Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 30 Mei 2010

Anwar si 'Raja Ekzos' terus lagukan 'tembelangnya'!

Apabila Anwar Ibrahim sekali lagi 'mendendangkan lagunya' dengan menjanjikan jawatan Timbalan Perdana Menteri II kepada DAP, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak melatah.

Malah, Perdana Menteri tampil dengan komen yang tepat. Rakyat harus berhati-hati dengan janji Anwar yang tidak semestinya dapat ditunaikan, kata beliau. Kadang-kadang dia cakap lain kepada orang Melayu dan cakap lain pula kepada orang Cina, kata Perdana Menteri lagi.

Banyak pengalaman yang diraih oleh orang Melayu, Cina dan India tentang tembelang Anwar. Masih ingatkah lagi dengan rancangan hendak menukar kerajaan yang sah pada 16 September 2008?

Pada satu majlis di Jakarta menjelang 16 September tahun berkenaan, Anwar dengan bangganya mencanangkan tarikh berkenaan untuk 'merehatkan' Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

''Saya tetap pada target saya, 16 September menjadi waktu untuk mengistirehatkan Badawi. Untuk itu, saya rileks sebentar sehari lompat ke Jakarta, berdiskusi dan bertemu dengan sahabat-sahabat saya di Indonesia," kata Anwar yang dipetik oleh wartawan akhbar republik itu. Namun, semua maklum itu hanya impian dan pembohongannya sehingga saat ini.

Apabila Anwar pergi ke depan orang Melayu, maka dialah 'paling Melayu' dan habis di'silat'nya bangsa lain. Di depan orang Cina pula, dialah 'Fong Sai Yuk' Malaysia yang berjuang demi bangsa Cina di Malaysia dan habis di'kungfu'nya bangsa lain, terutamanya Melayu. Dan apabila tiba di depan bangsa India pula, dialah 'hero tamil' paling hebat di Malaysia yang memperjuangkan bangsa India di Malaysia dan habis di'silambam'nya bangsa lain terutamanya bangsa Melayu dan Cina. Tak habis di situ saja, bila ke Sabah dan Sarawak, Anwar meneruskan 'tarian talam ber'muka-muka'nya.

Terbaru sebelum 'janji TPM II', sebuah blog terkemuka Amerika "The New Ledger" telah melondehkan lagi tembelang Anwar di luar negara. Artikel blog pronegara Uncle Sam itu telah menyokong kenyataan bahawa sememangnya "Anwar adalah sesumpah".

The New Ledger mendedahkan betapa Anwar sebelum ini yang di dalam 'pelarian' ke AS telah mewujudkan hubungan baik dengan tokoh-tokoh 'American Jews' (Yahudi Amerika) seperti Paul Wolfowitz dan Al Gore. Anwar benar-benar 'manis mulut' ketika itu. Begitulah akrabnya Anwar dan Yahudi. Tapi itu adalah ketika Anwar di luar negara. Apabila Anwar kembali ke Malaysia, sikapnya berubah menjadi sebaliknya. Mungkin Anwar tahu bahawa budaya rakyat Malaysia yang tidak suka pada Israel (Yahudi). Maka Anwar terpaksalah bertukar 'wajah' seakan-akan anti-Yahudi dan Amerika. Ketidakpuasan hati mereka terhadap Anwar itu diterjemahkan oleh The New Ledger sebelum ini.

Ketika Anwar aktif bersama ABIM dahulu, dia dijangka menyertai Pas. Malah Anwar merupakan anak angkat kepada Allahyarham Yusof Rawa, seorang tokoh Pas yang terkenal. Namun, apabila masuk UMNO atas undangan Tun Dr. Mahathir Mohamad, dia dikatakan 'memujuk' rakan-rakannya dalam ABIM dan Pas dengan mengatakan bahawa kemasukannya ke dalam UMNO adalah untuk 'memutih'kan UMNO.

Pada UMNO pula, Anwar menyatakan bahawa dia memasuki UMNO adalah kerana percaya pada perjuangan UMNO yang memartabatkan Islam, Melayu dan Malaysia.

Dan seperti mana diharapkan oleh Perdana Menteri di Pekan semalam: ''Terpulang kepada rakyat, yang penting rakyat tidak boleh telan bulat-bulat kerana dia (Anwar) dah berjanji macam-macam sebab nak kuasa."

Komen : Teringat pula kata-kata Anwar di Kongres PKR baru-baru ini " Doktor periksa 'ekzos' tapi tidak ada apa, kita bagi tahu mahkamah tidak ada kesan apa pada 'ekzos' tetapi hakim kata 'ya betul tetapi mungkin ada yang lain', apa benda ini, ini semua kerja UMNO yang mahu terus mengaibkan saya dan keluarga saya," katanya. Tapi Anwar terlupa kalau 'ekzos' tak diceroboh, takkan lah pulak Karpal nak tanya pada Saiful..kamu tak mandi wajib ke sebelum bersembahyang!!!

Wasabi Oyabun..

Sabtu, 29 Mei 2010

Anwar Dajal : Ezam anggap tindak-tanduk Anwar macam Thaksin!

Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Senator Mohamad Ezam Mohd. Noor (gambar) menyifatkan pemimpin tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu sama seperti bekas Perdana Menteri Thailand, Thaksin Shinawatra yang sanggup berbuat apa sahaja asalkan kepentingan politiknya tercapai.

Sehubungan itu, katanya, tidak mustahil sekiranya terdapat dakwaan bahawa PKR mahu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berkonsepkan republik dan menolak sistem Raja Berperlembagaan sedia ada.

"Saya percaya bahawa Anwar dan PKR telah pun merencanakan strategi bagi meruntuhkan serta merosakkan institusi asas negara seperti institusi diraja dan menggantikannya dengan konsep republik. "Mereka pastinya akan menggunakan sepenuhnya peluang yang ada untuk kepentingan mereka," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Semalam, bekas Ketua PKR Cabang Ipoh Barat, Fauzi Muda mendedahkan mengenai wujudnya gerakan tersusun untuk mengubah struktur organisasi parti itu supaya menyerupai acuan politik di Indonesia yang berasaskan kepada konsep republik.

Katanya, perkara itu terbukti apabila nama-nama jawatan dalam parti itu ditukar supaya sama dengan apa yang diguna pakai oleh parti-parti politik di Indonesia. Tambah beliau, paling menyedihkan, terdapat di kalangan pemimpin PKR di peringkat negeri adalah dari Indonesia yang langsung tidak tahu adat kesopanan dan budaya negara ini sehingga menimbulkan masalah di dalam parti.

Sementara itu, bekas Ketua Penerangan PKR, Ruslan Kassim memberitahu, beliau tidak terkejut sekiranya PKR mahu menjadikan Malaysia sebuah negara republik kerana telah pun menjangka perkara tersebut sebelum ini.

Katanya, 'parti caca-marba' seperti PKR akan membuat apa sahaja untuk mencapai matlamat mereka. "Selain itu, parti ini juga banyak tunduk kepada kemahuan DAP demi menjaga hati mereka," katanya.

Sementara itu : Anwar janji jawatan TPM untuk DAP

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Anwar Ibrahim terus memainkan gimik politik dalam usahanya untuk mendapat sokongan masyarakat Cina. Terbaru, Anwar berjanji akan mewujudkan jawatan Timbalan Perdana Menteri II yang dilantik di kalangan pemimpin DAP jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Janji Anwar itu jelas membuktikan beliau sanggup melakukan apa juga dengan hasrat untuk mempengaruhi pengundi-pengundi Cina yang ditafsirkan oleh pembangkang semakin menyebelahi mereka.

Matlamat Anwar ialah untuk memastikan momentum sokongan kaum Cina kepada pembangkang, sekali gus membolehkan beliau mencapai cita-citanya menjadi Perdana Menteri.

Dalam wawancara dengan akhbar berbahasa Cina, Nanyang Siang Pau yang disiarkan pada 26 Mei lalu, Anwar mendakwa pakatan pembangkang tidak mempunyai perasaan curiga jika ada di kalangan orang Cina layak menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Sambil memberitahu bahawa pakatan pembangkang sudah mewujudkan Kabinet bayangan, Anwar berkata, beliau telah dipilih menjadi calon Perdana Menteri. Pada masa yang sama, katanya, pakatan itu bersetuju menambah jawatan Timbalan Perdana Menteri namun ia belum diputuskan lagi.

‘‘Jika ada yang lebih layak daripada dua orang atau pun ada keperluan dalam politik, saya anggap tidak salah jawatan Timbalan Perdana Menteri itu ada dua orang, sebaliknya ia lebih baik,’’ katanya.

Anwar juga percaya, jika keadaan memerlukan Pas akan menerima jika calon Timbalan Perdana Menteri II daripada kalangan DAP kerana kesemua anggota pakatan mempunyai hasrat yang sama iaitu menyingkirkan Barisan Nasional (BN) dan memerintah kerajaan pusat.

Dalam wawancara itu, Anwar mendakwa, walaupun konsep pemerintahan Pas berbeza dengan DAP, tetapi pada pilihan raya umum lalu, pakatan pembangkang telah banyak membuat perubahan.

Wasabi Oyabun..

Khamis, 27 Mei 2010

Sindrom penafian membelenggu MIC!

KEMELUT yang berlaku dalam parti komponen ketiga terbesar dalam Barisan Nasional (BN), MIC kian memuncak ekoran kenyataan tidak bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh S. Vell Paari. Sebelum ini, mungkin tidak ramai daripada kita kenal siapakah dia.

Namun, tuduhan liar beliau yang mendakwa UMNO melakukan 'pembunuhan politik' bagi menjatuhkan bapanya, Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu mengejutkan banyak pihak. Kenyataan itu juga dilihat berjaya melonjakkan namanya dalam pentas politik negara. Ini kerana hanya selepas kenyataan itu dikeluarkan, barulah ramai daripada kita kenal siapakah Vell Paari. Sebelum ini, mungkin ada yang mengenalinya tetapi terhad dalam kalangan anggota MIC atau segelintir kaum India sahaja.

Mungkin itulah juga tujuan utama beliau mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab tersebut iaitu mahu cepat popular dan dianggap sebagai pejuang sejati atau hero kepada masyarakat India.

Jika itulah yang difikirkan olehnya, maka jelaslah bahawa beliau telah tersilap langkah. Bak kata orang - 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padanya' sehinggakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Vell Paari sebagai biadap dan tidak bertanggungjawab.

Tuduhan tidak berasas itu diluahkan oleh Vell Paari yang mengaitkan kewujudan Gerakan Anti-Samy Vellu (GAS) dengan UMNO yang didakwanya menyokong serta memulakan tindakan mewujudkan gerakan tersebut.

Sebagai seorang anak, memanglah Vell Paari berasa cemas sehinggakan terlepas cakap. Memang benar dalam apa sahaja masalah yang menimpa, seorang anak akan sanggup melakukan apa sahaja untuk menyelamatkan kerjaya politik bapanya.

Itulah yang sedang dilakukan oleh Vell Paari walaupun beliau terpaksa mengorbankan kepentingan parti dan kaum India, asalkan bapanya terus berada di tempat teratas dalam menerajui MIC.

"Dia bercakap kerana dia anak presiden ...," kata Muhyiddin dalam satu laporan akhbar semalam.

Mengulas perkembangan terkini yang melanda MIC itu, Pensyarah Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia, Profesor Dr. Mohamed Mustafa Ishak berkata, MIC harus bermuhasabah diri dan segera melakukan transformasi jika tidak mahu menjadi 'dinasour politik'.

Menurutnya, sikap MIC yang tidak mahu berubah dan gagal menyelami kenapa orang India menolak parti itu dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-12 pada 2008 telah menjerumuskan parti itu ke dalam kancah masalah besar. Dalam PRU 2008, MIC kehilangan enam kerusi Parlimen dan 12 kerusi Dewan Undangan Negeri. Lebih memalukan apabila Samy Vellu kecundang di kawasannya sendiri, Parlimen Sungai Siput.

Mengulas lanjut, Mohamed Mustafa berkata, hasil post mortem keputusan PRU 2008 yang dilakukan telah membuka pintu hati UMNO dan MCA untuk melakukan transformasi besar-besaran.

"UMNO sanggup berubah. Banyak yang telah dilakukan untuk mengukuhkan akar umbi termasuk peralihan kuasa Presiden daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang berjalan lancar.

Begitu juga MCA yang memilih Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek sebagai presiden barunya dalam pemilihan semula MCA pada Mac lalu. "Soalnya, kenapa dua parti komponen terbesar dalam BN itu sanggup melakukan perubahan, MIC pula masih ditakuk lama," katanya kepada Utusan Malaysia.

Katanya, MIC seharusnya mencontohi UMNO yang sanggup mengakui kelemahan yang ada dan berusaha memperbaiki setiap kelemahan tersebut. "Saya lihat MIC enggan mengkaji dan mengakui kelemahan yang wujud sekali gus terjebak dalam sindrom penafian.

"Selagi sindrom itu ada, maka MIC tidak akan boleh bangkit daripada kekalahan teruk dalam PRU 2008 dan ia tentu akan memberi kesan buruk dalam PRU Ke-13 kelak," ujarnya. Menurutnya, apa yang perlu dilakukan oleh MIC sekarang adalah sanggup menerima kritikan, bersikap terbuka dan realistik serta sedia untuk berubah terutama di peringkat pucuk pimpinan.

"Hala tuju yang jelas untuk menjaga kepentingan kaum India dan berusaha ke arah itu serta pendemokrasian parti penting untuk membolehkan MIC bangkit semula daripada kealpaan yang lama," katanya.

Tambahnya, menuding jari kepada orang lain (UMNO) dalam menyelesaikan masalah yang melanda menunjukkan betapa lemahnya MIC dalam menangani masalah dalaman parti. "Kena buat penambahbaikan di semua peringkat sama ada akar umbi atau peringkat tertinggi. Jika tidak, MIC akan terus mencari 'kambing hitam' untuk menutup kelemahan sendiri.

"Nasihat saya, jangan cari 'kambing hitam'. Kalau terus dicari maka MIC akan jadi 'dinasour politik', " katanya. Banyak yang boleh MIC lakukan untuk memenangi semula hati kaum India yang kini semakin hilang kepercayaan terhadap parti tersebut dalam membela nasib mereka.

Antara yang boleh dilakukan adalah menghidupkan semula slogan MIC Care bagi meniupkan semangat keakraban sesama masyarakat India sekali gus mentransformasi parti agar nampak lebih inklusif.

Wasabi Oyabun

Selasa, 25 Mei 2010

Selangor Bangkit : 'Gantung operasi KSSB serta-merta' !

Menteri Besar, Abdul Khalid Ibrahim digesa menggantung sementara operasi Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dakwaan berlakunya penyelewengan dalam syarikat itu.

Ketua Pembangkang negeri, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, penggantungan itu perlu dilakukan serta-merta bagi mengelak kemungkinan pihak tertentu cuba melupuskan bukti sekiranya benar wujud penyelewengan dalam anak syarikat di bawah Menteri Besar Incorporated (MBI) itu.

Malah penggantungan sementara, jelasnya, harus melibatkan setiap operasi yang dikendalikan KSSB iaitu daripada aktiviti perlombongan pasir sehingga kepada jawatan pegawai dan ahli lembaga pengarah syarikat tersebut termasuk adik Abdul Khalid sendiri, Hajiman Ibrahim yang turut dikaitkan dengan dakwaan berkenaan.

''Sepatutnya Abdul Khalid mengarahkan penggantungan operasi dan aktiviti KSSB sementara pihak polis dan SPRM selesai menjalankan siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dalam anak syarikat kerajaan negeri itu.

''Sekiranya KSSB masih beroperasi seperti biasa, kita khuatir ia akan mempengaruhi hasil siasatan pihak berkuasa kerana ia terdedah pada unsur-unsur penutupan dan pemansuhan bukti-bukti yang dikaitkan dengan dakwaan tersebut sekiranya ada," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Dr. Mohamad Khir, penggantungan operasi KSSB itu sebenarnya tidak akan mendatangkan kesan hasil pendapatan negeri memandangkan bidang kuasanya yang bertindih dengan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD).

Menurutnya, PTD sebelum ini bertanggungjawab mengutip doket pasir daripada syarikat perlombongan pasir sebagai hasil kepada kerajaan negeri.

Berbeza dengan KSSB, katanya, syarikat itu hanya berperanan sebagai orang tengah yang memperoleh tanah milik kerajaan negeri dan kemudiannya memberikan kontrak kepada syarikat perlombongan pasir dan menerima bayaran daripada syarikat-syarikat yang dilantik.

Dakwaan penyelewengan dalam KSSB mula tercetus apabila Ahli Parlimen Kapar, S. Manikavasagam pada 12 Mei lalu, membuat laporan polis berhubung dakwaan wujud amalan rasuah melibatkan pegawai atasan syarikat berkenaan.

Malah, Abdul Khalid turut mengumumkan akan merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) berhubung dakwaan penyelewengan itu agar satu pendengaran awam dapat dilakukan.

Ditanya langkah kerajaan negeri membawa dakwaan itu kepada Selcat, Dr. Mohamad Khir berkata, tindakan itu sebenarnya tidak wajar selain kemungkinan wujudnya penilaian berat sebelah dalam proses pendengaran berkenaan.

Katanya, jawatankuasa Selcat dianggotai ahli politik yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang daripada DAP, Teng Chang Khim.

''Apa yang boleh kita jangkakan apabila seorang ahli politik yang menyokong kerajaan negeri mengetuai dan mengendalikan sesi pendengaran awam mengenai dakwaan penyelewengan KSSB.

''Kita bimbang akan wujud penilaian berat sebelah dalam perkara ini. Malah yang kita khuatir ialah Selcat juga kemungkinan boleh dijadikan alat untuk menutup kelemahan pentadbiran kerajaan negeri," ujarnya.- UM.

Wasabi Oyabun

Isnin, 24 Mei 2010

SPRM Putrajaya ke pejabat Perhutanan Kelantan!















Empat pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menghabiskan masa lebih empat jam di Pejabat Perhutanan Kelantan di sini hari ini bagi meneliti beberapa dokumen berkaitan pemberian lesen balak di negeri ini.

Pengarah Jabatan Perhutanan Kelantan, Datuk Abdullah Sani Shafie berkata, pegawai berkenaan yang datang secara mengejut itu turut mengambil dua fail yang mempunyai maklumat berkenaan kelulusan pembalakan tersebut.

Jelasnya, selain itu, beberapa dokumen berkaitan prosedur pemberian lesen pembalakan di negeri ini turut diteliti. "Mereka yang datang dari Putrajaya masuk pada pukul 10.30 pagi tadi dan selesai meneliti fail-fail berkenaan pada kira-kira pukul 3.04 petang.

"Banyak dokumen membabitkan pemberian lesen pembalakan dan prosedurnya bermula tahun 1999 yang diteliti oleh pegawai-pegawai berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Isu mengenai banyak kelulusan kawasan balak kepada beberapa syarikat yang dikaitkan dengan individu tertentu kini menjadi perbualan umum di negeri ini.

Di samping itu, ia dihangatkan dengan pendedahan melalui blog mengenai janji penyaluran dana kepada institusi yang berkait rapat dengan parti politik sebagai timbal balas bagi memudahkan kelulusan dibuat.

Beberapa pihak termasuk Pergerakan Pemuda UMNO negeri mendesak pimpinan Pas Kelantan supaya bersikap telus dengan memberi penjelasan kepada umum tentang isu berkait dengan khazanah negeri itu. Mingguan Malaysia hari ini melaporkan penafian Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai pendekatan timbal balas itu.

Abdullah berkata, beliau sendiri tidak mengetahui tujuan sebenar kehadiran pegawai SPRM itu dan hanya diberitahu mengenai kedatangan mereka pagi ini. "Mereka cuma kata mahu meneliti beberapa dokumen pembalakan dan kita memberikan kerjasama sepenuhnya.

"Pasal apa mahu siasat, itu saya memang tidak tahu dan biarlah mereka selesaikan kerja mereka," jelasnya. Tambahnya, SPRM mungkin akan membuat susulan lagi selepas ini kerana banyak lagi dokumen yang diminta oleh pegawai-pegawai berkenaan tidak ditemui.

Wasabi Oyabun

Sabtu, 22 Mei 2010

Anwar gagal mohon tangguh kes liwat!

Anwar Ibrahim gagal menangguhkan perbicaraan kes liwatnya sementara menunggu rayuan bagi mendapatkan rakaman percakapan yang dibuat oleh Mohd. Saiful Bukhari Azlan kepada polis, dua tahun lalu.

Sehubungan itu, perbicaraan ke atas Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) tersebut yang dijadualkan disambung semula selama seminggu mulai 31 Mei ini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, berjalan seperti biasa.

Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai oleh Datuk Sulong Matjeraie hari ini. Beliau bersidang bersama Hakim Datuk Ramly Ali dan Hakim Datuk Zaharah Ibrahim.

Hakim Zaharah menggantikan tempat Hakim Datuk Mohd. Apandi Ali yang sebelum itu menarik diri selepas peguam Karpal Singh membantah kehadiran beliau ekoran penglibatannya sebelum ini dengan UMNO.

Ketua Pembangkang itu memohon perbicaraan liwatnya ditangguhkan sementara rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya mendapatkan rakaman percakapan Mohd. Saiful Bukhari, 25, dilupuskan.

Hakim Sulong ketika membacakan keputusan ringkas itu menyatakan, mahkamah tidak dapat membenarkan penangguhan tersebut kerana ia tidak sesuai dikemukakan pada peringkat ini.

Mahkamah berpendapat, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah itu merupakan perintah yang dibuat dalam satu perbicaraan yang sedang berlangsung dan kesannya tidak melupuskan hak mana-mana pihak.

Menurut Hakim Sulong, ini kerana Mohd. Saiful Bukhari selaku pengadu kes masih boleh dipanggil semula dan diperiksa balas semasa peringkat prosiding sebelum keputusan diumumkan.

''Keterangan saksi pendakwa pertama itu masih boleh diperiksa balas pada prosiding mencabar kredibiliti saksi dan ia boleh dijalankan pada bila-bila masa,'' ujar beliau.

Ekoran keputusan itu, Karpal yang mewakili Anwar ketika ditemui pemberita di luar mahkamah menyatakan, pihaknya akan memohon tarikh awal agar pendengaran rayuan di hadapan satu panel lain di Mahkamah Rayuan dipercepatkan sebelum perbicaraan bermula akhir bulan ini.

Sebelum itu, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berhujah, panel tersebut tidak mempunyai bidang kuasa mendengar permohonan penangguhan itu.

Menurut beliau, ia tidak sesuai dikemukakan pada peringkat ini atas alasan perintah Mahkamah Tinggi itu tidak boleh dirayu kerana ia bukan muktamad memandangkan keputusannya dibuat ketika perbicaraan masih berlangsung.

Hujah beliau, perintah itu hanya boleh dirayu jika hakim bicara berpuas hati dengan 'gerak hati' peguam bela bahawa wujud percanggahan di antara kenyataan Mohd. Saiful Bukhari kepada polis dengan keterangannya di mahkamah.

Terdahulu, Karpal berhujah, penangguhan itu wajar dibenarkan kerana tiada gunanya jika perbicaraan diteruskan yang hanya menjadikan ia satu prosiding yang sia-sia.

Ujar peguam bela, ia berdasarkan 'gerak hati' pembelaan bahawa keterangan Mohd. Saiful Bukhari di mahkamah bercanggah dengan kenyataannya kepada polis ketika soal siasat dan mencacatkan pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar.

Menurut Karpal, percanggahan itu menjadikan keterangannya di mahkamah bahawa dia diliwat tanpa kerelaan, berbeza dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar.

Peguam bela menyatakan, sehubungan itu wujud keadaan-keadaan istimewa yang mewajarkan mahkamah membenarkan perbicaraan itu ditangguhkan.

Pada 12 Mei lalu, Hakim Mohamad Zabidin menolak permohonan Karpal agar Anwar dibekalkan dengan semua kenyataan yang dibuat oleh bekas pembantu peribadinya itu termasuk yang direkodkan di bawah Seksyen 112 Kanun Tatacara Jenayah.

Hakim Mohamad Zabidin berpendapat, tiada percanggahan keterangan Mohd. Saiful Bukhari di mahkamah dengan kenyataannya kepada polis berhubung kejadian liwat yang berlaku tanpa kerelaannya.

Karpal memohon supaya dibekalkan dengan rakaman percakapan tersebut berikutan perbezaan keterangan Mohd. Saiful Bukhari di mahkamah dengan pertuduhan yang dihadapi oleh Anwar.

Ini kerana, katanya, Mohd. Saiful Bukhari dalam laporan polis dan keterangannya di mahkamah menyatakan kejadian berlaku tanpa kerelaan sedangkan pertuduhan terhadap Anwar di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan tidak melibatkan paksaan.

Anwar, 63, dibicarakan atas tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.


Wasabi Oyabun

Sabtu, 15 Mei 2010

PKR bakal masuk ICU : Wee Choo Keong keluar PKR!

Anggota Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong hari ini mengisytiharkan keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana kesal dengan kepimpinan PKR dan pakatan pembangkang yang gagal mengambil tindakan terhadap skandal pasir di Dengkil, Selangor.

Katanya, beliau setakat ini tidak bercadang menyertai mana-mana parti dan akan menjadi anggota Parlimen Bebas.

“Saya mengumumkan keluar parti dan meletakkan jawatan dalam PKR setelah kecewa dengan kepimpinan tertinggi PKR dan pakatan rakyat yang gagal mengambil tindakan sewajarnya berkenaan isu pasir di Dengkil.

“Saya merasakan saya tidak boleh lagi menyumbangkan khidmat dalam keadaan sebegini terutamanya isu-isu yang saya sendiri tidak boleh percayai,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini. Choo Keong, seorang peguam berkata, beliau telah memaklumkan peletakan jawatannya kepada majlis tertinggi PKR.

“Saya tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti politik setakat ini kerana saya ingin menumpukan pembangunan di kawasan saya dulu. Kepentingan rakyat mestilah didahulukan dan bukannya semata-mata untuk tujuan politik,” katanya.

Katanya, beliau mengambil keputusan keluar parti kerana berpegang pada prinsip menentang sekeras-kerasnya rasuah di kalangan anggota pakatan pembangkang sendiri.

Beliau turut menafikan tindakannya keluar parti disebabkan pilihan raya kecil Parlimen Sibu Ahad ini. “Ini semua tidak berkaitan dengan pilihan raya Sibu kerana saya berpegang kepada prinsip saya yang menentang sekeras-kerasnya rasuah di kalangan ahli Pakatan Rakyat itu sendiri,” katanya.

Choo Keong berkata skandal pasir “amat menjelikkan” kerana Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sedar mengenai perkara itu sejak awal Februari tahun ini kerana anggota Parlimen Puchong Gobind Singh Deo dari DAP telah membuat laporan rasmi kepada anggota Exco kerajaan negeri Ronnie Liu.

Abdul Khalid tidak mengambil tindakan dan lebih-lebih lagi, apabila dokumen mengenai skandal itu diserahkan kepadanya, “beliau mencabar Manikavasagam untuk membuat laporan kepada pihak berkuasa,” kata Choo Keong.

Beliau merujuk kepada anggota Parlimen Kapar S. Manikavasagam yang membuat laporan polis semalam terhadap beberapa pengarah sebuah syarikat pasir milik kerajaan negeri, Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB), yang dikawal sepenuhnya oleh kerajaan negeri menerusi pejabat Abdul Khalid selaku Menteri Besar.

Choo Keong turut menyelar Penasihat DAP Lim Kit Siang.

“Kita semua tahu yang Lim Kit Siang dengan cepat mengeluarkan kenyataan menggesa ditubuhkan Suruhanjaya Diraja berhubung perkara yang beliau anggap sebagai kepentingan awam. Tetapi apabila melibatkan perkara serius seperti ini, orang akan fikir yang Kit Siang akan mengambil tindakan ke atas anak didiknya, Ronnie Liu, kerana gagal bertindak pada Februari 2010,” katanya.

Choo Keong menyertai PKR pada tahun lepas atas pujukan Penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan sebelum ini memegang beberapa jawatan seperti Timbalan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan dan ahli majlis tertinggi parti.

Choo Keong bertanding pada pilihan raya umum 2008 atas tiket PKR dan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Yew Teong Lok dengan majoriti 150 undi.

Wasabi Oyabun

Rabu, 12 Mei 2010

MP Kapar kecewa, tolak Selcat siasat dakwaan rasuah!

Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam tetap dengan berpendirian dakwaan rasuah dalam anak syarikat kerajaan negeri Selangor yang bertanggungjawab ke atas perniagaan pasir, Kumpulan Semesta Sdn Bhd patut disiasat oleh sebuah badan bebas.

Dengan nada kecewa, anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR itu berkata, beliau sebenarnya telah mengharapkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan menubuhkan sebuah badan bebas, tetapi memutuskan untuk merujuk isu berkenaan kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

“Secara peribadi saya tidak yakin dengan Selcat… saya mahukan sebuah badan bebas, saya kekal dengan pendirian saya,” kata beliau ketika dihubungi The Malaysian Insider pagi ini sambil mempersoalkan bagaimana hendak menyiasat kes membabitkan ‘orang dalam sendiri’ oleh sebuah badan dalaman negeri. Bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut maksud ‘orang dalaman sendiri’ kecuali mengatakan ia membabitkan pegawai atasan syarikat itu.

“Dalam kes-kes melibatkan anggota polis, kita sentiasa menuntut agar diadakan sebuah badan bebas untuk menyiasat dakwaan dengan bebas dan adil. “Tetapi dalam kes ini, kita menggunakan Selcat… mana boleh kita mengharapkan ketelusan?” katanya. Manikavasagam berkata beliau akan mengadakan pertemuan semula dengan rakan-rakan Ahli Parlimen yang kelmarin menggesa kerajaan negeri menubuhkan sebuah badan siasatan bebas dalam isu ini.

“Saya akan jumpa mereka hari ini dan kami akan membuat keputusan nanti,” katanya. Mengenai alasannya menolak Selcat, kata wakil rakyat itu, pada pertemuan semalam Menteri Besar memberikan pandangan bahawa akan mengadakan sebuah badan ‘seakan Selcat’, bukannya memberi peranan menyiasat kepada Selcat.

Selain itu, Manikavasagam menegaskan, sekiranya Selcat terus diberi amanah untuk menyiasat kes tersebut, beliau tidak mahu Speaker Dewan Undangan Negeri Teng Chang Khim mengetuai siasatan berkenaan atas alasan ‘konflik peribadi’ mereka. Beliau merujuk kepada isu masalah terminal bas di Klang awal tahun lalu.

Ketika itu Teng didakwa menuduh wakil rakyat itu berlagak sebagai ‘pembangkang dan pembohong’ dalam isu bantahan pemindahan Terminal Bas Klang Utara yang berusia 50 tahun. “Saya tidak mahu Teng, saya tidak yakin dengan Teng,” kata beliau dengan mengesyorkan orang lain termasuk kemungkinan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Haniza Mohamed Talha yang juga ADUN Taman Medan.

Wasabi Oyabun

Selasa, 11 Mei 2010

Kewibawaan Saiful dicabar, mahkamah ditangguhkan!

Perbicaraan kes liwat ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersambung hari ini dengan peguambela , Karpal Singh menyoal balas pengadu, Saiful Bukhari Azlan.

Karpal berhujah oleh kerana Saiful mendakwa hubungan seks yang dilakukan itu adalah tanpa kerelaannya, manakala... Anwar pula didakwa menurut Seksyen 377b atas kesalahan mengadakan hubungan di luar tabii, maka berlaku percanggahan antara dakwaan dan kenyataan Saiful.

"Memang pasti ada kesilapan berhubung dakwaan, dan perlu untuk melihat semula kenyataan yang dirakamkan. "Di Malaysia, kita ketahui hubungan seks antara lelaki dengan lelaki walaupun dengan kerelaan adalah satu kesalahan.

Bagaiamanapun, saksi telah berulangkali berkata dan menegaskan bahawa perhubungan seks itu tanpa kerelaaanya,” kata Karpal. Katanya lagi, penyiasatan sepatutnya dijalankan mengikut seksyen 377c.

Karpal kemudiannya berkata Saiful menipu dan cuba mencabar keboleh-percayaan atau kewibawaannya sebagai saksi. Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah berkata ini kali pertama perkara seumpama itu timbul - tertuduh didakwa dengan hubungan seks (liwat) secara rela sedangkan bukti yang dikemukakan menunjukkan ia dilakukan tanpa rela.

Beliau kemudiannya menangguhkan perbicaraan sehingga esok dan akan memutuskan sama ada membenarkan pemohonan peguam bela untuk mendapatkan kenyataan beramaran Saiful.Sebelum itu, Saiful memberitahu mahkamah bahawa pegawai penyiasat, DSP Jude Pereira adalah anggota polis tunggal yang mengambil kenyataanya.

Dia tidak dapat mengingat jumlah kenyataan yang diberikan kepada polis. "Setiap kali, kenyataan itu dirakamkan di balai polis Brickfield dan juga tempat lain. "Kenyataan pertama dirakamkan pada 29 Jun 2008,” kata Saiful dengan menekankan bahawa dalam kenyataan itu, dia memaklumkan bahawa dia diliwat tanpa kerelaan.

Ditanya oleh peguam, Karpal Singh sama ada dia membuat kenyataan itu di luar mahkamah, saksi itu berkata dia tidak ingat. Awal pagi tadi, keadaan di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kecoh apabila beberapa pemyokong Anwar cuba meloloskan diri untuk memasuki dewan perbicaraan walaupun tidak mempunyai pas masuk.

Turut mengiringi Anwar adalah isterinya, Datin Seri Wan Azizah Wan Ibrahim, presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Ketua Pemuda PAS, Nasrudin Tantawi.Anwar, 63, didakwa meliwat Mohd Saiful, 25, di sebuah pangsapuri di Bukit Damansara di Kuala Lumpur pada 26 Jun 2008.

Wasabi Oyabun..

Jumaat, 7 Mei 2010

Politik di masjid: Pengasas Pondok Geting ulas!

Larangan yang dikeluarkan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya masjid di seluruh negeri tersebut tidak digunakan untuk tujuan politik adalah selaras dengan kehendak agama Islam.

Pengasas Pondok Geting, Abdullah Sa'amah (gambar) berkata, politik kepartian seperti yang diamalkan ketika ini, tidak ada sedikit pun hubung kait dengan agama malah kalimah siasah yang diterjemahkan dengan politik adalah tidak tepat dan amat kabur.

Beliau berkata, politik di zaman Rasulullah SAW dengan politik kepartian adalah amat berbeza kerana apa yang ada hari ini ialah peninggalan penjajah yang di dalamnya mempunyai seribu satu unsur bertentangan dengan Islam.

"Ini seperti fitnah-memfitnah, tuduh-menuduh, membuka aib dan jatuh-menjatuhkan sesama sendiri telah mencetuskan ketidakharmonian dalam masyarakat Islam sendiri.

"Pada pandangan saya apa yang dititahkan itu benar, tidak lari dari kehendak agama dan saya percaya larangan berpolitik di dalam masjid ini lebih terarah kepada Pas dan pakatan pembangkang yang cuba mengambil kesempatan dengan menjadikan masjid untuk mendapat pengaruh dan kuasa," katanya.

Akhbar melaporkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan bertegas melaksanakan titah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melarang program politik dianjurkan di masjid-masjid seluruh negeri ini.

Keputusan itu diambil hasil mesyuarat Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) semalam yang turut menyokong penuh titah baginda.

Baru-baru ini Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ceramahnya di Tumpat menyifatkan individu yang enggan membenarkan masjid digunakan untuk berpolitik sebagai 'bodoh'.

Laporan media menyebut Nik Abdul Aziz yang mempertahankan kenyataannya bahawa masjid boleh digunakan untuk tujuan berpolitik berkata: "Baso bodo payoh nak ajar (jenis bodoh susah hendak diajar), inilah sikap orang yang amal politik suku agama suku."

Khamis lalu, Sultan Selangor menjelaskan bahawa tujuan baginda melarang masjid digunakan sebagai pentas politik adalah untuk menjaga kesucian dan keharmonian tempat ibadah itu.

Abdullah yang semakin menjadi sasaran kecaman pimpinan Pas berkata, politik yang dibawa oleh pakatan pembangkang amat bercelaru dan bertentangan dengan Islam serta bercanggah dengan pandangan pimpinan Pas suatu ketika dulu.

"Banyak yang bercanggah sebagai contoh rujuk balik fatwa Dewan Ulama Pas Kelantan pada Ogos 1963, orang Islam yang berkongsi dengan orang- orang kafir memerintah negara menjadi kafir atau haram," katanya.

Abdullah berkata, ahli Pas akan tertipu sekiranya mempercayai hujah Nik Abdul Aziz bahawa politik dan agama yang dibawanya sama dengan keadaan politik pada zaman Nabi Muhammad SAW.

Tambahnya, Menteri Besar Kelantan itu hanya mahu menghalalkan perbuatan yang menjadikan DAP sebagai rakan seangkatan apabila menyatakan politik dan agama tidak dapat dipisahkan.

Wasabi Oyabun

Khamis, 6 Mei 2010

Anwar Kepanasan! : Sikap bermuka-muka Anwar akhirnya memakan diri!

JIKA anda menatap akhbar hari ini, terdapat satu berita yang sangat menarik mengenai pemimpin pembangkang, Anwar Ibrahim. Berita itu memetik tulisan Rachel Motte dari The New Ledger, sebuah penerbitan Internet di Amerika Syarikat (AS) yang mengecam Anwar kerana mempunyai sifat talam dua muka.

Antara lain laporan itu mendedahkan bagaimana Anwar berusaha menonjolkan dirinya sebagai pemimpin demokrat liberal ketika berada di AS dan kemudian pula menjadi pejuang anti-Yahudi ketika berada di negara ini. Perjuangan anti-Yahudinya dapat dilihat melalui pelbagai kecaman terhadap kerajaan kerana menggunakan khidmat firma perundingan awam pro-Israel APCO Worldwide.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga dikecam kerana kononnya pasukan itu menggunakan perkhidmatan bekas ejen Israel dalam pembangunan sistem maklumatnya.

Tetapi sebelum ini, terutama sebaik sahaja dibebaskan dari penjara 10 tahun lalu, Anwar telah ke Washington dan berjaya berbaik-baik dengan beberapa tokoh Yahudi Amerika seperti bekas Naib Presiden Al Gore dan bekas Presiden Bank Dunia, Paul Wolfowitz.

Kedua-dua pemimpin itu merupakan antara pemimpin Barat yang sanggup membela Anwar yang telah berusaha keras menampilkan dirinya sebagai seorang yang sangat bersopan santun. Mereka juga antara individu yang memperkenalkan Anwar kepada beberapa pertubuhan lain sehinggakan pemimpin pembangkang itu dijemput mengajar selama setahun di Johns Hopkins School of Advanced International Studies di AS.

Sikap bermuka-muka Anwar ini sememangnya telah didedahkan oleh beberapa bekas rakan Anwar sebelum ini tetapi masih ramai yang tidak mempercayainya. Kini, sebuah laman web AS pula mengulangi dakwaan tersebut sambil menyatakan adalah sukar bagi mereka untuk mengenali siapakah sebenarnya diri Anwar. Adakah seorang kawan yang baik atau kawan yang 'jahat'?

Itulah Anwar Ibrahim. Seorang insan yang sangat bijak percaturan politiknya.

Kelebihan petah berkata-kata yang dianugerahkan Tuhan digunakan untuk meraih simpati atau mencari pengaruh sehingga pemimpin besar AS juga boleh terpengaruh dengannya.

Kelebihan yang sama juga digunakan beliau untuk meraih simpati pakcik dan makcik di kampung serta juga mendorong anak-anak muda di kota untuk terpekik terlolong di jalan raya dengan alasan inginkan reformasi apabila dirinya terhimpit.

Tetapi selepas dirinya kembali ke persada politik negara dan berada dalam keadaan selesa, apakah nasib anak-anak muda yang pernah suatu waktu dulu menjadi pejuang pembela nasibnya.

Selain itu, kerana cita-citanya yang sangat ingin menjadi pemimpin nombor satu negara, Anwar yang kita ketahui akan juga sanggup melakukan apa sahaja walaupun tidak bercakap benar.

Lihat sahajalah temberangnya mengenai peristiwa 16 September 2008. Sampai sekarang, pakatan pembangkang yang dipimpinnya masih tetap menjadi pembangkang walaupun sudah ramai yang berangan-angan hendak menduduki kerusi menteri atau ketua menteri jika mereka berjaya menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional.

Sememangnya itulah Anwar Ibrahim. Tiada siapa dapat menduga apakah sebenar pendiriannya pada masa lalu, sekarang dan juga masa hadapan. Sama-sama kita tunggu dan lihat adakah sikap bermuka-muka insan ini akan memakan diri sendiri.-SBUM

Wasabi Oyabun
Torashah

Rabu, 5 Mei 2010

Kantoi : Rayuan terakhir Anwar ditolak!

Perbicaraan kes liwat Anwar Ibrahim diteruskan di Mahkamah Tinggi pada Isnin ini setelah rayuan akhirnya untuk membatalkan pertuduhan tersebut ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

Panel tiga hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Arifin Zakaria berpuas hati bahawa tuduhan liwat itu wajar dikekalkan meskipun laporan klinikal menunjukkan tidak berlaku kemasukan zakar.

Ketika membacakan keputusan ringkas yang dibuat sebulat suara itu, Hakim Arifin menyatakan, panel tersebut sudah meneliti keseluruhan laporan perubatan oleh tiga doktor yang memeriksa pengadu, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, 25.

''Mahkamah mendapati laporan yang menyatakan tidak berlaku kemasukan zakar itu gagal menyokong rayuan Anwar bagi membatalkan pertuduhan liwat terhadapnya,'' ujar beliau.
Turut bersidang, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri James Foong Cheng Yuen dan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suriyadi Halim Omar.

Anwar merayu setelah tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 17 Februari lalu yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Disember 2009 yang menolak permohonannya agar tuduhan liwat itu dibatalkan. Dalam permohonannya, Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, tuduhan berkenaan berniat jahat, menindas dan menyalahgunakan proses mahkamah selain satu konspirasi politik serta muslihat jahat sama seperti pertuduhan yang dihadapinya pada 1998.

Anwar didakwa meliwat Mohd. Saiful Bukhari di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di ibu negara di antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008. Pada prosiding hari ini, Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd. Yusof Zainal Abiden berhujah supayar mahkamah tidak melayan rayuan Anwar untuk membatalkan pertuduhan kerana tindakan itu bersifat pramatang pada peringkat ini.

Beliau menyatakan, laporan perubatan yang disandarkan oleh pendakwaan itu belum lengkap kerana ia perlu disokong oleh keterangan forensik doktor pakar dan ahli kimia yang menyediakannya. Hujah Mohd. Yusof, Anwar gagal memberi perhatian terhadap beberapa bukti keterangan lain yang lebih penting termasuk laporan kimia yang menunjukkan kehadiran air mani.

Ujar beliau, rujukan terhadap buku bertajuk Perubatan Forensik Untuk Peguam menyatakan, penemuan air mani pada putik kapas sama ada yang diambil dari lubang dubur atau dari lendir dubur membuktikan perlakuan liwat yang hampir tidak dapat disangkal. Hujah Mohd. Yusof, lagipun pihak pembelaan mempunyai peluang untuk menyangkal pertuduhan liwat itu ketika berhujah di akhir kes pendakwaan sebelum kes prima facie ditentukan oleh hakim bicara.

Sehubungan itu, ujar beliau, pihak pendakwaan tidak seharusnya dihalang daripada meneruskan kes terhadap Anwar semata-mata atas alasan pertuduhan tidak lengkap. Bagaimanapun, peguam Karpal Singh yang mewakili Anwar mempertikaikan hujahan berhubung penemuan air mani kerana tidak mungkin ia ditemui jika kemasukan zakar dalam dubur tidak berlaku.

''Bagaimana air mani boleh ditemui dalam dubur jika kemasukan zakar tidak berlaku melainkan ia sengaja diletakkan di situ,'' ujar beliau. Sehubungan itu, Karpal menyatakan, pendakwaan terhadap Anwar di bawah Seksyen 377B Kanun Keseksaan tidak wajar diteruskan kerana laporan perubatan yang tidak lengkap itu dengan sendirinya akan menyanggah keterangan Mohd. Saiful Bukhari.

Ujar beliau, oleh itu tiada gunanya saksi-saksi dipanggil memberi keterangan memandangkan perkara asas dalam pertuduhan liwat iaitu kemasukan zakar, tidak dibuktikan. Sementara itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail yang hadir bagi mendengar rayuan tersebut melahirkan perasaan tidak puas hati atas keputusan berkenaan.

Beliau yang sependapat dengan seorang lagi peguam Anwar, S.N. Nair menyatakan, keputusan hakim yang menyertakan alasan melalui dua perenggan ayat itu amat mengecewakan.

Wasabi Oyabun

Ahad, 2 Mei 2010

Pandangan Sanusi Terhadap Anwar Ibrahim!

Di sebalik ‘kehebatan’ Anwar

Mingguan: Pada pandangan Tan Sri adakah Anwar Ibrahim mempunyai kelebihan?

Sanusi Junid: Sebenarnya Anwar adalah manusia biasa yang mempunyai cita-cita terlalu tinggi dan terlalu gopoh dalam mengambil tindakan. Dia tidak mempunyai apa-apa kelebihan yang perlu dibimbangkan.

Dalam banyak hal Anwar tidak berjaya tetapi kelemahan UMNO dan orang Melayu menyebabkan orang melihat Anwar sebagai jaguh. Sebenarnya dia tidak ada apa pun. Parti Keadilan Rakyat (PKR) menang beberapa kerusi dalam pilihan raya 1999 kerana peristiwa matanya yang lebam dibelasah bekas Ketua Polis Negara. Itu bukan kesalahan UMNO.

Tetapi masa itu orang Melayu tidak tahu hendak salahkan siapa kerana mata lebam dijadikan modal pilihan raya. Jika Anwar terlalu hebat dan ada kelebihan luar biasa tidak mungkin BN boleh menang besar dalam pilihan raya 2004. Sedangkan ketika itu segala-galanya mengenai Anwar diketahui, biar pun dia dipenjara dan sebagainya tetapi BN masih boleh menang besar. Sebenarnya ketika itu simpati pengundi kerana mata lebam Anwar sudah merosot, walaupun di dalam penjara tapi Barisan Nasional (BN) boleh mendapat kemenangan besar.

Bukankah Anwar mempunyai ramai kawan dan penyokong?

Sanusi Junid: Kita tidak menafikan Anwar mempunyai banyak kawan lebih- lebih lagi beliau pernah menjadi menteri kewangan. Siapa pun yang jadi menteri kewangan memang banyak kawan. Tetapi itu bukan faktor yang melonjakkan Anwar. Yang melonjakkan Anwar adalah berpunca daripada dalam BN sendiri. Faktor itu menjadikan parti-parti pembangkang kuat dan mendapat sokongan rakyat. Kejayaan besar pada pilihan raya 2004 menyebabkan BN terlalu leka, selesa dan khayal.

Kerajaan selepas 2004 membiarkan masalah kecil menjadi besar sehinggakan memberi kesan kepada rakyat. Saya nampak ada empat perkara menyebabkan BN hilang pengaruh dan pembangkang semakin kuat.

Pertamanya, krisis MCA pada 2002-2003. Ketika krisis itu BN membiarkan MCA menyelesaikan isu tersebut bersendirian. Keadaan itu menyebabkan konflik dalaman MCA semakin rumit dan berpanjangan. Kononnya sebab tidak mahu campur tangan, sedangkan MCA itu komponen BN dan pucuk pimpinan BN mempunyai kuasa serta fungsi untuk menyelesaikan masalah tersebut dan bukannya menyerahkan untuk diselesaikan oleh MCA sendiri kerana parti itu sememangnya sedang lemah dan berkecamuk. Maka akibatnya, orang Cina yang hilang kepercayaan terhadap MCA mencari alternatif – mereka pergi kepada DAP, yang mana tak suka DAP pergi pula kepada PKR.

Keduanya, masalah Hindraf. Jika kita lihat dalam isu Hindraf, pemimpin mereka sebenarnya mahu berjumpa dengan kerajaan dan berbincang. Oleh kerana Hindraf terdiri daripada kaum India maka diserahkan kepada MIC dan tidak memberi peluang kepada Hindraf menyelesaikan masalah mereka. Maka Hindraf mencari alternatif lain iaitu PKR. Seterusnya, BN juga seolah-olah khayal selepas kemenangan besar pada 2004.

BN berasa selesa dengan kemenangan itu dan tidak membuat banyak perubahan untuk mengekalkan sokongan rakyat. Sebaliknya diperkenalkan dasar baru yang boleh mengelirukan rakyat. Dan akhirnya apabila tiba pilihan raya, pemilihan calon yang tidak mengambil kira kehendak akar umbi. Bukan itu saja orang lama yang bertanding di sesuatu kawasan langsung tidak dimaklumkan mengenai pemilihan baru.

Orang Melayu sarat dengan budi bahasa, jika tidak dipilih pun tidak apa asalkan mereka diberitahu. Ini tidak dan apabila calon yang dipilih tidak disenangi, tidak dikenali maka kita kalah dalam pilihan raya. Ia juga berkait rapat dengan masalah rasuah dalam UMNO. Pembangkang menang bukan kerana Anwar ada kelebihan dan bukan juga kerana mereka kuat tetapi kerana UMNO dan BN itu yang lemah.

Selebihnya apa yang ada pada Anwar memang telah lama ada seperti kemahiran berpidato, penampilan agama. Kawan-kawan dari Kolej Melayu Kuala Kangsar, Yayasan Anda, Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia juga menjadi sekutu Anwar sama ada dalam PKR, UMNO atau kelompok yang digelar Erdogan di dalam Pas. Manakala penonjolannya adalah kerana dia ini ibarat man of the moment.

Misalnya ketika tunjuk perasan dia bukanlah orang yang merancang tunjuk perasaan tetapi dia pandai menonjolkan diri pada saat-saat penting seperti ketika Black Maria datang untuk mengheret mereka yang terlibat dalam tunjuk perasaan tersebut.

Pada pandangan Tan Sri sejauh mana pakatan pembangkang mampu bertahan dan bekerjasama untuk menjayakan matlamat mereka?

Sanusi Junid: Saya nampak pakatan pembangkang bercelaru. Saya tidak percaya mereka akan berjaya. Saya juga tidak percaya parti-parti yang menganggotai pakatan pembangkang itu akan dapat benar-benar bekerjasama jika pun mereka dapat memerintah negara ini. Anwar hanya diperalatkan oleh DAP. DAP perlu ada seorang Melayu untuk mengetengahkan agenda mereka. Jika tidak ada Anwar DAP akan cari orang lain, orang tidak cerdik pun tidak apa, sekarang Anwar mungkin cerdik tetapi kalau Anwar tak ada nanti, DAP akan cari juga seorang Melayu.

Saya percaya Anwar pun tahu. Ini kerana DAP tahu mereka sahaja tidak akan mampu mencapai matlamat dan cita-cita untuk menguasai negara ini. Saya juga percaya pemimpin Pas tidak sayang sungguh-sungguh kepada DAP. Di hati mereka tidak mungkin akan membiarkan negara ini terlepas kepada DAP biarpun atas nama pakatan pembangkang. Cumanya sekarang ini Pas seperti mencuba-cuba atau mempunyai matlamat sendiri dalam kerjasama dengan pakatan pembangkang.

Biarpun Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat sering bercakap macam-macam tetapi saya percaya dan saya yakin jauh di sudut hati Nik Aziz dia dia bekerjasama dengan DAP secara strategi sahaja. Mungkin dia meluat kepada sesetengah pemimpin UMNO. Sebenarnya lebih mudah bagi DAP untuk bekerjasama dengan UMNO daripada bekerjasama dengan Pas.

Wasabi Oyabun

Khalid nafi guna RM176j beli undi Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor!

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan dakwaan bahawa kerajaan negeri telah membelanjakan wang rakyat sebanyak RM176 juta bagi membeli sokongan pengundi dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Hulu Selangor, pada 25 April lalu.

Menurut beliau, dakwaan tersebut tidak sepatutnya ditimbulkan kerana kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang ketika ini tidak mempunyai peruntukan sebanyak itu untuk tujuan berkenaan.

Katanya, jumlah peruntukan yang didakwa dibelanjakan untuk kempen pilihan raya kecil itu adalah terlalu besar jika dibandingkan dengan perbelanjaan kerajaan negeri untuk kemudahan dan bantuan kepada rakyat di Selangor iaitu sebanyak RM40 juta setahun.

"Perkara yang dinyatakan ini (guna peruntukan kerajaan negeri untuk kempen) adalah tidak betul. "Kita tidak ada duit, kita tidak ada peruntukan... kalau ada, saya akan bagi," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Abdul Khalid diminta mengulas laporan sebuah blog di alamat www.mykmu.net yang mendakwa kerajaan negeri pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas telah membelanjakan peruntukan negeri sebanyak RM176 juta sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil Parlimen Hulu Selangor.

Menurut laporan tersebut, perbelanjaan itu dibuat untuk menarik sokongan pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor supaya mengundi calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim. Kerajaan negeri didakwa membelanjakan kira-kira RM23,000 untuk pemberian beras kepada pengundi selain memberikan sumbangan kepada 7,653 warga emas, melibatkan peruntukan sebanyak RM3.8 juta dan sumbangan kepada bukan warga emas seramai 16,347 orang (RM1.6 juta).

Komen : Banyak kemyuskilan disebalik penafian Khalid Ibrahim terutamanya isu TALAM, YBK, ZAKAT dan lain-lain lagi. Banyak penyelewengan telah dilakukan oleh Khalid dan Pakatan Rakyat. Semuga rakyat Selangor dapat menilai semula kerajaan mereka pilih sekarang. Adakah mereka masih layak di berikan kuasa pada Pru 13 nanti. Sama-samalah kita fikirkan!

Wasabi Oyabun