Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Rabu, 12 Mei 2010

MP Kapar kecewa, tolak Selcat siasat dakwaan rasuah!

Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam tetap dengan berpendirian dakwaan rasuah dalam anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab ke atas perniagaan pasir, Kumpulan Semesta Sdn Bhd patut disiasat oleh sebuah badan bebas.

Dengan nada kecewa, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, beliau sebenarnya telah mengharapkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menubuhkan sebuah badan bebas, tetapi memutuskan untuk merujuk isu berkenaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

“Secara peribadi saya tidak yakin dengan Selcat… saya mahukan sebuah badan bebas, saya kekal dengan pendirian saya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini sambil mempersoalkan bagaimana hendak menyiasat kes membabitkan ‘orang dalam sendiri’ oleh sebuah badan dalaman negeri. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut maksud ‘orang dalaman sendiri’ kecuali mengatakan ia membabitkan pegawai atasan syarikat itu.

“Dalam kes-kes melibatkan anggota polis, kita sentiasa menuntut agar diadakan sebuah badan bebas untuk menyiasat dakwaan dengan bebas dan adil. “Tetapi dalam kes ini, kita menggunakan Selcat… mana boleh kita mengharapkan ketelusan?” katanya. Manikavasagam berkata beliau akan mengadakan pertemuan semula dengan rakan-rakan Ahli Parlimen yang kelmarin menggesa kerajaan negeri menubuhkan sebuah badan siasatan bebas dalam isu ini.

“Saya akan jumpa mereka hari ini dan kami akan membuat keputusan nanti,” katanya. Mengenai alasannya menolak Selcat, kata wakil rakyat itu, pada pertemuan semalam Menteri Besar memberikan pandangan bahawa akan mengadakan sebuah badan ‘seakan Selcat’, bukannya memberi peranan menyiasat kepada Selcat.

Selain itu, Manikavasagam menegaskan, sekiranya Selcat terus diberi amanah untuk menyiasat kes tersebut, beliau tidak mahu Speaker Dewan Undangan Negeri Teng Chang Khim mengetuai siasatan berkenaan atas alasan ‘konflik peribadi’ mereka. Beliau merujuk kepada isu masalah terminal bas di Klang awal tahun lalu.

Ketika itu Teng didakwa menuduh wakil rakyat itu berlagak sebagai ‘pembangkang dan pembohong’ dalam isu bantahan pemindahan Terminal Bas Klang Utara yang berusia 50 tahun. “Saya tidak mahu Teng, saya tidak yakin dengan Teng,” kata beliau dengan mengesyorkan orang lain termasuk kemungkinan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Haniza Mohamed Talha yang juga ADUN Taman Medan.

Wasabi Oyabun

2 ulasan:

  1. Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam akan menamakan pegawai kanan di Kuala Semesta Sdn Bhd (KSSB) yang dimiliki oleh kerajaan negeri Selangor yang didakwa terbabit melombong pasir secara tidak sah, hari ini.

    Nama-nama berkenaan akan didedahkan dalam laporan polis Manikavasagam yang akan dibuatnya hari ini setelah bermesyuarat dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pagi ini.

    Menurut Manikavasagam setelah pertemuan sejam, Abdul Khalid mengessanya membuat laporan polis berhubung pegawai-pegawai yang didakwanya mengamalkan rasuah itu.

    Beliau juga memberitahu Abdul Khalid berjanji akan menubuhkan jawatankuasa kecil khusus di bawah Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) yang ditubuhkan oleh dewan undangan negeri Selangor bagi menyiasat perkara berkenaan.

    Manikavasagam telah beberapa kali mencabar Abdul Khalid untuk bertindak ke atas pegawai kanan KSSB berdasarkan dokumen yang diterimanya bagi membuktikan bahawa pegawai kerajaan dan juga perwakilan yang dipilih rakyat juga terbabit.

    BalasPadam
  2. Kerajaan Selangor akan merujuk aduan Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam mengenai dakwaan rasuah Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat).

    Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berharap Pengerusi Selcat, Teng Chang Khim yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor akan mengadakan sesi pendengaran awam berhubung hal itu.

    Beliau juga memberi arahan memberi arahan kepada supaya kakitangan jabatan kerajaan dan pegawai KSSB supaya memberi kerjasama penuh kepada pendengaran awam Selcat itu.

    Abdul Khalid berpendapat Selcat adalah forum terbaik bagi membincangkan dakwaan itu kerana ia dijalankan secara terbuka dan maklumat serta fakta tidak disembunyikan dari pengetahuan umum.

    Keputusan hal ini dicapai selepas Exco Selangor meneliti aduan rasmi daripada Manikavasagam dalam satu pertemuan dan turut menasihati Manikavasagam membuat laporan polis.

    Beliau berkata, Kerajaan Negeri Selangor mengambil berat dakwaan ini dan mahu tindakan sewajarnya diambil bagi memlihara imej KSSB yang berperanan penting dalam menjayakan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.

    Abdul Khalid menegaskan Kerajaan Negeri Selangor mengamal ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam serta menyokong semua usaha membanteras gejala rasuah.

    BalasPadam