Mingguan: Pada pandangan Tan Sri adakah Anwar Ibrahim mempunyai kelebihan?
Sanusi Junid: Sebenarnya Anwar adalah manusia biasa yang mempunyai cita-cita terlalu tinggi dan terlalu gopoh dalam mengambil tindakan. Dia tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang perlu dibimbangkan.
Dalam banyak hal Anwar tidak berjaya tetapi kelemahan UMNO dan orang Melayu menyebabkan orang melihat Anwar sebagai jaguh. Sebenarnya dia tidak ada apa pun. Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang beberapa kerusi dalam pilihan raya 1999 kerana peristiwa matanya yang lebam dibelasah bekas Ketua Polis Negara. Itu bukan kesalahan UMNO.
Tetapi masa itu orang Melayu tidak tahu hendak salahkan siapa kerana mata lebam dijadikan modal pilihan raya. Jika Anwar terlalu hebat dan ada kelebihan luar biasa tidak mungkin BN boleh menang besar dalam pilihan raya 2004. Sedangkan ketika itu segala-galanya mengenai Anwar diketahui, biar pun dia dipenjara dan sebagainya tetapi BN masih boleh menang besar. Sebenarnya ketika itu simpati pengundi kerana mata lebam Anwar sudah merosot, walaupun di dalam penjara tapi Barisan Nasional (BN) boleh mendapat kemenangan besar.
Bukankah Anwar mempunyai ramai kawan dan penyokong?
Sanusi Junid: Kita tidak menafikan Anwar mempunyai banyak kawan lebih- lebih lagi beliau pernah menjadi menteri kewangan. Siapa pun yang jadi menteri kewangan memang banyak kawan. Tetapi itu bukan faktor yang melonjakkan Anwar. Yang melonjakkan Anwar adalah berpunca daripada dalam BN sendiri. Faktor itu menjadikan parti-parti pembangkang kuat dan mendapat sokongan rakyat. Kejayaan besar pada pilihan raya 2004 menyebabkan BN terlalu leka, selesa dan khayal.
Kerajaan selepas 2004 membiarkan masalah kecil menjadi besar sehinggakan memberi kesan kepada rakyat. Saya nampak ada empat perkara menyebabkan BN hilang pengaruh dan pembangkang semakin kuat.
Pertamanya, krisis MCA pada 2002-2003. Ketika krisis itu BN membiarkan MCA menyelesaikan isu tersebut bersendirian. Keadaan itu menyebabkan konflik dalaman MCA semakin rumit dan berpanjangan. Kononnya sebab tidak mahu campur tangan, sedangkan MCA itu komponen BN dan pucuk pimpinan BN mempunyai kuasa serta fungsi untuk menyelesaikan masalah tersebut dan bukannya menyerahkan untuk diselesaikan oleh MCA sendiri kerana parti itu sememangnya sedang lemah dan berkecamuk. Maka akibatnya, orang Cina yang hilang kepercayaan terhadap MCA mencari alternatif – mereka pergi kepada DAP, yang mana tak suka DAP pergi pula kepada PKR.
Keduanya, masalah Hindraf. Jika kita lihat dalam isu Hindraf, pemimpin mereka sebenarnya mahu berjumpa dengan kerajaan dan berbincang. Oleh kerana Hindraf terdiri daripada kaum India maka diserahkan kepada MIC dan tidak memberi peluang kepada Hindraf menyelesaikan masalah mereka. Maka Hindraf mencari alternatif lain iaitu PKR. Seterusnya, BN juga seolah-olah khayal selepas kemenangan besar pada 2004.
BN berasa selesa dengan kemenangan itu dan tidak membuat banyak perubahan untuk mengekalkan sokongan rakyat. Sebaliknya diperkenalkan dasar baru yang boleh mengelirukan rakyat. Dan akhirnya apabila tiba pilihan raya, pemilihan calon yang tidak mengambil kira kehendak akar umbi. Bukan itu saja orang lama yang bertanding di sesuatu kawasan langsung tidak dimaklumkan mengenai pemilihan baru.
Orang Melayu sarat dengan budi bahasa, jika tidak dipilih pun tidak apa asalkan mereka diberitahu. Ini tidak dan apabila calon yang dipilih tidak disenangi, tidak dikenali maka kita kalah dalam pilihan raya. Ia juga berkait rapat dengan masalah rasuah dalam UMNO. Pembangkang menang bukan kerana Anwar ada kelebihan dan bukan juga kerana mereka kuat tetapi kerana UMNO dan BN itu yang lemah.
Selebihnya apa yang ada pada Anwar memang telah lama ada seperti kemahiran berpidato, penampilan agama. Kawan-kawan dari Kolej Melayu Kuala Kangsar, Yayasan Anda, Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia juga menjadi sekutu Anwar sama ada dalam PKR, UMNO atau kelompok yang digelar Erdogan di dalam Pas. Manakala penonjolannya adalah kerana dia ini ibarat man of the moment.
Misalnya ketika tunjuk perasan dia bukanlah orang yang merancang tunjuk perasaan tetapi dia pandai menonjolkan diri pada saat-saat penting seperti ketika Black Maria datang untuk mengheret mereka yang terlibat dalam tunjuk perasaan tersebut.
Pada pandangan Tan Sri sejauh mana pakatan pembangkang mampu bertahan dan bekerjasama untuk menjayakan matlamat mereka?
Sanusi Junid: Saya nampak pakatan pembangkang bercelaru. Saya tidak percaya mereka akan berjaya. Saya juga tidak percaya parti-parti yang menganggotai pakatan pembangkang itu akan dapat benar-benar bekerjasama jika pun mereka dapat memerintah negara ini. Anwar hanya diperalatkan oleh DAP. DAP perlu ada seorang Melayu untuk mengetengahkan agenda mereka. Jika tidak ada Anwar DAP akan cari orang lain, orang tidak cerdik pun tidak apa, sekarang Anwar mungkin cerdik tetapi kalau Anwar tak ada nanti, DAP akan cari juga seorang Melayu.
Saya percaya Anwar pun tahu. Ini kerana DAP tahu mereka sahaja tidak akan mampu mencapai matlamat dan cita-cita untuk menguasai negara ini. Saya juga percaya pemimpin Pas tidak sayang sungguh-sungguh kepada DAP. Di hati mereka tidak mungkin akan membiarkan negara ini terlepas kepada DAP biarpun atas nama pakatan pembangkang. Cumanya sekarang ini Pas seperti mencuba-cuba atau mempunyai matlamat sendiri dalam kerjasama dengan pakatan pembangkang.
Biarpun Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sering bercakap macam-macam tetapi saya percaya dan saya yakin jauh di sudut hati Nik Aziz dia dia bekerjasama dengan DAP secara strategi sahaja. Mungkin dia meluat kepada sesetengah pemimpin UMNO. Sebenarnya lebih mudah bagi DAP untuk bekerjasama dengan UMNO daripada bekerjasama dengan Pas.
Wasabi Oyabun
Tiada ulasan:
Catat Ulasan