Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Ahad, 5 Oktober 2014

Korban DAP?


Dalam media sosial sekarang kecoh cerita seorang gadis berpurdah, Jamila Rahim menyertai DAP. Langkah aktivis pakatan pembangkang berusia 22 tahun yang menulis novel, Pelacur Kelas Pertama ini mencetuskan polemik. Sila baca di sini.

Dia tidak memilih PKR, jauh sekali Pas kerana berasa DAP itu humanisme sifatnya dan lebih dekat dengan keadilan. Jumaat lalu, pengguna nama pena Melati Rahim bersama dua ‘awek cun’ DAP, Dyana Sofya Mohd. Daud dan Young Syefura Othman ini membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Mereka ditemani oleh peguam yang juga Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching. DAP mahu SKMM mengambil tindakan terhadap tulisan dalam laman web yang memalukan ahli baharu parti ini.

Polemik tulisan "Melati, lebih baik jadi pelacur daripada sertai DAP" dan "DAP dan politik onani" dalam dua laman web berasingan itu berlaku di tengah-tengah kontroversi hubungan rakan sepakatan DAP, PKR dengan Pas.

Di Selangor, empat Exco daripada Pas ditohmah sebagai pengkhianat oleh DAP. Sehingga kini DAP belum menarik balik tohmahan itu walaupun dua daripada Exco tersebut dipilih semula dalam pentadbiran baharu Kerajaan Negeri Selangor.

Tidak tahulah bagaimana dua pengkhianat ini boleh bekerjasama dengan tiga lagi Exco DAP. Pas pula seperti tidak mampu mengambil apa-apa tindakan balas. Bayangkan apa yang akan berlaku jika pemimpin Pas secara konsensus membuat tohmahan yang sama ke atas pemimpin DAP.

Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas yang dikecam oleh Presidennya sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai ‘broker dan barua’ pula dijulang dan diraikan sebagai hero dalam satu majlis DAP.

Apakah mesej yang mahu disampaikan? ‘Dibuang’ daripada Pas, diraikan oleh DAP. Derhaka kepada Pas, disanjung oleh DAP. Buruk kepada Pas, baik kepada DAP. Pengertian soal nilai mereka ternyata sangat berbeza.

Kasihanlah seorang Nasrudin Hassan. Ahli Jawatankuasa Pas Pusat dan Ahli Parlimen Temerloh ini dimalukan secara terbuka. Kritikannya yang mempersoalkan projek pembinaan terowong bawah laut Pulau Pinang berakhir dengan beliau disaman.

Sedangkan Nasrudin hanya mengkritik kecaman-kecaman berpilih yang ditujukan kepada pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mahu digugurkan oleh PKR dan DAP sebagai menteri besar.


Boleh dikecam

Jika Abdul Khalid boleh dikecam dan dikritik, kenapa tidak Guan Eng yang mentadbir Pulau Pinang. Begitu hujah Nasrudin. Beliau mahu prinsip adil dan saksama itu ditegakkan meliputi semua orang, bukan berpilih-pilih mengikut kepentingan tertentu.

Tetapi itulah yang berlaku. Setiausaha Agung DAP yang dinilai bersikap semakin angkuh sehingga digelar 'tokong' oleh kelompoknya sendiri lebih suka memilih tindakan saman berbanding penyelesaian secara bersahabat.

Guan Eng memang ada hak tetapi sebagai rakan sekutu, parti satu matlamat dan perjuangan, tindakan itu adalah janggal. Tentu sekali saman seperti ini tidak akan menakutkan pemimpin muda Pas itu. Beliau menyatakan kesediaan berdepan Guan Eng di mahkamah.

Kasihan juga kepada Iszuree Ibrahim. Bendahari Pas Pulau Pinang tidak diberi keadilan. Beliau disingkirkan semua jawatan dalam Jawatankuasa Tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) begitu sahaja hanya kerana satu sebab - mengkritik Guan Eng.

Guan Eng selalu berpegang kepada prinsip tidak memberi reaksi terhadap laporan media tetapi kali ini Iszuree dikenakan tindakan hanya berdasarkan laporan portal. Iszuree mahu memberi penjelasan tapi tidak dilayan.

Sedangkan isu ‘kerajaan DAP propemaju’ yang dibangkitkan Iszuree dalam Muktamar Pas Ke-60 di Batu Pahat itu berkaitan kepentingan rakyat, orang Melayu dan bumiputera khususnya. Muktamar adalah forum sesuai apatah lagi sudah lebih setahun Pas memohon untuk bertemu ketua menteri bagi membincangkan isu pembangunan dan tanah tetapi tidak dilayan.

Mohamad Sabu yang juga rakan akrab Guan Eng pun tidak terdaya mempertahankan Iszuree. Tiada kenyataan tegas daripada ayam sabung Pas ini sedangkan beliau ialah Timbalan Presiden yang juga Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.

Luahan rasa bertajuk ‘Malay first Malaysian second vs Chinese first the rest second’ Aspan Alias, bekas pemimpin UMNO yang menyertai DAP pada Januari 2012 dalam blog beliau pada 7 Jun 2014 barangkali boleh dijadikan ukuran.

Aspan menulis; "Di satu pihak yang lain mereka tidak bercakap tentang kaumnya, tetapi dalam praktiknya tindakan mereka sangat cauvinis dan tebal perkaumannya. Mereka hanya mahu berbincang sesama bangsanya sendiri sahaja dan orang Melayu hanya terima sahaja keputusan yang mereka buat tanpa menyoal apa-apa."

Melihat apa yang berlaku sekarang, ada benarnya analisis Aspan yang pasti bersandarkan pemerhatian dan penelitian beliau lebih setahun berada dalam rumah DAP. Siapa dan apakah lagi yang akan terkorban? Tidak mustahil korban pada masa depan lebih besar lagi.

Renungkan. Selamat Hari Raya Korban.

Wasabi Oyabun..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan