasikan dan dokumen sejarah perlu dihayati sebagai semangat kesatuan sebuah negara yang berdaulat.
Generasi akan datang tidak mahu peristiwa seperti yang terjadi di Lahad Datu dan Semporna pada tahun ini berulang kembali jika sejarah dan semangat sejarah tersebut tidak meresap ke sanubari mereka.
Kita perlu menentang apa jua anasir yang menjadikan wilayah di dalam negara Malaysia ini sebagai barang tuntutan dan rebutan setelah pemimpin kita yang terdahulu sudah membulatkan tekad dan bermuafakat untuk bernaung atas prinsip hidup dan mati di bawah nama Malaysia yang berdaulat.
Justeru sempena sambutan Hari Malaysia Ke-50 tahun ini, kita perlu menjadikan ia hari sambutan yang penuh dengan semangat perpaduan atas nama rakyat Malaysia yang merdeka.
Untuk satu hari, kita lupakan perbezaan pegangan politik dan fahaman untuk sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang sama ada di rumah mahupun di majlis sambutan Hari Malaysia.
Sesungguhnya tema perayaan Hari Kemerdekaan iaitu 'Malaysiaku Berdaulat: Tanah Tumpahnya Darahku' amat bertepatan dengan usaha kerajaan untuk terus menyuburkan nilai-nilai murni, meningkatkan semangat perpaduan dan mensyukuri nikmat kemerdekaan.
Tidak seperti negara yang bergolak, kita masih boleh menikmati kehidupan sebagai rakyat Malaysia yang bukan sahaja hidup aman dan senang makan pakai tapi boleh sahaja bangun pagi melihat mentari merah yang bersinar terang di ufuk timur malah boleh tidur lena dan diulit mimpi-mimpi indah yang insya-Allah mampu kita jadikan kenyataan di sebuah negara harmoni yang bernama Malaysia. Di Malaysia segalanya mungkin.
Wasabi Oyabun..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan