Mula-mula mereka mohon, lepas itu ugut. Itulah yang berlaku apabila Pengerusi kepada Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Malaysia, Tan Sri William Cheng mengkehendaki kerajaan mengenakan cukai import kepada besi yang diimport daripada Indonesia dan Thailand.
Beliau menyatakan besi kita yang dieksport ke sana dikenakan cukai sehingga 45% sedangkan yang kita import daripada mereka tidak dikenakan apa-apa cukai. Ini meletakkan syarikat beliau dalam keadaan kurang dayasaing dengan syarikat asing. Beliau menyatakan, kalau kerajaan tidak akan mengenakan cukai tersebut, beliau akan membawa operasi syarikatnya ke Indonesia.
Pada waktu yang sama rumusan daripada suatu perbincangan di kalangan peniaga-peniaga runcit bangsa Cina, mereka tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan untuk membuka kedai rakyat yang katanya membunuh peniaga runcit Cina.
Begitu berani bangsa lain sekarang ini bersuara bukan saja setakat memohon lagi tetapi sehingga mengugut dan usaha kerajaan untuk menawarkan harga barang-barang keperluan dengan lebih murah lagi ditentang. Apakah ini akan menjadi trend golongan ini sehinggakan usaha kerajaan membantu rakyat dilihat sebagai suatu ancaman kepada mereka?
Pepatah Melayu menyatakan ‘Lalu jarum lalu kelindan’. Sekian lama mereka sudah berani bersuara lantang meminta ini dan itu sehinggakan apa yang diperuntukkan kepada orang Melayu pun sudah berani diminta.
Dan pihak pemerintah kita pula, akur dengan apa jua yang mereka minta. Lama-lama mereka ini pun naik tocang. Kalau orang Melayu bersuara mempertahankan hak mereka, mereka dilabel sebagai rasis atau bersifat perkauman, kalau mereka membuat tuntutan mereka menganggap mencari keadilan.
Lihat saja di keliling kita siapa yang sebenarnya ketinggalan, orang Melayukah atau orang bukan Melayu? Lihat saja taman-taman perumahan yang naik macam cendawan di merata tempat dan kondo-kondo mewah dan mega mewah yang dibina di merata tempat yang orang Melayu tidak mampu untuk miliki.
Kebanyakan tempat kediaman ini jadi bahan spekulasi mereka yang mampu beli bukan untuk tinggal di sana tetapi untuk dijual balik dan ini membuatkan harga rumah melambung tinggi.
Tiada siapa ambil peduli kalau harga rumah naik ‘gila-gila’. Bila pemaju ini tidak boleh jual mereka akan buat pameran dan beri potongan dan orang yang tidak sedar cara ini akan berduyun-duyun pergi ke pameran ini kononnya mereka mendapat suatu tawaran terbaik.
Begitu juga dengan rantaian bekalan apa jua barangan. Kalau kontraktor Melayu dapat projek sekalipun dia akan terpaksa mengadap penjual bahan binaan bukan Melayu untuk mendapatkan bahan binaan mereka seperti simen, batu bata dan besi dan harga yang dikenakan tidak sama dengan kontraktor bukan Melayu.
Rantaian bekalan yang mengandungi pelbagai jenis barangan ini mempunyai pelbagai jenis persatuan yang mampu mengugut kerajaan sekiranya sesuatu keputusan yang dibuat kerajaan tidak mereka persetujui. Dan bila ada usaha untuk memecah bekalan rantaian seperti kedai rakyat yang menjual barang-barang 30% atau lebih lebih murah mereka akan membantah dan menentang kononnya orang mereka mengalami kerugian.
Rantaian bekalan ini tidak termasuk dalam Program Transformasi Kerajaan sedangkan ini merupakan suatu perkara yang penting dan perlu diolah supaya tidak ada sesuatu golongan peniaga membolot segala-galanya.
Contohnya, kalau ada orang Melayu yang mampu menghasilkan sayur-sayuran dan tanam-tanaman mereka sama ada akan ditolak bulat-bulat atau akan tertakluk kepada apa jua harga yang diletakkan oleh pemborong barang-barang tersebut.
Inilah yang membuatkan ramai usahawan dalam bidang pertanian lumpuh dan akhirnya beredar terus. Disebabkan rantaian bekalan ini dikuasai oleh sesuatu golongan peniaga kita melihat harga dinaikkan sesuka hati dan rakyat tidak dapat berbuat apa-apa.
Kalau ditentukan sesuatu had bekalan akan diporakperandakan seperti sanggup membakar anak ayam sekiranya tidak dapat harga ayam yang dikehendaki. Rakyat kini berdepan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat disebabkan oleh harga barang-barang yang melonjak naik sedangkan upah dan gaji tidak meningkat sudah bertahun.
Alasan yang kerap digunakan adalah bekalan daripada negara pembekal terganggu disebabkan faktor cuaca dan lain-lain. Sebenarnya keadaan itulah yang memberikan alasan terbaik kepada peniaga untuk menaikkan harga barang-barang.
Kita patut ada suatu pangkalan maklumat tentang apa yang dihasilkan oleh setiap kampung di negara ini dan ini boleh dipadankan dengan pihak mana yang memerlukan tanpa orang tengah yang lazimnya membuat keuntungan berlebihan.
Kita mempunya banyak agensi pertanian seperti FAMA, Lembaga Pertubuhan Peladang, MARDI dan macam-macam lagi yang boleh digembleng supaya keperluan pengguna boleh dipenuhi.
Ini boleh diusahakan melalui portal di Internet dan pusat-pusat pengedaran dibuka di seluruh negara. Pengguna bolehlah mengambil keperluan mereka di pusat pengedaran ini. Bagi kampung yang jauh dari pusat pengedaran ini, agensi kerajaan ini bolehlah membantu. Dengan ini pengguna akan mendapati bekalan yang segar.
Berbalik kepada William Cheng, kita berharap Dewan Perniagaan Melayu Malaysia dan Perdasama dan lain-lain NGO patut membuat suatu pendirian dan membuat kenyataan sewajarnya. Jangan kita berdiam diri sahaja. Fikir-fikirkanlah..!!!
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan