Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Selasa, 25 Mei 2010

Selangor Bangkit : 'Gantung operasi KSSB serta-merta' !

Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim digesa menggantung sementara operasi Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlakunya penyelewengan dalam syarikat itu.

Ketua Pembangkang negeri, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, penggantungan itu perlu dilakukan serta-merta bagi mengelak kemungkinan pihak tertentu cuba melupuskan bukti sekiranya benar wujud penyelewengan dalam anak syarikat di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) itu.

Malah penggantungan sementara, jelasnya, harus melibatkan setiap operasi yang dikendalikan KSSB iaitu daripada aktiviti perlombongan pasir sehingga kepada jawatan pegawai dan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut termasuk adik Abdul Khalid sendiri, Hajiman Ibrahim yang turut dikaitkan dengan dakwaan berkenaan.

''Sepatutnya Abdul Khalid mengarahkan penggantungan operasi dan aktiviti KSSB sementara pihak polis dan SPRM selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam anak syarikat kerajaan negeri itu.

''Sekiranya KSSB masih beroperasi seperti biasa, kita khuatir ia akan mempengaruhi hasil siasatan pihak berkuasa kerana ia terdedah pada unsur-unsur penutupan dan pemansuhan bukti-bukti yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut sekiranya ada," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Dr. Mohamad Khir, penggantungan operasi KSSB itu sebenarnya tidak akan mendatangkan kesan hasil pendapatan negeri memandangkan bidang kuasanya yang bertindih dengan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD).

Menurutnya, PTD sebelum ini bertanggungjawab mengutip doket pasir daripada syarikat perlombongan pasir sebagai hasil kepada kerajaan negeri.

Berbeza dengan KSSB, katanya, syarikat itu hanya berperanan sebagai orang tengah yang memperoleh tanah milik kerajaan negeri dan kemudiannya memberikan kontrak kepada syarikat perlombongan pasir dan menerima bayaran daripada syarikat-syarikat yang dilantik.

Dakwaan penyelewengan dalam KSSB mula tercetus apabila Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pada 12 Mei lalu, membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud amalan rasuah melibatkan pegawai atasan syarikat berkenaan.

Malah, Abdul Khalid turut mengumumkan akan merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berhubung dakwaan penyelewengan itu agar satu pendengaran awam dapat dilakukan.

Ditanya langkah kerajaan negeri membawa dakwaan itu kepada Selcat, Dr. Mohamad Khir berkata, tindakan itu sebenarnya tidak wajar selain kemungkinan wujudnya penilaian berat sebelah dalam proses pendengaran berkenaan.

Katanya, jawatankuasa Selcat dianggotai ahli politik yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang daripada DAP, Teng Chang Khim.

''Apa yang boleh kita jangkakan apabila seorang ahli politik yang menyokong kerajaan negeri mengetuai dan mengendalikan sesi pendengaran awam mengenai dakwaan penyelewengan KSSB.

''Kita bimbang akan wujud penilaian berat sebelah dalam perkara ini. Malah yang kita khuatir ialah Selcat juga kemungkinan boleh dijadikan alat untuk menutup kelemahan pentadbiran kerajaan negeri," ujarnya.- UM.

Wasabi Oyabun

Tiada ulasan:

Catat Komen