Terima kasih kerana mengundi BN
Ahad, 2 September 2012
Selangor-ku Oh Khalid Ibrahim?
Suasana malam kemerdekaan ke-55 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 30 Ogos itu tidak seperti biasanya. Getar dan aura merdeka yang sepatutnya disemarakkan pada malam bersejarah itu terasa malap.
Aroma busuk politik kepartian tercium di sana-sini. Di atas pentas ada Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim. Di bawah pentas ada hadirin tanpa segan silu memperagakan baju parti.
Tambah janggal, tidak ada kontinjen pasukan keselamatan negara dalam perbarisan malam itu. Aksi bersemangat dan derap perbarisan pasukan tentera dan polis yang selalunya dinanti-nantikan oleh hadirin tidak kelihatan.
Mereka tidak kelihatan kerana pasukan yang selalunya menjadi elemen utama dalam perbarisan kemerdekaan ini telah menarik diri. Lagi dan lagi kepincangan dan kontroversi dicetuskan oleh Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor ini.
Kehadiran Anwar dikatakan menjadi puncanya. Jawatannya selaku Penasihat Ekonomi Negeri Selangor hanya lantikan politik sedangkan sambutan kemerdekaan yang diadakan saban tahun itu adalah majlis rasmi.
Dalam protokol majlis rasmi, nama Ketua Pembangkang itu tidak ada dalam senarai, Apatah lagi jika disediakan tempat khusus di atas pentas dan diberi penghormatan pula untuk berucap.
Dalam konteks majlis sambutan kemerdekaan itu, Anwar ialah orang luar. Beliau tidak layak berada di atas pentas. Kenapa protokol kerajaan negeri mengagung-agungkan orang luar tentulah menjadi tanda tanya, jika ia bukan untuk tujuan politik?
Jika ia majlis berkaitan ekonomi negeri Selangor, bolehlah difahami alasan kehadiran Anwar. Tetapi ini majlis rasmi kerajaan negeri. Siapakah sebenarnya yang mahu mempolitikkan hari kemerdekaan?
Yang ternampak pada malam itu ialah bukan semangat kemerdekaan yang keutamaannya untuk menyatukan semua peringkat dan lapisan rakyat. Yang ternampak malam itu ialah ada pihak yang mahu meraih keuntungan politik.
Mujurlah Pasukan Angkatan Tentera Malaysia dan polis dapat menghidu aroma itu dan menarik diri. Sebagai pihak yang mementingkan disiplin dan protokol, mereka tentunya tidak mahu terjebak dalam permainan politik seperti itu.
Membelakangkan
Apatah lagi acara rasmi itu telah membelakangkan Sultan Selangor. Di luar tradisi, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak dimaklum mahupun dijemput. Entah apa dalam pemikiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang sekali lagi kenyataannya bertentangan dengan Istana Selangor.
Kata Khalid, tindakan tidak memaklum serta menjemput Sultan Selangor berangkat ke sambutan ulang tahun kemerdekaan negara adalah amalan biasa. Sedangkan Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani menjelaskan urusan memaklum dan menjemput Sultan merupakan amalan biasa dilaksanakan kerajaan negeri sebelum ini.
Sejak akhir-akhir ini gaya pentadbiran Khalid bertambah angkuh dan sombong. Dulu beliau dianggap sombong oleh orang dalam partinya sendiri sehingga dilucut jawatan Pengerusi PKR negeri.
Kini, setelah penggal pentadbirannya hampir tamat sikap angkuh dan sombong itu ditunjukkan pula secara terbuka kepada rakyat dan istana. Terbaru, rakyat diperdaya dengan manifesto air percuma yang selalu dibangga-banggakan itu.
Setelah gagal menunaikan janji bekalan air percuma kepada ratusan ribu penghuni pangsapuri dan kondominium, Khalid berdalih manifesto itu bukan satu perjanjian. Macam tidak percaya alasan itu keluar daripada seorang yang menduduki kerusi Menteri Besar.
Walaupun rakyat terus mendesak agar kerajaan negeri menunaikan janjinya, Menteri Besar dan kepimpinan kerajaan negeri terus berlagak angkuh dan sombong. Mereka tegaskan tidak akan melayan tuntutan rakyat itu.
Dan, pada sambutan hari kemerdekaan ini Khalid terus menunjukkan sikap yang tidak bersahabat kepada rakyat. Menteri Besar mesti bertanggungjawab terhadap tindakan pasukan tentera dan polis yang menarik diri daripada majlis perbarisan sambutan kemerdekaan itu.
Begitu juga, beliau mesti bertanggungjawab terhadap Istana Selangor kerana gagal memaklumkan dan menjemput Sultan Sharafuddin. Beliau tidak lagi boleh memberikan alasan bebal sebagaimana yang diberikan kepada rakyat yang dianaktirikan untuk menikmati air percuma.
Sultan Selangor telah melaksanakan tanggungjawabnya sebagai payung termasuk bersikap adil dan saksama dengan menghadiri majlis Bacaan Yasin, Tahlil dan Doa Selamat pada pagi hari kemerdekaan.
Kini Menteri Besar pula dituntut untuk bersikap profesional dan budiman. Jika salah, mohonlah maaf atau letak jawatan. Jika gagal tepati janji, mengakulah atau letak jawatan. Tetapi mungkinkah ia akan berlaku? Mimpi barangkali.
Malanglah oh Selangorku kerana pada hari yang bersejarah rakyat negeri ini terus disuguhi dengan elemen keangkuhan dan semangat sempit kepartian. Dalam suasana 55 tahun merdeka ini, banyak iktibar dan pengajaran yang boleh diambil daripada pentadbiran sepenggal Kerajaan PKR Selangor ini.
Wasabi Oyabun..
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan