BILA terkena batang hidung sendiri, barulah merasai bahangnya. Acap kali memprovokasi pihak lain tetapi bila membabitkan malu anggota atau pemimpin parti sendiri, tahu pula merayu pihak yang selalu menjadi bahan lekehnya untuk tidak pula mengecam partinya.
Itulah gelagat Setiausaha Kebangsaan DAP yang juga Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok ketika membela wakil rakyat partinya, ADUN Kota Alam Shah, M. Manoharan yang mendesak supaya ditukar Jalur Gemilang.
Dipetik oleh organ DAP, Roketkini baru-baru ini, Teresa meminta BN khususnya UMNO tidak memainkan isu itu untuk kepentingan politik dengan 'menyerang' Manoharan dan pakatan pembangkang di media arus perdana.
Sepatutnya, ujar Teresa, para pemimpin BN menumpukan lebih perhatian kepada isu yang jauh lebih penting iaitu berkenaan penggubalan dua undang-undang baru yang dikatakan akan menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).
Barangkali Teresa tidak mengerti atau pura-pura 'membutakan hati' dengan menganggap isu ditukarkan sahaja Jalur Gemilang yang dihasut oleh Manoharan hanya isu remeh dan akan lenyap begitu sahaja dari ingatan rakyat Malaysia apabila Manoharan memadamkan komen kontroversinya itu di facebook.
Cuba Teresa bayangkan jika hasutan Manoharan ini tidak dibantah keras di media arus perdana sehingga mencetuskan api amarah - mungkin Manoharan akan lebih angkuh lagi mahu mengubah sejarah warisan negara yang lain.
Ironinya, kenyataan-kenyataan berunsur kontroversi daripada para pemimpin DAP bukan benda baru.
Di Sarawak pada kempen pilihan raya negeri itu April lalu, calon DAP, Violet Yong dikatakan menghina kaum Melanau dan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam satu ceramahnya di Kuching. Antara lain, dia menyebut, Abdul Taib tidak layak memerintah Sarawak kerana Ketua Menteri itu dari keturunan Melanau yang juga kaum minoriti di negeri itu. Tambahnya lagi, hanya Cina yang layak memerintah Sarawak kerana Cina majoriti di sini.
Sentimen perkauman diambil kesempatan secara licik oleh DAP dengan menguar-uarkan dalam kempen agresifnya mendesak pengunduran segera Abdul Taib tanpa belas kasihan.
Mengundi BN, dakwa DAP, bermakna menyokong Abdul Taib untuk terus berkuasa. Sedangkan kalau direnung-renungkan kepimpinan Penasihat DAP yang juga penyandang kerusi Ipoh Timur, Lim Kit Siang, peguam, Karpal Singh serta Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat juga memasuki usia senja.
Gelagat menghina kepimpinan kerajaan negeri Sarawak semakin teruk, poster Abdul Taib dipaparkan dengan ayat menghina dan mengundang rasa tidak puas hati penyokong dan ahli BN.
Satu perkataan dalam ayat itu adalah 'asuk' yang bermaksud anjing dalam bahasa Sarawak bersama gambar seekor anjing berhampiran gambar Abdul Taib.
Pemasangan poster itu yang turut diletakkan di beberapa kawasan awam khususnya tumpuan ramai termasuk Padang Merdeka, turut dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang kemudian menurunkan bahan kempen berkenaan.
Sepanjang kempen di Miri, DAP memasang pelbagai sepanduk memburukkan kerajaan BN di sepanjang laluan utama yang menjadi tumpuan ramai antaranya kawasan sekitar bulatan Pujut dan sepanjang Jalan Kuala Baram yang sentiasa sesak dengan lalu lintas terutama pada waktu puncak.
Dan apabila Abdul Taib merasmikan gereja di Mukah, pembangkang mendakwa pula Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukan orang Islam sejati, sedangkan kerajaan negeri mengamalkan ajaran Islam sebenar.
Paling ketara di Sarawak tempoh hari ialah konsep kempen DAP yang 100 peratus menampakan permainan sentimen perkauman. Apabila ada sebilangan orang Melayu bercakap berkenaan nasib bangsa Melayu dan hak-hak orang Melayu, maka akan kedengaranlah perkataan rasis.
Tetapi apabila DAP terang-terangan menggunakan isu perkauman tiada orang yang membangkitkan perkataan rasis.
Berbalik kepada Manoharan, dia barangkali cuba meraih 'publisiti murahan' untuk memastikan namanya berada dalam fikiran rakyat tetapi dalam kaedah yang amat dangkal sekali.
Ternyata, Manoharan tidak belajar dari sejarah. Salah satu kutipan yang paling terkenal mengenai sejarah dan pentingnya kita belajar mengenai sejarah ditulis oleh seorang ahli falsafah Sepanyol, George Santayana. Katanya: "Mereka yang tidak mengenal masa lalunya, dikutuk untuk mengulanginya."
Ahli falsafah Jerman, Georg Wilhelm Friedrich Hegel pula mengemukakan dalam pemikirannya tentang sejarah: "Inilah yang diajarkan oleh sejarah dan pengalaman, bahawa manusia dan pemerintah tidak pernah belajar apa pun dari sejarah atau prin sip-prinsip yang didapati darinya."
Ungkapan ini diulang kembali oleh negarawan Inggeris, Winston Churchill. Kata beliau: "Satu-satunya hal yang kita pelajari dari sejarah adalah bahawa kita tidak benar-benar belajar darinya."
Teresa mungkin cepat bertindak apabila menolak pandangan Manoharan sebagai bukan melambangkan pendirian DAP dan mengingatkan Manoharan supaya lebih berhati-hati bila mengeluarkan sebarang kenyataan.
Namun banyak gelagat DAP selama ini dilihat melukakan hati orang Melayu. Antaranya cuba mahu menghalang perarakan Maulidur Rasul di Pulau Pinang dan beberapa lagi.
Dengan pelbagai pihak sedang giat dan teruja membuat persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13, 'kempen' secara agresif oleh pihak tertentu dipercayai akan mewarnai situasi pilihan raya umum kelak.
Apatah lagi difahamkan, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah pun berdikit-dikit membuat persiapan menggerakkan proses PRU 13. Dikatakan sebilangan tender untuk bekalan alat-alat tulis ke seluruh pejabat SPR negeri yang akan digunakan oleh hampir 200,000 petugas baru sahaja ditutup. Peti-peti undi mana yang pecah dan hilang, telah dikira untuk diganti.
Demikian juga dengan nama para pegawai pengurus (RO) dan timbalannya, senarainya sudah pun ada di tangan suruhanjaya. Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pun telah dimaklumkan tentang jumlah kakitangan kerajaan yang akan dilibatkan untuk urusan pilihan raya.
Dalam sibuk memperkatakan isu Manoharan dan kenyataan 'membela' ADUN Kota Alam Shah oleh Teresa itu, di satu sudut lain, sikap acuh tak acuh Pas terhadap sekutunya itu menimbulkan banyak persoalan yang hingga kini belum terungkai.
Dengan Pas yang hanya bertanding sejumlah 67 kerusi Parlimen dari lebih 200 kerusi, sekali pun ia memenangi kesemua 67 kerusi itu, parti itu masih belum mampu untuk menjadi satu "force of simple majority" untuk membolehkannya membentuk kerajaan.
Dan yang lebih pasti, DAP tidak akan membenarkan Pas merampas leading role dalam kerajaan bayangan mereka.
Wasabi Oyabun..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan