Terima kasih kerana mengundi BN

Terima kasih kerana mengundi BN

Rabu, 30 November 2011

Mahkamah : Dr Zambry Menang Saman Fitnah Suara Keadilan!

Mahkamah Tinggi di sini mendapati sembilan perkataan dalam satu artikel yang disiarkan oleh “Suara Keadilan”, akhbar Parti Keadilan Rakyat (PKR), mengenai Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir membawa maksud fitnah.

Hakim Datuk Hue Siew Kheng memutuskan demikian dalam kamar pada Rabu dengan dihadiri peguam Datuk Firoz Hussein Ahamd Jamaluddin yang mewakili Zambry selaku plaintif, dan peguam Jamie Wong yang mewakili PKR, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan tiga pihak lain.

Pada 22 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan tiga perkataan lain dalam artikel yang sama turut membawa maksud fitnah selepas defendan mengakui bahawa perkataan-perkataan tersebut adalah palsu dan tidak berasas.

Firoz Hussein yang ditemui pemberita, berkata mahkamah memutuskan supaya taksiran ganti rugi dibuat di hadapan Timbalan Pendaftar, namun tiada tarikh ditetapkan.

Pada 25 Feb tahun lepas, Zambry memfailkan saman fitnah RM100 juta terhadap Wan Azizah selaku pemegang jawatan dalam PKR, Timbalan Presiden Dr Syed Husin Ali yang juga ketua editor Suara Keadilan, penerbit akhbar berkenaan, Pelita Koridor Sdn Bhd dan pencetak Suara Keadilan, Percetakan NPK Sdn Bhd.

Dalam pernyataan tuntutannya, Zambry berkata artikel yang disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan edisi 29 Dis 2009-5 Jan 2010, bertajuk “Zambry Disyaki Pengganas – Gagal Masuk Ke Amerika Syarikat” mengandungi perkataan berunsur fitnah yang palsu, tidak berasas dan disiarkan dengan berniat jahat.

Katanya beliau tidak dihalang dari memasuki Amerika Syarikat, malah dibenarkan masuk ke negara itu serta diberikan pengiktirafan yang sesuai dengan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Perak.

Zambry berkata lawatannya ke Amerika Syarikat mendapat liputan meluas media, dan defendan telah menyiarkan kata-kata berunsur fitnah itu dengan sengaja.

Menteri Besar Perak itu berkata perkataan berunsur fitnah itu telah melukakan perasaannya dengan begitu mendalam, mencemarkan dengan teruk reputasi awam, peribadi dan politiknya serta membawa kepada skandal awam, kebencian dan penghinaan.

Beliau menuntut ganti rugi RM100 juta, termasuk ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan, faedah lapan peratus setahun dan juga injunksi bagi menghalang defendan daripada menyiarkan perkataan berunsur fitnah itu atau sebarang perkataan berunsur fitnah yang serupa terhadapnya.

Defendan, dalam pernyataan pembelaan mereka, menyatakan bahawa permohonan maaf bertajuk “Mohon Maaf Dr Zambry” dan penarikan balik artikel telah disiarkan dalam akhbar parti keluaran 30 Mac-6 April 2010.

Wasabi Oyabun

Tiada ulasan:

Catat Komen