Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Isnin, 27 Disember 2010

Program 100 Hari hanya retorik pakatan pembangkang!

HAKIKAT yang kena diperakukan, menjadi sebuah kerajaan tidak semudah menjadi pembangkang. Ini kerana pembangkang boleh sekadar membuat janji dan beretorik tetapi tidak perlu menyempurnakan janji yang diukir. Sebaliknya, kerajaan perlu melaksanakan apa yang telah dijanjikan.

Justeru itu, pada saya Program 100 Hari yang menyentuh sembilan perkara tidak mampu menjadi realiti sebagaimana Projek 16/9 yang merupakan idea dan formula Penasihat Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia hanya akan menjadi bahan ketawa, malah menjadikan rakyat semakin menjauhkan diri dari pakatan pembangkang. Hakikatnya, ini bukan masanya untuk berkhayal, berangan-angan dan beretorik, sebaliknya kena lebih banyak buktikan kemampuan daripada hanya menyediakan pelan, dan kerangka yang lebih berbentuk mimpi di siang hari.

Bukan sahaja rakyat jelata, tetapi menteri-menteri besar/ketua menteri pakatan pembangkang pastinya boleh nampak dengan jelas bahawa kalau diibaratkan permainan bola sepak, apabila mereka sendiri beraksi di padang, terbukti tugas dan tanggungjawab yang terpaksa dihadapi tidak semudah sebagaimana menjadi penonton.

Sebagai penonton, masing-masing cukup bermodal dan bersebab untuk mengkritik serta mencari kelemahan dan kesilapan. Semuanya dilihat banyak yang tidak kena daripada yang kena.

Demikian jugalah bagi pimpinan kerajaan pakatan pembangkang ketika menjadi pembangkang dulu, apa yang kerajaan buat semuanya dilihat tidak kena belaka. Kononnya macam-macam pelan, perancangan, kerangka dan program yang lebih baik, berkesan dan bermanfaat kepada rakyat dapat dilakukan jika pembangkang diberi mandat menjadi kerajaan.

Pun begitu menerusi Program 100 Hari, ia pastinya dirangka berdasarkan khayalan, angan-angan dan retorik yang tidak mungkin menjadi kenyataan.

Hanya setelah kira-kira sebulan sahaja menjadi kerajaan di beberapa negeri selepas pilihan raya umum ke-12, bukan sahaja berpuluh, malah beratus masalah melanda. Rakyat sebagai pemberi mandat dapat melihat betapa tokoh dan parti pembangkang yang diberi mandat sebagai kerajaan sebenarnya tidak sehebat seperti apa yang dicakap, dijanji dan dikhayalkan selepas mendapat peluang menerajui kerajaan negeri.

Kerajaan pakatan pembangkang yang bertiang serikan DAP di Pulau Pinang umpamanya melaungkan slogan kononnya Ketua Menterinya mahu menjadi seperti Khalifah Umar Ibnu Aziz. Hanya selepas kira-kira 100 hari menerajui kerajaan negeri, DAP berdepan dengan demonstrasi rakyat yang membantah hasrat kerajaan negeri tidak menerima pakai Dasar Ekonomi Baru (DEB), sebelum berdepan dengan isu kampung Buah Pala dan kini berdepan pelbagai isu lain.

Kerajaan pakatan pembangkang di Perak yang menteri besarnya adalah tokoh Pas dikira bernasib baik kerana undang-undang tubuh negeri tidak membolehkan orang bukan Melayu menjadi menteri besar di negeri berkenaan, dengan bilangan besar barisan exco terdiri daripada tokoh DAP bagi membuat keputusan majoriti di peringkat exco, awal-awal lagi bertembung dengan istana, termasuk dalam pemecatan seorang pegawai kanan kerajaan oleh menteri besar yang terpaksa ditarik balik atas arahan istana.

Kerajaan pakatan pembangkang di Selangor yang bertunjangkan PKR dan pada awal penubuhannya memeranjatkan rakyat apabila mempersetujui projek raksasa ternakan babi dan kegagalan merealisasikan manifesto pilihan raya, termasuk pembekalan air percuma.

Malah Selangor adalah negeri yang paling banyak masalah berbanding dengan negeri-negeri lain, pernah kalut dengan isu wang derma yang diminta dari syarikat-syarikat swasta yang sepatutnya dimasukkan ke dalam akaun kerajaan negeri, tetapi dimasukkan ke dalam akaun PKR.

Kerajaan pakatan pembangkang di Kedah berpasakkan Pas yang agak bersih dari isu-isu yang merimaskan tetap terpalit dengan masalah.

Bermula dengan menteri besarnya, Azizan Abdul Razak yang berdegil untuk meneruskan hasrat menebang balak di kawasan tadahan air walaupun ditentang oleh banyak pihak. Justeru, umum dapat melihat kualiti sebenar kerajaan Pas Kedah.

Baru dalam penggal pertama memerintah sudah pelbagai masalah timbul dalam kerajaan-kerajaan pakatan pembangkang. Macam mana agaknya kerajaan-kerajaan terbabit yang nampak macam tidur sebantal tetapi mimpi lain-lain mahu rakyat percaya dengan Program 100 Hari.

Bayangkan apa yang akan berlaku kepada negara jika pada pilihan raya umum ke-12 yang lalu benar-benar berlaku pertukaran kerajaan pusat jika dilihat apa yang berlaku kepada kerajaan pembangkang sekarang di beberapa buah negeri.

Wasabi Oyabun..

1 ulasan:

  1. Saya Perjuangan..

    SAYA amat tertarik dengan penulisan blog anda yang ternyata ada kualiti yang tersendiri.

    Ianya juga memberi peransang buat saya untuk memantapkan lagi penulisan saya.

    SYABAS saya ucapkan buat anda kerana berjaya mengendalikan blog ini dengan begitu mantap.

    Saya telah linkkan blog anda dalam senarai blog pilihan di blog saya agar pengunjung blog saya dpat bkongsi penulisan anda.

    Saya berharap agar anda juga dapat linkkan blog saya di dalam blog anda agar perjuangan saya melalui penulisan blog dapat dikongsi bersama pengunjung.

    Sekian, Salam Kasih ikhlas dari,

    Melayu CinDia
    Blogger Gelombang Rakyat

    http://gelombang-rakyat.blogspot.com/

    BalasPadam