Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Sabtu, 24 September 2011

Agenda sulit Pakatan Haram Pembangkang kearah meREPUBLIKkan Malaysia!

Sudah terang lagi bersuluh. Walaupun tiada dokumen rasmi dengan tajuk 'Langkah-Langkah Untuk Menghapuskan Warisan Malaysia', namun tindak-tanduk pemimpin pembangkang sejak 'menang besar' pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 sudah cukup untuk menunjukkan apa yang bakal dilakukan jika memperoleh kuasa.

Jika ditakdirkan memerintah negara ini, mereka akan mengubah segala-galanya yang menjadi identiti kebangsaan Malaysia. Ini termasuk Perlembagaan Persekutuan; lambang utama negara seperti Jalur Gemilang, pemakaian songkok dan batik serta sejarah perjuangan menuntut kemerdekaan negara ini.

Tidak mustahil akan muncul juga 'idea gila' untuk menggantikan lagu Negaraku dan merobohkan bangunan Parlimen kerana dikatakan mempunyai hubungan secara langsung dengan Barisan Nasional (BN).

Perkiraan mereka cukup mudah. Apa sahaja yang didakwa mempunyai kaitan dengan UMNO dan BN perlu dihapuskan tanpa menghiraukan hakikat bahawa perkara itu tidak sepatutnya dipolitikkan kerana ia telah ditetapkan dan dipersetujui semua kaum sejak merdeka.

Terbaru, melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah daripada DAP, M. Manoharan yang menegaskan pihak pembangkang akan menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa pada PRU akan datang kerana ia mempunyai kaitan dengan BN dan meniru bendera Amerika Syarikat.

Peguam yang membuat kenyataan dalam laman sosial Facebook miliknya pada 15 September lalu bertindak mengedarkan bendera parti politik untuk sambutan Hari Merdeka dan Hari Malaysia, sebagai ganti kepada bendera Malaysia yang ditentangnya itu.

Sebenarnya, Jalur Gemilang tiada kaitan dengan BN kerana ia dicipta dan dipilih oleh orang ramai menerusi satu pengundian yang dikelolakan oleh sebuah akhbar berbahasa Inggeris. Ia kemudiannya diwartakan dengan persetujuan Majlis Raja-Raja pada 1949, manakala gabungan parti komponen itu ditubuhkan pada 1974.

Pemimpin DAP yang aktif dalam pertubuhan haram, Hindraf itu sebenarnya tidak sunyi daripada kontroversi. Pada 2009, beliau telah meluahkan perasaan tidak gembira dengan syarat pemakaian songkok ketika istiadat pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Menurut beliau, syarat itu tidak perlu dipatuhi kerana orang bukan Melayu tidak diberikan status bumiputera dan masih dilayan sebagai kumpulan berbeza. Sehubungan itu, beliau menuntut kerajaan memberikan taraf bumiputera kepada bukan Melayu di negara ini yang lahir selepas 31 Ogos 1957.

Penentangan terhadap pemakaian songkok turut dikongsi oleh wakil rakyat DAP lain dan ia terbukti pada Jun tahun ini apabila 12 wakil rakyat parti itu tidak mengenakan pakaian rasmi dan songkok pada upacara pembukaan sidang DUN Sarawak Ke-17.

Dalam pada itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim lain pula kerenahnya. Ketika menyampaikan syarahan bertajuk Kebebasan dan Musuh-Musuhnya sempena Festival Salihara 2010 di Jakarta, Indonesia pada Oktober tahun lalu, telah menghina batik yang menjadi warisan negara. Beliau menyifatkan ia sebagai jelik sebab ciri-ciri keseniannya cukup rendah sehingga menyebabkan dirinya lebih gemar memakai batik Afrika.

Pada masa sama, pada awal tahun ini, kerajaan PKR Selangor telah mencuba untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor 1959. Pindaan itu bertujuan memberikan kuasa kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim melantik tiga pegawai eksekutif negeri termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) dan memastikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hanya memberi perkenan calon yang direstui kerajaan PKR sahaja.

Pengerusi Program Sains Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Azeem Fazwan Ahmad Farouk yang diminta mengulas trend itu menyifatkan ia sebagai membimbangkan kerana perkara-perkara yang telah dipersetujui bersama sejak merdeka sepatutnya tidak diubah.

"Perkara-perkara ini seharusnya tidak diubah. Mengapa mempersoalkan kedudukan sultan dan bendera kebangsaan?" katanya.

Tegas beliau, langkah itu membuktikan pihak pembangkang tidak serius untuk mewujudkan sebuah kerajaan yang lebih baik berbanding kerajaan BN seperti yang dicanang-canangkan.

"Jika ingin mewujudkan kerajaan lebih baik pihak pembangkang seharusnya membangkitkan persoalan dasar dan bukannya mengenai perkara-perkara yang telah disepakati bersama," ujarnya.

Sementara itu, pihak Pas pula mempunyai perancangan lain iaitu bagi mengubah semula sejarah negara.

Ini terbukti dengan kenyataan Timbalan Presidennya, Mohamad Sabu ketika satu ceramah di Pulau Pinang, 21 Ogos lalu, yang mahu pengganas komunis, Muhammad Indera yang mengetuai serangan ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Muar, Johor diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan. Dalam kejadian menyayatkan hati pada 23 Februari 1950, 25 orang termasuk ketua balai berkenaan, Sarjan Jamil Mohd. Shah terbunuh.

Pensyarah Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia (UUM), Mohd. Na'eim Ajis menyifatkan kenyataan Mohamad itu hanya akan mewujudkan perbalahan dalam masyarakat. Menurut beliau, malah kini telah muncul dua kelompok iaitu yang menyokong dan membantah kenyataan beliau.

''Saya melihat golongan yang menyokong Mat Sabu hanya menerima bulat-bulat apa yang dikatakan oleh beliau tanpa membuat kajian terlebih dahulu tentang fakta sejarah sedia ada," katanya.

Selain gerakan untuk mengubah lambang rasmi dan sejarah negara, terdapat juga trend di kalangan pemimpin pembangkang untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan, walaupun hasrat itu tidak diluahkan secara nyata kerana bimbang tidak mendapat sokongan orang Melayu.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang ketika sesi Dewan Rakyat pada Ogos 2008 misalnya telah mempertikaikan mengapa isu ketuanan dan hak-hak Melayu diberi penekanan sejak kebelakangan ini berbanding perpaduan nasional. Isu terbabit sepatutnya tidak dibangkitkan oleh beliau kerana kedudukan hak-hak istimewa orang Melayu telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Perkara lain yang termaktub dalam perlembagaan tertinggi negara itu yang sering dipertikaikan pihak pembangkang adalah mengenai tanah rizab Melayu, jaminan orang Melayu untuk mendapat lesen, permit dan kuota dalam perniagaan atau pendidikan serta keistimewaan mendapat biasiswa.

Segala tindak-tanduk yang ditunjukkan pemimpin pembangkang itu membuktikan jika mereka berkuasa, hak keistimewaan orang Melayu, budaya warisan bangsa, sejarah dan identiti Malaysia yang menjadi kebanggaan kita akan hilang.

Bukankah ini jelas agenda sulit Pakatan Haram Pembangkang yang dilihat dilakukan secara halus kearah me-REPUBLIK-kan Malaysia jika kita tidak bertindak dari sekarang. Fikir-fikirkanlah sebelum nasi menjadi bubur!

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan