Terima kasih kerana mengundi BN
Rabu, 30 Oktober 2013
#PRK Sg Limau : Muhyiddin syukur permohonan maaf diterima baik keluarga Allahyarham Azizan!
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersyukur permohonan maafnya kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak atas kenyataannya yang didakwa PAS menghina bekas menteri besar Kedah itu, diterima baik oleh keluarga Azizan.
Muhyiddin berkata, anak kelima Azizan, Mohd Rafi'ie, telah menghantar maklumat kepada Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir pagi ini bahawa keluarga Allahyarham telah menerima permohonan maaf yang dibuat oleh beliau semalam.
Timbalan Pengerusi Barisan Nasional(BN) itu berkata, Mukhriz memaklumkan kepadanya atas penerimaan maklumat tersebut melalui Khidmat Pesanan Ringkas(SMS) daripada Mohd Rafi'ie pagi ini.
"Saya syukur kerana teks yang dikemukakan anakanda beliau (Azizan) menyatakan keluarganya telah terima mohon maaf saya," katanya selepas menghadiri jamuan tengah hari bersama masyarakat Cina kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau di Pusat Operasi BN di Sungai Limau Dalam, dekat sini, hari ini.
Muhyiddin berharap isu itu dianggap selesai dan tidak lagi akan dibangkitkan.
Isnin lalu, PAS termasuk Dewan Pemudanya mendesak supaya Muhyiddin menarik balik kenyataannya yang didakwa mereka mengaitkan isu pemansuhan subsidi gula dengan penyakit kencing manis Azizan yang dididakwa telah menyinggung dan mengguris hati keluarga bekas menteri besar Kedah itu.
Berikutan itu, Muhyiddin semalam membuat permohonan maaf semasa lawatannya di Bukit Choras, namun menafikan kenyataannya mempunyai unsur penghinaan dan bertegas ianya diputar belitkan, selain meminta pihak yang membuat tuduhan menyemak semula rakaman ucapannya di SMK Sungai Limau, Sabtu lalu.
Wasabi Oyabun..
#PRK Sg Limau : Muhyiddin tiada niat singgung keluarga Azizan!
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau tidak berniat langsung untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak dalam kenyataannya yang mengaitkan keputusan kerajaan memansuhkan subsidi gula dengan penyakit kencing manis bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.
Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau meminta maaf secara terbuka jika kenyataannya itu disilap tafsir atau dirasakan menyinggung perasaan ahli keluarga Allahyarham.
Beliau berkata, dalam kenyataannya, beliau menyebut mengenai Belanjawan 2014 dan kemudian membangkitkan isu pemansuhan subsidi gula dan antara lain berhubung masalah penyakit kencing manis supaya menjaga kesihatan.
"Bukan tujuan saya untuk mencemarkan nama baik Allahyarham atau pun merendah-rendahkan atau memperkecilkan kerana kita tahu beliau adalah pemimpin baik. Waktu Allahyarham masih hidup pun saya menziarahinya.
"Jadi bukan tujuan untuk itu, saya sebut sepintas lalu saja. Apa pun sebagai manusia, kalau kenyataan itu disalah tafsir atau dirasakan agak menyinggung perasaan keluarga, saya mohon maaf," katanya kepada pemberita selepas program sepetang bersama Timbalan Perdana Menteri di Madrasah Mazahirul Ulum, Bukit Choras di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, sebagai orang Islam kalau terlanjur perlu meminta maaf kerana yang penting ialah saling bermaafan sesama sendiri.
Ini kerana kata beliau, tujuannya adalah jelas untuk kebaikan dan tidak mempunyai niat jahat serta bukan mahu mengambil kesempatan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.
"Isu yang saya jelaskan ialah manfaat yang dapat dan berharap ia tidak dipergunakan sebagai bahan kempen di Sungai Limau," ujar beliau.
Tambah Timbalan Perdana Menteri, wakil Pemuda Pas ada bertemunya berhubung perkara berkenaan dan mereka faham selepas diberi penjelasan tiada niat jahat dalam kenyataan tersebut.
Berikutan itu, beliau berharap isu berkenaan selesai dengan penjelasan dan permohonan maaf tersebut.
Beliau turut meminta video kenyataannya itu disemak semula kerana nadanya langsung tidak berniat jahat tetapi telah dijadikan isu.
Ketika ditanya tentang kemungkinan kerajaan menghantar Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir untuk memohon maaf secara rasmi kepada keluarga Allahyarham, Muhyiddin berkata, tiada arahan dikeluarkan dan berharap penjelasannya hari ini memadai.
Wasabi Oyabun..
Isnin, 28 Oktober 2013
#PRK Sg Limau : Cadangan Mahfuz cuti pilihan raya tak masuk akal - Mukhriz?
JERAI 27 Okt - Cadangan Pengarah Pilihan Raya Pas DUN Sungai Limau, Datuk Mahfuz Omar @ The Mr.Bean agar kerajaan mengisytiharkan cuti pada hari Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Limau pada 4 November nanti dianggap sebagai tidak masuk akal.
Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir berkata, adalah tidak wajar cadangan tersebut dilaksanakan memandangkan PRK DUN Sungai Limau hanya melibatkan 27,364 pemilih sahaja.
"Bayangkan kalau kita fikir cadangan ini mungkin ada perkara pelik. Antaranya pengundi di DUN Sungai Limau hanya 27,364 pemilih, dia minta cuti untuk satu negeri yang mempunyai penduduk seramai 2 juta orang. Ini bukan cadangan yang wajar.
"Alasan cuti ini akan membantu pengundi luar untuk mengundi, sudah tentu mereka duduk di luar negeri Kedah. Adakah dia minta agar cuti diberikan kepada seluruh negara? Ini tidak masuk akal," kata Mukhriz.
Beliau berucap semasa melawat Bilik Gerakan Puteri UMNO di Sungai Limau Dalam di sini hari ini.
"Cadangan ini tidak boleh diterima. Jika ada kakitangan kerajaan yang ingin mengundi kita akan benarkan. Selesaikan tanggungjawab mengundi pada hari tersebut kemudian baru pergi kerja. Mereka tak perlu bimbang diambil tindakan kerana mereka menunaikan tanggungjawab.
"Saya turut mencadangkan agar sektor swasta memberikan masa kepada pekerja untuk mengundi pada hari tersebut. Ini lebih baik dari mengisytiharkan cuti," tegas Mukhriz. - UO
Wasabi Oyabun..
Ahad, 27 Oktober 2013
Tabur Fitnah : Selama Ini Pemimpin Pas Hanya Pekakkan Telinga, Butakan Mata...HamPas?
Ini bukannya teguran atau fitnah dari pemimpin UMNO apatah lagi BN, tetapi datangnya sendiri dari pimpinan pusat PAS. Siapa yang tidak kenal dengan Idris Ahmad ini? Bekas Ketua Penerangan Pas Pusat?
Cuba lihat dan halusi sendiri SMS berantai yang diedarkan kepada pengundi-pengundi di Sungai Limau, Yan, Kedah ni. Adakah ini benar atau hanya FITNAH? Fikir dan renungkan lah...!!!
Wasabi Oyabun..
Maklumat betul mengenai GST akan disebarkan!
PUTRAJAYA - Maklumat betul dan tepat mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) akan disebarkan kepada rakyat bahawa pengenalan GST tidak akan membebankan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, apabila GST dikuatkuasakan pada 1 April 2015, ia bukannya cukai tambahan kerana cukai jualan dan perkhidmatan sedia ada akan dimansuhkan.
"Terdapat banyak maklumat-maklumat yang tidak betul yang disebarkan oleh pembangkang. Jadi saya nak pastikan rakyat dapat maklumat tepat. Kalau kita perkenalkan GST, ia bukan cukai tambahan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Larian Statistik 2013 anjuran Jabatan Perangkaan, di sini hari ini.
Beliau menjelaskan pelaksanaan GST juga penting untuk kurangkan defisit negara dari 3.5 peratus pada 2014 kepada 3 peratus menjelang 2015.
Abdul Wahid mengulas kebimbangan rakyat mengenai cukai GST pada kadar 6 peratus yang diumumkan dalam Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam.
Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan menyifatkan GST sebagai satu sistem percukaian terbaik dan terbukti berkesan dengan lebih 160 negara sudah melaksanakan cukai tersebut.
Mengulas lanjut, Abdul Wahid berkata kadar 6 peratus itu adalah terendah di Asia Tenggara dan dalam kalangan negara Asean termasuk Singapura dan Thailand yang kadar GST masing-masing adalah 7 peratus manakala negara lain dari 10 hingga 12 peratus.
"Bagi mereka yang dikatakan terjejas berkaitan dengan andaian mereka, kita (kerajaan) juga (akan beri) bantuan kewangan RM300 (kepada penerima Bantuan Rakyat 1Malaysia) apabila kita perkenalkan GST.
"Kedua, dari segi cukai perkhidmatan bagi golongan pertengahan, kerajaan akan kurangkan sehingga 3 peratus dan ketiga, kita (kerajaan) juga perkenalkan pelepasan cukai individu sebanyak RM2,000, ia akan mengurangkan beban. Jadi kita kena melihat secara pakej," katanya. - Bernama
Wasabi Oyabun..
Sabtu, 26 Oktober 2013
Bajet 2014 : Memperteguh Ketahanan Ekonomi, Memperkasa Transformasi dan Melaksana Janji.
Teks ucapan Bajet 2014 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentang Rang Undang-undang Perbekalan (2014) di Dewan Rakyat, Jumaat, 25 Oktober 2013.
TUAN Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan supaya Rang Undang-undang bertajuk Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi tahun 2014 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.
PENDAHULUAN
Saya mulakan lafaz ucapan Bajet 2014 dengan mengungkap kalimah suci Bismillahirrahmanirrahim. Dipetik dengan penuh iktibar sepotong firman Allah SWT dari Surah Al-Qasas, ayat ke-77, mafhumnya: Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat, dan janganlah engkau melupakan bahagianmu daripada keperluan di dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu yakni di atas pemberian nikmat-Nya yang melimpah-limpah".
Para pujangga pula sering bermadah-madah, bahawa: Berpadu ialah satu permulaan, terus bersatu merupakan kemajuan, manakala bekerja secara ganding-berganding, bahu-membahu, itulah dia resipi kejayaan".
Seawal dan seafdalnya, marilah kita merafakkan rasa syukur yang setulusnya ke hadrat Allah ST, kerana dengan izin dan kurnia-Nya jua, saya dan para Ahli Yang Berhormat sekalian, dapat berhimpun dalam Dewan Rakyat yang mulia ini, sebuah institusi simbol, serta menjadi satu perlambangan demokrasi yang segar, di bumi Malaysia yang berdaulat lagi merdeka.
Pertama-tamanya, saya, bagi pihak kerajaan, merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih serta penghargaan kepada rakyat Malaysia, yang menyokong dan mendokong serta mewibawakan mandat ke atas Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu untuk terus menerajui kepimpinan negara.
Ini membuktikan, biarpun kita berdepan dengan pelbagai rintangan, walaupun dilontar dengan segala bentuk tohmahan, sekalipun diasak dengan bermacam dugaan, namun Alhamdulillah, dengan kehendak Maha Berkuasa jua, kepimpinan Transformatif Barisan Nasional, terus kental, terus bertahan, terus teguh, sebagai parti pilihan rakyat bagi tempoh 5 tahun akan datang.
Sememangnya pun, kita telah melalui satu Pilihan Raya Umum yang begitu mencabar dan penuh tantangan. Sekali apa jua, kita boleh berbangga kerana, semuanya itu, dilalui dengan teratur menurut batas dan lunas demokrasi, sebagaimana yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan sehingga diberi gelar oleh kawan dan lawan sebagai ibu segala pilihan raya.
Kerajaan amat sedar dan insaf di kala dunia berdepan dengan risiko ketidaktentuan iklim politik dan ekonomi global, jika kita tidak berwaspada dan berjaga-jaga tempiasnya boleh terpercik kepada kita. Maka, kita amat bersyukur kerana negara ini tidak terjebak atau terseret dalam kancah konflik dalaman yang boleh meranapkan negara bangsa.
Kita juga menghitung nikmat-Nya yang tidak terhingga-hingga kerana negara ini terus dipancuri rahmat apabila tiada dilanda malapetaka mahupun bencana alam melampau seperti mana yang berlaku di negara-negara lain. Moga-moga kita senantiasa diperlindung oleh-Nya jua.
Jika disusuri, semenjak tahun 1965 sehingga tahun 2011, sebanyak 10 Rancangan Malaysia dan tiga Rangka Rancangan Jangka Panjang telah dilaksanakan.
Dasar Pembangunan Nasional pula, melewati tempoh-tempoh tahun 1991 sehingga tahun 2000. Kemudiannya, Dasar Wawasan Nasional merentasi tahun 2001 sehingga 2010. Dalam pada itu, saya juga telah melancarkan Dasar Transformasi Nasional atau DTN, semasa membentangkan Bajet tahun 2010, sebagai paksi pengukuhan dan pemangkin untuk mencapai Wawasan 2020 kelak.
Di sini, ingin saya tegaskan sejelas-jelasnya, semuanya ini tidak akan terjelma, atau berlaku secara hentam keromo sahaja tanpa perancangan rapi dan strategi yang tuntas oleh kerajaan yang ada. Bahkan, sejak puluhan tahun Kerajaan Barisan Nasional berusaha gigih, memeta, merencana dan membina negara daripada sebuah negara pertanian, menjadi negara perindustrian moden dan kemudian berkembang sebagai negara berpendapatan sederhana tinggi. Kini, menuju pula gerbang sebuah negara maju berpendapatan tinggi.
Pada 14 September 2013 yang lalu, di Dewan Agong Tuanku Canselor, Kampus Induk Universiti Teknologi MARA, saya telah membentangkan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera. Dalam ucapan tersebut, saya telah menzahirkan maklumat tentang demografi populasi negara berkhusus tentang Melayu dan Bumiputera.
Pada hari ini pula, di peringkat nasional, kita lihat, demografi populasi yang bermula dari Arau Perlis, hingga ke Kudat dan Tawau di Sabah, membawa ke Bintulu hingga Batang Ai di Sarawak, menunjukkan bahawa, secara asasnya, orang-orang Melayu terdiri daripada 41 suku dengan 9 induk utama, Orang Cina 10 suku, kaum India 8 suku, Orang Asli 18 kategori, Bumiputera di Sabah jumlahnya lebih 60 etnik, manakala di Sarawak pula terdapat lebih 40 suku.
Hakikatnya, kita semua, sama ada orang Melayu, orang Cina, orang India, Kadazan, Murut, Dusun, Iban, Bidayuh, orang Ulu, orang Asli, orang Sikh, Serani, orang Siam, peranakan baba nyonya dan juga kaum Chetty serta lain-lainnya, kesemuanya orang Malaysia. Pendek kata, setiap kaum atau suku tidak kira peratusannya adalah mustahak dan penting dalam perjalanan negara menuju kejayaan.
Menurut bancian Penduduk dan Perumahan 2010, anggaran penduduk tahun 2013 menunjukkan jumlah warganegara Malaysia terdiri daripada orang Melayu dan Bumiputera, sama ada Islam mahupun bukan Islam adalah 18.6 juta atau 67.9%, kaum Cina 6.6 juta atau 24 peratus, kaum India 2 juta atau 7.2 peratus, manakala lain-lain kaum 259,000 yang mewakili 0.9 peratus. Ini bererti perangkaan semasa jumlah warganegara Malaysia lebih 27.4 juta orang.
Kendatipun begitu, ini tidaklah termasuk 40,000 orang Bangladesh yang didakwa oleh pembangkang, dibawa masuk sebagai pengundi dalam Pilihan Raya Umum ke-13 baru baru ini.
Walhal, hinggalah hari ini, tiada siapa pun yang pernah melihat kelibat, apatah lagi bayang mereka itu. Cukup-cukuplah pembohongan, beristighfarlah banyak-banyak, Astaghfirullah-Hal Azim.
Sesungguhnya, secara sedar ataupun tidak, segala gagasan mahupun prakarsa negara ini, sejak lebih lima dekad merdeka, telah dimeterai dan dipateri oleh bapa-bapa kepimpinan terdahulu hingga kini, dengan penuh bijaksana dan berhikmah, dipasak kepada realiti, data berangka, serta komposisi kemajmukan rakyat. Makanya, bersandarkan premis yang kukuh tersebut, naskhah penting ini kita bingkiskan.
Seperti mana saban tahun, waktu pembentangan dokumen besar nasional ini, dipilih dan jatuhnya pada petang hari Jumaat yang mulia lagi penuh saadah. Sesungguhnya, bajet ini adalah yang sulung dan yang julung, dipersembahkan kepada rakyat oleh Kerajaan Barisan Nasional sesudah sekali lagi diberikan amanah dan kepercayaan. Inilah juga, bajet kali ke-lima yang direncana dan diangkat oleh saya selaku Menteri Kewangan bagi pihak kerajaan sejak 2009.
TERAS BAJET 2014
Bajet 2014 digubal untuk mempastikan pertumbuhan ekonomi terus berkembang kukuh dan mengurangkan defisit fiskal negara, dengan matlamat keseluruhannya Memakmur Negara dan Mensejahtera Rakyat. Memenuhi maksud ini, Bajet 2014 dirangka bertemakan MEMPERTEGUH KETAHANAN EKONOMI, MEMPERKASA TRANSFORMASI DAN MELAKSANA JANJI", dengan menggariskan lima teras utama.
Teras Bajet Yang Pertama: Merancak Aktiviti Ekonomi Teras Bajet Yang Kedua: Mengukuh Pengurusan Fiskal Teras Bajet Yang Ketiga: Mengunggul Modal Insan Teras Bajet, Yang Keempat: Mempergiat Pembangunan Bandar dan Luar Bandar Teras Bajet Yang Kelima: Mensejahtera Kehidupan Rakyat.
PRESTASI EKONOMI 2013 DAN PROSPEK 2014
Izinkan saya mengutarakan tentang prospek ekonomi global dan negara masa kini. Ekonomi dunia dijangka berkembang perlahan dengan kadar 2.9 peratus pada tahun 2013. Malaysia tidak terkecuali daripada tempias ini. Namun, asas ekonomi negara yang kukuh dan dasar monetari yang akomodatif membolehkan kita terus mencatat pertumbuhan yang mapan. Malah, dalam tempoh separuh pertama tahun ini, ekonomi negara berkembang sebanyak 4.2 peratus.
Indikator ekonomi menunjukkan trend yang menyokong pertumbuhan. Sebagai contoh, sehari sebelum pembentangan Bajet ini, Indeks Bursa Malaysia mencatat paras dan nilai tertinggi dalam sejarah negara iaitu 1,818 mata, bersamaan dengan nilai pasaran RM1.66 trilion pada penutup Bursa, 24 Oktober 2013. Ia membuktikan keyakinan pelabur luar dan domestik semakin meningkat.
Kemasukan pelaburan langsung asing bersih pula, jumlahnya lebih tinggi, yakni RM18.2 bilion berbanding RM15.9 bilion pada separuh pertama 2012. Manakala, rizab antarabangsa pula, kekal kukuh sebanyak RM444.9 bilion pada 14 Oktober 2013.
Tuan Yang Dipertua, jumlah ini mampu membiayai 9.7 bulan import tertangguh dan 3.9 kali hutang luar jangka pendek.
Bagi keseluruhan tahun 2013, ekonomi negara dijangka berkembang pada kadar 4.5 hingga 5 peratus. Prestasi tersebut disokong oleh pertumbuhan pelaburan swasta sebanyak 16.2 peratus dengan anggaran pelaburan sebanyak RM165 bilion. Di samping itu, penggunaan swasta dan awam dijangka berkembang 7.4 dan 7.3 peratus, disokong terutamanya oleh kerancakan aktiviti ekonomi domestik.
Pada tahun 2014, berdasarkan prospek ekonomi global yang dijangka lebih baik, ekonomi negara diunjur berkembang lebih kukuh pada kadar 5 hingga 5.5 peratus. Pertumbuhan ini akan dipacu oleh pelaburan swasta, sebanyak 12.7 peratus dan penggunaan swasta sebanyak 6.2 peratus.
Berikutan perkembangan positif permintaan luar negara, eksport barangan dijangka meningkat pada kadar 2.5 peratus. Dari sudut penawaran, sektor pembinaan dianggar meningkat pada kadar 9.6 peratus dan diikuti sektor perkhidmatan 5.7 peratus. Kadar pengangguran pula dianggar hanyalah pada 3.1 peratus, manakala kadar inflasi kekal rendah di paras 2 hingga 3 peratus.
Ingin saya kongsikan di sini, pendapatan perkapita tahun 2014 dijangka akan mencecah RM34,126 berbanding RM24,879 pada tahun 2009. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 37 peratus dalam tempoh 6 tahun. Sehubungan hal ini, jika dicongak, Insya-Allah, besar kemungkinan pendapatan perkapita pada tahun 2020 kelak mampu melebihi sasaran RM46,500 atau AS$15,000. Dalam erti kata lain, mudah-mudahan kita mampu menjadi negara maju lebih awal daripada tahun 2020.
PERUNTUKAN BAJET 2014
Bajet 2014 akan menyediakan peruntukan sebanyak RM264.2 bilion bagi melaksanakan langkah-langkah, program dan projek kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.
Daripada jumlah tersebut, RM217.7 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus dan RM46.5 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.
Di bawah peruntukan mengurus, sejumlah RM63.6 bilion adalah bagi Emolumen dan RM36.6 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, RM114.5 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap. Sejumlah RM1.4 bilion lagi, disediakan untuk Pembelian Aset dan baki RM1.5 bilion untuk perbelanjaan lain.
Daripada peruntukan pembangunan yang berjumlah RM46.5 bilion itu, sejumlah RM29 bilion disediakan untuk sektor ekonomi. Sebanyak RM10.5 bilion bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat. Seterusnya, RM3.9 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan. Selebihnya, RM1.1 bilion bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.
Pada tahun 2014, Kerajaan Persekutuan mengunjurkan kutipan hasil sebanyak RM224.1 bilion, yakni, tambahan sebanyak RM4 bilion berbanding tahun 2013. Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit fiskal Kerajaan Persekutuan dijangka terus berkurangan kepada 3.5 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar atau KDNK bagi tahun 2014, berbanding 4 peratus pada tahun 2013. Jelas di sini Tuan Yang Dipertua, kerajaan sangat komited dalam usaha konsolidasi fiskal bagi memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan negara.
Dengan mengambil kira senario ekonomi antarabangsa dan domestik semasa seperti yang tersebut, maka sekarang saya bentangkan lima teras yang dirangka sebagai tunjang dan pedoman bagi Bajet 2014.
TERAS PERTAMA: MERANCAK AKTIVITI EKONOMI
Dalam hal ini, kerajaan akan terus menyediakan persekitaran yang mesra dan kondusif untuk melonjak pelaburan domestik dan asing. Usaha kerajaan menunjukkan terdapatnya peningkatan dalam pelaburan swasta. Sebagai contoh, jika pada tahun 2010, sumbangan pelaburan swasta kepada KDNK adalah 12.4 peratus, kini, ia telah meningkat kepada 16.7 peratus.
Bagi tahun 2014 pula, pelaburan swasta dianggarkan meningkat kepada 189 bilion ringgit atau 17.9 peratus KDNK, terutamanya dalam bidang minyak dan gas, industri tekstil, kelengkapan pengangkutan serta pembangunan hartanah.
Disamping itu, pelaburan awam dianggarkan mencecah sebanyak RM106 bilion. Di antara projek yang akan dilaksanakan ialah pembinaan Lebuhraya Pantai Barat dari Banting ke Taiping sepanjang 316 kilometer, pembinaan landasan keretapi berkembar Ipoh ke Padang Besar dan kemudiannya dari Gemas ke Johor Bahru.
Dalam bidang minyak dan gas pula, antara projek yang akan dilaksanakan oleh Petronas merangkumi Projek Ammonia Urea Sabah atau SAMUR di Sipitang, projek pembangunan bersepadu pengeluaran gas dan minyak di Kebabangan dan projek loji regasifikasi di Lahad Datu, Sabah serta projek RAPID di Pengerang, Johor yang merupakan pelaburan terbesar di Malaysia.
Menjengah sudut lain, kerajaan akan terus menggalakkan pelaburan di lima Wilayah Koridor Ekonomi dengan menyediakan infrastruktur asas serta melaksanakan projek yang berimpak tinggi. Sehingga akhir 2012, sejumlah RM124 bilion pelaburan telah direalisasikan atau 41 peratus daripada keseluruhan pelaburan berkomited di wilayah koridor.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2013 pula, kesemua koridor telah berjaya menarik pelaburan berkomited berjumlah RM53.4 bilion. Hampir 50 peratus daripada pelaburan berkomited tersebut telah direalisasikan. Antara projek di Wilayah Iskandar adalah, Studio Pinewood, Hospital Gleaneagles Medini serta Sekolah Antarabangsa Pegasus. Selain itu, projek pembentungan dan tebatan banjir juga akan dilaksanakan.
Kerajaan turut menyediakan RM1.6 bilion pada 2014 bagi pembangunan di lima Wilayah Koridor ini. Di antara projek utama ialah projek agropolitan, industri berasaskan kelapa sawit di Wilayah Pembangunan Sabah, serta taman perindustrian Samalaju dan halal hub di Wilayah Koridor Sarawak.
Manakala di Wilayah Pantai Timur, Pelabuhan Kuantan akan diperluas. Kompleks Petrokimia Bersepadu akan dibina di Gebeng dan Kertih. Bagi Koridor Wilayah Utara pula, antara projek utamanya termasuklah projek tanaman ladang komersial dan sistem fertigasi.
Merancak Sektor Perkhidmatan
Sektor perkhidmatan, merupakan penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi dan berpotensi besar untuk terus dimajukan. Sumbangan sektor ini telah meningkat kepada 55 peratus tahun 2013, berbanding 49.3 peratus tahun 2000. Bagi terus menggalakkan pertumbuhan sektor ini, kerajaan akan memperkenalkan Pelan Induk Sektor Perkhidmatan pada tahun 2014, yang akan menggariskan beberapa langkah dan strategi serta mengenal pasti subsektor yang berpotensi untuk dimajukan seperti berikut.
Meningkat Potensi Sektor Logistik
Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga ke-29 Indeks Prestasi Logistik Laporan Bank Dunia 2012. Indeks ini mengukur penanda aras prestasi aktiviti logistik yang merangkumi penghantaran, infrastruktur, ketepatan masa, kelulusan kastam dan kompetensi. Walau masih ketinggalan berbanding negara maju, senario ini mampu diperbaiki.
Jadinya, supaya sektor logistik lebih efisien, kerajaan akan merangka Pelan Induk Sektor Logistik. Pelan ini akan menyediakan halatuju pembangunan infrastruktur logistik, rantaian bekalan serta semakan semula peraturan dan undang-undang. Di samping itu, kerajaan melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad akan memperuntukkan RM3 bilion bagi Dana Pembangunan Maritim secara pinjaman mudah. Dana ini menyediakan akses pembiayaan untuk menggalakkan perkembangan industri perkapalan, pembinaan limbungan, minyak dan gas serta aktiviti sokongan berkaitan maritim.
Menggalak Industri Penerbangan
Malaysia berpotensi menjadi hub penerbangan di rantau ini. Industri ini dapat memberi kesan pengganda kepada ekonomi memandangkan permintaan terhadap penumpang dan kargo udara semakin meningkat. Bagi tempoh Januari hingga Julai 2013, jumlah penumpang di lapangan terbang seluruh negara bertambah kepada 43.9 juta berbanding 8.6 juta penumpang bagi tempoh yang sama pada 2012.
Jumlah kargo udara yang dikendalikan, turut meningkat kepada 529 ribu tan bagi tempoh yang sama. Dengan beroperasinya KLIA2 nanti, jumlah penumpang dijangka meningkat kepada lebih 70 juta. Untuk memajukan lagi industri ini, kerajaan akan menggubal Dasar Penerbangan Nasional yang akan menggariskan langkah-langkah bagi mengukuh eko-sistem dan rantaian perkhidmatan industri penerbangan.
Bagi melicinkan pengurusan operasi dan pengendalian trafik udara, sistem pengurusan trafik udara sedia ada di Subang yang telah berusia hampir 20 tahun itu, akan digantikan. Oleh itu, sebuah pusat pengurusan trafik udara baru dengan kos sebanyak RM700 juta akan dibina di KLIA. Sistem baru ini, akan dapat meningkatkan pergerakan trafik udara dari 68 kepada 108 pergerakan setiap jam melalui 3 landasan. Untuk makluman dewan yang mulia, kapasiti pengendalian ini adalah antara yang tertinggi di dunia.
Demi keselesaan para penumpang, kerajaan juga akan menaiktaraf beberapa lapangan terbang termasuk di Kota Kinabalu, di Sandakan Sabah serta Miri, Sibu juga Mukah di Sarawak.
Untuk tujuan ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM312 juta. Di samping itu, terminal penumpang di lapangan terbang antarabangsa Langkawi dan lapangan terbang Kuantan akan dinaik taraf.
Mempromosi Sektor Pelancongan
Sektor ini telah menjana pendapatan sebanyak RM65 bilion pada tahun 2013 dan berpotensi untuk dipertingkatkan lagi. Pada tahun 2012, kita berjaya menarik kemasukan seramai 25 juta pelancong dari seluruh dunia. Bertitik tolak dari perkembangan yang memberansangkan ini dengan sasaran sebanyak 28 juta pelancong, tahun 2014 telah diisytiharkan sebagai Tahun Melawat Malaysia.
Dalam menjayakan ikhtiar ini, kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi tahun 2013 dan 2014, merangkumi perbelanjaan mengurus dan pembangunan yang meliputi program promosi dan pengiklanan.
Sebagai usaha berterusan menggalakkan kemasukan pelancong, sukacita saya mengumumkan pula, tahun 2015 sebagai Year of Festival dengan penganjuran dan pameran pelbagai program budaya dan perayaan di negara ini.
Sebagaimana kita maklum, Malaysia juga terkenal antara destinasi utama atau shopping paradise pilihan pelancong. Untuk makluman Tuan Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, menurut Laporan CNN Travel 2013 menunjukkan Kuala Lumpur menduduki tempat ke-4 sebagai bandar raya paling popular untuk membeli-belah selepas New York, Tokyo dan London. Malah dari segi value for money kita teratas.
Bagi terus menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan, Kerajaan akan meneruskan galakan pelaburan terutamanya bagi hotel baru bertaraf 4 dan 5 bintang. Langkah ini dapat membantu menyediakan penginapan bertaraf antarabangsa yang mencukupi sekali gus menarik kedatangan pelancong, terutamanya dari kategori mewah dan berbelanja tinggi. Menyokong usaha ini, kerajaan mencadangkan tempoh permohonan galakan Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan dilanjutkan selama 3 tahun lagi sehingga 31 Disember 2016.
Selain itu, di bawah Bank Pembangunan Malaysia Berhad, Tabung Khas Infrastruktur Pelancongan dengan peruntukan sejumlah RM2 bilion, akan disediakan. Tabung ini akan menyediakan pinjaman mudah dengan kadar faedah rendah antara 4 hingga 6 peratus, di mana kerajaan memberi subsidi sebanyak dua peratus. Tabung ini dapat membiayai kos pembinaan infrastruktur seperti hotel, pusat peranginan, taman tema serta pembelian dan penggantian peralatan yang berkaitan dengan sektor pelancongan.
Meluaskan Akses Internet
Dunia kini adalah dunia tanpa sempadan. Tidak seperti dahulu, pelbagai informasi kontemporari boleh diperolehi di hujung jari. Maknanya, peningkatan akan dibuat bagi mencapai tahap prasarana yang sewajarnya untuk menampung keperluan pengguna. Sebab itu, di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara, kerajaan telah melaksanakan projek High Speed Broad Band atau HSBB.
Usahasama dengan pihak swasta ini melibatkan pelaburan sebanyak RM11.3 bilion, sejak Rancangan Malaysia Kesembilan. Kini, projek HSBB telah dilaksanakan dengan capaian internet berkelajuan 4 megabits sesaat. Ini memanfaatkan 2.3 juta premis terutama di kawasan bandar.
Untuk meningkatkan lagi liputan internet di bandar-bandar utama, kerajaan akan melaksanakan Fasa Kedua Projek HSBB dengan kerjasama pihak swasta. Ini melibatkan kos pelaburan sebanyak RM1.8 bilion. Inisiatif ini dijangka memberi tambahan liputan dan kemudahan kepada masyarakat, terutama di kawasan bandar merangkumi 2.8 juta isi rumah di seluruh negara. Kelajuan internet ini dijangka mampu mencapai 10 megabits sesaat.
Kepada rakyat yang tinggal di kawasan pinggir bandar, jaringan HSBB akan diperluas dengan kelajuan capaian internet dipertingkatkan antara 4 hingga 10 megabits sesaat. Kemudahan ini akan memanfaatkan lebih 2 juta pengguna dengan kos pelaburan sebanyak RM1.6 bilion.
Selain itu, 1,000 menara pemancar telekomunikasi akan dibina dalam tempoh 3 tahun dengan pelaburan sebanyak RM1.5 bilion untuk meningkatkan liputan internet di kawasan luar bandar. Bagi meningkatkan capaian internet di Sabah dan Sarawak, kabel dasar laut yang baru akan dipasang dalam tempoh 3 tahun dengan kos RM850 juta. Semua pelaburan ini akan menggunakan Tabung Pemberian Perkhidmatan Sejagat di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Mengukuh Pasaran Kewangan
Pada masa ini, pasaran bon negara merupakan yang terbesar di Asia Tenggara dengan nilai melebihi RM1 trilion, manakala pasaran pertukaran asing dan pasaran wang mencatat jumlah dagangan melebihi RM30 bilion sehari. Bagi mempastikan operasi pasaran kewangan yang cekap, rangka kerja perundangan yang jelas diperlukan.
Untuk ini, pindaan terhadap undang-undang yang sedia ada akan dilaksanakan dan seterusnya Bank Negara akan menerajui dalam penyediaan Akta Penyelesaian atau Netting Act bagi memelihara hak penguatkuasaan close-out netting di bawah kontrak kewangan. Ini bertujuan bagi mengurangkan risiko kredit dan menggalakkan pasaran derivative, dan seterusnya dapat membantu mengurangkan risiko sistemik pasaran kewangan negara serta merendahkan kos menjalankan perniagaan.
Kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran modal Islam memberi kelebihan dalam menarik dana dan menerbit sekuriti. Untuk terus meningkatkan daya saing di peringkat global, usaha akan ditingkatkan bagi mempromosi negara sebagai pasaran Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Social Responsible Investment (SRI).
Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk memperkenalkan Indeks Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus atau dikenali sebagai Indeks Environmental, Social and Governance (ESG), untuk meningkatkan profail syarikat tersenarai yang mempunyai amalan tanggungjawab sosial yang tinggi.
Ke arah ini, Suruhanjaya Sekuriti akan memperkenalkan Rangka Kerja Sukuk Pelaburan Tanggungjawab Sosial atau Sukuk SRI untuk membiayai pelbagai inisiatif pelaburan yang mapan dan bertanggungjawab. Di samping itu, Kerajaan akan menubuhkan dana SRI bagi dilaburkan dalam syarikat-syarikat tersenarai yang menunjukkan amalan akauntabiliti, ketelusan dan kemampanan yang tinggi termasuk ciri-ciri keterangkuman seperti diversiti dari segi gender, umur dan etnik.
Sebagai permulaan, Valuecap akan memperuntukan satu billion ringgit untuk melabur dalam syarikat yang menunjukkan prestasi yang tinggi dalam Indeks ESG. Saya percaya, langkah ini, akan menjadi satu galakan kepada syarikat-syarikat untuk menunjukkan komitmen tanggungjawab sosial yang tinggi.
Menggalak Skim Persaraan
Pada tahun 2010, kerajaan telah menubuhkan Skim Persaraan 1Malaysia atau SP1M bagi golongan yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap untuk mencarum secara sukarela di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau KWSP. Sehingga kini, hampir 66,000 pencarum telah menyertai skim ini dengan jumlah simpanan melebihi RM240 juta.
Bagi terus menggalakkan lebih ramai rakyat menyertai skim ini, saya mencadangkan sumbangan kerajaan ditingkatkan daripada 5 peratus kepada 10 peratus, yakni daripada jumlah maksimum RM60 setahun kepada RM120 setahun. Peningkatan ini berkuatkuasa mulai 1 Januari 2014 sehingga akhir tahun 2017 dan dijangka dapat menarik penyertaan 30 ribu pencarum baru.
Kerajaan sedar akan pentingnya budaya menabung semasa usia muda bagi mempastikan simpanan yang mencukupi selepas persaraan. Untuk meningkatkan simpanan tambahan, kerajaan menggalakkan golongan muda untuk membuat pelaburan jangka panjang melalui Skim Persaraan Swasta atau PRS.
Oleh itu, kerajaan mencadangkan insentif RM500 secara one-off kepada pencarum yang menyertai skim PRS dengan pelaburan minimum terkumpul RM1,000 dalam tempoh setahun. Insentif ini terbuka kepada individu yang berumur antara 20 hingga 30 tahun dan dianggarkan dapat menarik seramai 420,000 pencarum muda di seluruh negara. Insentif ini akan dilaksanakan bermula 1 Januari 2014 bagi tempoh lima tahun dan akan melibatkan peruntukan sebanyak RM210 juta.
Meningkatkan Rantaian Sektor Pertanian
Hakikatnya sejak dahulu kala, bidalan lama menyatakan, berbudi pada tanah, berbakti kepada bumi, nescaya kita dapat menuai hasilnya. Lalu, seperti tiap tahun, bidang pertanian tersusun dalam agenda Bajet negara.
Peruntukan sebanyak RM6 bilion akan disediakan untuk pelaksanaan program pertanian yang mempunyai nilai tambah tinggi dan berdaya komersial. Antara inisiatif utama adalah seperti berikut: Pertama:Menubuhkan Food and Agro Council for Export atau FACE yang akan dipengerusikan oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani. Ia bertindak sebagai pemudahcara untuk meningkatkan eksport produk pertanian tempatan; Kedua: Memperkukuhkan FAMA untuk memainkan peranan yang lebih strategik dengan konsep dari ladang ke pasaran eksport. Sebagai contoh, FAMA akan menganjurkan Agro bazaar di Singapura. Memandangkan permintaan dan harga yang tinggi, kita juga akan berusaha untuk meningkatkan eksport durian ke pasaran China. Untuk mempastikan kesegaran produk pertanian, kerajaan akan turut menyediakan kemudahan cold room di KLIA.
Tujuannya, selain daripada meningkatkan eksport negara, ia dapat memberi pulangan yang lebih tinggi kepada para petani; dan Ketiga: Memastikan harga berpatutan bagi produk makanan dengan membuka tambahan 60 pasar tani, 50 pasar ikan, 50 karavan tani, serta memperluas 100 gerai buah-buahan segar di seluruh negara. Langkah ini akan dikendalikan oleh FAMA dan LKIM yang dapat memberi kemudahan kepada peniaga menjual secara langsung produk makanan kepada pengguna
Selanjutnya, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM2.4 bilion bagi meneruskan bantuan subsidi dan insentif. Ini merangkumi subsidi baja, benih dan harga padi, insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi, subsidi harga beras serta insentif hasil tangkapan nelayan. Di samping itu, kerajaan juga memperuntukkan sebanyak RM243 juta bagi tujuan pelaksanaan program tanaman semula getah, kelapa sawit dan koko serta program ladang hutan.sangkar, projek rumpai laut dan burung walit, projek herba bernilai tinggi, tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan bagi pasaran eksport.
Kerajaan juga akan melaksanakan projek ternakan lobster atau udang kara di Semporna, Sabah dengan kerjasama syarikat Multinasional untuk menghasilkan sebanyak 18 ribu tan metrik yang dijangka dapat mewujudkan 20 ribu peluang pekerjaan dan membantu lebih 6,000 pengusaha tempatan pada jangka panjang serta meningkatkan pendapatan sehingga RM4,000 sebulan.
Bagi meningkatkan lagi daya saing dan memacu sumbangan Bioekonomi kepada pertumbuhan ekonomi negara, kerajaan akan melaksanakan program Bioeconomy Community Development untuk membangun tanah-tanah terbiar melalui aplikasi bioteknologi dan penanaman kontrak untuk menambah nilai industri pertanian dan pendapatan petani.
Bagi meningkatkan lagi daya saing dan memacu sumbangan Bioekonomi kepada pertumbuhan ekonomi negara, Kerajaan akan melaksanakan program Bioeconomy Community Development untuk membangun tanah-tanah terbiar melalui aplikasi bioteknologi dan penanaman kontrak untuk menambah nilai industri pertanian dan pendapatan petani.
Selain itu, kerajaan juga menyedari peranan aktiviti penyelidikan dan pembangunan atau R&D sebagai pemangkin kepada pembangunan bioekonomi. Oleh itu, insentif R&D berikut akan diberi kepada projek yang berkelayakan yang akan dinilai oleh BiotechCorp:
Pertama: Potongan cukai kepada syarikat yang melabur untuk memperoleh platform teknologi dalam industri berasaskan bio;
Kedua: Pengecualian duti import ke atas peralatan R&D bagi syarikat yang melabur dalam pilot plant untuk tujuan pra-pengkomersialan di Malaysia; dan
Ketiga: Insentif khas kepada syarikat untuk menampung sebahagian kos operasi pembangunan modal insan bagi Centre of Excellence for R&D. Insentif ini adalah bagi permohonan yang diterima oleh BiotechCorp mulai 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2018.
Pembangunan Usahawan
Mengikut hadis, sembilan per sepuluh rezeki itu adanya dalam perniagaan. Oleh hal yang demikian, kita ingin melatih dan melahirkan para usahawan di kalangan golongan muda agar suatu masa nanti mereka dapat menjadi ahli-ahli perniagaan dan saudagar yang berjaya. Lantas, kerajaan terus komited dalam mempastikan pembangunan usahawan atau entreprenur sebagai sumber utama menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Justeru, satu pelan pembangunan entreprenur akan digubal untuk menyediakan ekosistem kondusif yang memberi penekanan aspek penjanaan idea yang boleh dikomersialkan, prasarana latihan dan inkubator, modul entrepreneurship, kemudahan pembiayaan serta pemasaran. Bagi melaksanakan pelan pembangunan usahawan ini, satu entiti National Entrepreneur Development Office akan diwujudkan di bawah Unit Strategi Nasional, Kementerian Kewangan bagi merancang dan menyelaras semua aktiviti berkaitan keusahawanan.
Sehubungan itu, semasa 4th Global Entrepreneurship Summit baru-baru ini, saya telah mengumumkan penubuhan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia atau Malaysian Global Innovation and Creativity Centre, ringkasnya MaGIC, sebagai pusat sehenti bagi mendayakan para usahawan. MaGIC akan memantau prestasi entreprenur, mempunyai pangkalan data bersepadu, menyediakan pusat inkubator, pendaftaran dan paten harta intelek, prasarana pembiayaan, padanan perniagaan, bimbingan dan kaunseling serta latihan. Kerajaan akan memberi peruntukan awal sebanyak RM50 juta bagi tujuan ini.
Bagi menjadikan Malaysia sebuah Entrepreneurial Nation, program 1Malaysia Entrepreneurs atau 1MeT telah dilaksanakan untuk memberi pendedahan aspek keusahawanan kepada golongan muda yang berminat menceburi bidang perniagaan.Melalui program 1MeT juga, satu pangkalan data peserta telah dibangunkan.
Kerajaan mensasarkan seramai 5,000 entreprenur muda dilatih setiap tahun. Seterusnya, entreprenur 1MeT yang komited akan diberi bimbingan lanjutan di MaGIC Centre. Selain itu, negara juga akan menjadi tuan rumah kepada 5th Global Social Business Summit pada 7 hingga 9 November 2013 yang akan menjadi platform kepada pembangunan entreprenur sosial terutama di kalangan golongan muda di negara ini.
Bagi mengurangkan kadar pengangguran di kalangan siswazah, kerajaan menggalakkan golongan siswazah menceburi bidang keusahawanan sejurus selepas menamatkan pengajian. Bagi inisiatif ini, sukacita saya umumkan dana pinjaman mudah sebanyak RM50 juta di bawah Tabung Usahawan Siswazah yang dikendalikan oleh SME Bank. Dana ini akan menyediakan pinjaman mudah sehingga RM500,000 dengan kadar faedah empat peratus.
Memantap Perusahaan Kecil dan Sederhana
Pada masa ini, 97.3 peratus daripada jumlah perniagaan berdaftar adalah PKS yang menyumbang sebanyak 32.4 peratus kepada KDNK. Dengan definisi baru PKS yang telah diumumkan baru-baru ini, jumlah perniagaan PKS berdaftar dijangka meningkat kepada 98.5 peratus. Seterusnya, kerajaan komited untuk memastikan sumbangan sektor PKS ini mencapai 40 peratus kepada KDNK menjelang 2020.
Bagi meningkatkan inovasi dan produktiviti PKS, kerajaan mencadangkan peruntukan pakej bersepadu sebanyak RM120 juta yang merangkumi dana pinjaman untuk membiayai program mekanisasi dan automasi serta program peningkatan kapasiti PKS. Selain itu, kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan dan insentif di bawah program Green Lane Policy melalui pembiayaan, insentif cukai dan perolehan termasuk:
Pertama: Insentif pinjaman mudah dengan subsidi kadar faedah dua peratus atau jumlah maksimum RM200 ribu setahun;
Kedua: Pengecualian duti setem ke atas surat cara perjanjian pinjaman di bawah insentif pinjaman mudah;
Ketiga: Potongan cukai ke atas perbelanjaan untuk mendapatkan pensijilan 1-InnoCERT;
Keempat: Insentif perolehan kerajaan merangkumi pendaftaran syarikat bertaraf pembuat, diluluskan tanpa lawatan dan pemberian markah bonus dalam penilaian teknikal; dan
Kelima: Insentif keutamaan dalam perolehan syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan. Kerajaan bercadang untuk melanjutkan kesemua insentif ini sehingga 31 Disember 2017.
Kerajaan telah menguatkuasakan Dasar Gaji Minimum pada 1 Januari 2013. Kadar gaji minimum adalah RM900 sebulan bagi Semenanjung Malaysia. Manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan, kadarnya adalah RM800 sebulan. Bagi menggalakkan pematuhan kepada dasar ini, di samping mengurangkan kesan kewangan kepada majikan PKS, koperasi, pertubuhan dan persatuan, kerajaan mencadangkan supaya bayaran perbezaan gaji yang ditanggung oleh majikan bagi tempoh 1 Januari 2014 sehingga 31 Disember 2014 diberi potongan cukai tambahan.
Bagi membantu peniaga pasar malam, kerajaan akan mewujudkan Skim Usahawan Pasar Malam dengan dana sebanyak RM100 juta di bawah kendalian Bank Simpanan Nasional. Skim pinjaman mudah ini akan mengenakan kadar faedah empat peratus dengan pinjaman maksimum sehingga RM30,000. Kemudahan ini bertujuan menampung kos perniagaan seperti modal pusingan, sewaan tapak, bahan mentah dan kelengkapan perniagaan.
Cukai Barang dan Perkhidmatan
Kerajaan mendapati cukai jualan dan cukai perkhidmatan semasa, mempunyai kelemahan-kelemahan tertentu seperti kesan cukai berganda ke atas pengguna, ketiadaan pelepasan cukai ke atas barang yang dieksport dan isu pindahan harga atau transfer pricing. Kelemahan ini akhirnya akan merugikan rakyat sebagai pengguna dan pihak kerajaan.
Pada Bajet tahun 2013, Kerajaan telah membayangkan tentang usaha besar pengukuhan kedudukan fiskal negara. Malah sebelum itu, Rang Undang-Undang Cukai Barang dan Perkhidmatan telah pun dibacakan di dewan yang mulia ini. Sejak itu, pelbagai reaksi positif mahu pun negatif dan pandangan telah kita terima.
Hakikatnya, kerajaan telahpun mengambil tempoh beberapa tahun, yakni masa yang mencukupi untuk menjalankan kajian dengan teliti dan menyeluruh serta mengambil kira semua pandangan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk dewan perniagaan, pelabur, pakar ekonomi, ahli akademik, persatuan pengguna dan NGO.
Lantaran itu, berasaskan prinsip mendahulukan rakyat, kerajaan dengan ini memutuskan supaya satu sistem percukaian menyeluruh dan saksama perlu segera dilaksanakan bagi memanfaatkan seluruh rakyat Malaysia.
Sehubungan itu, kerajaan mencadangkan cukai jualan dan cukai perkhidmatan atau Sales Tax and Services Tax dimansuhkan. Dua cukai yang dimansuhkan ini pula akan digantikan dengan satu cukai sahaja yang dikenali dengan nama Cukai Barang dan Perkhidmatan atau Goods and Services Tax atau GST. Ringkasnya, perlu saya tegaskan, bahawa GST bukanlah cukai tambahan baru.
Realitinya, kadar inflasi kini adalah pada tahap yang rendah di paras dua peratus. Kerajaan yakin, ini adalah masa yang terbaik untuk melaksanakan GST kerana kadar inflasi adalah minimum dan terkawal.
Dengan pelaksanaan GST, Kerajaan dapat menangani banyak kelemahan dalam sistem percukaian sedia ada. Sebagai contoh, pada waktu ini, sekiranya kita membeli minuman berkarbonat di restoran, tanpa kita sedari, kita telah membayar dua kali cukai, yakni cukai jualan dan cukai perkhidmatan.
Dalam bahasa mudahnya, untuk difahami oleh semua, dalam sistem GST ini, pengguna hanya perlu membayar satu kali cukai sahaja. Realitinya juga, perubahan harga barangan atau perkhidmatan apabila GST dilaksanakan adalah amat minimum.
Malahan, ada harga barangan yang akan menjadi lebih murah bergantung sama ada ia adalah barangan asas atau tidak.
Kerana itu, kita berasa amat kecewa, apabila, sesetengah pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan mengelirukan orang ramai terhadap kefahaman GST. Mereka mengatakan apabila GST dilaksanakan, kononnya, semua harga barang akan melambung naik, dan rakyat terutamanya golongan berpendapatan rendah akan menanggung beban.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, lebih 160 buah negara di dunia telah pun melaksanakan GST. Ini menunjukkan bahawa GST adalah satu sistem percukaian yang terbaik setakat ini dan terbukti berkesan. Sekiranya GST ini memudaratkan rakyat dan negara, masakan majoriti negara di dunia telah mengguna pakai sistem percukaian ini. Hampir semua negara maju telah lama melaksanakan GST atau VAT atau cukai nilai ditambah ini, malah negara-negara ASEAN seperti Indonesia, Filipina, Laos dan Cambodia telah melaksanakannya. Malahan, negara-negara seperti Burkina Faso, Burundi, Zimbabwe, Rwanda dan Kenya pun telah melaksanakan GST.
Di pihak kerajaan pula, perundangan GST, sistem pengkomputeran, latihan pegawai, kemudahan infrastruktur GST dan pelan komunikasi yang menyeluruh telahpun disediakan.
Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, cadangan model GST yang akan dilaksanakan di Malaysia adalah seperti berikut:
Pertama: GST akan berkuat kuasa mulai 1 April 2015, iaitu kira-kira 17 bulan dari sekarang. Kadar GST yang ditetapkan adalah hanya sebanyak enam peratus berbanding dengan kadar cukai jualan iaitu lima dan 10 peratus dan cukai perkhidmatan pada kadar enam peratus.
Kadar GST ini merupakan yang terendah dalam kalangan negara ASEAN di mana Indonesia, Vietnam, Cambodia, Filipina dan Laos mengenakan GST pada kadar 10 peratus dan Singapura serta Thailand pada kadar tujuh peratus;
Kedua: Tuan Yang Dipertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, usahlah bimbang, janganlah risau, GST tidak akan dikenakan kepada barangan makanan asas antaranya beras, gula, garam, tepung, minyak masak, kacang dhal, rempah ratus, ikan masin, cencalok, budu sekalipun belacan;
Ketiga: Bekalan air paip dan 200 unit pertama elektrik sebulan bagi pengguna domestik tidak dikenakan GST;
Keempat: Perkhidmatan yang disediakan oleh Kerajaan seperti pengeluaran pasport, lesen, perkhidmatan kesihatan, pembelajaran di sekolah, tidak dikenakan GST;
Kelima: Perkhidmatan pengangkutan seperti perkhidmatan bas, keretapi, LRT, teksi, feri, bot, tol lebuhraya serta perkhidmatan pendidikan dan kesihatan dikecualikan dari GST; dan
Keenam: Jual beli dan sewaan rumah kediaman serta perkhidmatan kewangan yang terpilih juga dikecualikan dari GST.
Apabila GST dilaksanakan kelak, Kerajaan akan memberi pelbagai bantuan sokongan semasa peringkat peralihannya seperti berikut:
Pertama: Bantuan tunai secara one-off sebanyak RM300 kepada penerima isi rumah BR1M;
Kedua: Kadar cukai pendapatan individu akan dikurangkan satu hingga tiga mata peratusan untuk semua pembayar cukai bagi menambah pendapatan boleh guna. Dengan pelaksanaan langkah ini, seramai 300,000 orang yang kini membayar cukai pendapatan tidak lagi perlu membayar cukai. Umumnya, golongan berkeluarga yang berpendapatan RM4,000 sebulan tidak lagi mempunyai tanggungan cukai. Pembayar cukai sedia ada yang lain juga akan menikmati penjimatan bayaran cukai; dan, Ketiga: Struktur cukai pendapatan individu akan disusun semula untuk menjadikan negara lebih kompetitif di samping mengekal dan menarik bakat serta tenaga mahir dalam negara. Bagi memastikan struktur cukai lebih progresif, pendapatan bercukai pada kadar maksimum dinaikkan daripada melebihi RM100,000 kepada melebihi RM400,000. Kadar cukai maksimum kini 26% pula dikurangkan kepada 24, 24.5 dan 25%.
Langkah-langkah tersebut akan berkuatkuasa mulai tahun 2015.
Dalam aspek ini, supaya syarikat perniagaan melaksanakan GST dengan lancar, kerajaan mencadangkan pakej tambahan seperti berikut:
Pertama: Kadar cukai pendapatan syarikat dikurangkan satu mata peratusan daripada 25% kepada 24%. Manakala kadar cukai pendapatan syarikat kecil dan sederhana dikurangkan satu mata peratusan daripada 20% kepada 19%. Langkah ini berkuat kuasa mulai tahun taksiran 2016;
Kedua: Kadar cukai pendapatan koperasi dikurangkan satu hingga dua mata peratusan mulai tahun taksiran 2015;
Ketiga: Yuran kesetiausahaan dan pemfailan cukai dibenarkan potongan cukai mulai tahun taksiran 2015;
Keempat: Kos pembelian peralatan dan perisian ICT diberi lanjutan Elaun Modal Dipercepatkan sehingga tahun taksiran 2016;
Kelima: Perbelanjaan latihan perakaunan dan ICT berkaitan GST bagi tahun taksiran 2014 dan 2015 diberi potongan cukai tambahan; dan
Keenam: Geran latihan sejumlah 100 juta ringgit kepada peniaga yang menghantar kakitangan, untuk menjalani latihan GST bagi tahun 2013 dan 2014. Di samping itu, bantuan kewangan sejumlah RM150 juta disediakan kepada PKS bagi pembelian perisian perakaunan bagi tahun 2014 dan 2015.
Dengan pelbagai pakej istimewa yang disediakan ini, kerajaan yakin, tiada pihak yang akan mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan sewenang-wenangnya. Harga barang akan sentiasa dipantau. Sebagai panduan kepada pengguna, kerajaan akan menerbitkan risalah harga barang dan perkhidmatan yang boleh digunakan untuk membuat perbandingan harga.
Kepada pengguna pula, gunakanlah hak anda dalam membuat pilihan, berbelanja secara berhemah. Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan meningkatkan usaha penguatkuasaan melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Selain itu, bagi memastikan kelancaran pelaksanaan GST, satu Jawatankuasa Pemantauan GST akan ditubuhkan yang dipengerusikan oleh Menteri Kewangan Kedua dengan dianggotai oleh agensi kerajaan, wakil industri dan NGO.
TERAS KETIGA: MENGUNGGUL MODAL INSAN
Cabaran terbesar bagi Malaysia sebenarnya adalah, sejauh mana kita dapat membangun dan mempersiapkan human capital. Modal insaniah yang holistik mencakupi antaranya modal intelek, pelbagai kemahiran seni dan pertukangan, kemahiran berkomunikasi, kemahiran inter-personal, berfikir, kreativiti serta inovasi. Pokoknya, pembangunan fizikal dan teknologi perlu diseimbangkan dengan keunggulan manusiawi. Jika tidak, akan wujud kelompangan dan ketempangan pabila pencapaian materi tidak dipaksi dengan nilai sejagat insani.
Oleh itu, kerajaan akan terus menyediakan pendidikan berkualiti dan latihan berkemahiran tinggi untuk memenuhi permintaan pasaran kerja. Di samping itu, aspek jasmani, spiritual dan intelektual akan digilap dari peringkat pendidikan awal hingga ke peringkat tertiari. Tenaga kerja juga akan diterap dengan nilai murni dan adab susila ketimuran supaya masyarakat hidup harmoni dan sejahtera.
Meningkat Kecemerlangan Pendidikan
Sesungguhnya, tiap kali bajet dibentangkan, peruntukan terbesar diberikan kepada sektor pendidikan. Pendidikan adalah segalanya. Sejak zaman bahari, sesebuah ketamadunan bangsa tidak akan kekal lama jika seandainya tidak diakari dan dibajai dengan ilmu dan pengetahuan.
Menyisir tuntutan ini, kerajaan komited untuk melonjakkan pencapaian tahap akademik dan kemahiran yang tinggi. Untuk itu, sejumlah RM54.6 bilion atau 21% daripada keseluruhan peruntukan tahun 2014 akan disediakan. Kerajaan juga akan mempastikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia atau PPPM mencapai objektif bagi membawa Malaysia ke tahap kategori sepertiga teratas dalam kedudukan pendidikan terbaik dunia, Insya Allah, dalam tempoh 15 tahun lagi.
Untuk terus memartabatkan kecemerlangan pendidikan bermula di peringkat prasekolah hinggalah ke sekolah menengah, antara program yang akan dilaksanakan adalah seperti berikut:
Pertama: Kerajaan amat perihatin tentang pendidikan awal anak-anak kerana tempoh ini amat kritikal dalam menentukan proses tumbesaran fizikal dan minda yang terbaik. Maka, kita memperuntukkan sejumlah RM530 juta bagi program prasekolah dan menambah 93 lagi bilangan prasekolah di Sekolah Rendah Kebangsaan;
Kedua: Melaksanakan program pemantapan profesion guru dengan memberi tumpuan kepada tugas mengajar, meningkatkan kaedah pengajaran serta kemahiran Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Untuk itu, sebanyak RM209 juta disediakan;
Ketiga: Memperluaskan akses internet di sekolah terutama di kawasan luar bandar seluruh negara dengan peruntukan RM168 juta; dan
Keempat: Membina 33 sekolah baru dan menaik taraf sekolah sedia ada termasuk sekolah-sekolah usang dengan peruntukan sebanyak RM831 juta.
Pada pembentangan Bajet 2012 dan 2013, kerajaan telah menyediakan masing-masing sebanyak RM1 bilion di bawah Tabung Khas Pembinaan Penambahbaikan dan Penyelenggaraan Sekolah, khusus bagi keperluan mendesak untuk membaik pulih bangunan sekolah, penyelenggaraaan, pembelian peralatan dan pembinaan blok tambahan.
Untuk meneruskan komitmen kerajaan, sukacita saya mengumumkan tambahan RM450 juta lagi kepada tabung ini. Daripada jumlah tersebut, RM100 juta kepada Sekolah Kebangsaan, RM50 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina, RM50 juta bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil, RM50 juta untuk Sekolah Mubaligh, RM50 juta disalurkan untuk Sekolah Berasrama Penuh, RM50 juta kepada Maktab Rendah Sains MARA, RM50 juta untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan manakala RM50 juta untuk Sekolah Agama Rakyat.
Memperkasa Pendidikan Tertiari
Di sudut ini, kerajaan akan memberi fokus memperkasakan institut pengajian tinggi awam dan swasta ke arah melahirkan graduan yang berkualiti dan memenuhi permintaan pasaran kerja.
Antara program yang akan dilaksanakan termasuk:
Pertama: Meningkatkan status universiti bertaraf penyelidikan dengan memperbanyakkan kajian dan penulisan untuk penerbitan di peringkat antarabangsa. Untuk itu, Kerajaan akan menyediakan RM600 juta sebagai geran penyelidikan di institut pengajian tinggi awam; dan
Kedua: Kerajaan meneruskan program MyBrain15 iaitu pembiayaan yuran pengajian di peringkat pasca ijazah, khususnya kepada golongan eksekutif di sektor swasta. Untuk ini, sejumlah RM110 juta disediakan bagi tujuan tersebut.
Penerbitan jurnal ilmiah ke peringkat antarabangsa merupakan aspek terpenting dalam memartabatkan hasil karya para akademik tempatan. Menyedari akan kepentingan mewujudkan satu pusat ilmiah bertaraf dunia, kerajaan akan menubuhkan Pusat Sitasi Malaysia bagi meningkatkan hasil penerbitan ilmiah tempatan dan membantu penyelidik menerbitkan artikel dalam jurnal antarabangsa yang terkemuka.
Memperkukuh Latihan Kemahiran
Usaha berterusan akan diambil untuk meningkatkan kualiti latihan bagi menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi. Oleh itu, kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah berikut:
Pertama: Melaksanakan single tier bagi kursus Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1 hingga 3, selama setahun 6 bulan di semua Institut Latihan Perindustrian di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM);
Kedua: Menaik taraf dan menyelenggara bangunan serta peralatan di institut latihan JTM seiring dengan teknologi terkini dengan peruntukan RM178 juta; dan
Ketiga: Menyediakan dana pinjaman latihan kemahiran berjumlah RM330 juta di bawah Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia. Tabung ini bertujuan menyediakan pinjaman kepada belia lepasan SPM untuk mengikuti kursus latihan kemahiran.
Belia adalah harapan bangsa. Belia juga aset serta pewaris negara pada hari muka. Kata ulama, jika baik perilaku dan tingkah belia masa kini, itulah bayangan negara masa hadapan.
Dalam hal belia ini, sejumlah RM200 juta diperuntukkan untuk menaik taraf dan melaksanakan pendekatan dua syif di Institut Kemahiran Belia Negara atau IKBN. Antara bidang latihan yang telah dikenal pasti merangkumi automotif, penyelenggaraan marin, kimpalan dan pendawaian elektrik yang akan memanfaatkan lebih 15,000 pelatih IKBN di seluruh negara.
Di samping itu, terdapat 13,000 majikan yang berdaftar dan membuat bayaran levi pada kadar satu peratus daripada upah gaji pekerja ke dalam tabung Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia atau HRDF. Levi ini adalah bertujuan untuk melatih dan meningkatkan kemahiran pekerja.
HRDF akan menyediakan RM400 juta bagi syarikat yang berdaftar untuk memberikan peluang kepada pekerja mengikuti program upskilling dan reskilling. Peruntukan ini boleh juga dimanfaat oleh syarikat tersebut untuk melatih para apprentice dan bakal pekerja.
Bagi mempastikan pekerja dapat mengimbangi kerjaya dan komitmen keluarga, terutamanya pada kaum wanita, satu persekitaran kerja yang fleksibel perlu diwujudkan. Oleh itu, dicadangkan majikan melaksanakan Flexible Work Arrangements yang memberi kelonggaran tempoh, tempat dan waktu berada di tempat kerja.
Skim ini boleh dilaksanakan dalam bentuk seperti compressed work week, flexi hours dan weekend work. Bagi menarik lebih banyak syarikat Malaysia menjadikan Flexible Work Arrangements atau bekerja sebagai amalan hidup, kerajaan mencadangkan perbelanjaan latihan dan fi konsultansi yang ditanggung oleh majikan dalam melaksanakan skim ini diberi potongan cukai tambahan.
Bantuan Persekolahan
Sukacita saya mengumumkan bantuan persekolahan kepada pelajar sekolah rendah dan menengah sebanyak RM100, akan diteruskan. Sebanyak RM540 juta disediakan yang dapat memanfaatkan kira-kira 5.4 juta pelajar. Saya dimaklumkan, terdapat ibu bapa yang secara sukarela telah menyumbangkan kembali bantuan tersebut kepada Persatuan Ibu bapa dan Guru atau PIBG. Kerajaan amat menghargai dan menyanjung tinggi nilai murni tersebut.
Baucar Buku 1Malaysia
Budaya membaca di kalangan rakyat Malaysia secara umumnya perlu ditingkatkan. Jadikanlah buku teman setia, penyuluh di kala gelap, penyegar minda sepanjang hayat.
Sukacita saya umumkan kerajaan akan meneruskan program Baucar Buku 1Malaysia dengan nilai sebanyak RM250 kepada setiap pelajar prauniversiti dan IPT untuk mengurangkan kos pembelian buku dan bahan pengajian. Langkah ini dijangka dapat memanfaat seramai 1.3 juta pelajar dengan peruntukan sebanyak RM325 juta.
TERAS KEEMPAT: MEMPERGIAT PEMBANGUNAN BANDAR DAN LUAR BANDAR
Strategi Lautan Biru Kebangsaan (National Blue Ocean Strategy - NBOS)
Strategi Lautan Biru Kebangsaan atau NBOS merupakan langkah bersepadu kerajaan merangka dasar dan inisiatif melalui perkongsian pintar antara kementerian dan agensi.
Strategi ini adalah pelengkap kepada Dasar Transformasi Nasional. Sehingga kini, 56 iniasitif NBOS telah dilaksanakan dengan pendekatan penjimatan kos, pelaksanaan yang pantas serta program berimpak tinggi. Pada tahun 2014, peruntukan RM278 juta disediakan bagi melaksanakan program meliputi:
Pertama: Membuka Pusat Transformasi Bandar atau UTC Sabah pada akhir tahun ini dan menambah empat lagi UTC di Sarawak, Johor, Terengganu dan Perlis sebagai tambahan kepada lima UTC sedia ada;
Kedua: Menambah tiga Pusat Transformasi Luar Bandar atau RTC di Sabah, Sarawak dan Negeri Sembilan menjadikan jumlah keseluruhan RTC sebanyak lapan buah; dan
Ketiga: Melaksanakan Pusat Transformasi Komuniti Bergerak atau Mobile CTC dengan menambah bilangan bas serta van yang diubahsuai. Perkhidmatan utama yang disediakan meliputi pendaftaran MyKad, memperbaharui lesen memandu, pemeriksaan kesihatan dan khidmat nasihat perniagaan.
Mengukuhkan Jaringan Pengangkutan Awam
Sememangnya, perkhidmatan pengangkutan awam yang cekap dapat memudahkan mobiliti serta menjimatkan masa dan kos perjalanan. Lantasnya, kerajaan komited untuk menambah baik pengangkutan awam termasuk menyediakan kemudahan yang lebih selesa dan berkualiti. Antara langkah yang diambil adalah:
Pertama: Membina landasan berkembar Ipoh-Padang Besar dan kemudiannya ke Johor Bahru serta menaik taraf rel dan landasan di seluruh negara dengan peruntukan sebanyak RM2.9 bilion;
Kedua: Menyediakan kemudahan park and ride di stesen LRT, stesen KTM komuter serta stesen ERL dengan peruntukan RM62 juta;
Ketiga: Memperkenalkan Sistem Perkhidmatan Teksi Berpusat dengan peruntukan sebanyak RM15.3 juta bagi membolehkan pengagihan teksi kepada penumpang dengan lebih cekap;
Keempat: Membina hentian akhir bandar dan menaik taraf perhentian bas serta kemudahan drop and ride dengan peruntukan RM28 juta ringgit; dan
Kelima: Membaik pulih tren Electric Multiple Unit (EMU) dengan peruntukan RM28 juta bagi memastikan kekerapan dan kecekapan perkhidmatan.
Bagi memastikan kemudahan jaringan antara kawasan bandar dan luar bandar, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM130 juta bagi subsidi pengangkutan udara luar bandar, terutama bagi penduduk pedalaman Sabah dan Sarawak. Berpegang kepada prinsip bahawa benarlah kepentingan rakyat itu perlu sentiasa kita dahulukan. Sebab itu, sekalipun tidak ekonomik dan tidak menguntungkan, demi rakyat di luar bandar, Kerajaan akan tetap meneruskan subsidi perkhidmatan keretapi di laluan Wilayah Timur, yakni di Pahang dan Kelantan. Langkah ini akan memanfaatkan seramai 600,000 pengguna dengan peruntukan RM52.9 juta .
Meningkatkan Kesejahteraan Bandar
Pada masa ini, terdapat pelbagai bentuk kumpulan komuniti setempat seperti persatuan penduduk, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung serta rukun tetangga yang lebih menjurus kepada pentadbiran, perpaduan dan keharmonian masyarakat setempat.
Bagi meningkatkan koordinasi dan kesejahteraan komuniti khususnya di bandar, Kerajaan mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Perwakilan Penduduk atau JPP dalam kawasan Pihak Berkuasa Tempatan atau PBT. JPP akan bertindak sebagai satu entiti yang dianggotai oleh wakil masyarakat setempat bagi menyokong program pembangunan masyarakat, di samping menangani isu-isu perbandaran di kawasan PBT. Untuk itu, kerajaan akan menubuhkan 24 zon JPP di setiap PBT dengan peruntukan sebanyak RM63 juta.
Di perspektif yang lain, pada masa ini rizab bekalan air terawat di seluruh negara masih tidak mencapai sasaran 20 peratus dan terdedah kepada gangguan bekalan air, terutamanya semasa waktu puncak. Oleh itu, bagi meningkatkan kadar liputan pembekalan air kepada 100 peratus terutama di kawasan bandar, kerajaan akan membina dan menaiktaraf empangan serta loji rawatan air terawat dengan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion.
Pembangunan Luar Bandar
Untuk memperkukuh dan menambahbaik infrastruktur asas serta meningkatkan taraf hidup rakyat di luar bandar, sebanyak RM4.1 bilion disediakan untuk pelbagai program pembangunan luar bandar untuk projek infrastruktur asas seperti berikut:
Pertama: Sejumlah RM980 juta diperuntukkan untuk membaikpulih dan menaiktaraf 437 kilometer jaringan jalan luar bandar di seluruh negara. Di samping itu, sebanyak RM500 juta disediakan bagi projek Lebuhraya Pan Borneo;
Kedua: Sebanyak RM457 juta disediakan bagi program bekalan air bersih dan terawat kepada lapan ribu unit rumah di luar bandar. Selain itu, sejumlah RM75 juta diperuntukkan untuk membekal tangki air di Sarawak;
Ketiga: Sebanyak RM865 juta disediakan bagi program bekalan tenaga elektrik 24 jam kepada lebih 16,000 rumah di seluruh negara. Manakala, bagi mengatasi gangguan bekalan elektrik di Sabah, sebanyak RM265 juta diperuntukkan. Ini bagi mengukuhkan sistem penjanaan dan penghantaran seperti menaiktaraf Stesen Janakuasa Hidro Tenom Pangi, pembinaan talian penghantaran elektrik Kimanis dan pembinaan stesen suis utama di Sandakan;
Keempat: Sejumlah RM179 juta diperuntukkan untuk membina dan membaik pulih sebanyak 20,000 unit rumah rakyat miskin di kawasan luar bandar;
Kelima: Bagi menggalakkan penyertaan penduduk luar bandar dalam bidang keusahawanan dan meningkatkan pendapatan, sebanyak RM20 juta disediakan untuk program Rural Business Challenge yang merangkumi pengeluaran makanan, ternakan ikan, membaiki kenderaan dan agro pelancongan; dan
Keenam: Sejumlah RM109 juta disediakan bagi program pembangunan ekonomi dan peningkatan taraf hidup serta kemudahan infrastruktur bagi masyarakat Orang Asli.
Kerajaan juga akan meneruskan projek Rancangan Tebatan Banjir antaranya di Sungai Muda Kedah, Lembangan Sungai Muar Johor, Sungai Bunus Kuala Lumpur dan Bandar Pekan Pahang. Untuk ini, kerajaan akan menyediakan peruntukan sebanyak RM659 juta. Selain itu, kerajaan juga akan menyediakan peruntukan sebanyak RM79 juta bagi kerja mengorek dan mendalam kuala-kuala sungai.
Kerajaan sentiasa prihatin terhadap golongan bumiputera Sabah dan Sarawak yang menghadapi kesukaran dalam proses pemilikan tanah adat. Sehubungan itu, kerajaan akan memperuntukkan RM50 juta bagi kerja pengukuran tanah dan pengesahan hak pemilikan tanah adat.
TERAS KELIMA: MENSEJAHTERA KEHIDUPAN RAKYAT
Indeks Kesejahteraan Malaysia
Ternyata, kemakmuran negara tidak hanya bergantung kepada kemajuan ekonomi semata-mata, malah ia perlu mengambil kira tahap kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Sehubungan itu, Indeks Kesejahteraan Malaysia atau Malaysian Well-being Index atau MWI 2012 telah dibangunkan. Kerajaan akan terus merangka dasar serta strategi terbaik ke arah meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.
Meningkatkan Keselamatan dan Ketenteraman Awam
Sejelasnya, kerajaan amat menghargai jasa dan bakti anggota keselamatan dan para perajurit. Kerajaan sentiasa memberi keutamaan terhadap keselamatan dan ketenteraman awam. Kerajaan komited dalam membanteras jenayah dan ancaman anasir luar yang mengganggu gugat kesejahteraan negara.
Untuk itu, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM8.8 bilion kepada Polis Diraja Malaysia dan RM13.2 bilion kepada Angkatan Tentera Malaysia dalam usaha mengurangkan kadar jenayah serta meningkatkan kesiapsiagaan anggota tentera.
Bagi terus memperkasakan perkhidmatan PDRM, kerajaan akan membina dan menaiktaraf Ibu Pejabat Polis, Ibu Pejabat Polis Daerah dan kuarters kakitangan dengan peruntukan sebanyak RM128 juta. Ini termasuk pembinaan IPD baru di Pasir Mas, Kota Setar, Johor Bahru Selatan, Sipitang dan Nusajaya serta membina balai polis baru di Pengerang, Tongod dan Country Homes Rawang.
Dalam membanteras jenayah, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi melengkapkan PDRM dengan peralatan dan kelengkapan terkini termasuk senjata api, peluru, jaket kalis peluru, alat pengesan narkotik, sistem biometrik dan kenderaan forensik. Kerajaan juga akan menambah 496 bilangan kamera litar tertutup atau CCTV di 25 kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.
Selain itu, sebagai tambahan kepada pembelian 1,000 buah motosikal untuk kegunaan Unit Rondaan Bermotosikal PDRM pada tahun ini, kerajaan bersetuju menambah 800 buah motosikal lagi dengan peruntukan sebanyak RM20 juta pada tahun ini. Bagi tahun 2014, kerajaan akan menambah lagi 200 buah motosikal yang menjadikan keseluruhannya 2,000 buah motosikal bagi tempoh dua tahun.
Pencerobohan bersenjata di Lahad Datu merupakan tragedi hitam buat negara. Pengorbanan serta jasa bakti para perajurit dan anggota keselamatan dalam mempertahankan kedaulatan tanahair sangat disanjung tinggi. Kata orang nan dititik nan dieja, nan ditilik nan ditimang, sedikit pun kita tidak lupa, sepanjang hayat tetap dikenang. Apa yang penting, kita tidak sekali-kali merelakan walau seinci pun tanahair ini dirampas oleh sesiapa. Sabah tetap bersama Malaysia selama-lamanya.
Bagi memastikan keselamatan perairan adalah terjamin daripada pencerobohan anasir luar khususnya di Sabah dan Sarawak, kerajaan telah menubuhkan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau ESSCOM pada awal tahun ini. Bagi memantapkan operasi ESSCOM, kerajaan memperuntukkan RM75 juta untuk tahun 2014.
Selain itu, kerajaan akan terus meningkatkan kawalan keselamatan negara dengan memantapkan operasi dan peralatan pertahanan di perairan dan sempadan negara. Ini termasuklah menambah enam buah offshore patrol vessel, empat buah pesawat kargo dan pembelian peralatan sokongan, kereta perisai, dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2.4 bilion.
Kerajaan amat prihatin terhadap kebajikan anggota dan veteran Angkatan Tentera Malaysia. Bagi menghargai sumbangan mereka kepada negara, Kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM48 juta bagi tujuan kebajikan 20,000 orang veteran ATM meliputi perubatan, ex-gratia dan pendidikan.
Selain itu, sejumlah RM202 juta pula akan diperuntukkan untuk membina dan membaik pulih kuarters warga ATM. Kerajaan juga akan menyediakan perkhidmatan bas sekolah kepada anak-anak anggota tentera bagi menggantikan penggunaan trak askar.
Pemuliharaan Alam Sekitar dan Pengurusan Sumber
Kerajaan komited dalam menyediakan persekitaran yang bersih, selamat, sihat serta produktif bagi generasi masa kini dan masa hadapan. Antara program yang akan dilaksanakan termasuk program Pelaporan Karbon Kebangsaan atau MyCarbon oleh sektor korporat, penubuhan Tabung Amanah Konservasi Nasional bagi memulihara kawasan terosot dan hutan simpan kekal serta pengurusan sumber asli.
Bagi memperkukuhkan pembangunan teknologi hijau negara, kerajaan akan memberi galakan Elaun Cukai Pelaburan ke atas pembelian peralatan teknologi hijau dan pengecualian cukai pendapatan ke atas penggunaan perkhidmatan serta sistem teknologi hijau.
Ke arah menggalakkan amalan gaya hidup hijau, Yayasan Hijau Malaysia akan ditubuhkan yang akan berperanan dalam mempromosi dan meningkatkan penyertaan badan korporat, masyarakat dan awam terhadap teknologi hijau. Untuk itu, geran pelancaran sebanyak RM15 juta akan disediakan sebagai dana permulaan untuk Yayasan Hijau Malaysia.
Sebagai langkah segera untuk mengelak tragedi yang telah berlaku di Cameron Highlands kelmarin berulang kembali, maka, kerajaan akan meluluskan peruntukan sebanyak RM40 juta bagi melebar dan mendalamkan Sungai Bertam.
Bagi terus meningkatkan kecekapan dan penjimatan penggunaan tenaga elektrik, kerajaan akan melaksanakan audit tenaga dan memasang retrofit di bangunan-bangunan kementerian. Bagi tahun 2014, Kementerian Kesihatan, Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Pertanian dan KPDNKK telah dikenalpasti untuk pelaksanaan inisiatif ini. Selain itu, kerajaan akan memasang solar panel di bumbung bangunan kementerian-kementerian serta menggantikan lampu sedia ada kepada lampu LED secara berperingkat.
Perkhidmatan Kesihatan Berkualiti
Kerajaan akan terus menyediakan perkhidmatan kesihatan dan perubatan yang terbaik serta berkualiti kepada rakyat. Untuk itu, sebanyak RM22.1 bilion diperuntukan bagi sektor kesihatan yang merangkumi belanja operasi dan pembangunan. Peruntukan ini akan disalurkan untuk program dan projek termasuk pembinaan Hospital Tanjung Karang dan blok tambahan Hospital Jeli serta menaik taraf Hospital Kuala Lipis dan 30 klinik desa.
Selain itu, kerajaan akan memperuntukkan RM66 juta untuk pembelian peralatan dan membina blok tambahan di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu. Kerajaan juga telah menyediakan 234 Klinik 1Malaysia dan sebagai tambahan sebanyak 50 klinik 1Malaysia akan dibangunkan pada tahun 2014. Bagi menangani masalah kekurangan parkir di Hospital Kuala Lumpur, sebanyak 1,950 ruang letak kereta baru akan disiapkan pada 2014. Sementara itu, Hospital Rompin dan Shah Alam serta Institut Kanser Negara akan mula beroperasi pada awal tahun hadapan.
Bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan rawatan dan meringankan beban tugas jururawat yang bertugas berterusan secara dua syif, kerajaan akan menambah seramai 6,800 jururawat dengan peruntukan RM150 juta. Selain itu, kerajaan akan memperuntukkan RM3.3 bilion bagi menyediakan bekalan ubat dan alatan perubatan mencukupi bagi memastikan pesakit mendapat rawatan yang sempurna, termasuk memperluaskan perkhidmatan kardiotorasik di Hospital Ipoh, Kuala Terengganu, Kuantan dan Kuching.
Kerajaan menyedari kesukaran pesakit buah pinggang yang terpaksa berulang-alik ke pusat hemodialisis bagi mendapatkan rawatan dialisis tiga kali seminggu. Pesakit juga terpaksa membelanjakan sehingga RM400 setiap kali mendapatkan rawatan. Bagi membantu memudahkan pesakit menjalani rawatan, kerajaan akan membekalkan secara percuma, kit rawatan Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis atau CAPD yang bernilai RM19 ribu seunit. Ini membolehkan pesakit kegagalan buah pinggang tahap akhir membuat rawatan sendiri di rumah. Langkah ini dijangka dapat memanfaatkan lebih seribu pesakit.
Statistik juga menunjukkan terdapat 2.6 juta rakyat Malaysia yang berumur 30 tahun ke atas menghidap penyakit diabetes. Sekiranya tidak dikawal, pesakit akan mendapat pelbagai komplikasi seperti penyakit jantung, kerosakan buah pinggang, mata buta dan kaki terpaksa dipotong. Sehubungan itu, kerajaan mencadangkan untuk memansuhkan subsidi gula sebanyak 34 sen berkuat kuasa 26 Oktober 2013. Saya menyeru agar kita bersama-sama menjaga kesihatan. Kurangkan manis dalam makanan dan minuman.
Pembangunan Sukan Negara
Pembangunan sukan memerlukan eko-sistem yang komprehensif meliputi infrastruktur, pengurusan dan kejurulatihan, pembentukan bakat dari peringkat awal serta kebajikan atlet. Untuk itu, sebanyak RM239 juta diperuntukkan bagi meneruskan kecemerlangan sukan merangkumi menaiktaraf kompleks dan gelanggang sukan, mewujudkan program perintis pengenalpastian bakat di peringkat sekolah rendah dan melaksanakan program Future Professional Coach untuk menggilap kemahiran jurulatih berpotensi bagi sukan-sukan terpilih.
Di samping itu, kerajaan akan menyediakan RM 150 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Sukan bagi pembangunan sukan elit, rawatan perubatan dan penyelidikan. Seterusnya, kerajaan akan membuat persiapan rapi bagi memastikan kejayaan atlet di sukan antarabangsa termasuk Sukan Asia 2014 Incheon, Sukan Olimpik Remaja 2014 Nanjing dan Sukan Komanwel 2014 Glasgow.
Meningkat Peranan Wanita dan Mensejahtera Keluarga
Sesungguhnya peranan wanita sangat besar bukan sahaja dalam keluarga. Mereka adalah tulang belakang kepada kejayaan negara. Jasa mereka tetap dijulang tinggi. Malah, wanita adalah pemberi warna kepada generasi mendatang. Lalu, bagi meneruskan program pembangunan wanita dan institusi kekeluargaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat akan diperuntukkan sebanyak RM2.2 bilion bagi melaksanakan pelbagai program.
Antara program yang akan dilaksanakan termasuk penubuhan Akademi Inovasi Wanita di bawah naungan Institut Tadbiran Awam Negara. Akademi ini akan merangka program-program kepimpinan, keusahawanan dan inovasi untuk golongan wanita.
Selain itu, Program Pengarah Wanita untuk diketengahkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat; program keusahawanan Purple DNA seperti ''Purple Licious'' iaitu kiosk makanan bergerak dan menambah 23 Pusat Aktiviti Warga Emas akan dilaksanakan.
Kerajaan juga akan menaikkan kadar wang saku kanak-kanak di institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daripada RM1.50 kepada RM3 sehari bagi kanak-kanak yang bersekolah dan kenaikan daripada RM0.50 kepada RM1 sehari bagi kanak-kanak yang tidak bersekolah. Langkah ini dapat memanfaatkan 4,500 kanak-kanak di institusi JKM di seluruh negara. Di samping itu, kadar wang saku warga emas juga akan dinaikkan daripada RM10 kepada RM30 sebulan untuk menampung keperluan belanja harian penghuni JKM.
Bagi meringankan kos yuran taska, Kerajaan akan menaikkan kelayakan pendapatan isi rumah bulanan penjawat awam daripada RM3,000 kepada RM5,000 untuk mendapat subsidi yuran taska sektor awam berjumlah RM180 sebulan.
Di samping itu, kerajaan mencadangkan pemberian bantuan yuran taska sebanyak RM250 sebulan kepada ibu bapa berpendapatan bulanan tidak melebihi RM900 yang menghantar anak-anak ke taska swasta yang berdaftar dibawah JKM. Langkah ini dapat memanfaatkan seramai 3,334 kanak-kanak dibawah usia empat tahun dengan peruntukan RM15 juta.
Sebagai tambahan kepada perkhidmatan suntikan imunisasi Human Papilloma Virus dan pemeriksaan ujian mamogram yang sedia ada, kerajaan mencadangkan pemberian percuma alat bantuan sokongan prosthesis luaran payudara dan coli khas kepada pesakit kanser payudara. Bantuan ini dapat meringankan kos membeli alatan tersebut yang dianggarkan sekitar 1,200 ringgit. Langkah ini akan memanfaatkan lebih 8,000 orang pesakit kanser payudara dengan peruntukan berjumlah RM9 juta.
Saya juga ingin memaklumkan bahawa Kerajaan akan menambah empat buah bas khas untuk pelaksanaan Pusat Keluarga Bergerak bagi memberi khidmat nasihat berkaitan kekeluargaan, penjagaan makanan, pemeriksaan penyakit kronik serta ujian glukosa dan kolestrol.
Pemerkasaan Bumiputera
Aspirasi untuk mencapai tahap negara maju dan berpendapatan tinggi hanya boleh dicapai dengan penglibatan bersama semua, terutamanya kaum majoriti Bumiputera. Kerajaan komited untuk terus memperkasakan penyertaan Bumiputera dalam pembangunan ekonomi negara dan menjadikan agenda Bumiputera sebagai agenda Nasional.
Untuk itu, program yang akan dilaksanakan termasuk mempergiat program peningkatan kemahiran kepada belia, Program Peneraju Profesional serta meningkatkan bilangan pengambilan pelajar UiTM kepada 250,000 menjelang 2020.
Syukur Alhamdulillah, terkini jumlah pelajar UiTM sudahpun mencecah jumlah 180,000 orang. Selain itu, pegangan ekuiti dan pemilikan hartanah Bumiputera akan ditingkatkan melalui Skim Jejak Jaya Bumiputera atau SJJB, Skim Amanah Saham Bumiputera 2 dan pengukuhan institusi hartanah Bumiputera.
Untuk meningkatkan pemilikan ekuiti Bumiputera, SME Bank akan menubuhkan Dana Ekuiti Bumiputera atau EquiBumi sebanyak RM300 juta bagi menyediakan kemudahan pinjaman kepada syarikat Bumiputera yang berwibawa untuk mengambil alih syarikat tersenarai atau syarikat yang berpotensi untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.
Di samping itu, dana RM200 juta disediakan oleh SME Bank bagi kemudahan pinjaman untuk program pembangunan semula Tanah Rezab Melayu di kawasan strategik seperti Kampung Baru, Kampung Pandan dan Kampung Datuk Keramat. Kemudahan ini akan membantu masyarakat Melayu setempat meningkatkan taraf hidup seiring dengan pembangunan pesat di kawasan persekitaran.
Kerajaan terus meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam bidang perniagaan dan keusahawanan bagi menjana pendapatan dan kekayaan. Antara program yang akan dilaksanakan adalah mewujudkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera atau SUPERB dengan dana permulaan RM30 juta.
Di samping itu, bagi meningkatkan pengukuhan program pembangunan vendor, kerajaan mencadangkan perbelanjaan operasi yang ditanggung oleh syarikat anchor terutama syarikat berkaitan kerajaan diberi potongan cukai dua kali.
Seterusnya, bagi meningkatkan peluang perniagaan dan pembiayaan kepada entreprenur PKS, kemudahan pembiayaan pinjaman mudah turut disediakan. Antara kemudahan pembiayaan termasuk dana Amanah Ikhtiar Malaysia berjumlah RM300 juta dan dana sebanyak RM700 juta di bawah TEKUN.
Membantu golongan Orang Kelainan Upaya
Kita sedar bahawa setiap insan itu istimewa. Setiap seorang daripada kita adalah sempurna di sisi Tuhan. Dalam perkara ini, sumbangan mereka amat dihargai dan banyak menyumbang kepada pembangunan negara. Banyak kemudahan diperuntukkan bagi kesejahteraan mereka dan seterusnya memaksimumkan potensi yang ada. Untuk itu, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM441 juta bagi pembangunan dan kebajikan golongan ini.
Menghargai Golongan Karyawan
Golongan karyawan, seniman dan budayawan merupakan komponen sesebuah peradaban itu dibina. Peranan mereka amatlah penting dalam perkembangan seni dan budaya dalam masyarakat. Sebagai menghargai sumbangan golongan ini, kerajaan bersetuju untuk meneruskan bantuan kewangan sebanyak RM6 juta bagi pengurusan pentadbiran dan pengendalian persatuan-persatuan yang berdaftar.
Pembangunan Masyarakat India
Bijak bestari berkata, orang berbudi kita berbahasa. Kepada kaum India yang telah bersama menzahirkan ikatan sokongan kepada Kerajaan Barisan Nasional baru-baru ini. Terima kasih, Rumba Nandri.
Kerajaan juga akan terus menumpukan kepada pembangunan masyarakat India agar dapat bersama dalam arus kemajuan negara. Untuk itu, kerajaan bersetuju untuk menyediakan peruntukan sebanyak RM100 juta untuk meningkatkan pencapaian pelajaran dan latihan kemahiran, ini termasuk RM28 juta bagi program pendidikan awal melibatkan 176 pra-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan program i-Sinar.
Program ini akan meningkatkan prestasi pelajar melalui kaunseling, motivasi dan tuisyen kepada 45 sekolah ladang Tamil. Di samping itu, dana sebanyak RM50 juta disediakan untuk Skim Pembiayaan Usahawan Muda India atau SPUMI di bawah TEKUN, manakala usahawan India juga boleh memohon pinjaman daripada Amanah Ikhtiar Malaysia.
Meningkatkan Pemilikan Rumah
Saya mendengar, keluh kesah rakyat untuk memiliki rumah yang selesa terutama bagi golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Pelbagai rungutan sering diperkatakan seperti harga rumah melambung tinggi, bekalan rumah tidak mencukupi dan kesukaran mendapatkan pembiayaan.
Akhir-akhir ini, didapati kenaikan harga rumah amat ketara yang telah menjejaskan kemampuan masyarakat untuk membeli rumah. Di samping itu, aktiviti spekulasi turut memberi kesan ke atas kenaikan harga rumah. Situasi ini secara tidak langsung boleh menjejaskan pasaran hartanah dalam jangka masa panjang.
Bagi meningkatkan kemampuan rakyat membeli rumah dan memastikan harga rumah stabil serta mengekang aktiviti spekulasi yang keterlaluan, kerajaan akan melaksanakan langkah berikut:
Pertama: Mengkaji semula Cukai Keuntungan Harta Tanah atau RPGT. Bagi hartanah yang dilupuskan dalam tempoh pegangan sehingga tiga tahun, kadar RPGT dinaikkan kepada 30%, manakala pelupusan dalam tempoh empat dan lima tahun, kadarnya dinaikkan kepada 20% dan 15%.
Bagi warganegara, pelupusan yang dibuat dalam tahun keenam dan berikutnya, tidak dikenakan RPGT manakala bagi syarikat, RPGT dikenakan lima peratus. Bagi bukan warga negara pula, RPGT dikenakan pada kadar 30% bagi tempoh pegangan sehingga lima tahun dan pelupusan dalam tahun keenam dan berikutnya, RPGT dikenakan 5%;
Kedua: Meningkatkan harga minimum hartanah yang boleh dibeli oleh warga asing daripada RM500,000 kepada satu juta ringgit; Ketiga: Meningkatkan ketelusan harga jualan hartanah, di mana pemaju hartanah perlu mempamerkan secara terperinci harga jualan termasuk semua manfaat dan insentif yang ditawarkan kepada pembeli seperti pengecualian yuran guaman, duti setem perjanjian jual beli, rebat tunai dan hadiah percuma; dan Keempat: Melarang pemaju perumahan melaksanakan projek yang berciri Developer Interest Bearing Scheme atau DIBS bagi mengelakkan pemaju memasukkan tanggungan kadar faedah pinjaman pembeli semasa tempoh pembinaan ke dalam harga rumah. Oleh itu, institusi kewangan dilarang menyediakan pembiayaan akhir bagi projek yang terlibat dengan skim DIBS ini.
Seterusnya, bagi meningkatkan akses pemilikan rumah pada harga yang berpatutan, dianggarkan sebanyak 223,000 unit rumah baharu akan dibina oleh kerajaan dan sektor swasta pada tahun 2014. Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak RM578 juta kepada Jabatan Perumahan Negara atau JPN bagi melaksanakan Program Perumahan Rakyat yang melibatkan pembinaan 16,473 unit rumah. Di samping itu, JPN juga akan membina 600 unit Program Perumahan Rakyat Disewa dan Perumahan Rakyat Bersepadu dengan peruntukan RM146 juta.
PR1MA pula akan menyediakan 80,000 unit rumah dengan peruntukan satu bilion ringgit di mana harga jualannya adalah 20% lebih rendah daripada harga pasaran. Manakala SPNB akan membina 26,122 unit rumah yang meliputi 15,122 unit rumah mampu milik, 3,000 unit Rumah Idaman Rakyat dan 8,000 Rumah Mesra Rakyat. Kerajaan juga memperkenalkan kategori baharu Rumah Mesra Rakyat dengan harga jualan antara RM45,000 hingga RM65,000, di mana kerajaan akan memberi subsidi di antara RM15,000 hingga RM20,000 seunit.
Kerajaan juga akan memperkenalkan Skim Perumahan Mampu Milik Swasta atau MyHome sebagai satu langkah untuk menggalakkan sektor swasta membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana. Skim ini menawarkan subsidi RM30,000 seunit kepada pemaju swasta. Antara kriteria utama skim ini adalah: Pertama: Membina sekurang-kurangnya 20% rumah kos rendah dan 20% rumah kos sederhana dalam satu projek perumahan; Kedua: Harga jualan maksimum rumah kos rendah ialah RM45,000 dan kos sederhana ialah RM170,000; Ketiga: Keluasan minimum rumah kos rendah adalah 800 kaki persegi dan kos sederhana 1,000 kaki persegi dengan kemudahan minimum tiga bilik tidur dan dua bilik air; Keempat: Menyediakan kemudahan ruang letak kereta, surau, dewan dan taman permainan; dan Kelima: Terbuka kepada pembeli rumah pertama dengan pendapatan bulanan isirumah maksimum RM3,000 bagi kos rendah dan maksimum RM6,000 bagi kos sederhana.
Keutamaan akan diberikan kepada pemaju perumahan yang membina rumah kos rendah dan sederhana di kawasan yang mempunyai permintaan tinggi. Skim ini terhad kepada 10,000 unit rumah pada tahun 2014. Ia adalah untuk projek perumahan baharu yang diluluskan mulai 1 Januari tahun hadapan dengan peruntukan sebanyak RM300 juta di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pada masa ini, pemaju-pemaju projek perumahan seperti PR1MA, Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia dan perumahan di kawasan baharu dibuka, layak memohon geran daripada Dana Mudahcara sebanyak 10% daripada kos projek. Bagi tahun 2014, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM4 bilion untuk Dana Mudahcara sebagai inisiatif menggalakkan pelaksanaan projek swasta berimpak tinggi dan strategik.
Daripada jumlah tersebut, saya mencadangkan RM1 bilion dikhususkan sebagai Dana Mudahcara Perumahan di bawah Unit Kerjasama Awam Swasta atau UKAS. Pemaju yang menerima geran ini, mesti mematuhi terma dan syarat serta harga jualan rumah yang ditetapkan oleh kerajaan.
Kerajaan juga akan melaksanakan program membaik pulih dan meningkatkan keselesaan serta mengindahkan rumah kos rendah milik kerajaan. Antara langkah yang akan dilaksanakan termasuk penyelenggaraan lif, mengecat semula rumah, pembersihan longkang dan ruang buangan sampah serta membaik pulih padang permainan.
Untuk itu, sejumlah RM100 juta akan disediakan kepada Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia di bawah seliaan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Kerajaan juga akan memperuntukkan RM82 juta bagi memulihkan lagi sebanyak 20 projek rumah terbengkalai melibatkan 8,197 buah rumah.
Bagi terus mengukuhkan pasaran hartanah dan menambah peluang rakyat memiliki rumah, kerajaan akan melaksanakan pendekatan yang lebih efektif dan menyeluruh. Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan penubuhan Majlis Perumahan Negara untuk merangka strategi dan pelan tindakan secara menyeluruh, menyelaras aspek perundangan dan mekanisma harga hartanah serta memastikan penyediaan rumah dengan lebih cekap dan cepat.
Program Penyeragaman Harga
Kerajaan juga sedar akan harga barangan keperluan yang lebih mahal di Sabah dan Sarawak berbanding di Semenanjung Malaysia disebabkan kos penghantaran dan pengagihan yang lebih tinggi. Untuk mempastikan harga barangan dan kos dapat dikurangkan, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM331 juta bagi meneruskan program penyeragaman harga dan pemberian subsidi termasuk kos pengangkutan.
Di samping itu, sebanyak 60 buah Kedai Rakyat 1Malaysia turut akan dibuka dengan peruntukan RM30 juta.
Pelepasan Cukai Untuk Golongan Berpendapatan Sederhana
Kerajaan tidak pernah meminggirkan golongan berpendapatan sederhana yang merupakan bilangan pembayar cukai pendapatan terbesar. Mereka juga turut terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat. Bagi terus membantu golongan ini, kerajaan mencadangkan pelepasan cukai khas RM2,000 ke atas pendapatan yang diperolehi dalam tahun 2013 bagi yang berpendapatan sehingga RM8,000 sebulan.
Langkah ini akan memberi penjimatan bayaran cukai sehingga RM480. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat juga, kumpulan ini telah menikmati penjimatan cukai sehingga RM475 ke atas pendapatan tahun 2013 semasa kerajaan mengumumkan pengurangan kadar cukai dalam bajet yang lalu.
PENUTUP
Kita amat bersyukur, setelah negara mencapai kemerdekaan, tanggal 31 haribulan Ogos 1957, rakyat telah hidup dalam kerukunan, harmoni dan sejahtera membangunkan negara.
Pada 16 September 1963 pula, termaktub peristiwa bersejarah penggabungan Sabah dan Sarawak bagi membentuk Malaysia. Terbukti jelas, kebersamaan dan kebersatuan ini telah membawa berjuta rahmat kepada Malaysia.
Ternyata, selama lebih 5 dekad kerajaan Barisan Nasional telah menggalas amanah rakyat melalui kebitaraan perkongsian kuasa dan amalan bersepakat antara parti komponen.
Hakikatnya, sejak dulu lagi, kerajaan Barisan Nasional tidak semberono dan tidak pernah suka-suka dalam hal perencanaan negara. Bahkan kita amat komited dan sememangnya kita amat serius.
Segalanya kita rangka, semuanya kita susun, kita piagam dan kita laksanakan bukan sekadar sonata, atau sebuah orkestra, namun ia menjadi puluhan simfoni kemajuan yang terindah demi kesejahteraan hidup seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi.
Kepada para penjawat awam yang menjadi tulang belakang pembangunan negara, Kerajaan amat menghargai sumbangan Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekalian. Maka yang demikian, pada Julai lalu, kerajaan telah memberi tambahan satu kenaikan gaji tahunan atau KGT melibatkan peruntukan sebanyak RM1.6 bilion.
Di samping itu, kerajaan juga telah memberi tambahan tiga KGT kepada gaji maksimum bagi semua kumpulan perkhidmatan dan telah memanfaatkan 182,434 penjawat awam yang berada pada paras gaji maksimum. Lantaran pada petang ini, sukacita saya mengumumkan pula, bahawa Kerajaan juga bersetuju menambah baik sebanyak 81 skim perkhidmatan dari pelbagai peringkat mulai November ini.
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
Selanjutnya, dalam usaha untuk terus meringankan beban hidup rakyat, bersesuaian dengan pelaksanaan subsidi bersasar, sukacita saya mengumumkan bahawa program Bantuan Rakyat 1Malaysia atau BR1M 3.0 kepada isi rumah dan individu bujang akan ditambah baik.
Pemberian BR1M kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah, akan ditingkatkan nilai bantuannya, daripada RM500 kepada RM650.
Seterusnya, bagi individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas yang berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, nilai BR1M akan dinaikkan daripada RM250 kepada RM300
Sebagai pelengkap, Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat sekalian, sukacita saya mencadangkan caruman Insurans Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M bernilai RM50 diberi kepada semua penerima isi rumah BR1M. Langkah ini diharapkan dapat memberi perlindungan maksimum sehingga RM30,000 kepada penerima BR1M sekiranya berlaku kematian atau hilang upaya kekal.
Pendek kata, secara keseluruhannya, penerima BR1M dari kalangan isi rumah berpendapatan bulanan tidak melebihi RM3,000 akan menikmati bantuan sebanyak RM700.
Sebagai tambahan, buat pertama kalinya juga, BR1M akan diperluaskan kepada isi rumah yang berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000 dengan nilai bantuan sebanyak RM450. Pemberian ini adalah berdasarkan kepada kenaikan kos sara hidup yang perlu ditanggung oleh golongan berpendapatan sederhana rendah.
Golongan ini juga akan menikmati caruman i-BR1M bernilai RM50 yang menjadikan jumlah keseluruhan BR1M sebanyak RM500. Bagi melaksanakan kesemua pakej BR1M 3.0 di atas, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM4.6 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan seramai 7.9 juta penerima.
Menghargai Penjawat Awam
Pada Ogos lalu, sebelum menjelangnya hari Lebaran Aidilfitri, bayaran bantuan khas kewangan sebanyak RM500 dan RM250, masing-masing telah dibayar kepada penjawat awam dan pesara.
Hari ini pula, sukacita saya mengumumkan, untuk meringankan lagi beban golongan pesara, kerajaan akan memberi bayaran khas kewangan sebanyak RM250.
Kepada para penjawat awam janganlah bimbang, apa yang ditunggu sudah pun tiba. Saya dengan ini mengumumkan bonus sebanyak setengah bulan gaji bagi tahun 2013, dengan bayaran minimum RM500. Bayaran bonus dan bantuan khas kewangan ini akan dibayar pada awal bulan Januari 2014.
Sesungguhnya, bajet ini merupakan dokumen pasca pilihan raya sebagai antara prakarsa penting memenuhi akujanji yang kita ikrarkan semasa pilihan raya baru-baru ini. Usaha kita tidak terhenti setakat ini. Bahkan inilah kesinambungan kepada sebuah perjalanan Barisan Nasional agar terus berkobar dan bersemangat dengan api perjuangan yang marak lagi menyala, menerajui negara untuk tempoh 50 tahun akan datang.
Tapi biasalah, bak kata orang Pekan, maaf bercakap, nak buat macam mane, sabor jerlah". Apa pun kebaikan yang kita perbuat, apa pun amal kebaikan yang kita lakukan, ada saja yang tidak kena, ada saja yang tidak betul di mata kawan-kawan di seberang sana.
Namun biarlah, kata orang, kebenaran depan mata kadang-kadang kita tak nampak. Yang batil itu akhirnya akan terpasung jua.
Sedangkan, orang jauh, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, John Kerry yang datang baru-baru ini pun telah mengiktiraf kita sebagai negara model kepada dunia, dalam kepelbagaian kemajuan, ekonomi dan manusia. Hatta Presiden China, Xi Jinping juga telah memuji Malaysia sebagai rakan kongsi yang boleh dipercayai. Kita juga rasa tersentuh apabila Presiden China turut mengungkapkan pengertian peribahasa Melayu, air dicincang takkan putus, bahawa, Malaysialah sahabat negara China yang sejati, ketika susah dan senang.
Satu demi satu tohmah dilontar, beraneka domba dituduh kepada kita. Namun, kita bukanlah barisan yang mudah mengaku kalah, apatah lagi tidak mungkin duduk bersimpuh dan berdiam diri. Barisan Nasional mengambil resminya padi, makin merunduk makin berisi. Bulan demi bulan, tahun demi tahun, dari masa hingga masa, kita terus bangun, bangkit dan berjuang demi rakyat, demi negara.
Dalam pada itu, diakui adat dan resam manusiawi, selama berpuluh tahun, kerajaan Barisan Nasional mentadbir, tentulah ada salah dan khilaf di sana-sini. Namun, mendahulukan kepentingan rakyat adalah segala-galanya buat kita. Dengan adanya sokongan dan dokongan rakyat apabila dirundingi, ternyata kelemahan-kelemahan terus kita perbaiki dan usaha dapat dimantapkan.
Sekali gus, segala penat lelah, letih lesu yang digemblengkan terasa hilang dan terasa lega, tatkala rakyat teramai dapat mengecapi nikmat kejayaan negara. Bak kata orang Iban di Sarawak, Utai Besai Gagamiet", jika kita bersatu, berganding-ganding antara kerajaan dan rakyat, tiada masalah yang tidak dapat diselesaikan.
Apa yang pasti, kita tidak sekali-kali akan membiar dan merelakan orang-orang yang tidak bertanggungjawab untuk mengambil alih kerajaan ini. Demi rakyat dan demi tanah air tercinta, Putrajaya, tetap akan kita pertahankan sampai bila-bila.
Jelasnya, bajet ini ialah dokumen berevolusi yang dipersembahkan untuk tahun 2014, merupakan siri-siri bajet yang akan membawa Malaysia bertatih, menapak dan akhirnya kini berlari-lari anak, melayari bahtera ke mercu jaya dan kompetitif di persada antarabangsa. Insya-Allah, kita akan membentangkan enam lagi bajet, sebelum negara ini dijulang menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, apabila menyinsingnya fajar 2020, kira-kira tujuh tahun lagi.
Demi kepentingan rakyat, moga-moga bajet kali ini juga, menjadi bajet yang disirami dan dilimpahi barakah yang tidak terhitung-hitung jumlahnya.
Akhir kalam, dalam segala kudrat manusia, kita telah berusaha sehabis baik. Kepada Allah kita membuat segala penyerahan dan mengembalikan segala urusan. Moga-moga Tuhan Yang Maha Berkuasa memberi selamat dan sejahtera kepada Malaysia, zahir dan batin.
Tuan Yang Dipertua, saya mohon mencadangkan.
Wasabi Oyabun..
Langgan:
Catatan (Atom)